Sifat Allah s.w.t. berbeza dengan sifat manusia, tidak dapat menyamai kualiti dan hakikat sifat Allah s.w.t. Jika dikatakan bahawa manusia boleh melihat dan mendengar, maka sifat itu hanya penyebutan secara lahiriah “majazi” atau kiasan. Adapun sifat melihat dan mendengar dalam zat Allah s.w.t. juga lebih sempurna. Begitu juga dengan sifat-sifat lainnya, sepertimana untuk membezakan-Nya dengan sifat makhluk, diberi predikat, Maha Besar dan lain-lain yang banyak disebutkan di dalam al-Quran.

Secara sempurna sifat-sifat Allah terkumpul dalam keseluruhan nama-nama yang disebut “al-Asma al-Husna” nama-nama baik sebanyak 99. Kalau kita huraikan semua al-Asma al-Husna bererti Allah mempunyai seluruh kelayakan. Maka hayatilah Allah dengan seluruh kelayakan-Nya itu dan rasakan di dalam hati.

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

“Berakhlak kamu dengan akhlak Allah, iaitu sifat yang mahmudah sahaja.”

Adapun sifat seperti “ kibriyaa” takabur atau “azamah” kemegahan yang khusus bagi-Nya amatlah dilarang dan dimurkai-Nya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Sifat kibriyaa adalah pakaian-Ku dan sifat azamah adalah selendang-Ku. Siapa yang cuba merebut kedua-dua sifat tersebut daripada-Ku akan Aku humban ke dalam neraka-Ku.”

Hadis tersebut bermaksud ialah meniru sifat-sifat Allah yang dibenarkan sahaja dan layak dengan manusia untuk dihayati di dalam hidup kita. Al-Quran juga secara khusus menyuruh kita menyeru Allah dengan al-Asma al-Husna-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Allah mempunyai nama-nama baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan meyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya.”

(Surah al-Araaf: 180)

Dan kalau kita mengalami kesulitan untuk menghayati keseluruhan sifat Allah, maka pilih satu saja sifat Allah dengan tanpa risiko terlalu besar iaitu sifat rahmat.Tirulah rahmat Allah s.w.t. Nabi s.a.w. menyebut:

“Orang yang menunjukkan cinta kasih kepada sesamanya itu akan dicintai oleh Dia Yang Maha Kasih. Cintailah mereka yang dibumi, maka Allah yang di langit akan mencintai kamu.”

(Riwayat Tirmizi)

Kita perhatikan ayat-ayat al-Quran mengenai sifat-sifat Allah yang diungkapkan dalam nama-nama Allah. Makna Al-Rahman adalah nama Allah yang paling banyak disebut. Sesudah Al-Rahman adalah Al-Rahim. Jika dibuat daftar, maka kebanyakan nama Allah mengungkapkan kasih sayang-Nya.

Sebagai contoh nama-nama Allah yang menunjukkan kasih sayang-Nya adalah Al-Wahhab senang memberikan anugerah, Al-Tawwab senang menyambut orang-orang kembali kepada-Nya. Sifat Jalaliyah atau agung iaitu nama yang menunjukkan keagungan Allah hanya sedikit seperti kata Al-Kabir (Maha Besar), Al-Mutakabbir (Maha Besar), Al-Jabbar (Maha Kuat), dan Al-Qahhar (Maha Kuasa atau Perkasa).

Semua nama-nama Allah ini bagi menunjukkan kebenaran-Nya, Keagungan-Nya, Maha Perkasa-Nya dan Kekuatan-Nya untuk memaksa kita.

Tetapi di sisi lain sifat Allah juga serba lunak dan lembut, misalnya Wadud (santun), Al-Qhafur (pengampunan) dan seterusnya. Mengapa ada sifat yang bertentangan seperti itu? Kerana Allah adalah zat Yang Maha Tinggi yang tidak dapat digambarkan.

Gambaran apa pun pasti kurang.Kalau gambaran kita tentang Tuhan hanya sebatas zat Yang Maha Pengampun dan Penyayang sahaja, maka ia berbahaya. Kita akan menganggap Tuhan tiada keistimewaan tertinggi tetapi hanya biasa saja. Kemudian kita menjadi tidak tentu hala. Kita akan mengalami kerapuhan moral. Kerana kita beranggapan bahawa apa pun yang kita lakukan pasti akan diampuni oleh Allah. Tetapi sebaliknya, kalau kita menghayati Tuhan hanya sebagai zat yang serba keras: Jabbar, Mutakabbar, Qahhar, dan Dzuntiqam, maka kita akan kehilangan harapan kepada Allah. Itu pun suatu malapetaka kerohanian.

Perkara yang menarik di dalam Al-Quran ialah jumlah Asma Allah yang menunjukkan dimensi Jamaliyah- keindahan-Nya lebih banyak daripada jumlah Asma Allah yang menunjukkan sisi Jalaliyah. Menurut sebahagian ahli sufi, ini menunjukkan kasih sayang Allah jauh lebih besar daripada kemurkaan-Nya, Allah lebih cepat redha-Nya, daripada murka-Nya.

Walau bagaimana keras dan tegas sekalipun sifatnya seperti Jalal, Qahhar dan Muntaqim, ia tidak akan keluar dari batas keadilan-Nya yang Mutlak kerana mustahil Allah bertindak dengan zalim, jahat dan sebagainya.

Siapa yang mengatakan Allah zalim atau jahat, hukumnya adalah haram, ia dianggap fasiq dan mubtadiah (sila merujuk mengenal ayat mutasyabihat dalam kitab akidah)

Salah seorang sufi menggambarkan keluasan kasih sayang Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan – perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha mengasihi.”

(Surah al-Zumar: 53)

Syeikh Yahya Muniri memetik ayat ini untuk menunjukkan kasih sayang Allah yang luar biasa. Kerana Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang keterlaluan dalam berbuat dosa (yang berlebih-lebih menganiayai diri mereka sendiri).”

Selanjutnya Yahya Muniri berkata: “Lihatlah Tuhan tidak berkata, Hai hamba-hamba-Ku yang taat. Tuhan juga tidak berkata, Hai hamba-hamba-Ku yang bertaubat. Atau hai hamba-hamba-Ku yang takwa. Tetapi Tuhan memanggil, hai hamba-hamba-Ku yang melewati batas, yang keterlaluan dalam berbuat dosa.”

Allah s.w.t. memanggil para pendosa dengan panggilan yang sangat mesra:

“Ya ibadi, wahai hamba-hamba-Ku! Tuhan masih berkenan memanggil orang-orang yang berbuat dosa. Salah satu nama Tuhan adalah al-Shabur- Yang Paling Sabar meskipun ditentang dan dimaksiati. Dia tetap memanggil dengan panggilannya ibadi- wahai hamba-hamba-Ku.”

Oleh : Muhammad Qasim

Translate »