“Demikian pula Kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan (wasathan) yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian” (al-Baqarah:143)

Realitinya sepanjang sejarah dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan pelampau agama. Malah akan wujud dalam sesuatu agama golongan pelampau seperti golongan Khawarij yang terkeluar daripada landasan ajaran Islam sebenar.

Memetik Kalam Syeikh Al-Azhar,”Janganlah bergaduh sesama sendiri,janganlah mengkafirkan pihak lain,satu golongan kata saya betul dan anda sesat supaya darah anda halal. Punca umat Islam berbunuhan adalah kerana kejahilan dalam memahami Islam yang sebenar”

Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan. Agama tidak akan aman sama sekali daripada pelampau dan penindasan segolongan daripada masyarakatnya. Bahkan setiap umat dalam menegakkan seruan akidah sentiasa berhadapan dengan golongan Khawarij serta mereka yang memesongkan agama.

Pelampau agama ini dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar.

Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstremis,jumud dalam pemahaman terhadap agama.

Secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam serta keagungannya. Mereka menokok tambah ajaran agama mengikut kefahaman mereka atau selera nafsu mereka dan sambil mendakwa masih terdapat kekurangan dalam agama Islam. Seolah-olah Rasulullah s.a.w menyampaikan satu risalah yang tidak sempurna. Kononnya kedatangan puak pelampau ini adalah untuk menyempurnakan kekurangan yang ada dalam agama Islam selama ini.

Golongan pelampau agama berpendapat bahawa di dalam masyarakat Islam kini adalah era manusia semuanya kufur melainkan puak mereka yang benar dan beriman.. Sedangkan pada hakikatnya ciri orang Islam sudah diketahui umum. Seseorang Islam itu ialah orang yang mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah. Mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi sesiapa yang berkemampuan.Mereka dengan mudah menolak keislaman sebahagian umat.

Ekstremisme di kalangan orang Islam bukanlah disebabkan agama itu sendiri, melainkan disebabkan oleh eksploitasi politik atas simbol-simbol Islam serta krisis sosial-ekonomi-politik yang dialami masyarakat Islam. Krisis tersebut telah mendorong lahirnya kelompok-kelompok Islam tertentu yang cuba mentafsirkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan peristiwa keganasan secara literal dan sejarah.

Bagi golongan ini jihad menurutnya, tidak memiliki dasar, baik dalam teks al-Quran mahupun teologi Islam, sebaliknya ditekankan pembawaan konsep jihad disebabkan konflik sosial dan politik.

Kelompok-kelompok yang lebih militan ini menyakini perbuatan ini direstui Allah s.w.t. dengan merujuk kepada nas-nas al-Quran yang menghalalkan perbuatannya atau mendukung orientasi teologi tidak bertoleransi dan sifat eksklusif mereka sendiri. Misalnya mereka kerap mengutip ayat al-Quran yang bermaksud:

Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpinmu; sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, sesungguhnya orang ini termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ma’idah ayat 51)

Kumpulan militan memahami ayat tersebut dan ayat-ayat sejenisnya secara harfiah sehingga mereka memperoleh kesimpulan yang sangat eksklusif.

Mereka juga kerap mengungkapkan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) darinya, dan dia di akhirat akan termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran ayat 85)

Ayat ini diungkapkan untuk mendukung pendapat bahawa teologi dan ritual Islam adalah satu-satunya jalan menuju keamanan. Lebih daripada itu, pengakuan keimanan semata-mata atau sekadar melakukan kepatuhan kepada Tuhan secara umum tidaklah cukup untuk mendapatkan keselamatan di akhirat, tetapi seseorang harus tunduk patuh pada hukum Tuhan agar dapat digolongkan sebagai penganut Islam `sejati’. Oleh kerana itu, gerakan militan dengan keras menolak semua bentuk kepercayaan dan ritual yang tidak dapat digolongkan sebagai agama Tuhan yang sejati.

Mengenai prinsip-prinsip yang harus digunakan dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, doktrin militan mengutip ayat al-Quran yang memerintahkan kaum Islam untuk memerangi kaum kafir, hingga tidak ada kekacauan dan penindasan, dan hingga agama itu semata-mata untuk Allah. (Surah al-Anfal ayat 39)

Selain itu, untuk membenarkan pandangan yang menyatakan adanya supremasi terhadap bukan Islam, para pendukung militan ini sering mengutip perintah al-Quran: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman pada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sampai mereka membayar pajak (jizyah) dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. (Surah At-Taubah ayat 29).

Al-Quran terus-menerus memerintahkan kepada orang Islam untuk menganjurkan kebaikan. Kata yang digunakan untuk `kebaikan’ adalah makruf, yang bererti sesuatu yang secara umum dianggap baik.

Gagasan bahawa kaum Muslim harus menjadi penegak keadilan meskipun bertentangan dengan kepentingan peribadi mereka, berdasar pada pandangan bahawa manusia mampu menjadi pelaksana moral yang tinggi. Melalui pelaksanaan moral, umat Islam diharapkan mencapai tingkat kesedaran moral yang akan mereka bawa pada hubungan mereka dengan Tuhan.

Wacana al-Quran, misalnya dengan mudah dapat mendukung etika perbezaan dan toleransi. Al-Quran tidak hanya mengharapkan tetapi juga menerima kenyataan perbezaan dan keragaman dalam masyarakat manusia:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Al-Quran sendiri sangat jelas melarang setiap bentuk pemaksaan dalam memasuki Islam. Al-Quran menyatakan bahawa kebenaran dan kesesatan adalah jelas dan nyata sehingga siapa pun yang ingin beriman akan beriman, tetapi tidak ada paksaan dalam agama: Tidak ada paksaan dalam persoalan iman. (Al-Baqarah ayat 256; Yunus ayat 99; Al-Kahfi ayat 29)

Menariknya, tradisi Islam tidak mempunyai pandangan mengenai perang suci. Jihad ertinya hanya berjuang untuk mencari keadilan, dan menurut Nabi Muhammad s.a.w., jihad paling utama adalah perjuangan yang dilakukan seseorang untuk membersihkan hawa nafsu dari hatinya. Perang suci (al-harb al-Muqaddasah) bukan istilah yang digunakan oleh teks al-Quran.

Dalam teologi Islam, perang tidak pernah suci, baik sah mahupun tidak. Teks al-Quran tidak mengenal gagasan perang tak terbatas dan tidak mempertimbangkan adanya fakta sederhana tentang identiti Islam yang agresif dalam menegakkan keadilannya sendiri. Dengan kata lain, al-Quran mempertimbangkan adanya kemungkinan bahawa perajurit Islam boleh jadi merupakan kelompok yang bersalah dalam konflik yang sedang terjadi.

Lebih daripada itu, meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas (Al-Baqarah ayat 190 dan Al-Ma’idah ayat 2).

Keikhlasan menjadi landasan untuk menghilangkan kepentingan diri sendiri dan kelompok. Tanpa keikhlasan maka apa yang menjadi gerak dan orientasi tujuan dan cita-cita akan menjadi pupus dan tidak bererti di mata Yang Maha Mengetahui.

Masyarakat Islam pada permulaan zaman Nabi s.a.w. dan ketika penurunan wahyu telah menyaksikan segolongan orang munafik, yang mengatakan kepada Rasulullah s.a.w: “Kami bersaksi bahawa engkau adalah Rasul Allah. Maka Allah s.w.t. mencela mereka terhadap apa yang tersirat di hati mereka melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta”.(maksud Al-Quran surah al-Munafiqun 63:1)

Ada di kalangan sesetengah sahabat Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada Baginda untuk membunuh salah seorang munafik. Namun Rasulullah s.a.w. menjawab: “Itulah satu golongan yang Allah mencegah aku membunuh mereka”.

Benar, selagi mereka mengucap syahadah iaitu tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, darah dan harta mereka terpelihara. Mereka berhak mendapat segala hak warga Islam di dalam negara Islam. Demikian nabi mencontohi umatnya.

Dan yang nyata cara dan sifat melampau golongan ini ialah  metod luaran dalam mentafsirkan nas-nas – sandarannya bergantung kepada ambilan ayat dan hadis tertentu serta berpegang semata-mata kepada makna zahirnya, tanpa melihat kepada objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan syariah. Mereka tidak menekan tentang amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan kolektif. Bahkan tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun mengenali asas pencarian dalil dari aspek bahasa dan hukum fiqh, dan juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian berdasarkan kepada sebabnya dengan puncanya.

Sebenarnya dari aspek pelampau agama, asal individu itu bermula sebagai seorang yang teguh berpegang dengan agama seperti lazimnya. Mendidik jiwanya dengan ajaran Islam, prinsip dan tatasusilanya serta menyeru manusia supaya menghayati Islam. Cara sedemikian diterima oleh masyarakat dan digalakkan. Namun kemudian mereka menjadi taksub dan akhirnya perjalanannya menuju ke arah mengekstrem kan dirinya dan masyarakat dalam hal berkaitan agama. Kemudian dia semakin berlebih-lebihan hingga tanpa ragu-ragu mengeluarkan hukum mensabitkan kesalahan terhadap orang yang tidak sealiran dengan pegangannya. Kadangkala dia berpendirian melampau dengan sebab berpegang teguh dengan anggapan bahawa masyarakat dan kerajaan tidak benar tidak melaksanakn hukum Islam yang sebenar.

Biasanya pendirian ini berpunca daripada tindakan pengasingan dan memencilkan diri yang diasaskan daripada hukuman individu terhadap masyarakat yang dianggap kufur atau murtad atau telah kembali kepada jahiliah. Susulan daripada tindakan memencilkan diri, golongan ini bertukar kepada pendirian yang negatif lagi bersifat permusuhan. Golongan pelampau ini berpendapat bahawa meruntuhkan institusi masyarakat yang dianggap kafir adalah satu jalan taqarrub kepada Allah s.w.t. kerana masyarakat tersebut dianggap masyarakat jahiliah yang terpesong dan tidak melaksanakan hukuman yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan `amar makruf ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.

Tidak ada cara lain, bagi merubah perangai dan pemikiran pelampau agama seseorang perlu dilakukan dengan cara mendidik dan sistem pendidikan yang betul. Kurikulum yang tidak sesuai dengan keperluan semasa perlu ditukar. Perkara yang lebih penting lagi dengan memberi kefahaman dan pentafsiran yang betul mengenai Islam dan ajaran-ajarannya.

Bukan dengan pelajaran yang menggalakkan pelajar untuk bertindak ganas dan menyuburkan bibit-bibit kebencian kepada agama lain yang seterusnya akan mencetuskan keganasan di kemudian hari. Sebaliknya, perlu dirumuskan sistem pendidikan agama dan kurikulum pelajaran yang memberi penghormatan kepada kesedaran pluralisme agama di negara yang berbilang kaum dan agama seperti di negara kita ini.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »