Kali ini saya ‘berselingkuh’ dengan dua gejala yang berbeza, tetapi mempunyai hubungan bertimbal-balik dan juga dikaitkan dengan teori sebab dan akibat (cause and effect), iaitu mengenai sebuah pertanyaan dan jawapan daripada pertanyaan tersebut.
Pertanyaan itu ialah apakah ‘jalan kebahagiaan’ akan sentiasa kekal dalam perkahwinan yang dibina atas apa sahaja alasan – menganyam cinta atau memenuhi tuntutan naluri- manakala jawapannya, apakah bercerai itu tidak akan menemui ‘jalan kebahagiaan’ untuk hidup, sama ada oleh lelaki mahupun perempuan, sehingga dipisahkan oleh kematian.
Jalan kebahagiaan yang saya akan fokuskan ialah bahagian di dunia sebagai pasangan ‘kasih sepanjang masa, sayang sepanjang hayat’, sebagaimana terarah dalam hakikat dan makna perkahwinan itu dalam hasrat dan impian. Impian yang bukan sahaja muncul dalam perspektif budaya, sosial. Ia muncul dalam setiap impian dan harapan dalam pengetahuan kita tentang agama.
Tidak ada agama yang menyekat perkahwinan, bahkan agama cukup memahami bahawa dengan perkahwinan antara lelaki dan perempuan, regenerasi akan terus berlaku malah emosi dan psikologi pengamal-pengamalnya akan lebih tenteram dan memenuhi salah satu tuntutan asas, seperti difahami daripada teori hierarki keperluan manusia (Abraham Maslow, Motivation and Personality, New York: Harper and Row, 1954)
Tidak ada sebab untuk memisahkannya, kecuali salah seorang meninggal dunia. Tidak ada makna sesebuah kebahagiaan itu, kerana perkahwinan itu merupakan salah satu kaedah membangun syurga, seperti kata Achmad Chodjim, dan syurga itu ibarat satu keadaan yang membentuk sebuah metafora.
Bagaimanapun, syurga itu dibayangkan oleh Allah SWT sebagai satu tempat yang damai dan penuh keindahan, tidak masalah sebagaimana manusia terpaksa hadapi dalam hidupnya di dunia. Tetapi, harus difahami bahawa ;impian kita ke syurga yang abadi’ itu akan kesampaian, sekiranya kita gagal mencipta syurga di dunia.
Syurga di dunia ada kaitannya dengan dua kontinum yang perlu diseimbangkan dengan kebaikan, kerana tiada syurga hadir sebagai suatu tindakan kita yang negatif, atau yang tersesat di jalan Amar Makruf.
Jadi, untuk membangun syurga, kita mestilah menukangnya ketika kita hidup, seperti kita menukang sebuah rumah yang cantik, pada pandangan fizikal dan penuhinya dengan keimanan, nilai-nilai agama dan kerukunan yang akan menjadikan kita dalam situasi senang dan harmoni.
Seperti juga kita setiap hari keluar mencari rezeki, dan rezeki itu kita gunakan untuk pelbagai keperluan, termasuk keperluan makanan dan minuman. Kita akan gunakan pendapatan yang kita raih untuk membeli beras, membayar bil-bil utiliti, mengumpul dana untuk keperluan mendesak dan sebagainya, tetapi semuanya akan membawa keberkatan sekiranya kita selalu ingat makna halal dan keberkatan.
Setiap makanan yang kita makan, setiap pakaian yang kita pakai, setiap belian barangan dan perkhidmatan itu mestilah dilakukan dalam hubungan yang halal. Daripada niat yang ikhlas, hati yang kental dan tindakan yang jujur, ikhlas dan tidak mengambil hak orang lain itulah akan memancarkan nilai-nilai kebaikan, keimanan dan keberkatan.
Jika di sebaliknya, ia akan dilihat sebagai perbuatan yang terkutuk, berdosa dan akhirnya akan dibalas dengan situasi tidak tenteram, selain dilaknat oleh Allah SWT di atas dosa=- dosa yang kita lakukan dalam bentuk musibah dan jiwa kacau, rumah tangga porak peranda, keluarga bertabrakan dan masyarakat yang ‘terkebulur atau gagal untuk ke syurga’. (Achmad Chodjim, Membangun Syurga: Bagaimana Hidup Damai di Bumi Agar Damai Pula di Akhirat, Jakarta: PT Serambi, 2004)
Ya! Benar, seperti tegas dan dipertahankan ‘kehendak agama’ itu oleh Iman al-Ghazali, dunia diibaratkan sebagai ladang untuk akhirat, dan di dunialah kita disyaratkan untuk ‘menanam’ dan hasilnya kita akan tuai di akhirat. Dunia adalah ladang pahala.
Kita boleh mengumpul aset, kita boleh berbuat apa sahaja, tetapi, kesemuanya tidak berguna apabila kita dipulangkan ke akhirat. Tidak ada aset (harta dan wang) yang akan dikuburkan bersama, cuma dua keping kain putih yang tidak berjahit. Apakah yang menjadi bekal itu ‘perjalanan abadi’ itu?
Jawabnya, apa yang kita amalkan, dan apa yang kita amalkan itulah dinamakan sebagai ‘iman’, sama ada kita berimankan Allah SWT ataupun apa yang kita fikirkan lojik secara rasional sehingga lupakan adanya Tuhan. Kita kadangkala menjadi ‘tidak siuman’ apabila sangat mengharapkan kebendaan atau pesona dunia. Hidup itu bukan hanya untuk dunia yang menipu, kita juga akan meneruskan hidup di alam barzah yang lebih abadi dan ‘tidak akan mati’.
Semasa di sanalah seluruh ibadat dan keimanan kita diadili, maka beruntunglah mereka yang beriman, pintu syurga akan terbuka dan celakalah mereka yang larut dalam pesona dunia, nerakalah tempatya. (Imam al-Ghazali, Metod Menjemput Maut: Menyingkapi Kematian Dalam Perspektif Sufistik, terjemahan versi bahasa Indonesia dari terjemahan versi bahasa Inggeris (oleh Ahsin Mohamad), The Rememberance of Death and Afterlife (oleh TJ Winter dari versi berbahasa Arab), kitab Dhikr al-Mawt (kitab ke-40), Ihya Ulumuddin, rubu’ al- Munjiyat (Jilid IV). Bandung: PT Mizan Pustaka, cetakan 1 edisi kedua, 2014)
Ketika pertanyaan itu muncul, kita dihadapkan pula dengan laporan-laporan, berita, analisis dan trend perkahwinan di seluruh di dunia, yang ketika ini menunjukkan penurunan yang drastik setelah tiga tahun dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Dan, dalam masa yang sama, kita turut dihadapkan dengan situasi yang diukur sebagai suatu trend yang membimbangkan: kadar penceraian juga turut meningkat sehingga ia bukan lagi dilihat sebagai masalah dalam hubungan kekeluargaan, bahkan boleh menukarkan nilai dan budaya kekeluargaan sehingga menampakkan kemurnian dan tuntutan bagi setiap orang untuk menempuh kebahagiaan hidup semakin tercabut daripada makna yang benar dan jujur.
Para pemerhati – agamawan (teologi), ahli kaji sosial (sosiologi), pakar psikologi (kaunseling dan motivasi) dan orang biasa- selalu percaya bahawa institusi keluarga adalah institusi yang dapat menjamin kebahagiaan hidup, baik secara individu ataupun masyarakat. Daripada perkahwinan itu akan membentuk kestabilan kendiri (self stability), membangun masyarakat dan menghindari kekalutan, dan yang paling penting ialah dengan berkahwin, seseorang itu dapat mengimbangi nafsu atau naluri mereka, selain bekerjasama untuk saling dihargai (dipunyai dan mempunyai), memenuhi (menampung dan menyeimbangkan antara kekurangan dan kelemahan), rasa selamat dan membahagi-bahagikan tanggungjawab.
Al-Ghazali (Ihya Ulumuddin, dalam kitab, Adab an-Nikah (bab 2, Jilid II, rubu’al-Adat) dan Kasr asy-Syahwatan (bab 4, Jilid III – rubu’al-Muhlikat) memberikan gambaran tentang proses kehidupan manusia seperti berikut:
“Salah satu dari penciptaan kebajikan-Nya ialah penciptaan manusia dari air mani. Kak menjadikannya berketurunan dan berkerabat. Kemudian Dia memberi kuasa kepada makhluk itu syahwat keinginan yang memaksa mereka dengan suatu keharusan agar memelihara anak keturunan mereka.
“Kemudian Dia mengagungkan persoalan keturunan. Dia melarang pertumpahan darah dan sangat mencela perbuatan jahat itu. Orang yang melanggar larangan itu dianggap telah melakukan perbuatan dosa yang sangat keji, dan perbuatan pahit yang harus dihindari.
“Di samping itu, Dia menganjurkan dan menghimbau kepada perkahwinan, sebagai sunnah dan perintah.
“….Kemudian Dia menyebarkan benih-benih dari air mani dalam rahim. Lalu Dia menjadikan dari benih-benih itu makhluk baharu. Selanjutnya, Dia menjadikan makhluk itu sebagai pengganti kehancuran makhluk sebelumnya lantaran sudah mati.
“Sebagai peringatan bahawa lautan takdir memenuhi semesta alam dengan manfaat dan kesan buruk, kebajikan dan kejahatan, kesusahan dan kemudahan, terlipat dan terbentang. (hal. 489, Ihya Ulumudidin, Jilid II, versi terjemahan oleh Muhammad Akhyar LC dan Drs Syahrin bin Jasah, Kuala Lumpur: Al-Shafa, 2014)
Biarpun para ulama berbeza pendapat mengenai perkahwinan, al-Ghazali memberikan lima faedah mengenainya:
- untuk mendapatkan anak (regenerasi atau keturunan);
- mengawal dorongan nafsu syahwat;
- mendapat ketenangan psikologi (emosi atau hati);
- membangun kerjasama dan persefahaman serta berkongsi tanggungjawab; dan,
- melatih jiwa sebagai pemimpin (rumah tangga, atau menguruskan sumber, keperluan, keibubapaan (mendidik dan mengasuh diri, keluarga dan anak-anak) dan memahami emosi (sabar, syukur, tafakur dan kasih sayang).
Jadi, jelaslah, apa pun pegangan agama seseorang itu –juga bagi mereka yang tidak berpegang kepada agama, agnostik dan aties – perkahwinan tetap merupakan pilihan yang paling banyak dilakukan manusia, berbanding keputusan tidak berkahwin. Namun, trend tidak berkahwin semakin meningkat, kerana manusia sangat cenderung untuk melihat hidupnya sebagai pilihan, pilihan yang berdasarkan keputusan rasional yang sentiasa dalam bentuk semu atau sementara.
Keputusan tidak berkahwin seumur hidup, walaupun ia merupakan pilihan, akan dilihat sebagai sesuatu situasi yang buruk, dikutuk dan dipandang serong oleh masyarakat sehingga ada di antara ahli masyarakat melihat fenomena itu sebagai ‘anti-sosial’ dan cukup individualistik.
Tidak hairanlah dalam situasi sebegitu, seorang tokoh psikoanalisis (Sigmund Freud, mengecam apabila seseorang bila si perempuan yang melepasi usia 30 tahun yang gagal mempunyai pasangan. Mungkin Freud (1856-1939) melihat hal itu sebagai sesuatu yang identik dengan pandangan budaya masyarakat, dan sedikit hasil penemuan dalam bidang sains, terutama sains reproduksi.
Seseorang perempuan akan mengalami penurunan tahap kesuburan selepas berumur tiga puluh tahun dan bersalin di usia lewat akan menyebabkan timbulnya pelbagai komplikasi kesihatan, juga ada kecenderungan memperoleh zuriat yang cacat atau tidak sempurna sifatnya (cacat genetic mahupun cacat psikologi dan alami pelbagai sindrom).
Dalam masyarakat Melayu, mereka yang melepasi umur 30 tahun, terutama perempuan kitaran pernah dianggap ‘tidak laku’. Dalam persoalan ekonomi, mereka yang berada pada tahap kesuburan yang tinggi, jika masih berkahwin turut menjadi kerisauan pemerintah. Pemerintah risau, proses regenerasi atau penggantian penduduk secara semula jadi akan mengalami rencatan. Hal ini sedang diperkotak di seluruh dunia, termasuk menyalahkan dasar yang pernah diputuskan oleh negara pasa suatu ketika.
Pada suatu ketika, ramai pemimpin mengikuti dengan penuh minat untuk mengawal kadar pertumbuhan penduduk kerana percayakan apa yangd irumuskan oleh seorang ahli demografi British, Thomas Robert Malthus (1776-1834).
Malthus menggambarkan dunia akan alami kesesakan melampau sekiranya pertumbuhan kadar kelahiran tidak dikawal, selain menjadikan sumber kehidupan semakin bermasalah atas alasan pertumbuhan penduduk berkali ganda cepat berlaku berbanding pertumbuhan makanan dan keperluan untuk menampung hidup. Maka, dicadangkan dilakukan perubahan polisi, seperti menetapkan jumlah maksimum anak bagi sesebuah keluarga.
Kini, negara-negara yang mengagumi idea Malthus semakin bimbang, dasar mengawal pertambahan penduduk secara semula jadi telah menyebabkan proses penggantian penduduk (kelahiran dan kematian) semakin membimbangkan.
Begitu juga dengan cadangan melewatkan usia perkahwinan menerusi kawalan undang- undang, menjadi seperti yang dikejar tidak dapat manakala yang dikendung keciciran, ekonomi negara sangat memerlukan sumber manusia, dan pola pemenuhan itu menjadi isu yang cukup besar.
Disebabkan ketidakcukupan pekerja yang aktif (golongan muda) menjadikan sesebuah negara sangat bergantung kepada tenaga kerjas import (buruh asing) seperti dihadapi oleh Malaysia. Ekonomi akan alami pertumbuhan yang perlahan kerana kekurangan tenaga kerja.
Biarpun automasi menjadi pilihan utama, keperluan pekerja masih tetap tinggi terutama dalam pekerjaan yang dikaitkan dengan pengeluaran komoditi, pembinaan, perkhidmatan dan sektor tradisi (perlombongan, pembalakan, perikanan, pertanian, pendidikan, kesihatan dan pengasuhan bayi dan kanak-kanak, ternakan dan sebagainya). Inilah yang cukup merisaukan Singapura, sebuah negara terkaya di Asia Tenggara tetapi berhadapan dengan isu kekurangan penduduk muda, menyebabkan berlakunya perubahan dasar dari hanya memiliki seorang anak kepada dua orang, dan pelbagai usaha untuk menggalakkan perkahwinan dilaksanakan, termasuk program penyesuaian dan pertemuan pasangan yang berpotensi untuk membina rumah tangga, selain galakan berupa insentif.
China yang pernah dinobatkan sebagai negara berpendudukan paling ramai selama enam dekad, juga semakin merasa kehilangan orang muda untuk meneruskan upayanya menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia pada masa hadapan. Selepas menukarkan dasar tutup pintu, China mengalami perttumbuhan ekonomi yang pesat.
Kesannya, negara itu sangat memerlukan tenaga kerja muda yang lebih ramai selain berusaha menyeimbangkan pertumbuhan penduduk dan proses penggantian secara semula jadi. Hari ini, kedudukan China sebagai negara berpenduduk paling ramai telah diambil alih oleh India atas tingginya kadar kelahiran semula jadi di India lebih besar daripada China.
China, sudah mengubah dasar jumlah anak bagi setiap keluarga, dan meneliti semula proses penjodohan rakyatnya. China turut hadapi masalah ketidakseimbangan gender disebabkan oleh dasarnya yang lebih mengutamakan lelaki.
Lelaki berhadapan dengan masalah mendapatkan jodoh, terutama dalam kalangan penduduk desa dan mereka yang mengusahakan bidang pertanian. Oleh kerana itu, China ikut melonggarkan syarat untuk golongan muda mereka berkahwin dan mencari jodoh di beberapa buah negara, termasuk dalam kalangan perempuan Vietnam, Kemboja dan Laos. Namun, ada pelbagai kekangan termasuk kekangan budaya dan impian yang kadangkala sangat mengecewakan.
India juga turut alami keadaan yang serupa kerana tradisi budaya yang menjadikan wanita yang kematian suami ikut ‘mati’ bersama ketika mayat itu dikebumikan. Ia dilihat sebagai malapetaka, tetapi budaya itu semakin tidak digalakkan terus berlalu, biarpun gagal menghapuskan sepenuhnya. Wanita sering ditanggapi sebagai satu bentuk malapetaka, bila berlakunya kematian suami, bahkan jika terus menjalani hidup, tidak digalakkan berkahwin semula. Ia menyekat atau menghalang proses reproduksi, tetapi secara keseluruhannya, India tidak mengawal bilangan anak bagi setiap keluarga.
Namun trend berkahwin lewat terus meningkat di India, tetapi tidak sangat membebankan proses pertumbuhan walaupun kadarnya lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). PBB menetapkan kadar pertumbuhan penduduk (kelahiran semula jadi) sebanyak 2.1 peratus setahun.
India berada pada tahap 2.0 peratus, ini membuktikan pertumbuhan semula jadi di India lebih baik daripada China, yang berada pada tahap 1.6 hingga 1.7 peratus. Menjelang beberapa tahun lagi, India akan mengubah perspektif demografi dunia, dan kini sedang mendahului jumlahnya berbanding China.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments