Setelah aset-aset UMNO berjaya dikembalikan, ia menjadi sesuatu yang sangat misteri ke mana perginya, terutama saham-saham yang dimiliki. Pada ketika itu, dikatakan sebahagiannya dipindahkan kepada individu tertentu menerusi pelbagai bentuk transaksi; sebahagian lagi dicairkan untuk mendapatkan wang tunai. Antara yang menarik ialah bagaimana Daim boleh menguasai UMBC. Bagaimana Projek Lebuhraya Utara-Selatan boleh berpindah tangan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada syarikat-syarikat tertentu (UEM dan Renong).
Tindakan Dr Mahathir untuk menghapuskan legasi UMNO dan meruntuhkan apa yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dilihat sebagai suatu salah satu ciri Mahathirisme. Seorang penulis, yang juga kerabat Dr Mahathir, mendakwa UMNO sedang dirosakkan dari dalam oleh Dr Mahathir bagi menghapuskan legasi Razak. (Ahmad Mustapha Hasan, Membina Dan Meruntuh Malaysia: Sebuah Imbasan Orang Dalam Tentang UMNO, Razak dan Mahathir, Petaling Jaya: SIRD, 2008, terjemahan dari edisi asal berbahasa Inggeris, Unmaking Malaysia: Insider’s Reminiscences of UMNO, Razak and Mahathir, 2007)
Namun, cara pentadbiran Dr Mahathir yang bersifat autokratik telah berjaya memperluaskan ego politik sendiri apabila menteri-menteri yang dilantiknya menjadi cukup kuat mempertahankan kuasa UMNO. Isu dan penterjemahan asabiyah ‘ketuanan Melayu’ menjadi semakin besar walaupun dalam situasi selanjutnya, atas nama maruah dan keinginan menjadikan Malaysia ‘boleh duduk dan setaraf dengan negara maju’.
Bagi mengekang aktivis politik, Dr Mahathir melancarkan Operasi Lalang (1987) dan menggunakan pelbagai undang-undang termasuk Akta Cetak dan Mesin Cetak, menarik balik pernerbitan penerbitan akhbar dan majalah. Bagi tujuan mengekang kebocoran maklumat, Akta Rahsia Rasmi (1972) diperbaharui dengan memasukkan mereka yang didapati bersalah dikenakan mandatori penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun. Akta tersebut dipinda 1984 dan 1986. Ini bermakna, penjawat awam dilarang untuk memberikan apa-apa maklumat kepada media tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan ketua jabatan atau menteri.
Dr Mahathir berusaha membina monumen-monumen besar atau mega projek (KLCC, Menara KL, Putrajaya, Proton, Dayabumi, Cyberjaya, Jambatan Pulau Pinang, MSC, MODENAS, Jambatan Bengkok dan sebagainya). Dr Mahathir sedar, tanpa peninggalan atau adanya monumen-monumen ‘gagah perkasa’ itu, sesebuah peradaban dilihat dengan ukuran yang kerdil dan jelek dalam ukuran peradaban dunia (materialisme barat).
Bagi meneruskan egonya, Dr Mahathir cuba ‘melenyapkan’ kritikan yang dilakukan oleh segelintir politikus dan usahawan Melayu dengan kecaman Melayu Malas, Melayu Mudah Lupa dan Melayu tidak cukup gigih bekerja (mudah selesa dan gemar ‘menjual projek’). Orang Melayu sangat mengharapkan ‘tongkat’ dari kerajaan.
Dalam situasi dan kecaman itulah Dr Mahathir mula menggariskan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia, yang sekarang dilihat sebagai kaedah ‘memfaraidkan aset-aset parti dan kerajaan’, yang diasaskan atas kepentingan Bumiputera atau penterjemahan nasionalisme Melayu.
Dr Mahathir ingin mencontohi kaedah pembinaan negara dan kemajuan yang dicapai oleh Korea Selatan dan Jepun, dengan menyerap masuk nilai-nilai kerja (etos) ke dalam pentadbiran awam dan dasar pembangunan pasca 1990-an.
Fasa kedua ini dilihat semakin melebarnya ‘crony-capitalism’, dan tindakan ‘bail-out’ beberapa buah entiti yang diswastakan (atau pensyarikatan Malaysia) sehingga menjadikan Malaysia rugi ratusan billion ringgit (Barry Wain, Malaysia Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, 2009).
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikerangkakan oleh Tun Razak tidak diteruskan selepas tidak mencapai matlamatnya pada tahun 1990. Dr Mahathir menggantikannya dengan Dasar Pembangunan Nasional yang berteraskan Wawasan 2020.
Dr Cheah Boon Keng menyifatkan Wawasan 2020 seperti ‘old wines in the new bottles’ kerana nilai dan aspirasi Rukunegara yang dicetuskan oleh Tun Razak diterjemahkan semula sebagai strategi mencapai negara maju dalam Wawasan 2020, dengan beberapa perbezaan kecil. (Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of Nation, Singapore: ISEAS, 2002).
Wawasan 2020 hadir bersama-sama slogan yang bersifat motivasi, Malaysia Boleh, yang disambut sinis sebagai Malaysia Bodoh (Michael Bergman, Asia Future Shock, 2008). Fasa ini cukup dikenali sebagai Mahathirisme. Mahathirisme sangat berpengaruh sehingga menjadi suatu asas pertentangan dengan fasa berikutnya dan menjadikannya ia sebagai fasa tenang yang terpaksa dilalui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mengenai fasa ini, Ibnu Khaldun menulis: This stage is the last during which the ruler is ini complete authority. Throughiut this and the previous stages, the ruler are independent in their opinions. They built up their strength and show their way for those after them.” (hal.79)
Fasa 4: Fasa Tenang
Oleh kerana Mahathirisme cukup kuat berakar dalam budaya politik UMNO, Abdullah walaupun dilihat sebagai “Mr Clean” dan berjaya meletakkan UMNO/BN di kedudukan yang terbaik (198 kerusi Dewan Rakyat) pada PRU ke-11 (2004), terus dikecam kerana tidak dapat meneruskan apa yang diinginkan oleh Dr Mahathir. Ia menjadi pertembungan yang cukup menyebabkan Abdullah kecewa dan seterusnya meletakkan jawatan selepas UMNO/BN kehilangan majoriti dua pertiga (140 daripada 222 kerusi) di Dewan Rakyat dan kalah di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. UMNO/BN juga gagal ‘merampas Kelantan’ walaupun pada PRU ke-11, kedudukan PAS ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
Setelah dipersoalkan mengenai tindakannya, Dr Mahathir dengan nilai-nilai dan ketuanan Melayu, ia semacam berlakunya sebuah diaspora. Apa yang dikesalkan, Dr Mahathir banyak memesongkannya sehingga pentadbirannya dianggap sebagai kisah orang Melayu ‘kehilangan maknanya’; apabila projek-projek raksaksa diberikan kepada bukan Melayu (misalnya, KLCC, memperkenalkan kaedah built and transfer (BOT) dan sebagainya).
Abdullah dipersalahkan kerana ‘lost in transition’ dan ‘menyerahkan pentadbiran’ kepada Budak Tingkat Empat (pejabat JPM di Putrajaya). Tidak tahan dengan tekanan tersebut, Abdullah meletakkan jawatan kepada Najib (April 2009).
Dalam fasa tenang ini, Firdaus mengutip pandangan Ibnu Khaldun seperti berikut:
“The fourth stage is one contentment and peacefulness. The ruler is content with what his predessors have built. He lives with peace with all his royal peers. He adops the tradition of his predecessors and follows closely in their footsteps. He imitates their ways most carefully. He thinks that to depart from tradition would mean the destruction of his power and that they knew better (what is good for the preservation of) the glory they themselves had built.” (hal.85).
Fasa 5: Fasa Kemunduran dan Kejatuhan
Sedikit sebanyak Najib menwarisi nilai-nilai kejatuhan UMNO apabila tidak mampu menjadikan UMNO kembali berpengaruh. Najib pada peringkat awal dilihat cukup baik dan menarik selepas berjaya menukarkan kerajaan Perak (Februari 2009).
Najib dikaitkan dengan seorang model berbangsa Mongolia yang dibunuh kejam pada pertengan Oktober 2006. Dalam kes ini, keputusan terbaharu keluarga Altantunya memperoleh ganti rugi berjumlah RM 5 juta daripada empat defendan, termasuk kerajaan Malaysia.
Najib juga berjaya membawa masuk kembali Dr Mahathir ke dalam UMNO. Tetapi pada PRU ke-14, Dr Mahathir menjadi seteru politiknya yang besar atas ketidaksediaannya mencetuskan semula Mahathirisme. Dr Mahathir menggunakan isu 1MDB untuk menjatuhkan Najib dan UMNO/BN.
Najib pada tahun 2015 dikaitkan dengan skandal 1MBD, dan dilabelkan sebagai ‘perompak’ oleh parti-parti yang diketuai oleh Dr Mahathir. Prestasi UMNO/BN ketika Najib berusaha mendapat kuasa pertamanya sebagai PM ke-6 tidak menjadi. UMNO/BN hanya mampu menguasai 133 kerusi (PRU ke-13, 2013), iaitu merosot tujuh kerusi daripada keputusan PRU ke-12 (2008) yang ditinggalkan oleh Abdullah. Dr Mahathir mendakwa Najib ‘lebih teruk’ daripada pencapaian Abdullah untuk UMNO/BN.
Pada PRU ke-14 (2018), UMNO/BN benar-benar tersungkur dan Najib akhirnya meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Kemudi untuk memulihkan UMNO dibebankan kepada Zahid Hamidi. Zahid juga gagal, kedudukannya dipertikaikan kerana berada dalam Kluster Mahkamah (dengan 47 pendakwaan). Pada PRU ke-15 (2022), UMNO/BN hanya menang 30 kerusi Dewan Rakyat: UMNO 26, MCA 2, MIC 1 dan PBRS 1. Keadaan itu menyebabkan UMNO/BN dilihat sebagai sebuah parti yang ‘belum pulih’ dan akan menemui ‘kehancuran’nya dalam tempoh selanjutnya.
UMNO dikatakan akan hancur kerana perjuangannya tidak lagi menampakkan kesungguhan untuk membaiki ‘ketuanan Melayu’. UMNO dikatakan lebih mengutamakan pemenuhan cita-cita mereka yang berkuasa dan berusaha menggunakan kedudukan bagi ‘membersihkan diri’. Rentetan daripada itulah berlakunya ‘tsunami pengundi Melayu’. PKR kalah di Padang Serai, kubu kuatnya sejak PRU ke=12 (2008).
Usaha calon BN menarik diri dan menyokong calon PH dilihat tidak berbaloi kerana PN menang dengan majoriti yang besar (16,200 undi) . Kemenangan PN menjadikan gabungan itu dilihat bakal menyaingi ‘kerajaan campuran’ yang dibentuk selepas PRU ke-15, dan ada kebimbangan terhadap kebangkitan ‘gelombang hijau’.
Lim Kit Siang menggambarkan, ‘gelombang hijau’ mungkin akan menguasai Malaysia selepas dua kali lagi PRU (10 tahun, 2032). Oleh kerana itu, PH perlu merangkakan strategi politik untuk melawannya, kerana ‘gelumbang hijau’ lahir sebagai “fenomena … politik toksik yang menipu, ketakutan, kebencian, kaum dan agama dan keputusan tidak dijangkakan selepas pertambahan pengundi 18 tahun yang menyaksikan seramai 1.4 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih.” (Agenda Daily, 9 Disember 2022)
Pada fasa ini, Ibnu Khaldun menjelaskan: The fifth stage is one of waste and squandering. In this stage, the ruler wastes on pleasure and amusements (the treasures0 accumulated by his ancestors, through (excessive) generosity to inner circle. Also, he acquired bad, low-class followers to whom he entrusted the most important matters (of state), which they are not qualified to handle by themselves, not knowing which of them they should tackle and which they should leaves alone.” (hal.103.)
Inilah juga faktor dipersalahkan kepada Najib apabila enggan melaksanakan PRU ke-14 lebih awal (2017) ketika pemuafakatan dalam Pakatan Harapan masih di peringkat awal dan berkecamuk, termasuk kedudukan jentera kempen PPBM yang baharu ditubuhkan (diluluskan pendaftarannya pada 9 September 2016).
Kekalahan UMNO/BN turut menarik minat Syed Hamid Albar untuk membina tesis pengajian sarjananya dengan tajuk “Ibnu Khaldun Theory of Assabiyah and Umran: The Case of Declining Political Power of the United Malays National Organization (UMNO)” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 2019.
Firdaus banyak mengutip pemerihalan yang dibuat oleh Syed Hamid terhadap UMNO memandangkan beliau adalah bekas aktivis UMNO, menteri dalam kabinet UMNO dan cukup mengetahui kisah dari dalam UMNO itu sendiri.
Hegemoni merupakan istilah yang dikembangkan oleh Antonio Gramsci (1891-1937), seorang pemikir dari Itali berdasarkan pembaharuan idea masyarakat tanpa kelas yang digagaskan oleh Karl Marx. Ia melihat hubungan antara base structure dan super structure yang membentuk ekonomisme dalam maysarakat Itali, iaitu antara bahagian utara dan selatan.
Bahagian utara lebih maju manakala bahagian selatan berada dalam kemiskinan. Gramsci dilahir dan membesar dalam masyarakat bahagian selatan. Teori ini turut dilihat dalam perspektif politik Malaysia, misalnya, Thor Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina, 2005; John Hilley, Malaysia: Mahathirisme, Hegemony and the New Oppositon, 2001; In-Wong Hwang, Personalised Politics: The Malaysian States Under Mahathir, 2003.
Kehadiran buku Hegemoni UMNO mampu memberikan makna kedudukan UMNO sekarang berdasarkan teori kitaran Ibnu Khaldun, dan kita dapat belajar bagaimana sebuah parti yang besar sentiasa melihat dirinya sebagai ‘dinosaur’. Hakikatnya, semakin sehari UMNO semakin mengecil dan berada pada kitaran ‘melukut di tepi gantang’.
Inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO walaupun ia masih berada dalam kabinet dan berkuasa – kerajaan perpaduan. UMNO/BN bukan sahaja wajib berubah, jika ingin kembali menempa kejayaan seperti berjaya dilakukan oleh Parti Demokratik Liberal LDP di Jepun.
LDP menukarkan keseluruhannya kepimpinan kepada tenaga penggerak yang lebih muda dan bertenaga, kerana situasinya sudah jauh berbeza. Pengundi muda semakin menguasai ‘kuasa memilih’ dan mereka membentuk kohort yang semakin membesar.
Dalam pemikiran pengundi muda, UMNO/BN dilihat sebagai parti yang ‘sudah letih’ dan sebahagian kepimpinannya perlu dibersarakan sebagaimana ‘penjawat awam wajib dibersarakan tatkala mencapai umur 60 tahun’. UMNO juga mempunyai terlalu banyak liabiliti, termasuk liabiliti yang menghampakan orang Melayu-Islam. UMNO cukup banyak masalah, dan kerana itu sebahagian tindakan pemimpinya dilihat sedang mengalami ‘jiwa kacau’.
UMNO juga mempunyai banyak ‘titik buta’. Ianya tidak dilihat oleh para pemimpin, tetapi mereka kadangkala sangat sukar menerima teguran atau nasihat. Atas sebab itulah menerima karmanya: tersungkur pada PRU ke-14; dan meraih prestasi terburuk pada PRU ke-15. Ketika berusia 71/72 tahun (11 Mei 1946-10 Mei 2018), UMNO hilang taring kuasa dan pada usia kuasa 61 tahun (Mei 2018). Namun, bila UMNO bersengkongkol dengan musuh, akar dan jatidiri UMNO dilihat semakin menjauhi prinsip perjuangan.
Pada fasa keruntuhan, usaha memekarkan kembali asabiyah sudah tidak lagi berkesan kerana parti yang ditadbirkan secara warlord dilihat sangat cenderung memenuhi kepentingan diri dan seringkali mempermainkan aspirasi akar umbi. Inilah yang sedang dipersoalkan apabila No Anwar No DAP sudah dikembirikan oleh mereka yang memimpin UMNO. Ia dizahirkan secara jelas apabila UMNO menyertai kerjasama dengan PH.
Teori ini sudah diduga sebelumnya, kerana Zahid Hamidi sangat beriya-iya mahukan Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM ke-10. Ia berlaku ketika ‘Muhyiddin’ dipaksan meletakkan jawatan bila tersebarnya surat meminta agar wakil rakyat UMNO menyokong kerjasama dengan Anwar. Ia juga didedahkan oleh Annuar Musa dan menjadi punca kenapa dirinya digantikan oleh Ahmad Maslan sebagai Setiausaha UMNO dan sebelumnya, Setiausaha BN.
Kesemua isu-isu yang berlegar dihumban, diterjemah dan dikesploitasikan oleh Perikatan Nasional sebagai sebuah paradoks UMNO/BN. Kini, PN sedang mengambil alih peranan tersebut, dan kadangkala PN juga penuh dengan paradoks. Hakikatnya, selepas PRU ke-15, PN menjadi semakin paradoks dan ada ketikanya mendekati makna munafiq. Disebabkan oleh kedudukan tersebutlah, PN selama-lamanya tidak mampu menjadi wahana terbaik untuk memperjuangkan idealisme politik Melayu-Islam.
Ini kerana, dalam PN ada PAS yang sangat cenderung kepada Islamisme, iaitu menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga ada ketikanya, pendiriannya bercanggah dan tidak menepati kehendak Islam itu sendiri. Misalnya persoalan menghukum seseorang itu kafir atau pun tidak: masuk syurga atau masuk neraka. Selagi PAS tidak memohon maaf secara terbuka, menarik balik Amanat Haji Hadi (1982), merasakan hanya ahli PAS lebih Islamik (riyak), dan melihat ‘parut pada diri orang lain’ sebagai ‘jelek dan loya’ sedangkan ‘kudis dan kurap pada diri sendiri’ tidak ada yang perlu dijelekkan, maka selagi itu PAS tidak akan diterima oleh sebahagian besar pengundi Melayu.
Perubahan yang berlaku pada PRU ke-15 adalah peralihan sementara, dan kemungkinannya akan berlaku perubahan kepada kerjasama ‘kerajaan perpaduan’ sangat bergantung kepada bagaimana ‘kerajaan perpaduan’ mampu menterjemahkan program dan dasar-dasarnya bagi membantuk memulihkan ekonomi dan memenuhi keperluan asas rakyat.
Potensi ini tetap ada di bahu kerajaan, bukan pada kritikan parti-parti pembangkang, yang kerjanya hanya membangkang. Apabila diberikan peluang memerintah, tidak ada yang boleh dibanggakan dan kadangkala keliru dan terbawa-bawa dengan budaya kepembangkangan.
Ada kejadian, dilantik sebagai Duta Khas bertaraf menteri, sayangnya, 30 bulan berlalu tanpa ada perancangan dan kesannya kepada negara dalam usahawa memperbaiki hubungan dan kemasukan dana pelaburan. Itulah ‘kudis dan kurap’ yang tidak dianggap jelek dan loya pada diri sendiri, seperti kata Jalaludin Rumi, tetapi cukup loya dan jelek bila terlihat HANYA parut pada diri orang lain.
KAMARUN KH
Recent Comments