Syaikh Sayyid Sabiq dilahirkan tahun 1915 H di Mesir dan meninggal dunia tahun 2000 M. Beliau merupakan salah seorang ulama Al-Azhar yang menyelesaikan kuliahnya di Fakulti Syariah. Kesibukannya dengan dunia fiqh melebihi apa yang pernah diperbuat para ulama Al-Azhar yang lainnya. Beliau mula menekuni dunia dengan menulis melalui beberapa majalah  ketika itu, seperti majalah mingguan Al-Ikhwan al-Muslimun.

Di dalam majalah ini, beliau menulis artikel ringkas mengenai “Fiqh Thaharah”. Dalam penyajiannya, beliau menekankan penulisannya pada buku-buku fiqh hadis yang menitikberatkan masalah hukum seperti kitab Subulussalam karya ash-Shan’ani, Syarah Bulughul Maram karya Ibn Hajar, Nailul Awthar karya asy-Syaukani dan lainnya.

Syaikh Sayyid mengambil metodologi yang tidak menyokong fanatisme mazhab, namun tidak memperlekehkannya. Beliau berpegang kepada dalil-dalil daripada Kitabullah, as-Sunnah dan Ijmak, mempermudah gaya bahasa tulisannya untuk pembaca, menghindari istilah-istilah yang rencam, tidak memperlebarkan dalam mengemukakan ta’lil (alasan-alasan hukum), lebih cenderung untuk memudahkan dan mempraktikannya demi kepentingan umat agar mereka mencintai agama dan menerimanya. Beliau juga berfikiran terbuka untuk menjelaskan hikmah daripada pembebanan syari’at (taklif) dengan meneladani al-Quran dalam memberikan alasan hukum.

Bahagian pertama daripada kitab beliau yang terkenal Fiqih Sunnah diterbitkan pada tahun 1940-an. Ia merupakan sebuah risalah dalam ukuran kecil dan hanya memuatkan fiqh thaharah. Pada mukaddimahnya diberi kata sambutan atau alau-aluan oleh Syaikh Imam Hasan al-Banna yang memuji manhaj (metodologi) Sayyid Sabiq dalam penulisan, cara persembahan yang tersusun agar orang mencintai bukunya.

Setelah itu, Sayyid Sabiq terus menulis dan dalam waktu tertentu mengeluarkan bahagian yang sama ukurannya dengan yang pertama sebagai kesinambungan daripada buku sebelumnya hingga akhirnya berhasil diterbitkan 14 bahagian atau juzuk. Kemudian dijilid menjadi tiga juzuk besar. Beliau terus mengarang bukunya itu hingga selama 20 tahun sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang muridnya, Syeikh Yusuf al-Qardhawi.

Banyak ulama yang memuji buku karangan beliau ini yang dinilai telah memenuhi hajat perpustakaan Islam mengenai fiqh sunnah yang dikaitkan dengan mazhab fiqh. Oleh hal demikian itu, majoriti  kalangan intelektual yang belum memiliki komitmen pada mazhab tertentu atau fanatik terhadapnya begitu tertarik untuk membacanya. Malah  bukunya itu menjadi sebagai sumber yang memudahkan mereka untuk membuat rujukan apabila setiap kali  mengalami kebuntuan dalam beberapa permasalahan fiqh.

Bukunya itu kini sudah tersebar di seluruh pelosok dunia Islam dan dicetak sebahagian orang beberapa kali tanpa izin pengarangnya. Bagaimanapun, ada kalanya sebahagian fanatisme mazhab mengkritik buku Fiqh Sunnah dan menganggapnya mengajak kepada ‘tidak bermazhab’ yang pada akhirnya menjadi jambatan menuju ‘ketidakberagamaan’.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Sayyid Sabiq bukanlah termasuk penyeru kepada ‘tidak bermazhab’ meskipun beliau sendiri tidak mempunyai komitmen kepada mazhab tertentu. Alasannya, kerana beliau tidak pernah mencela mazhab-mazhab fiqh yang ada.

Sementara sebahagian ulama yang lain, mengkritik buku tersebut dan berpendapat bahawa Syaikh Sayyid Sabiq sebagai orang yang terlalu bebas dan tidak memberikan fiqh perbandingan sebagaimana semestinya di dalam membicarakan dalil-dalil naqli dan aqli serta melakukan perbandingan ilmiah di antaranya, lalu memilih mana yang lebih rajih (kuat) berdasarkan ilmu. Apa yang dinilai para penentangnya tersebut tidak kena pada tempatnya. Sebenarnya, buku yang dikarang Sayyid Sabiq itu harus dilihat dari sisi untuk siapa ia ditulis atau dihasilkan. Beliau tidak menulis untuk kalangan para ulama tetapi untuk majoriti kaum pelajar yang memerlukan buku yang mudah dan praktik, baik dari sisi format mahupun content (isi).

Di antara ulama yang mengkritik buku tersebut ialah seorang ulama hadis yang terkenal, Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani yang kemudian menulis buku Tamaamul Minnah Bitta’liq ‘ala Fiqhissunnah. Kitab ini diibaratkan sebagai takhrij bagi hadis-hadis yang terdapat di dalam buku Fiqh Sunnah.

Syaikh Sayyid Sabiq merupakan seorang yang selalu menyeru agar umat Islam bersatu dan merapatkan barisan. Beliau mengingatkan agar tidak berpecah belah yang menyebabkan umat menjadi lemah. Beliau juga menyeru agar membentengi para pemudi dan pemuda Islam daripada musuh-musuh Allah dengan membiasakan mereka beramal dengan Islam, memiliki kepekaan, memahami segala permasalahan kehidupan, serta memahami al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini dianggap dapat menghindarkan mereka daripada perangkap musuh-musuh Islam.

Beliau juga pernah mengingatkan bahawa Israel adalah musuh terkuat atau paling ketat, malah umat Israel ini memusuhi kita secara terus-menerus. Beliau pernah bertemu dengan salah seorang tenaga pengajar berasal dari Palestin yang bercerita kepada beliau: “Suatu kali saya pernah melihat seorang Yahudi sangat serius duduk menghafal Kitabullah dan hadis-hadis Rasulullah. Lalu saya tanyakan kepadanya, “Kenapa kamu melakukan ini.?” Ia menjawab,”‘Agar kami dapat membantah kamu  dengan alasan. Kalian adalah orang-orang yang reaktif dan sangat sensitif, kerana itu kami ingin mengendalikan kecenderungan   itu. Jika kami berdebat dengan kamu, kami akan menggunakan ayat-ayat dan hadis Nabi kamu. Kami juga akan menyebutkan sebahagian perbandingan dalam bahasa Arab yang mendukung permasalahan kami sehingga kalian bertekuk lutut terhadap seruan kami dan mempercayai kebenarannya.”

Catatan : Ibnu Hudzaifah

Translate »