Islam adalah satu agama yang amat mengambil berat tentang hubungan terutama dengan jiran mereka yang bukan beragam Islam. Kita selalu membaca sejarah Rasulullah s.a.w. yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan dan terhadap pembesar satu satu kaum dan terhadap orang tua dan orang kafir yang berhajat.
Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang Yahudi sampai baju besinya masih tergadai dengan orang Yahudi sehingga baginda menemui ajalnya. Dan bagaimana pula penghormatan yang diberi kepada seorang ketua satu kabilah. Dan bagaimana layanan yang diberi kepada orang tua dan mereka yang memusuhi dan bagaimana sanjungan yang diberi kepada jenazah seorang Yahudi yang sudah meninggal dunia yang sedang dibawa dihadapannya sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu. Kata mereka tidakkah jenazah itu seorang Yahudi . Soal mereka?. Jawab baginda, bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah dan ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang.
Begitu juga bila datang orang bukan Islam meminta hutang dengan cara yang kasar lalu Umar memarahi Yahudi yang tidak tahu beradab tersebut. Tetapi baginda tidak memarahinya dan tidak pula menyebelahi Umar. Maka ditegurnya sikap Umar yang kasar tersebut dengan sabdanya yang bermaksud “Umar jangan bersikap kasar dan bengis dengan pemiutang tersebut, sepatutnya engkau dapat menjadi seorang kawan yang baik dengan menenangkan Yahudi tersebut dan menasihatiku supaya menjelaskan hutangnya dengan segera apabila sampai tempohnya nanti. Ini kerana Yahudi tersebut silap haribulan dan telah mempercepatkannya dari janji yang belum sampai tempohnya lagi dengan cara dan sikap sopan santun Rasulullah itu Yahudi tersebut akhirnya malu tersipu-sipu sehingga ada riwayat yang menyatakan Yahudi tersebut insaf dan mengkagumi baginda lalu memeluk Islam dengan keharmonian yang ditunjukkan oleh baginda.
Salahuddin Al-Ayubi dapat kemenangan dalam perjuangan kerana sikapnya yang faham agamanya membenarkan kita berbaik-baik dengan orang bukan Islam sekalipun mereka yang memusuhi kita kerana yang dilarang ialah memberi walak kepada mereka sahaja. Sebab itu baginda pernah menjadi doktor mengubai Richard “hati singa” apabila Richard jatuh sakit.
Berbicara tentang kebebasan beragama dalam Islam, ia seharusnya dimulai dengan merujuk kepada firman-firman Allah s.w.t. banyak sekali ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan titik tolak untuk membicarakan tentang kebebasan beragama . Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“ Dan jikalau Tuhanmu mengkehendaki tentulah beriman semua orang di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus: 99)
Dan dalam surah Al-Kahfi allah berfirman yang bermaksud :
“ Dan katakanlah . “Kebenaran itu datang dari Tuhanmu. Maka barangsiapa yang ingin beriman silakan beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah kafir”. (Surah Al-Kahfi : 29)
Dengan prinsip-prinsip inilah dan banyak lagi, Islam mengembangkan konsep tentang kebebasan beragama.Dalam catatan sejarah, kehidupan Rasulullah s.a.w mengamalkan toleransi dalam seluruh kehidupan Baginda s.a.w sebagai Nabi dan Rasul utusan Allah s.w.t. Antara lain, beliau menunjukkan sikap bersahabat terhadap para penganut agama lain, berkunjung dan menziarahi keluarga mereka yang kematian ahli keluarga, menghadiri majlis kenduri dan melawat orang-orang yang sedang sakit. Dalam ertikata yang lain, Rasulullah s.a.w mengamalkan sikap menghormati semua manusia biarpun berbeza pegangan agama dan pendapat.
Malah dalam satu peristiwa, Nabi s.a.w telah dikunjungi oleh utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda s.a.w telah membentangkan jubahnya, mempersilakan utusan tersebut untuk duduk di atas jubah itu. Perbuatan Rasulullah s.a.w ini sebenarnya adalah satu cara dakwah yang tersendiri dalam bentuk non –verbal kerana tidak beberapa lama kemudian, utusan-utusan tersebut memeluk Islam secara rela hati.
Dalam satu peristiwa lain, Nabi s.a.w telah meminjam sejumlah wang kepada seorang Ahlul Kitab dengan menawarkan sebahagian perabut sebagai cagaran dan sebuah baju besi (dir’un) kepada seorang Yahudi di Madinah. Dalam hal ini, tindakan Rasulullah s.a.w bukanlah kerana sahabat tidak sanggup berkorban bahkan sebenarnya adalah sebagai pendidikan, pengajaran dan petunjuk kepada umatnya (Kanan Nabiyyu yaf’alu dzalika ta’liman wa irsyadan li ummatihi ). Para sahabat Rasulullah s.a.w sanggup berkorban harta dan jiwa kepada Rasulullah demi mencari keredhaan Allah s.w.t dan atas nama Islam.
Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim tetapi tergolong dalam ahlul milal wan nihal dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh-contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh semua umat manusia.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments