Kenapa Islam hadir sebagai agama yang lengkap dan berusaha memperbaiki akhlak manusia? Persoalan ini cukup menarik dibincang dan dicerakinkan berdasarkan peristiwa-peristiwa sejarah yang melingkari kehidupan dan peradaban manusia sejak manusia merupakan penghuni utama di bumi dan menjadi pentadbir ‘apa yang ada di bumi, di langit dan di lautan’.

Sejarah memberikan gambaran bahawa manusia hidup dalam situasi penuh angkuh, sombong dan sering berkonflik sama ada dengan fenomena alam (persekitaran, iklim dan bentuk muka bumi), makhluk hidup (binatang, pohon-pohonan, unggas dan virus) dan paling parah ialah antara sesama manusia sehingga tidak segan membunuh dan mencederakan (perang, propaganda dan penghapusan etnik).

Ada yang sanggup melakukan keganasan semata-mata atas alasan keperluan survival dan mempertahankan koloni masing-masing, termasuk apa yang mereka miliki. Ada juga yang bertindak radikal kerana semangat dan psikologi diri untuk menawan atau menguasai orang lain (menjadi hero), walaupun alasannya nampak lojik dan boleh diterima, kadangkala tidak dapat kita fahaminya dengan betul dan benar.

Atas sifat dan kecenderungan untuk membina persepsi buruk, Islam sentiasa dilihat cukup bertentangan dengan ‘hak asasi manusia’ kerana mengembangkan dakwah menerusi radikalisme politik sehingga menerbitkan istilah ‘hantu hijau’ dan diprovokasikan sebagai tindakan yang tidak siuman seperti kaedah yang digunakan terhadap islamofobia.

Hantu hijau dikaitkan dengan warna bendera beberapa buah negara Islam (majoriti penduduk Islam dan dikuasai oleh pemimpin Islam) diberi selepas blok demokrasi liberal dan kapitalisme berjaya mempengaruhi pemikiran manusia mengenai bahayanya komunisme (hantu merah).

Setelah mencipta teori domino (kejatuhan berjangkit seperti permainan domino), timbul pula istilah Perang Dingin dan kini ‘perang perdagangan’ akibat kemaraan China sebagai kuasa ekonomi dunia yang bakal mencabar hegemoni Amerika Syarikat dan Barat dalam tempoh kurang 50 tahun lagi. China merupakan kuasa ekonomi dunia kedua terbesar selepas berjaya menyingkirkan Jepun sebelum berakhir dekad pertama Abad ke-21.

Namun, di antara dua pertembungan tersebut, Islam menjadi mangsa yang cukup tragik sebaik sahaja memasuki tahun pertama dekad pertama Abad ke-21. Setelah berlakunya keruntuhan World Trade Center, 11 September 2001, kebencian terhadap Islam menjadi semakin bertambah liar dan tidak dapat dikawal hanya kerana percayakan bahawa Islam sebagai ancaman terbesar tamadun barat (kapitalisme dan liberalisme).

Akibatnya, banyak juga penulis-penulis barat membuat andaian, sejarah Islam yang telah berjaya menyumbang kepada pencerahan tamadun barat perlu ditulis semula dengan orientasi baharu, yakni menekankan kepada radikalisme politik dan kelancaran dakwah menerusi mata pedang.

Hingga kini, dakwaan tersebut semakin giat diperkatakan, beberapa istilah yang asalnya cukup positif telah ditukarkan (propaganda) agar dapat menimbulkan makna negatif dalam pendekatan psikologi dan budaya barat, misalnya istilah jihad, fundamentalisme, otordok, fanatik dan sebagainya. (Dr Muhammad Imarah, Perang Terminologi: Islam versus Barat, edisi terjemahan oleh Musthalah Maufur, Jakarta: Robbani Press, 1998).

Atas sifat kecenderungan ilmiah barat, data dianalisis berdasarkan perspektif kecil dan tinjauan rawak (random sampling or impirical studies) menyebabkan persoalan asas sejarah menjadi sedikit tergelincir daripada pendekatan teori asal yang dibentuk berdasarkan pemikiran Herodotus (484-425SM), EH Carr (1892-1992), dan Ibnu Khaldun (1332-1406) menjadi terpesong, hanya kerana tafsiran yang sangat berkiblatkan ideologi politik dan sekularisme pemikiran.

Setelah membaca buku tulisan Dr Rosli Mokhtar, Seteguh Tembok Andalusia (Kajang:Arus Mega (M) Sdn Bhd, 2022, setebal 280 halaman), saya menemui sedikit pencerahan mengenai peristiwa sejarah yang membuatkan masyarakat barat sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Islam kerana telah berjaya membantu mereka keluar daripada ‘zaman kegelapan’ (kongkongan gereja).

Walaupun penulisan Dr Rosli, nak jati dari Jerteh, Terengganu yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sejak tahun 2002, bukan berhasrat untuk memperbetulkan ‘pelencongan sejarah’ yang dilakukan oleh para orientalis dan cendekiawan berpendidikan barat, ia sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami apakah objektif utama pengembangan Islam di bumi Sepanyol atau Andalusia.

Menurut pengarang, buku tersebut ditulis untuk menjawab tiga polemik mengenai sejarah Islam di Andalusia, dari tahap kemasukannya hinggalah berjaya membentuk sebuah empayar yang sangat besar dan digeruni oleh masyarakat Eropah.

Polemik pertama ialah mengenai kapal yang digunakan oleh tentera Islam untuk melintasi Selat Gibraltar, dikatakan dipinjam daripada pemberontak Sepanyol bernama Julian. Dakwaan itu bertujuan untuk memperlekehkan kekuatan tentera Islam, selain mengangkatkan sumbangan Sepanyol dalam menjayakan misi tersebut.

Fakta sebenar ialah, empayar Islam Umawi (Umayyah) adalah cukup kuat untuk melakukan sebarang peperangan, termasuk dalam kelengkapan armada laut. Islam telah lama bersedia (memperlengkapkan kekuatan armada), yang dirintis oleh Muawiyah bin Abu Sufyan sejak beliau dilantik sebagai gabenor Syam semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab lagi.

Muawiyyah memperbesarkan kekuatan armada tentera dengan lebih teratur, sistematik dan cukup berstrategik sebaik sahaja beliau menjadi pengasas Daulah Umayyah selepas Hasan bin Ali menyerahkan kuasa kepadanya. Hasan dianggap sebagai khalifah ke-5, walaupun sebenarnya ar-Rasyidin hanya dikenali dengan empat orang sahabat Rasulullah SAW. Khalifah terakhir ialah Ali bin Abi Talib RA, iaitu ayah kepada Hassan.

Fakta yang lain dan sangat menarik ialah Gabenor Kerajaan Umawi di bahagian utara Afrika, al-Hassan bin al-Nu’man telah membina pusat pembuatan kapal di Tunisia sejak tahun 87H (709/710M). Kedua, perperangan di perairan Tunisia yang berlaku pada tahun 33H (625/626M) telah menyaksikan kehadiran armada laut Islam dengan 200 buah kapal, sebagai misi pembukaan utara Afrika. Ketiga, Gabenor Afrika Utara, Muawiyah bin Hudaij (meninggal 670) telah menghantar 200 buah kapal bagi membuka Pulau Sicilia pada tahun 46H (667/668M). (hal.26-27).

Polemik kedua ialah menenai peristiwa pembakaran kapal oleh Tariq bin Ziyad (670-720M) sebaik sahaja berlabuh di Gibraltar. Berasaskan fakta sejarah, menerusi kaedah Jarh wa Ta’dil (kaedah memverifikasi sesuatu berita atau maklumat), tidak ada sebab kenapa Tariq bin Ziyad melakukan tindakan tersebut sebagaimana dibahas oleh sejarawan Barat atau Sepanyol.

Sekiranya benar-benar dilakukan, tentulah Gabenor Musa bin Nusair (640-716) atau khalifah di Damsyik akan meminta penjelasan (justifikasi) kenapa kapal-kapal itu dibakar. Apakah ia merupakan strategi Tariq untuk membangkitkan semangat perang yang kental ke dalam hati nurani setiap orang tentera Islam?

Sejarawan Eropah membangkitkan perihal itu sebagai menjawab persoalan kenapa kekuatan tentera Islam yang hanya dengan 12,000 orang mampu mengalahkan kekuatan tentera Kristian dengan lebih 100,000 bala tentera. Ertinya, dengan hanya 12 peratus kekuatan tentera, Islam mampu mengalahkan kekuatan yang lebih besar (lebih 80 peratus). Ia membangkitkan rasa hairan kepada orang-orang Eropah, tidak lojik dengan kuantiti yang kecil mampu mengalahkan kuantiti besar yang berlipat kali ganda.

Tetapi, Tariq bin Ziyad berjaya membuktikan bahawa besar atau kecil tidak dapat menentukan sesuatu kemenangan dalam setiap perjuangan, ia sangat bergantung kepada kekuatan semangat dan kemahiran merancang strategi serta tektikal yang berkesan. Ini dapat dibuktikan dalam beberapa peperangan yang berlaku sebelumnya, termasuk dalam Perang Badar, perang pertama secara terbuka dalam Islam selepas dua tahun Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah (17 Ramadhan 2H/13 atau 17 Mac 624M).

Setelah mengumpul kekuatan sekitar 313  orang (82 Muhajirin dan 231 Anshar) manakala Quraisy dengan kekuatan antara 900 hingga 1000 orang dapat dikalahkan, Nabi Muhammad SAW mencapai kemenangan besar. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Badar).

Mengenai kemenangan Islam terhadap Perang Badar, Marshall Hodgson menulis: “…dengan seramai 315 orang…berhadapan dengan bantuan dari Mekah yang sekurang-kurangnya dua kali ganda jumlahnya daripada mereka di telaga Badar. Pimpinan Nabi Muhammad SAW yang cekap, dan mungkin kerana disiplin yang kuat di kalangan orang Islam serta kerana semangat yang berkobar-kobar, telah memberi kemenangan di pihak orang Islam.

“Kejayaan orang Islam yang bilangannya sedikit dalam menghadapi musuh yang begitu ramai ini dianggap oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sesuatu yang begitu besar, hasil daripada pertolongan Allah SWT.

“Peristiwa ini telah mengukuhkan kebebasan komuniti Islam serta keupayaan komuniti ini untuk terus berkembang, di samping memenuhi ancaman pembalasan yang ditujukan kepada orang Quraisy sebelum itu…..kejayaan pertama Islam sebagai satu badan yang tersusun menjadi seolah-olah satu tanda kemuliaan.

“Justeru itu kaum Arab yang lain, khasnya golongan nomad, pasti menganggap orang Islam sebagai pencabar dan bakal mewarisi kedudukan dan peranan politik kaum Quraisy.

“Pada masa itu, aktiviti utama komuniti Islam adalah menyerang dan berperang, sementara meluaskan pengaruh Islam (dan, kemudian memeluk agama Islam). Pada akhirnya, peperangan ini sampai ke kemuncaknya, namun pula tidak pula berakhir apabila Mekah menyerah kalah.”

(Marshall G S Hodgson, The Venture of Islam: The Classical Age of Islam. Chicago: University of Chicago Press, 1974 atau versi terjemahan oleh Mastuti Haji Isa dan Rosiah Abd  Latiff, Kebangkitan Islam: Jilid 1, Zaman Klasik Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hal. 195).

Jelas Dr Rosli, sebenarnya Tariq bin Ziyad tidak perlu menggunakan cara yang agak merugikan (membakar kapal), semangat pejuang Islam datang ke bumi Sepanyol adalah sangat tinggi.

Mereka datang tanpa paksaan. Mereka datang demi berjuang dan mereka sendiri mencari-cari peluang untuk mati syahid. Satu kelebihan yang tidak terkira besarnya bagi seorang Muslim. Di sinilah sebenarnya tersimpan rahsia kekuatan tentera Islam”. (hal. 29).

Ketiga, Dr Rosli ingin menjawab dakwaan bahawa Islam bukanlah tersebar dengan kekerasan atau menggunakan mata pedang. Ada dua pandangan mengenai keperwiraan Tariq bin Ziyad, pertama, sebagai seorang perwira yang ikhlas dan cekal berjuang; dan kedua, ada tanggapan bahawa Tariq adalah seorang yang tidak bermoral.

Tujuan dikaitkan dengan Tariq ialah sebagai gambaran imej bagi mewakili keseluruhan Islam, di mana tindakan menyerang Sepanyol dilihat sebagai satu bentuk pencerobohan, sehinga ramai penduduk Sepanyol menilainya sebagai tindakan zalim.

Jelas Dr Rosli, pendirian atau persepsi sedemikian bukan sahaja muncul dalam pemikiran orang barat, bahkan dalam kalangan umat Islam sendiri. Ia merupakan sesuatu yang disengajakan oleh barat untuk menggambarkan umat Islam sebagai “rakus, ganas dan tidak berperikemanusiaan.” (hal.30).

Tindakan sedemikian dilihat bertentangan dengan prinsip Islam, walhal jika kita melihat kepada sejarah, tulis Dr Rosli,  ketika itu negara-negara yang muncul bukanlah dalam bentuk yang kita kenali sekarang (sempadan wilayah dan kedaulatan wilayah), tetapi ia merupakan dalam bentuk empayar.

Kata Dr Rosli, sistem antarabangsa yang diterima pada zaman itu ialah sistem empayar. Hal ini bermakna, negara yang kuat akan menyerang negara yang lemah untuk meluaskan kuasa jajahan mereka.

“Pada ketika itu, tidak ada sistem seperti sekarang. Pada zaman kita, semua negara telah sepakat untuk menghormati sempadan negara lain, diperkenalkan sempadan negara masing-masing dan telah ditentukan bahawa setiap negara berdaulat dan berhak untuk tidak diserang.

“Jika diperhatikan dengan teliti, sistem empayar ini diterima pakai oleh masyarakat dunia ketika itu. Cuma, orang-orang yang cuba memburukkan Islam cuba memfokuskan kepada negara Islam sahaja. Padahal, itulah yang dilakukan oleh semua negara pada masa itu. Cuma yang agak menonjol ialah kurun tersebut menyaksikan kuasa Islam menerajui pemerintahan sebagahagian besar muka bumi ini.” (hal. 30-31).

Inilah persoalan ‘perang terminologi’ yang berlaku sehingga membangkitkan persoalan Islamofobia, mereka bimbang Islam kembali membentuk peradabannya yang besar dan mampu meruntuhkan peradaban barat, yakni bagi mengekang proses kebangkitan semula Islam yang mula hadir selepas jatuhnya Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1922.

Semangat Islam kembali memuncak  apabila tersingkirnya kerajaan boneka Amerika Syarikat di Iran pada tahun 1979, iaitu dalam tempoh kurang enam puluh tahun selepas sekularisme berjaya ditegakkan di Turki, sebuah pusat tamadun Islam yang cukup bernilai dan banyak mempengaruhi dunia keintelektualan barat.

Ia juga melambangkan kegagalan barat, dengan kecanggihan teknologi ketenteraan dan pertahanan tidak dapat membantu menyelamatkan kerajaan bonekanya’, hegemoni kuasa polis dunia kepada seruan-seruan keagamaan yang disebarkan menerusi pita rakaman oleh Ayatullah Rahullah Khomeini yang berada dalam buangan sejak November 1964.

Khomeini dibuang negeri  kerana mengkritik Revolusi Putih yang diperkenalkan oleh Shah Reza Pahlavi, sebagai reaksi berdamai dengan tindakan sebelumnya, mengusir dan mengekang ulama. Khomeini menghabiskan masa dalam buangan di Najaf, Irak dan kemudian dipindahkan ke Neauphle-le-Château, Perancis sebaik sahaja Saddam Hussein (1937-2003)  bekuasa (sebagai Presiden Irak ke-9 mulai 16 Julai 1979- 9 April 2003).

Ketika di Najaf, Khomeini lebih banyak memberi ucapan dan syarahan mengenai negara Islam. ucapan-ucapan dan syarahannya dirakamkan dalam bentuk kaset dan disebarkan secara meluas di Iran. Khomeini turut menulis dan  menerbitkan sebuah buku yang berjudul Hokumat-e Islami: Wilayat al-Faqih, yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara berbentuk republiK,  iaitu Republik Islam Iran.

Pada masa yang sama, kebangkitan Islam telah membawa kepada keinginan besar semangat aktivis-aktivis Islam di seluruh dunia yang sangat menakutkan barat sehingga digelar ‘hantu hijau’. (John L Esposito, Ancaman Islam: Mitos atau Realiti?, edisi terjemahan Nor Azita Omar, Kuala Lumpur: ITNM, 2004).

Malaysia tidak terkecuali daripada pengaruh tersebut walaupun pada asasnya, konteks perubahan yang berlaku itu adalah berbeza pada aliran pemikiran, iaitu syiah dan sunni. Tetapi, atas nama kebangkitan Islam, ia dilihat bukan penghalang kerana Islam boleh hadir dalam mana-mana bentuk sistem politik, sama ada monarki mahupun demokrasi.

Hal yang lebih penting ialah sebuah negara Islam perlu ditegakkan dan keseluruhan sistem perundangan perlu ditukar disebabkan amalan undang-undang masih mengekalkan orientasi penjajah (kolonial), yang tidak sesuai dengan syariat.

Islam di Andalusia tegak sebagai sebuah entiti empayar yang cukup berpengaruh bermula semasa runtuhnya Daulah Umayyah di Damsyik, setelah dikalahkan oleh kemunculan sekelompok keluarga yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW, iaitu Bani Abbas.

Salah seorang pewaris Daulah Muawiyyah, Abdul Rahman al-Dakhil (755-788M), cucu kepada khalifah Hisham Abdul Malik (691-743, yang memerintah selama 20 tahun dari tahun 723-743) berjaya melarikan diri daripada serangan puak Abbasiyah merentasi Mesir, Maghribi, Libya dan Tunisia.

Awalnya, Abdul Rahman bersama adiknya, Hisyam terjun ke Sungai Eufrat. Bagaimanapun, adiknya Hisham yang tidak tahu berenang termakan pujukan tentera Abbasiyah kembali ke tebing sungai dan kemudian dibunuh.

Ibu Abdul Rahman berketurunan Barbar, menetap di Qairawan menghantar surat kepada kabilah Barbar di Sepanyol untuk menyingkirkan Yusuf bin Abdul Rahman al-Fihri (711-759), Gabenor Andalusia antara tahun 747-756, selain mengumpul maklumat keperluan untuk hidup di bawah penerus kepimpinan generasi Umawi.

Setelah dua tahun (Dr Raghib as-Sirjani menganggarkan Abdul Rahman bersembunyi selama lima tahun di Burqah, Libya, dalam Bangkit dan Runtuhnya Andalusia: Jejak Kejayaan Peradaban Islam di Sepanyol, edisi terjemahan Muhammad Ihsan dan Abdul Rasyid Siddiq, Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2013, hal.156) berusaha secara senyap, Abdul Rahman meninggalkan Afrika dan belayar ke Sepanyol untuk mengumpulkan kekuatan dalam kalangan orang Barbar dan kabilah-kabilah yang singkirkan oleh Yusuf al-Fihri. (hal.71).

Setibanya di Sevilla, Abdul Rahman membuat pakatan dengan orang Arab (Yaman) dan kemudian memasuki Cardoba, menyerang wilayah kekuasaan Yusuf al-Fihri.

Sebelum melakukan serangan, Abdul Rahman menawarkan pelan peralihan kuasa tetapi ditolak oleh Yusuf al-Fihri, akhirnya tercetus Perang al-Musarah (Mac 756). Yusuf dapat dikalahkan dan Abdul Rahman dilantik sebagai amir pertama di Cordoba, dengan memakai jolokan ad-Dakhil (yang masuk) di akhir namanya. Beliau juga dikenali sebagai Abdul Rahman I (nama sebenar ialah Abdul Rahman bin Muawiyah).

Abdul Rahman berkuasa selama 34 tahun dan berhadapan dengan 25 kali pemberontakan dalaman. Dalam tempoh pemerintahannya, Abdul Rahman berjaya menyelamatkan Sepanyol daripada pentadbiran Kristian (sebelumnya, empayar Islam diperintah menerusi sistem gabenor), selain menyatukan orang-orang Islam Sepanyol yang beraneka keturunan, kabilah dan etnik serta berjaya menggantikan pemimpin kabilah yang tidak berwibawa untuk membawa kemenangan kepada Islam.

Etnik-etnik yang pernah disingkirkan, direkrut oleh Abdul Rahman sebagai tentera, sehingga mereka berasa bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kestabilan pemerintahan Islam di Sepanyol. Abdul Rahman juga mengambil anak-anak keturunan Eropah yang terbiar dan dididik sempurna berdasarkan pendidikan Islam.

Selepas kematiannya, warisan kepimpinan empayar Umayyah di Sepanyol digantikan oleh Hisyam Abdul Rahman (Hisyam al-Reda, Hisyam 1, 757-796). Hisyam dan bapanya, Abdul Rahman dilihat sebagai dua orang pemimpin yang adil dan cekap.

Selepas kematian Hisyam, diganti pula oleh al-Hakam bin Hisyam (al-Hakam 1, Al-Hakam Ibn Hisham Ibn Abdul Rahman, 770-822), Empayar Muawiyah mula mengalami keadaan tidak stabil disebabkan sikap dan pembawaan al-Hakam yang bengis dan menentang setiap pemberontakan secara keras, termasuk membakar rumah dan menghalau pemberontak keluar daripada Sepanyol (termasuk kabilah Rabadh). Al-Hakam juga mengenakan cukai yang tinggi ke atas para peniaga.

Walaupun bengis, al-Hakam tidak meninggalkan jihad, namun beberapa buah bandar mulai jatuh ke tangan tentera Kristian, seperti Barcelona sehingga berdirinya Kerajaan Aragon, bersempadan dengan Perancis. Pembentukan kerajaan Aragon telah membuka peluang kepada tentera Kristian untuk bertindak balas dan menyerang Empayar Muawiyah, sehingga akhirnya kekuatan Islam mulai menunjukkan tanda keruntuhannya.

Islam di Sepanyol lenyap selepas berkuasa selama hampir 800 tahun (711-1491) bermula dengan era pemerintahan berbentuk wakil kerajaan (gabenor antara 711-756), monarki Umayyah (khalifah antara 756-1085, Umawi dan Amiriah), kerajaan wilayah kecil (22 buah kerajaan), kejatuhan Zaragosa (1085), kerajaan Muhabittun (1086-1142), kerajaan Muhawhiddun (1144-1209), kejatuhan Cordoba (1070), Savilla (1246) dan akhirnya Granada (1491).

Empayar Islam di Sepanyol akhirnya berjaya  dilenyapkan secara perlahan-lahan mulai bulan Oktober 1491 apabila Abu Qasim Abdul Malik menemui Raja Fernando bersama isterinya, Isabella untuk menyerahkan Granada kepada pihak Kristian. Ia dimaktubkan menerusi satu perjanjian yang ditandatangani pada 15 November 1491.

Keputusan tersebut, menurut Dr Rosli: “…meletakkan mereka sebagai pengkhianat dalam lembaran sejarah dunia. Alangkah baiknya, jika mereka memilih untuk berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Nescaya nama mereka akan terulis dalam sejarah dengan tinta emas yang tidak akan padam.” (hal.252).

Sebuah penulisan yang menarik, bahasanya cukup mudah dan ringkas. Namun, hasil yang melekat dalam minda saya ketika membaca buku ini, tetap menunjukkan kekentalan semangat wira-wira Islam yang meletakkan keyakinan bahawa perjuangan mereka adalah ‘untuk selamatkan manusia daripada kezaliman dan kesesatan’ dan ini telah dibuktikan dengan asas yang diletakkan oleh Abdul Rahman ad-Dakhil, ketika berjaya membuka ruang kemunculan empayar Islam di Andalusia.

Malangnya, semangat dan kekuatan dari dalam itu tidak begitu kuat setelah empayar Islam menjadi semakin besar, berkuasa dan berpengaruh, gelagat pemimpinnya terlupa makna jihad dan makna pemerintahan Islam.

Berlaku perebutan kuasa, ketidakadilan dalam pemerintahan dan membuat keputusan, selain terpengaruh dengan provokasi pihak lawan sehingga ‘termakan bujukan’. Inilah punca kelemahan dalaman mana-mana pewaris takhta yang meneruskan legasi keluarga, sampai pada satu tahap lupa kepada matlamat perjuangan dan hilang jatidiri.

Semua perlakuan dan perspektif pemimpin dapat kita telusuri daripada sejarah, dan Dr Rosli Mokhtar berjaya melakukan analisis tersebut dalam Seteguh Tembok Andalusia daripada asal pembinaan, kemuncak dan kejatuhannya, yang akhirnya menyebabkan tembok itu   terburai dan runtuh,  atas sebab semangat yang kerdil dan menipis bagi mempertahankan Islam.

Sebuah bacaan menarik dan cukup santai tetapi amat bermaklumat. Namun, yang lebih menarik ialah untuk memahami dan mengetahui bahawa kebangkitan, kejayaan dan keruntuhan sesebuah peradaban sangat kuat bergantung kepada sumbangan dan peranan pemimpin, kerana itulah munculnya sebuah peribahasa, ikan membusuk bermula dari kepala.

KAMARUN KH

 

Translate »