Secara etimologi, kata-kata iman, amanah dan aman, berasal dari akar kata yang sama, iaitu ‘hamzah, mim’, dan ‘nun’ yang memiliki makna asal ‘aman / sejahtera’, ‘tenteram’, ‘tidak merasa takut’. (lih. al-Mu’jam al-Araby al-Asasy, hlm 109.) Hakikat maknanya pun saling berkait erat. Iman tidak terwujud sempurna kalau tidak ada amanah, begitu juga sebaliknya. Rasa aman / sejahtera dan ketenangan pun tidak akan terwujud jika tidak ada iman dan amanah. Makna secara logiknya, seseorang mukmin yang tidak amanah perlu dicurigai kesahihan imannya, demikian juga seseorang yang amanah tetapi tidak beriman, amanahnya adalah palsu yang didasari atas kepentingan peribadi, politik, atau kelompoknya.
Pada amnya, iman sekadar difahami sebagai “sikap percaya”; dalam hal ini khususnya percaya kepada Rukun Iman yang enam kerana sikap itulah yang akan melandasi tindakan seorang. Namun, apabila difahami lebih mendalam, iman tidak cukup hanya dengan sikap batin yang hanya percaya atau mempercayai sesuatu, tetapi menuntut perwujudan lahiriah dalam tindakan.
Dalam pengertian inilah kita memahami sabda Nabi s.a.w bahawa iman mempunyai lebih daripada 70 tingkatan, yang paling tinggi ialah ucapan Lailahailallah (tiada Tuhan selain Allah) dan yang paling rendah adalah membuang duri (yang ada) di jalan. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, “Demi Allah, ia tidak beriman! Demi Allah, ia tidak beriman!” Lalu orang bertanya, “Siapa, wahai Rasul Allah?” Baginda menjawab, “Orang yang tetangganya tidak merasa aman daripada kelakuan buruknya.” Lalu orang bertanya lagi, “Tingkah laku buruknya apa?” Baginda menjawab: “Sikapnya yang menyakitkan.” Berdasarkan hakikat tersebut, maka sesungguhnya makna iman dapat bererti sejajar dengan kebaikan atau perbuatan baik dalam dimensi vertikal (hablun minallah) dan horizontal (hablun minannas). Seperti penjelasan Allah s.w.t tentang makna al-birr dalam surah al-Baqarah, ayat 177. Oleh kerana itu, dapat difahami: “Tiada iman tanpa takwa, kepatuhan pada Tuhan di mana pun dan bila-bila pun. Dan takwa itulah, bukti intipati keimanan kita.”
Dengan demikian, jangan sedikitpun kita merasa ragu akan iman kita itu. Keraguan akan membawa kepada sikap dan tindakan yang menyimpang daripada keimanan tersebut. Di dalam bahasa Jawa, iman itu harus madep, mantep dan mancep. Madep maknanya seluruh hati dan perasaan kita perlu dihadapkan hanya kepada Allah s.w.t, jangan berpaling sedikit pun. Mantep maknanya iman harus ditujukan semata-mata kepada Allah s.w.t, jangan sampai berbelok sedikit pun. Mancep maknanya iman harus ditanamkan sedalam-dalamnya kepada Allah s.w.t. Ibarat akar tunjang yang menghunjam ke dalam tanah sehingga dapat menyangga kehidupan pohon tersebut. Kita semua telah memperoleh hidayah iman daripada Allah s.w.t. Maka, sudah semestinya jika iman tersebut dipelihara dengan sedaya upaya. Kita singkirkan semua keraguan. Kita singkirkan semua yang menyebabkan munculnya keraguan akan keimanan tersebut. Hanya orang yang tanpa keraguan akan melakukan amalan agama dengan bersungguh-sungguh.
Kekuatan iman sebagaimana disebutkan di atas akan melahirkan sikap amanah, Tidak sempurna iman seseorang yang tidak memegang amanah. Amanah merupakan perasaan hati sanubari yang hidup, yang mendorong manusia untuk menunaikan hak-hak Allah s.w.t dan hak-hak manusia serta melindungi semua amal perbuatan daripada penyakit ifrath (berlebihan) dan tafrith (pengabaian). manah merupakan suatu keperluan di dalam kehidupan ini.
Kepemimpinan dalam semua tingkatannya adalah tugas berat. Semakin tinggi tingkatan dan jawatan yang dipimpin, maka semakin besar tanggungjawab yang perlu dipikul. Maka, hanya orang yang amanahl mampu melaksanakan kepemimpinan secara penuh tanggungjawab, kerana ia menyedari bahawa kepemimpinan adalah taklif (beban berat) dan bukan tasyrif (kehormatan). Orang yang berprinsip demikian tidak merasa bangga apabila diberi jawatan ataupun bersedih ketika diturunkan daripada jawatannya. Ia tahu bahawa jawatan atau kepemimpinan adalah beban atau tanggungjawab yang harus dipikulnya, bukan peluang untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya.
Semakin tinggi kadar keimanan seseorang, maka semakin besar sifat amanahnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Dan, pada gilirannya akan semakin besar pula pengaruhnya dalam menciptakan keamanan dan ketenteraman orang bawahan atau rakyat yang dipimpinnya. Orang yang amanah adalah pembawa keamanan dan penebar kebajikan serta kedamaian bagi setiap individu dan masyarakat. Ia berusaha mengajak manusia kepada petunjuk Allah s.w.t dan perbaikan umat, serta membimbing ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.
Di mana-mana pun, apabila majoriti penduduk dan pemimpinnya amanah, tidak akan ada pemerkosaan hak, kezaliman, manipulasi, kolusi, korupsi, intimidasi, dan tindakan-tindakan lain yang menentang hukum Allah s.w.t. Keamanan / keselamatan, ketenangan, dan ketenteraman sentiasa lahir bersama amanah dan keimanan. Rasa takut dan kegelisahan muncul akibat khianat dan kufur nikmat. Rasa aman / selamat itu adalah nikmat dan rasa takut adalah musibah. Pokok pangkal kenikmatan manusia terdapat pada rasa aman dan kelapangan hidup. Sedangkan pokok pangkal malapetaka terdapat pada rasa takut dan kesempitan hidup. Apabila iman dan amanah ada dalam diri para pemimpin bererti umat manusia akan hidup selesa dan sejahtera. InsyaAllah.
Oleh : H. JOHARI
DRS. H. JOHARI ialah adalah Pensyarah di Fakulti Syariah, Universiti Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Pekanbaru, Indonesia
Recent Comments