Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang mendorong serta menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut.
Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrem. Rasulullah s.a.w berjaya meletakkan prinsip-prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan sikap kesederhanaannya. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.
Golongan pelampau agama merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam.
Golongan pelampau agama lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Allah s.w.t memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran. Al-Quran tidak pernah menyebut perihal perlakuan yang kasar dan keras kecuali dalam dua keadaan iaitu ketika di medan perang dan berhadapan dengan musuh, dan sewaktu melaksanakan hukuman yang disyariatkan ke atas orang yang berhak menerima hukuman dan tidak boleh merasa belas kasihan dalam menjalankan hukuman hudud. Umpamanya berzina, apabila cukup empat orang saksi yang beriman yang dapat membuktikan secara sahih, barulah pelaksanaan hukuman hudud harus dilaksanakan.
Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan yang negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.
Kemuncak kepada ciri-ciri melampau dalam agama ialah mereka menggugurkan hak Muslim yang lain sehingga ke tahap menghalalkan darah sepertimana golongan Khawarij yang mengkafirkan semua orang yang tidak sependapat dengannya pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Mereka ini adalah golongan yang paling taat menyembah Allah, berpuasa, mendirikan sembahyang dan membaca al-Quran. Tetapi mereka telah rosak dari segi ideologi dan bukannya jasmani.
Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).
Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama.
Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya.
Dalam situasi politik agama yang berlaku beberapa dekad lalu jelas membuktikan kerana mahukan sokongan yang besar, pemimpin politik agama itu sanggup “menipu, berbohong” dan seterusnya memanipulasikan keyakinan khalayaknya dengan pendekatan politik menghalalkan apa sahaja, asalkan matlamatnya tercapai. Meskipun tidak dilahirkan sendiri, dilahirkan menerusi penggunaan testimonial, ia boleh membawa mudarat yang besar kepada umat Islam dan bukannya memperkuatkan keyakinan beragama.
Asas ketaatan yang disungguhkan dalam pendekatan Islam ialah melaksankan segala bentuk kebaikan (ibadat, berbuat baik, tidak sombong dan saling bekerjasama) dan meninggalkan segala bentuk kemungkaran (berbohong, menipu, politik selindung, kambing hitam dan pelabelan buruk) kerana semua orang adalah ibarat nadi dan sendi dalam kehidupan berorganisasi.
Tanpa ketaatan sesebuah organisasi akan mengalami keruntuhan, maka kerana sudah membayangkan bakal berlakunya kehancuran dalam organisasi yang dipimpinnya, khayalak politiknya semakin beralih arah kerana organisasi tandingannya semakin menyerlah, pragmatik dan menjiwai kepentingan awam, maka dengan menghidupkan jiwa taksub akan boleh menyelamatkan kedudukan politiknya.
Asas membangun jiwa kehambaan yang terhadap Allah SWT adalah berasaskan pembudayaan konsep beribadah (ibadullah) dan kehambaan kepada Allah SWT (ibadur rahman), bukan dalam kalangan manusia, termasuk pemimpin yang menggelarkan dirinya ulamak tetapi mentafsir sesuatu dalam konteks politik. Ketaatan yang hendak disuburkan dalam Islam ialah sentiasa mencari keredhaan-Nya dalam segala bentuk, masa dan keadaan, kerana hidup mati kita adalah bergantung kepada ehsan-Nya.
Penggunaan istilah taat telah dimanupulasikan menyamai konsep taksub, sedangkan keduanya mempunyai persimpangan yang terlalu jauh walaupun pada mulanya bertolak pada asas yang sama. Taksub membawa makna sebagai ketaatan melulu manakala taat ialah kepatuhan terhadap hakikat dan iradat, sesuai dengan peraturan, prosedur dan ketentuan-ketentuan yang digariskan oleh sesuatu sudut kepercayaan.
Ketaatan kepada pemimpin, meskipun diberikan kedudukan yang tinggi ia tetap tertakluk dengan nilai-nilai pragmatic yang ada diri seseorang pemimpin itu sendiri. Meskipun seseorang pemimpin itu dilihat warak dari segi pengetahuan agama, amalan setiap hari tidak menepati asas agama, khalayaknya berhak untuk tidak mentaatinya kerana boleh mendatangkan mudarat dan kemusnahan.
Dalam pengertian taksub, khalayak tidak boleh mempersoalkan apapun, termasuk cara pemimpin mereka bertindak dan memberikan pendapat, kerana perbezaan itu akan dinilai sebagai “penderhaka” sedangkan pemimpin itu sendiri sudah menunjukkan tanda penderhakaan yang agama yang besar dan kelakuannya sentiasa berselindung di sebalik ungkapan agama untuk membungkuskan tabiat penderhakaannya.
Khalayak taksub memangnya disorot secara jelas dalam al-Qur’an kerana mereka adalah golongan yang amat merbahaya kepada Islam. Ketaatan membuta-tuli dan terlalu memihak itulah akhirnya berupaya melanggar nilai dan etika yang telah ditetapkan, termasuk apabila mempercayai bahawa tokok politik agama itu sebagai “orang keramat”, setiap orang berlumba-lumba untuk mendapat keberkatannya, termasuk makan dalam bekas makanan tanpa dibasuh terlebih dahulu, mengambil barang-barang kepunyaannya dan menaja apa yang sahaja yang dimahukannya.
Kerana mempunyai sikap taksub, fikiran dan hati seseorang akan tertutup. Jiwanya dipenuhi gelombang kesumat sehingga tidak lagi nampak kebaikan dan kesegaran pemikiran orang lain, kerana itulah setiap kali membuat pandangan, seringkali mencela, mengecam, dan menghina seolah-olah dirinya sahajalah yang maha sempurna dan tinggi beragama. Itulah bahaya yang perlu diawasi, ditolak dan ditentang oleh setiap umat Islam, kerana tiada lagi nabi selepas wafatnya nabi terakhir sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT, dan pengakuan Rasullullah SAW sendiri, bahawa “tiada lagi nabi selepasku.”
Maka inilah taksub yang dibenci di mana ia merasakan dirinya sahaja yang betul, menolak pendapat yang selain daripadanya. Inilah yang dikatakan ciri-ciri pelampau agama yang sebenar.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments