Perjalanan mengerjakan ibadat haji dan umrah ibarat ‘sebuah perjuangan’ yang mencabar setiap orang, apatah lagi dalam kalangan mereka yang berusia. Itulah catatan Ayob Mamat dalam Travelog Haramain (Kuala Terengganu: Glokal Media Enterprise, September 2021) yang cukup menarik untuk dijadikan panduan atau pedoman bagi bakal jemaah haji atau umrah, dan mereka yang pernah ke Mekah dan Madinah, sebagai Tetamu Allah SWT. .
Ayob Mamat, bekas Presiden Kelab Wartawan Terengganu yang cukup berpengalaman dalam bidang penulisan dan kewartawanan menceritakan sebahagian daripada rentetan peristiwa semasa bertugas sebagai salah seorang Urusetia Program Khas Haji (PKH) oleh Tabung Haji (TH) tahun 2016 dan pembantu mutawwif atau group leader bagi In Safa Travel and Tours (2019).
Menariknya, ketika terpilih sebagai urusetia PKH, Ayob belum pernah menjejakikan kaki di kedua-dua buah kota suci umat Islam itu yang juga dikenali dengan panggilan al-Haramain, manakala semasa menjadi pembantu mutawwif, ia merupakan kali ketiga beliau mengerjakan umrah. Tentunya, pengalaman-pengalaman sebelumnya cukup menarik untuk dikongsikan terutama bagi mereka yang pertama kali atau bakal jemaah haji dan umrah.
Saya cukup terkesan apabila membaca pengalaman yang dikongsikan oleh Ayob Mamat terutama rumusannya yang sangat menarik, iaitu perjalanan mengerjakan haji atau umrah adalah ‘perjalanan dalam sebuah perjuangan’ (hal. 402); kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang Allah SWT berhasrat menguji kita dalam ‘hidup’ kerana ia merupakan sebahagian kebenaran terhadap ‘kehidupan di akhirat’.
Seperti kata Imam al-Ghazali, kehidupan di dunia ibarat ladang. Ketika hidup kita akan ‘menanam pokok-pokok’ dan di akhirat kita akan mendapatkan hasilnya apabila pokok yang kita tanam, jaga, siram dan belainya menghasilkan buah. Buah yang dihasilkan itu cukup memberikan makna apakah ia akan hadir sebagai buah yang cukup manis, elok, bersari dan lazat untuk dimakan atau di sebaliknya.
Begitu juga ketika kita hidup, pengajaran pertama yang disematkan dalam minda kita ialah mengenai ‘kepercayaan dan keyakinan’. Kebiasaannya, sesuatu yang kita ‘percaya dan yakin’ akan mendorong kita untuk melihat, mencari dan jika boleh mendekatinya tanpa ada rasa untuk berpamitan (berpisah). Seperti kata Imam al-Ghazali: kita mencintai seseorang atau objek yang kita cintai, cinta itu hadir apabila ‘mencintai apa yang kita kenal’.
Terdapat tiga ‘objek’ yang dikenal manusia: (1) objek yang sesuai dan seirama dengan naluri kemanusiaan, yang boleh menimbulkan perasaan puas dan nikmat; (2) objek yang bertentangan dan berlawanan dengannaluri kemanusiaan, perasaan sedih dan sakit; dan, (3) objel yang tidak menimbulkan apa-apa terhadap naluri kemanusiaannya, tiada nikmat dan kesakitan yang terasa.
Prinsip kedua ‘cinta’ ialah mengenal ragam cinta. Kerana cinta muncul terlebih dahulu dari mengenal dan mengetahui, menjadikan cinta memiliki pelbagai ragam sesuai dengan objek yang dikenal dan diketahuinya oleh indera yang ada. Dan, Prinsip Ketiga, mengenali untuk siapa cinta itu diberikan, termasuk dirinya sendiri kerana jika cinta itu diberikan kepada orang lain, itu pun demi dirinya. (Imam al-Ghazali, Rindu Tanpa Akhir: Metode Mendidik Jiwa Agar Cinta, Rida dan Damai Bersama Allah, terjemahan dari al-Mahabbah wa al-Syawa wa al-Uns wa al-Ridha, oleh Asy’ari Khatib, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2007, hal. 20-24)
Begitulah perasaan dan harapan setiap orang yang pernah menjejakkan kakinya di dua kota suci: Mekah dan Madinah. Sayu dan sedih untuk meninggalkannya, dan didalam hari terus berazam: Ya Allah!, berikanlah aku rezeki untuk mengunjungi rumah-Mu selagi hayat dikandung badan. Ya Rasulullah!, walaupun hanya menatapi ruang maqammu, aku terasa tidak sanggup meninggalkanmu. Aku akan datang lagi, dan jangan jadikan kunjungan ini sebagai yang terakhir buat diriku.
Mekah merupakan ‘kota taubat’ atau membersihkan dosa-dosa silam, kerana setiap daripada kita ‘sangat berdosa’ kepada Pencipta, Pesuruh-Nya, ahli keluarga, sahabat handai dan juga kepada alam persekitaran.
Kita berdosa kepada Pencipta kerana banyak kali kita lalai dan terlupa, bahawa kita adalah hamba-Nya. Sebagai hamba, kita perlu taat dan mematuhi apa yang diarahkan untuk dilaksanakan dan meninggalkan larangan-Nya, yang dikenali sebagai Amar Makruf Nahi Mungkar.
Maka, sepanjang berada di Mekah kita disarankan berdoalah sebanyak-banyaknya agar Allah SWT mengampunkan kesalahan-kesalahan atau kelalaian dalam melaksanakan suruhan dan larangan-Nya. Bukan bermakna pintu taubat tidak terbuka untuk kita jika tidak berdoa di kota Mekah, khususnya semasa mengerjakan ibadat haji dan umrah. Pintu taubat ‘sentiasa terbuka’ walaupun di mana kita berada, dengan syarat kita benar-benar berusaha untuk menjadi lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan.
Namun, mengerjakan ibadat haji dan umrah cukup menyedarkan kita bahawa ‘merendah diri’ adalah suatu perilaku yang sangat dituntut oleh Islam, setiap manusia adalah sama di sisi Allah SWT kecuali tahap keimanan dan ketaqwaan itu yang sangat berbeza. Ia dapat dilihat daripada prasyarat ketika melakukan tawaf, sae’I (tawaf wajib dan tawaf Wada’) dan wukuf di Arafah.
Ketika melakukan tawaf atau wukuf, setiap orang akan berpakaian yang sama, dua helai kain tanpa dijahit bagi lelaki manakala bagi perempuan ialah telekung labuh yang menutupi aurat. Ini menggambarkan bahawa Islam sangat tidak memandang darjat dan keturunan, yang dijadikan asas kepada ‘kehambaan’ itu ialah mentaati suruhan dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang boleh menjurus kepada perlakuan buruk. Ia adalah petunjuk keimanan seseorang. tahap penilaian tertinggi martabat seseorang hamba di sisi Allah SWT.
Seperti dicatatkan oleh Ayob Mamat, ‘perjalanan dalam sebuah perjuangan’ itu sangat menuntut kita agar sentiasa bersabar pada yang cukup tahap tinggi. Sepanjang mengerjakan ibadat tersebut banyak perkara aneh atau di luar dugaan akan berlaku dan kerana itu, setiap jemaah diharapkan dapat menjaga tatasusila sama ada dalam bentuk perilaku, ucapan (percakapan) dan juga keyakinan atau kepercayaan diri. Kadangkala lojik akal tidak membantu kerana lojik akal manusia adalah terhad kepada apa yang dapat dicerap oleh inderanya.
Banyak perkara yang berlaku tanpa kita duga, termasuk ketika melakukan tawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi Baitullah (Rumah Allah), sae’i, melontar, bermalam di Mina dan wukuf di Arafah.
Bagi jemaah haji, melontar, bermalam di Mina dan wukuf di Arafah misalnya merupakan syarat-syarat wajib untuk mendapatkan haji yang sah atau sempurna. Ia berbeza dengan jemaah umrah, mereka tidak disyaratkan untuk melakukannya, kecuali tawaf di Baitullah dan sae’i antara Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Tawaf qudum atau tawaf rukun adalah sebanyak tujuh keliling Baitullah manakala sae’i juga membabitkan larian anak dan berjalan sebanyak tujuh pusingan.
Bagi tawaf, ia membabitkan perjalanan keliling Baitullah sejauh 3.15 kilometer hingga 4 kilometer bergantung kepada posisi seseorang itu berada ketika melakukannya. Ia lebih dekat atau pendek jika berada di laluan yang sangat hampir dengan Baitullah manakala jika berada di posisi yang lain, ia melibatkan pusingan keliling yang lebih panjang. Begitu juga bagi mereka yang terpaksa melakukan tawaf qudum menggunakan kerusi roda atau skuter, tidak bercampur dengan mereka yang melakukan tawaf secara berjalan.
Bagi sae’i pula ia melibatkan perjalanan sejauh hampir 4 kilometer. Dua rukun wajib haji atau umrah itu memerlukan kepada stamina yang tinggi walaupun kita dibenarkan untuk mengambi ‘pause’ tatkala merasa penat atau letih. Itulah cabaran kedua yang kita terpaksa kita hadapi semasa melakukan rukun haji atau umrah.
Cabaran ketiga ialah bagaimana kita berhadapan dengan cuaca yang berbeza. Iklim di Mekah dan Madinah berbeza dengan iklim seharian di Malaysia. Bahkan ada ketikanya kita akan berhadapan dengan cuaca panas melampau sehingga mencecah 40 darjah celcius atau lebih sedangkan di Malaysia jika suhu melebihi 32 darjah celcius kita sudah merasakan ‘cukup panas’ atau berbahang.
Begitu juga bila tibanya musim sejuk, kita akan mula tercabar kerana ada ketikanya ia turun kepada 12 sehingga 10 darjah celcius. Cuaca sejuk di Mekah dan Madinah berlaku sekitar tiga bulan dalam setahun.
Ketika saya mengunjungi dua kota suci itu pada pertengahan November 2022, Mekah dan Madinah mulai memasuki musim autumn (musim luruh), yakni pemerangganan antara musim panas dan musim sejuk. Dua minggu sebelumnya, saya mendapat khabar suhu di kededuanya tempat tersebut adalah di atas 40 darjah celcius.
Walaupun kami tiba di awal musim autumn, rombongan kami dinasihatkan agar meminum banyak air bagi mengelakkan dihidrat (kekurangan air dalam badan) yang boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan, termasuk keletihan dan demam. Sinaran matahari tetap terik, dan angin sejuk mula bertiup. Ketika kami berada di Madinah, suhu harian adalah antara 28-30 darjah celcius.
Ketika kami berada di Mekah, suhu hariannya paling rendah ialah 31 darjah celcius, tetapi angin sejuk yang bertiup ‘masih kering’.
Sehari sebelum kami berangkat pulang, berlaku hujan lebat dan banjir di sekitar Mekah menjelang waktu sholat zuhur (Khamis, 24 November 2022). Disebabkan hujan membasahi Baitullah dan kawasan sekitarnya, saya tidak berjemaah zuhur di Masjidil Haram, hanya sembahyang ‘jemaah’ di dalam bilik hotel yang terletak di kompleks Menara Jam (Clock Tower). Dari jendela hotel, saya dapat saksikan ketika itu tidak ramai jemaah di Dataran Kaabah.
Cabaran keempat ia potensi untuk dirempuh oleh jemaah haji lain ketika melakukan tawaf, sae’i dan juga melontar. Ini kerana jemaah haji yang ramai (anggaran sebelum pandemik ialah 5.2 juta jemaah pada musim haji) cukup memberikan kita bayangan, itulah hakikatnya bahawa kita juga akan berhadapan dengan situasi sedemikian di Padang Masyar nanti.
Rempuhan jemaah bukan sahaja berlaku ketika kita mengerjakan tawaf dan sae’i, ia berlaku di mana sahaja tempat yang wajib kita kunjungi dalam memenuhi rukun-rukun tersebut. Bahkan, ketika berada di masjid, termasuk Masjidil Haram kita akan berhadapan dengan banyak ragam manusia. Kita mungkin dihimpit bahkan dilangkah oleh mereka yang mencari-cari ruang untuk bersembahyang.
Saya alami keadaan itu ketika berada di Masjid Nabawi, Madinah sebelum solat Zuhur. Ketika itu saya sedang ‘khusyuk’ dan berada dalam kelompok mereka yang mendengar tatacara membaca al-Qur’an bersanad yang diajar di salah satu penjuru masjid.
Kali kedua, saya dilangkahi oleh seorang jemaah dari Kryrgyzstan (berdasarkan tulisan di jaket yang dipakai) ketika iman berkhutbah sebelum sembahyang berjemaah Jumaat, walhal ketika itu saya berada di penjuru paling dekat dengan dinding dan rak kasut.
Dua kejadian itu sangat menguji kesabaran saya. Saya hanya mampu berkata di dalam hati dan tidak mampu menegur atau memarahinya. Tahap kesabaran saya waktu itu masih tinggi.
Ayob Mamat turut menceritakan perihal kesabaran yang perlu ada di dalam hati setiap jemaah selagi kita berada dan mengerjakan ibadat di Mekah dan Madinah. Misalnya, ketika dalam perjalanan pulang ke Hotel Abraj Janadriah dari Mina. Pemandu bas berkenaan (warga Pakistan) sengaja memberhentikan bas seolah-olah ‘tidak tahu jalan ke hotel’, yang hanya mengambil masa sekitar lima minit.
“Tadi aku dah cakap aku tahu hotel ini kau tak nak percaya, sekarang boleh pula kau cakap kau tahu.” Ayob mungkin terlupa, kesabarannya tercabar dan kata-kata itu benar-benar dirasakan menyebabkan dirinya berhadapan dugaan.
Pada malamnya, Ayob berhasrat untuk melaksanakan tawaf dan sae’i , “…tiba-tiba sakit di kaki makin kuat sehingga saya sukar memijak, Saya tidak tahu apakah puncanya tetapi ia berlaku dengan tiba-tiba,
“Rasa sakit itu sungguh luar biasa parahnya.
“Kesakitan itu melarat hingga waktu malam yang tidak memungkinkan saya berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan sae’i dan saya kemudiannya pergi menemui doktor di klinik yang bersebelahan dengan bilik saya sahaja lalu diberikan ubat tahan sakit dan demam.
“Sehingga lewat malam itu, kesakitan semakin kuat dan saya tidak mampu berjalan dengan sempurna sehingga saya hanya menunaikan solat di bilik sahaja…..
“Apakah kerana aku memarahi pemandu bas tadi Ya Allah atau apakah ini balasan-Mu kepada dosa-dosaku yang tidak kuketahui?”. Ayob berkata-kata di dalam hati samhil bermain dengan emosi. (hal. 423-426)
Setelah dua malam mengerang kesakitan, sedikit kelegaan mula dirasai pada malam ketiga berkat doa dan sembahyang sunat agar “…dapat menyelesaikan ibadat haji saya pada malam esok. Saya menamam tekad yang kuat, walau apa pun terjadi saya mesti selesai dan lengkapkan ibadat haji saya pada malam besok walaupun saya mungkin merangkak.” (hal.427).
Walaupun masih kesakitan, tulis Ayob: Hari ketiga di Mekah setelah pulang dari Mina, sebaik sahaja solat fadhu Maghrib saya mula bergerak ke Masjidil Haram dengan kaki yang masih terasa sakit dan berjalan terhenjut-henjut.
“…malam itu jemaah tidak terlalu ramai dan ibadah tawaf saya berjalan dengan sangat lancar dan apa yang menakjubkan, tanpa saya sedar, kesakitan kaki saya telah tiada terasa lagi. Alhamdulillah. (hal 429).
Cabaran kelima ialah tidak merosakkan alam sekitar walaupun sekadar membersihkan pokok-pokok ketika dalam keadaan beribadat, seperti bermalam di Arafah sebelum menamatkan rukun haji, iaitu wukuf sebelum Hari Tasriq (11-13 Zulhijjah). Setiap jemaah ditempatkan di dalam khemah yang ‘sempit’ dan ‘tidak berhawa dingin’ yang cukup ‘meresahkan dalam keadaan panas.’
Semua pantang larang (sama dengan pantang larang ketika berihram) perlu diberikan perhatian termasuk “…tidak membunuh binatang dan merosakkan tumbuhan.
“Bunyinya remeh kan. Tahukah anda apabila tidur hanya berlantaikan tikar getah atau permaidani, anda selalu diganggu binatang seperti semut, nyamuk atau sebagainya.
“Nah! Jika jemaah tidak berhati-hati, maka tidak mustahil mereka akan membunuh binatang tersebut, sekaligus melanggar antara larangan ketika dalam ihram.
“Begitu juga dengan tumbuhan. Ada jemaah yang lupa, lalu mematahkan pokok-pokok di Arafah untuk membuat pelapik duduk dan sebagainya. Oleh itu, jemaah tidak boleh memandang remeh mengenainya dan perlu sentiasa berwaspada.”(hal. 339-340).
Cabaran keenam ialah semasa tiba di Mekah (awal proses haji), tidak terlalu ghairah untuk mengerjakan umrah disebabkan perlu menyimpan tenaga dan menjaga kesihatan kerana rukun-rukun lain juga sangat dituntut bagi menyempurnakan ibadat haji, terutama wukuf di Arafah dan melontar di tiga jamrah, iaitu di Jamratul al-Sugra (Tiang Kecil), Jamaratul al-Wusta (Tiang Sederhana) dan Jamratul Aqabah (Tiang Besar) pada hari ke-10 Zuljhijjah hingga hari ke-13 Zulhijjah.
Di setiap jamrah dikehendaki melontar masing-masing sebanyak tujuh kali. Ibadat itu sebagai simbol ‘menghalau atau menghukum syaitan’ yang sangat ghairah menghalangi manusia mengerjakan amar makruf atau berbuat dosa. Untuk sampai ke sana perlu berjalan kaki dalam keadaan sesak dan kadangkala mencabar pernafasan.
Cabaran keenam ialah berhadapan dengan pelbagai kesesakan akibat kebanjiran manusia dengan pelbagai budaya dan tingkah laku. Mereka datang daripada pelbagai negara, dan tentunya mempunyai pelbagai perbezaan budaya dan susila.
Misalnya, bagi orang Malaysia, kita sentiasa diminta untuk berhemah dan berhemat ketika melakukan sesuatu. Ia berbeza dengan lain-lain masyarakat dan budaya, kerana ada di antaranya tidak melihat apa yang mereka lakukan bertentangan dengan adab dan budaya kita. Contohnya, meludah ketika berjalan-jalan dan sebagainya. Apatah jika air yang diludah itu terpercik ke muka kita.
Begitu juga ketika ramai bersesak-sesak untuk mengunjungi sesuatu tempat seperti berebut-rebut menaiki bas, memasuki Raudhah (di Masjid Nabawi,Madinah) dan mengambil makanan yang disediakan secara buffet di hotel.
Cabaran ketujuh ialah tidak celupar ketika berhadapan dengan makanan yang sangat tidak sesuai dengan selera, kerana sebahagian masakan itu sangat tawar, dan tidak dapat ditelan oleh ‘tekak kita’. Cabaran ini membawa kita kepada ‘rasa tidak sedap’ dan seterusnya memungkinkan kehilangan tenaga untuk melaksanakan rukun dan ibadat sunat sepanjang berada di dua kota suci itu.
Cabaran kelapan ialah mematuhi waktu. Ia bukan sahaja penting untuk menjaga waktu solat tetapi juga membolehkan setiap pergerakan menuju ke sesuatu destinasi dapat berjalan lancar. Misalnya, waktu menunggu bas. Jemaah perlu berkumpul lebih awal daripada masa yang dijanjikan walaupun bas tiba lebih lewat. Ini kerana bas tidak dibenarkan menunggu penumpang. Saman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sekiranya bas menunggu lama.
Selain disaman, pergerakan menuju ke sesuatu destinasi juga tidak akan berjalan lancar seperti yang diharapkan apabila terpaksa ‘menunggu penumpang atau jemaah.’ Keadaan jalan boleh jadi sesak atau destinasi yang ingin dikunjungi penuh dengan para pelawat menyebabkan kita tidak dapat menikmatinya, terutama ketika berkunjung ke masjid-masjid yang cukup ikonik dengan sejarah Islam seperti Masjid Quba (masjid pertama didirikan oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah), Masjid Qiblatain (masjid di mana berlakunya pertukaran kiblat umat Islam kali pertama, iaitu dari Baitul Maqdis ke Baitullah) dan sebagainya.
Cabaran kesembilan ialah jangan berusaha untuk mendapatkan rawatan perubatan selain daripada klinik-klinik yang disediakan oleh TH, kerajaan Arab Saudi dan juga klinik panel ‘medical card’. Ini kerana di Mekah atau Madinah, kos yang terpaksa ditanggung oleh seseorang pesakit adalah cukup tinggi. (Kadar tukaran mata wang ketika itu ialah SR 1 = RM 1.30 di Money Changer di Madinah).
Saya ikut mengalami situasi ini apabila membeli sedikit ubat di sebuah farmasi di Madinah. Waktu itu saya alami sakit tekak, mungkin akibat kurang minum air. Selesai solat jemaah Asar di Majis Nabawi, dalam perjalanan pulang ke Hotel Leader Madinah al-Munawarah, saya ternampak farmasi.
Saya meminta gula-gula yang disadur dengan lozenges (penawar sakit tekak). Saya terkejut apabila diminta membayar sejumlah SR50 (RM 63) sedangkan kalau di Malaysia, harga sepapan gula-gula itu tidak melebihi RM 10 (VICKS vapo drop).
Begitu juga dengan harga ‘cable’ untuk mengecaj telefon. Disebabkan saya hanya membawa kabel ‘fast charger’, saya tidak dapat mengecaj alat kelui yang dibekalkan oleh agen pengendali umrah untuk berkomunikasi. Saya terpaksa membelinya di Madinah dan membayar harga yang cukup mahal, sekitar SR 40 (RM 52) sedangkan harga di Malaysia, antara RM 5 hingga RM 10 (charger cable sahaja).
Ertinya, sebelum ke Tanah Suci, kita hendaklah tentukan keperluan dapat disediakan dengan sempurna. Jangan ambil mudah, dan perlu mendapat penerangan lengkap daripada agen yang menguruskan perjalanan kita di Tanah Suci, terutama bagi mereka yang mengunjunginya kali pertama. Pastikan bahawa ‘cable’ yang sesuai untuk alat kelui itu benar-benar ‘masuk caj’ kerana variasinya cukup pelbagai sekarang. Itu adalah alat yang sangat membantu semasa kita tawaf dalam kumpulan dan semasa mendengar taklimat perjalanan seterusnya.
Persiapan ubat-ubatan perlu diberikan perhatian seperti panadol, lozenges, minyak angin, ubat alergik makanan dan sebagainya. Ia perlu dibawa dari Malaysia jika anda tidak mahu ‘rasa mahal’ ketika berada di Tanah Suci.
Cabaran kesepuluh ialah bagaimana menguruskan diri dari perspektif psikologi atau spiritual ketika berada di Mekah dan Madinah. Ia sangat menuntut kita memahami betapa pentingnya menguruskan masa, kesabaran dan sangkaan-sangkaan buruk yang terlintas di dalam minda.
Sangkaan-sangkaan buruk, sekiranya dilafazkan secara terbuka akan menyebabkan ramai yang terkilan dan kata orang: Ia akan dibalas secara tunai dan sangat cepat.
Seperti pengalaman Ayob ‘bercakap sinis dengan pemandu bas’, ada juga pengalaman yang kita dapati daripada jemaah secara terbuka mendakwa makanan yang disediakan di hotel penginapan ‘cukup meloyakan tekak’.
Orang itu kemudian ‘dihukum’ tidak boleh berbau makanan masak ‘terasa nak muntah’. Selama seminggu menanggung ‘rasa loya’ dan ‘nak muntah’. Mujurlah tekaknya masih boleh menerima buah-buahan dan sesekali mee segera yang hanya perlu direndam dalam air panas. Mee segera juga cukup mahal misalnya Indomie dalam cawan dijual antara SR 5 (RM 6.50 di Madinah) hingga SR 7 (RM 9.10 di Mekah) walhal kalau dibeli di pasar raya, harganya kurang SR 3 (RM 3.90)
Bayangkan, bagaimana kekuatan tenaga yang terhasil daripada mengambil buah-buahan atau mee segera? Ia boleh memungkinkan seseorang itu ‘terasa letih’ dan ‘tidak bertenaga’ sehingga menyebabkan terpaksa menyingkirkan diri daripada berziarah ke mana-mana tempat yang telah diaturkan oleh agen.
Ia bukan sahaja menyebabkan kita tidak dapat ‘rasakan pengalaman menjejak kaki ke Bukit (Jabal) Uhud, Bukit Rahmah atau menaiki kereta kabel di Taif. Taif ada sejarah yang cukup besar dalam penyebaran dakwah Islam.
Menurut sejarah, Taif yang terletak sekitar 80 kilometer dari Mekah, sangat identik dengan sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdullah bin Abas (Ibnu Abas). Sahabat itu hidup antara 619-687 M/3-68H adalah orang yang diberi tanggungjawab menjaga Taif dan mengembangkan syiar Islam setelah umat Islam berhijrah ke Madinah.
Ibnu Abas adalah seorang ulama dan cerdas pemikirannya. Selepas nabi wafat, Abdullah bin Abas menjadi pendamai kedua-dua pihak yang tidak bersetuju diadakan proses timbang tara (tahkim) antara penyokong Ali bin Abi Talib dan penyokong Muawiyah bin Abu Sufyan di akhir Perang Siffin (26 Julai 657M/8 Safar 36H).
Penyokong Muawiyah tidak berpuas hati dengan cara Ali menangani pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan, yang merupakan khalifah yang melantik Muawiyyah sebagai gabenor Syam (Syria) dan waris terdekat khalifah ar-Rasyidin itu.
Ali juga turut merancang untuk menggantikan Muawiyyah sebagai gabenor Syam bagi mengelakkan berleluasanya fitnah dan prejudis terhadap kepimpinannya setelah mengetahui bahawa sebab terbunuhnya Uthman adalah dakwaan melantik ahli keluarga menduduki jawatan tertinggi serta mengagih-agihkan harta kepada mereka (tanah dan sebagainya). Peristiwa itu dikenali sebagai Fitnah al-Kubra dalam sejarah Islam.
Sayangnya, ketika saya mengunjungi Taif, pelawat tidak berpeluang bersembahyang sunat atau berjemaah di Masjid Ibnu Abas. Kami hanya bergambar dari kejauhan (300 meter) dan meneruskan lawatan ke kedai menjual madu dan baulu Mekah. Di kedai itu, kami dijamu dengan roti Arab yang dilumur madu selain mencuba baulu Arab. Menurut cerita, madu yang dijual di Taif adalah madu terbaik yang dihasilkan di bumi Arab Saudi.
Sebenarnya, banyak lagi cabaran yang kita hadapi sepanjang berada di Haramain tersebut. Cabarannya adalah lebih banyak dalam kalangan jemaah haji kerana mereka berada lebih lama berbanding jemaah umrah. Namun, yang sangat dituntut ialah meningkatkan tahap kesabaran, merendah diri dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kelapangan, kesihatan dan motivasi untuk menyempurnakan setiap rukun haji, rukun umrah dan aktibiti sunat yang digalakkan.
Emosi mesti dapat dikawal, kerana emosi yang meluap-luap akan ada risikonya. Itulah sebahagian pengetahuan, pengalaman dan pengajaran yang cukup berguna selepas membaca buku Travelog Haramain, rakaman pengalaman, perasaan dan kisah-kisah yang sudah menjadi sejarah kepada diri sendiri dan juga umat Islam keseluruhannya.
Biarpun buku ini agak tebal (lebih 600 muka surat), bagi mereka yang bercadang untuk mengerjakan haji dan umrah, sangat beruntung jika membacanya, kerana Ayob Mamat berjaya merungkaikan sedikit sebanyak sejarah silam Islam, keperluan semasa berada di Tanah Suci, nilai persahabatan yang terjalin antara jemaah, pedoman mengerjakan haji dan umrah, dan beberapa kisah yang cukup perlu dijadikan ikhtibar agar kita tidak celupar, atau hilang kesabaran sepanjang tempoh mengerjakan ritual tersebut.
Walaupun pada pertengahan November tahun lalu saya hanya mengerjakan umrah, apa yang dipaparkan oleh Ayob Mamat dalam travelog ini banyak membantu, terutama dalam tindakan saya ‘menahan kesabaran’ dan menjadi seorang yang cukup tenang, walaupun mengalami sedikit masalah kesihatan (demam dan sakit tekak). Semuanya itu memotivasikan diri untuk melengkapkan rukun umrah sepanjang 10 hari bermusafir ke Mekah dan Madinah.
Atas kesan yang cukup mendalam itu, jika kita tanya kepada sesiapa sahaja umat Islam yang pernah ke sana, mereka akan sentiasa berhasrat akan kembali dan sangat mengharapkan kunjungan itu bukanlah yang terakhir buat dirinya.
Suatu pengembaraan spiritual yang benar-benar mencabar dan merupakan “perjalanan dalam sebuah perjuangan” memenuhi kewajipan setiap umat Islam (yang mampu) serta membaiki diri agar tidak lalai dan melakukan lebih banyak ‘dosa’ sekembalinya ke tanah air. Itulah yang dimaksudkan sebagai ‘mabrur’: kita kembali dengan jiwa yang baharu, jiwa yang bersih dan dengan harapan, ibadat yang kita lakukan diterima di sisi Allah SWT.
Tulis Imam al-Ghazali: Petanda ibadat haji yang mabrur ialah sikap tidak terbuai oleh pesona duniawi, mengharapkan akhirat, dan mempersiapkan diri untuk menemui Pemilik Baitullah setelah mengunjungi Baitullah.” (Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Jilid 2, terjemahan Muhammad Akhyar LC dan Drs Syahrin bin Jasah, Kuala Lumpur: Pustaka al-Shafa, 2014 hal. 109
KAMARUN KH
Recent Comments