Salah satu prinsip ketamadunan ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian akhlak sebagai identiti bangsa dan negara. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani.

Sejarah mencatatkan kecermerlangan tamadun Andalusia kerana meletakkan prinsip-prinsip akhlak di dalam setiap bidang kehidupan yang merangkumi perundangan, kesenian, sastera dan budaya serta ekonomi dan politik. Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi dan cemerlang. Peradaban Islam telah mewariskan banyak peninggalan yang seharusnya dikagumi dan menjadikannya sebagai satu-satunya peradaban yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dengan demikian, kemajuan ekonomi dan teknologi akan berjalan seiring dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum.Membiarkan masalah moral bermaharajalela secara tidak langsung akan mendekatkan waktu kehancuran sesuatu umat. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat kepincangan moral yang membarah dalam masyarakat. Demikian juga yang berlaku terhadap tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata sebagai arah tuju hidup. Realiti ini telah menyedarkan mereka peri pentingnya agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka hadapi.

Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pokok kepada segala kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi SAW:

“Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi  pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirahat daripada segala keburukan.” (riwayat Muslim)

Al-Quran dan Sunnah juga meletakkan akhlak luhur sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf. Disamping itu, Sunnah juga membawa saranan agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa sahaja tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang. Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh Al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Al-A’raf ayat 199)

Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif; mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi. Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan fanatisme serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati. Akhlak individu pula mencakupi sifat malu dan rendah diri, redha dan menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan. Manakala, akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama  anggota keluarga.

Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ehsan. Juga bersifat kasih sayang sesama manusia. Manakala, akhlak politik lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat. Sementara itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidup dan menyuburkan tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewahan, tidak serakah mengumpulkan  harta serta tidak melakukan pengkhianatan.

Dari hakikat ini jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan. Tidak ada pemisahan antara ilmu dan akhlak, antara ekonomi dan akhlak, antara politik dan akhlak dan antara perang dan akhlak. Akhlak dalam Islam lebih bersifat sejagat kerana tidak terbatas kepada individu muslim sahaja bahkan meliputi non muslim. Dengan akhlak tersebut dapat melahirkan kerjasama untuk saling melindungi dan mencegah kerosakkan di muka bumi ini.

Sebenarnya keupayaan untuk membangun masyarakat Islam Hadhari tidak semudah membalikkan telapak tangan. Sebaliknya ia memerlukan perjuangan yang serius dan masa yang lama dengan pelbagai risiko. Masyarakat Islam Hadhari perlu memiliki karakter sebagai pengawal dan penggerak sosial. Ini adalah tanggungjawab kita bersama kerana segala apa yang dilakukan oleh manusia itu tidak luput daripada kesalahan dan kelalaian. Malah ia akan melancarkan lagi proses pembangunan yang dilaksanakan. Kita harus memahami bahawa tugas amar makruf dan nahi munkar adalah tugas suci yang perlu dilakukan oleh semua orang. Melalui kritikan membina kita melakukan tugas amar makruf dan nahi munkar dengan penuh rasa kejujuran dan tanggungjawab. Ini bermakna kita telah melaksanakan kewajipan fardu ain kita terhadap kepentingan sosial

Sudah sepatutnya kita menolak falsafah ‘matlamat menghalalkan cara’ kerana Islam meletakkan kemuliaan dari segi tujuan dan matlamat. Islam melarang umatnya mengamalkan budaya rasuah dan penipuan di dalam perniagaan meskipun tujuannya untuk manfaat bersama seperti membina masjid atau kerja-kerja kebajikan.

Islam menjadikan seorang muslim bagaikan sumber yang sentiasa memancarkan kebaikan dan kemaafan bagi orang-orang di sekelilingnya. Muslim sejati adalah seorang dermawan, rajin bekerja , dan pandai mengatur waktu, bijak mensyukuri nikmat Allah SWT dan menunaikan hak-hak persaudaraan sesama manusia.

Membangunkan masyarakat Madani bermaksud menyedarkan semua lapisan manusia untuk hidup dan bergaul menerusi segala aktiviti dan kemudahan dengan menggunakan agama sebagai kayu ukur dan menjadikannya (agama) sebagai bimbingan dalam kehidupan. Semua teori yang berpandukan akal manusia yang amat terbatas hanya menjanjikan penderitaan kecuali ajaran agama yang menyajikan kebahagiaan hidup baik di dunia mahupun di akhirat.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »