Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu. Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita.

Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri.  Justeru, hari kelahirannya dikira ‘hari Allah’ yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: “…dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah).” (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Mengingati Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun ini seharusnya benarbenar menjadi titik tolak kesedaran umat Islam di negara ini bagi memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan iman, takwa dan amal soleh. Kita imbas dan gali kembali perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan niat mencontohinya dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. Kita harus ingat bahawa Nabi s.a.w. tidak pernah menyatakan dirinya memiliki sifat-sifat manusiawi yang terhebat. Mendapat wahyu itulah yang membezakan manusia ini dengan manusia yang lain.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa Muhammad s.a.w. mendapat wahyu kerana baginda adalah manusia agung dan berbudi pekerti yang luhur. Kecenderungan untuk memperingati hari kelahiran Muhammad s.a.w. secara lebih besar-besaran muncul pertama kali di Mesir semasa era Fatimiyah (H969-H1171). Ini kerana orang Fatimiyah menganggap mereka sebagai keturunan Nabi melalui puterinya Fatimah.

Seorang sarjana Jerman, Annemarie Schimmel dalam bukunya And Muhammad is His Messenger (Dan Muhammad adalah Utusan Allah) menyatakan dalam keadaan darurat, seseorang Muslim mungkin menyangkal keyakinannya kepada Allah, tetapi sekali-kali ia tidak akan bersedia mengutarakan kata-kata yang tidak baik apalagi penghinaan terhadap Nabinya. (Lihat al-Quran surah 49 ayat 2-3).

Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah yang terakhir. Dengan amanat yang dibawanya, ia merupakan pewujudan nyata daripada sifat Rahman dan Rahim Allah terhadap hamba-Nya, bahkan merupakan penyempurna daripada semua kenikmatan yang telah diberikan-Nya kepada sekalian penghuni alam. Muhammad s.a.w. dengan syariat yang dibawa telah membuktikan dirinya sebagai potret teladan yang mampu menyatukan umat manusia bangsa Arab, khususnya pada waktu itu dalam satu wadah dan panji kebenaran Islam.

Ketampanan lahiriah terserlah pada wajah Muhammad s.a.w. Tetapi ketampanan lahiriahnya tidak lain adalah cermin keindahan dan kemuliaan batinnya, sebab Allah telah menciptakannya sempurna dalam akhlak dan moral. Ketika Aisyah, isteri kesayangannya yang masih muda, ditanya tentang akhlak Nabi, dia hanya berkata: Akhlaknya adalah al-Quran; dia menyukai apa yang disukai al-Quran, dan menjadi marah bila al-Quran marah.

Pembaca Barat, yang dibesarkan dalam tradisi yang telah tertanam berabad-abad untuk membenci Muhammad, barangkali akan terkejut apabila mengetahui bahawa dalam semua catatan, akhlak yang terutama ditekan dalam diri Nabi adalah kerendahan hati dan kebaikannya. Semua catatan membicarakan tentang sikap Muhammad yang ramah, baik hati, tetapi serius, dan menunjukkan bahawa baginda tidak sering ketawa. Sebuah hadis Nabi yang terkenal menyatakan: Jika kamu tahu apa yang aku ketahui, maka kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Tetapi baginda juga dikatakan mempunyai senyuman yang paling memikat yang sentiasa menarik hati para pengikutnya. Malah Al-Ghazali menyebutkan tentang kecenderungan Nabi untuk ketawa. Humornya yang lembut terlihat daripada beberapa kisah Islam awal. Contohnya seperti berikut:

Suatu hari seorang wanita tua bertubuh kecil datang kepadanya dan menanyakan apakah wanita tua yang menyedihkan seperti dirinya itu juga akan masuk syurga. Tidak, kata Nabi, Tidak akan ada wanita tua di syurga! Dan kemudian, melihat kesedihan di wajahnya, Nabi meneruskan sambil tersenyum: Mereka akan diubah semuanya di syurga, sebab di sana hanya akan ada usia muda untuk semua penghuninya!

Sikap Muhammad terhadap kaum yang lemah dan kebaikannya itu selalu ditonjolkan. Mengikut sebuah hadis, baginda tidak pernah memukul pelayan, apa lagi pelayan wanita, atau salah seorang isterinya. Tirmidzi menggambarkannya sebagai berikut: Baginda akrab dengan kesedihan, banyak berfikir, sedikit beristirahat, tidak berkata-kata untuk waktu yang lama, dan tidak berbicara tanpa sebab. Baginda memulai dengan mengakhiri pembicaraannya dengan kata-kata; Dengan nama Allah. Pembicaraannya ringkas, tidak terlalu panjang dan juga tidak terlalu pendek, tidak kasar tetapi juga tidak main-main. Dia menghormati setiap tanda kurnia Allah, meskipun hanya kecil, dan tidak pernah menyalahkan apa pun.

Nasihat kepada umatnya terlalu banyak. Ketika seorang Badwi menanyakan kepadanya, apakah kerana percaya kepada Allah dan perlindungan-Nya, dia boleh membiarkan untanya memakan rumput dengan bebas, Nabi menjawab ringkas, Iqilha wa tawakkal. Pertama-tama tambatkanlah unta itu dulu, lalu percayakan kepada Allah. Dunia ini adalah ladang persemaian bagi kehidupan di akhirat; setiap tindakan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini akan menghasilkan buah – entah baik entah buruk – di akhirat kelak. Lebih jauh lagi, setiap Muslim yang taat hendaknya selalu ingat akan doa pendek yang tepat daripada Nabi, “Ya Allah, tambahlah pengetahuanku!”

Orang yang beriman hendaknya juga meniru caranya bergaul dengan orang sezamannya dan caranya berperilaku di tengah-tengah masyarakat. Bukankah dia tidak pernah disalahkan dalam al-Quran kerana bersungut-sungut kepada seorang tamu yang buta. Jika seseorang datang dengan suatu permintaan, dia tidak akan disuruh pergi sebelum permintaannya dikabulkan, atau sebelum dia setidak-tidaknya menerima jawapan yang ramah. Keramahan dan pemberian Nabi tertuju kepada semua orang; dia bagaikan seorang ayah bagi para sahabatnya. Membicara dan memperkatakan tentang Nabi Muhammad s.a.w. sudah tentu tidak akan menambah by keagungannya, jika sifat-sifat terpuji baginda tidak sedikit pun diraih oleh umat manusia.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »