URWAH Ibn Mas’ud Ats Tsaqafi datang menghadap Rasulullah s.a.w, menyampaikan hasrat dan kesediaannya untuk berdakwah, menyebarkan Islam kepada kaumnya, Bani Tsaqif di Thaif. Kata Urwah, “Ya Rasulullah, tugaskanlah saya untuk menyampaikan dakwah kepada kaum saya, mengajak mereka memeluk Islam.”
Gerakan dakwah yang masih lagi terbatas dan sentiasa dimusuhi membuatkan Rasulullah s.a.w menyatakan kebimbangan baginda kepada Urwah. Rasulullah bersabda: “Saya takut, jika nanti mereka menolak, menghalau, bahkan membunuhmu.” Sebagai pemimpin, Rasulullah s.a.w merasa perlu melindungi keselamatan para pendakwah daripada pelbagai ancaman dan bahaya yang mungkin terjadi. Di mata Rasulullah s.a.w, para pendakwah adalah aset yang amat berharga.
Bagaimanapun, Urwah meyakinkan Rasulullah s.a.w bahawa dirinya adalah orang yang sangat disegani di kalangan kaumnya sehinggakan kebimbangan Rasulullah s.a.w itu dapat dipadamkannya. Akhirnya, Urwah menerima tugas untuk berdakwah di tengah-tengah kaumnya daripada Rasulullah s.a.w. Urwah ibn Mas’ud berkata, “Ya Rasulullah, jika mereka mendapati saya sedang tidur, tidak akan ada seorang pun di antara mereka yang berani membangunkan saya.”
Kedudukan dan kehormatan Urwah ibn Mas’ud yang sangat tinggi di mata masyarakat diharap akan mampu menjadi modal berharga dalam menyebarkan Islam di kalangan kaumnya. Kedudukan yang terhormat di mata masyarakat dapat berfungsi sebagai penghadang untuk melindungi pendakwah daripada pelbagai ancaman, dugaan dan cabaran daripada masyarakat yang didakwahkannya itu.
Dengan modal kedudukan dan kehormatan Urwah ibn Mas’ud itulah kemudiannya Rasulullah s.a.w mengizinkan dan menugaskannya untuk berdakwah kepada kaumnya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Berangkatlah berdakwah, mengajak kaummu kepada Islam”.
Urwah ibn Mas’ud menuju ke kampung halamannya, membawa cita-cita besar mengislamkan kaumnya, memujuk dan menunjukkan mereka ke jalan Allah. Ketika sampai di kampung halamannya, Urwah ibn Mas’ud melintasi tempat berhala Latta dan Uzza yang menjadi kebanggaan dan simbol pemujaan Bani Tsaqif. Dengan geram Urwah ibn Mas’ud berjanji akan menghancurkan berhala-berhala itu. Ia berkata kepada Latta dan Uzza: “Pagi esok aku akan hancurkan kamu.”
Urwah bersikap seperti apa yang pernah difahami oleh Nabi Ibrahim a.s bahawa berhala-berhala itulah yang menyesatkan manusia daripada melalui jalan yang lurus. Berdakwah adalah berijtihad menemukan penyebab masalah umat untuk mencari penyelesaiannya.
Bani Tsaqif yang mendengar ancaman itu menjadi amat marah. Latta dan Uzza adalah simbol agama mereka yang amat mereka agung-agungkan. Urwah bin Mas’ud berusaha menjelaskan kedudukan yang sebenar kepada kaumnya. “Wahai kaumku, sesungguhnya Uzza tidak pernah memuliakan kamu semua, begitu juga Latta tidak akan pernah dapat menghindarkan kamu semua daripada bahaya. Masuklah Islam, serahkan diri kepada Allah, maka kamu akan selamat”. Urwah menyeru dakwahnya itu di hadapan kaumnya. Tiga kali dikumandangkannya seruan itu, tetapi kaumnya sama sekali tidak menghiraukannya.
Kedudukan Urwah bin Mas’ud yang disegani oleh kaumnya selama ini, lenyap begitu sahaja kerana dia dianggap telah meninggalkan agama nenek moyangnya dan telah bertukar kepada agama Islam. Kemarahan Bani Tsaqif adalah kerana berhala kebanggaan mereka telah dicela dan diugut akan dihancurkan oleh Urwah, dan kerana itu telah membuatkan mereka menutup pintu hati daripada sesuatu apa pun yang akan disampaikan oleh Urwah bin Mas’ud, bahkan bertindak balas terhadap Urwah. Mereka melempar batu kepada Urwah bin Mas’ud sehingga salah satu lemparan batu itu terkena pelipis mata Urwah dan menyebabkan Urwah mengalami kecederaan parah, dan akhirnya meninggal dunia.
Inilah tabiat umum manusia, bahkan tabiat makhluk hidup pada umumnya. Ketika mereka merasakan ada ancaman bahaya, maka mereka akan melawannya. Dan dalam pertarungan terbuka seperti itu, kekuatan batil yang dominan sering mengalahkan kebenaran (hak) yang masih terasa asing.
Ketika berita kematian Urwah bin Mas’ud sampai kepada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: “Apa yang telah terjadi kepada Urwah bin Mas’ud sama seperti yang pernah terjadi kepada pendakwah di dalam surah Yaasin. Pendakwah itu dibunuh oleh kaumnya sendiri, dan ia dipersilakan masuk ke syurga. Dan pendakwah itu tidak pernah berhenti berdakwah, malahan terus mengajak kaumnya memeluk Islam meskipun ia telah gugur dan tidak lagi bersama dengan mereka. Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga.” Dan ia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kamuku mengetahui apa yang menyebabkan Tuhanku memberi keampunan kepadaku dan menjadikan aku termasuk dalam golongan orang yang dimuliakan.”
Wallahu a’lam.
* (Dipetik dan disunting daripada Majalah Sabili, No. 3 TH XIX, 10 November 2011)
Oleh : Muhith Muhammad Ishaq
Recent Comments