Beliau adalah Ghiyatsuddin Jamsyid bin Mahmud bin Muhammad Al-Kasyi atau lebih dikenali dengan nama Al-Kasyi, Al-Kasyani, atau Al-Qasyani. Beliau dilahirkan di Kasyan iaitu sebuah kota yang terletak di tengah-tengah negara Iran  pada akhir abad kelapan Hijrah atau ke-14  Masihi di Kota Kasyan.

Al-Kasyi memulakan pendidikannya di Kasyan dan beberapa buah kota di Iran. Beliau mempelajari ilmu nahwu, sharf, fikih (berdasarkan mazhab ulama yang empat), ilmu mantiq, dan juga sastera. Beliau juga turut mempelajari ilmu matematik dan astronomi.

Secara khusus, beliau telah mempelajari dan mengkaji buku-buku karya Tsabit bin Qurrah, Al-Kharkhi, Al-Khayyam dan Ath-Thusi. Setelah beliau selesai mempelajari ilmu matematik dan astronomi, beliau telah bekerja kepada Penguasa Samarkand yang bernama Ulugh Bik, putra Muhammad Shah, Raja Turkistan, Iraq dan Iran.

Perubahan yang penting dalam kehidupan Al-Kasyi apabila beliau mula mengabdikan diri kepada Penguasa Ulugh Bik, yang merupakan ahli dalam sastera, matematik dan astronomi. Ianya sekaligus meletakkan Samarkan sebagai pusat ilmu dan kebudayaan.

Ketika Ulugh Bik ingin membuat sebuah tempat pemantauan peredaran bintang pada tahun 823 H (1420 M), beliau diberi kepercayaan memimpin dalam merancang projek pembuatan teropong bagi mengetahui sifat-sifat bintang.

Apa yang dikagumi bahawa projek tersebut telah mendatangkan hasil yang lebih terperinci seterusnya menolong beliau dan beberapa ilmuan yang lain dalam pengkajian bintang.

Selain itu, Al-Kasyi juga telah menemui kembali pecahan desimal dengan cara membandingkan angka tertentu dengan angka enam puluh. Beliau telah berjaya mengetahui tahap-tahap pecahan tersebut sehingga mampu mempergunakannya dengan cara yang lebih baik daripada Al-Euklides.

Di antara bukti bahawa beliau telah berjaya menemui pecahan dan mampu mempergunakannya dengan lebih baik apabila beliau menggunakan warna yang berbeza ketika menulis angka-angka tersebut bagi menunjukkan bahagian desimal. Beliau juga merupakan orang pertama yang memakai angka sifar dan berjaya menggunakan angka tersebut dalam proses perhitungan angka.

Tetapi malangnya teori-teori tersebut telah diguna dan diisytiharkan  oleh ilmuan Barat. Mereka telah mengatakan bahawa penemuan teori-teori tersebut sebagai penemuan ilmuwan matematik Inggeris yang bernama Isaac Newton.

Banyak karya-karya beliau yang memaparkan pelbagai permasalahan algebra dan ilmu hitung dengan kaedah yang amat teliti dan mudah difahami. Pemaparan seperti yang beliau kemukakan itu masih belum ada sebelumnya atau  baru sehingga berlalu waktu yang begitu lama.

Dalam bidang astronomi pula, Al-Kasyi berjaya menghasilkan dan mencipta alat-alat pemantauan bintang iaitu sebuah alat yang dipakai untuk menentukan posisi berbagai bintang, jarak dari bumi, bagaimana terjadinya gerhana dan yang berhubungan dengan astronomi.

Beliau merupakan ilmuan pertama yang menggambarkan peredaran bulan dan bintang Mercury dalam bentuk ”Thabaq Al-Manatiq”. Namun teori tersebut juga telah diisytihar penemuannya oleh ilmuan astronomi Jerman, Johannes Kepler yang hidup sekitar tahun 809-811 H.

Ilmu-ilmu beliau itu banyak diabadikan di dalam penulisannya baik dalam bahasa Arab mahupun bahasa Parsi. Antaranya Miftah Al-Hisab, iaitu sebuah buku yang berbentuk ensiklopedia ilmiah yang mencakupi ilmu matematik, ilmu arkitek, algebra dan juga geografi yang merupakan buku terakhir yang dipersembahkan dalam sejarah peradaban Islam.

Buku ini terdiri dari lima pembahasan yang mencakupi 37 bab malah telah diterjemahkan dan diterbitkan semula ke dalam bahasa Latin dan dicetak di Eropah.

Dalam bidang astronomi pula, beliau telah menghasilkan buku yang berjudul Az Zaij Al-Khaqani Fi Takmil Az-Zaij Al-Ilkhani. Di dalam buku ini beliau telah memaparkan hasil pemantauannya yang merupakan penyempurnaan dari hasil pemantauan ahli astronomi senior, Nashiruddin Ath-Thusi.

Beliau juga telah menghasilkan Risalah Nuzhat Al-Hadaiq yang menyatakan penjelasan mengenai cara pembuatan alat-alat pemantauan bintang dengan cara penggunaaan dalam berbagai ragam. Risalah ini juga menemukan alat kepada ilmuan yang lain dengan diberi nama ”Lauh Al- Ittshalat” atau (gambar Komunikasi).

Pada abad ke-16 Masihi pula, seorang ilmuan matematik yang bernama Steven telah menerbitkan sebuah tulisan mengenai pecahan desimal dengan menggunakan bahasa Perancis dan Belanda. Apa yang menyedihkan, beliau telah mengumumkan bahawa beliaulah yang telah menemui teori tersebut.

Berbeza dengan ahli matematik yang lain, iaitu Henkel yang mengakui dengan terus terang bahawa penemuan teori dan pecahan desimel adalah Al-Kasyi. Henkel memuji kemampuan ilmiah Al-Kasyi dan kelojikan matematik yang dimilikinya.

Ini turut disokong oleh Dr. Abdulhalim Muntashir di dalam bukunya Tarikhul Ilmi Wa Daurul Ulama Al-Arab Fi Taqoddumihi yang mengatakan, ”Al-Kasyi merupakan ahli matematik dan astronomi terkemuka pada abad ke-15 Masihi. Karya dan penemuannya dalam pelbagai disiplin ilmu dianggap sebagai khazanah kekayaan intelektual Islam  pada abad pertengahan.”

Al-Kasyi meninggal dunia pada tahun 840 H atau 1436 M.

Catatan : Ibnu Fawwas

Translate »