Pluralisme melahirkan sikap toleransi dalam masyarakat madani. Toleransi diartikan sebagai sikap saling menghargai dan menghormati aktiviti individu atau kelompok lain dalam bermasyarakat

Masyarakat Madani perlu mempunyai prinsip serta komitmen yang utuh terhadap agama yang dianuti. Mereka harus mematuhi segala ajaran agama yang meliputi perintah dan larangan Allah s.w.t.Islam adalah agama yang amat mengambil berat tentang hubungan, khususnya dengan jiran mereka yang bukan beragama Islam.

Kita selalu membaca sejarah Rasulullah s.a.w. yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan, pembesar satu kaum yang bukan Islam dan terhadap orang tua serta orang kafir yang berhajat.

Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang Yahudi sampai baju besinya masih tergadai dengan orang Yahudi sehingga Baginda wafat.

Dan bagaimana nabi melayan orang tua dan mereka yang memusuhinya dan bagaimana penghormatan dan sanjungan yang diberi kepada jenazah seorang Yahudi yang sedang dibawa di hadapannya sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu.

Kata sahabat tidakkah jenazah itu seorang Yahudi. Jawab baginda, bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah. Ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan menjalin hubungan dengan orang-orang kafir yang tidak memerangi dan mengusir kamu dari tanah air kamu. Sesungguhnya Allah amat mengasihi mereka yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu memberi walad (kuasa penuh) kepada mereka. Maka mereka itulah orang yang zalim.(AlMunthahanah : 8-9).

Antara dua ayat tersebut sebenarnya tidak ada pertentangan kerana yang pertama dibenarkan kita berbuat baik atau berbaik dan berlaku adil kepada semua terutama jiran atau masyarakat dalam negara sendiri. Manakala ayat yang kedua pula Allah tidak membenarkan kita berwalak atau mengagungkan mereka yang memusuhi kita seperti orang komunis dulu. Manakala orang bukan Islam yang lain dibenarkan kita berbaik-baik dengan mereka.

Baginda bersabda yang bermaksud: Sesiapa menyakiti orang bukan Islam yang hidup bersama dalam negara Islam serta bersama-sama mempertahankan negara itu atau apa yang dimaksudkan kafir zimmi, maka dia telah menyakiti aku sendiri. (Hadis Riwayat Bukhari).

Begitu juga bila datang orang bukan Islam meminta hutang dengan cara yang kasar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Umar memarahi Yahudi yang tidak tahu beradab tersebut. Tetapi Baginda tidak memarahinya dan tidak pula menyebelahi Umar. Maka ditegurnya sikap Umar yang kasar tersebut dengan sabdanya yang bermaksud: Jangan bersikap kasar dan bengis dengan pemiutang tersebut. Sepatutnya engkau dapat menjadi seorang kawan yang baik dengan menenangkan Yahudi tersebut dan menasihatiku supaya menjelaskan hutangnya dengan segera apabila sampai tempohnya nanti.

Peristiwa ini berlaku kerana orang Yahudi tersebut tersilap tarikh dan telah mempercepatkan janji yang belum sampai tempohnya. Sikap sopan santun Rasulullah itu menyebabkan Yahudi tersebut akhirnya malu tersipu-sipu sehingga ada riwayat yang menyatakan Yahudi tersebut insaf dan mengagumi baginda lalu memeluk Islam.

Berbicara tentang konsep toleransi dalam dalam Islam, ia seharusnya dimulai dengan merujuk kepada firman-firman Allah s.w.t. Banyak sekali ayat al-Quran yang boleh dijadikan titik tolak untuk membicarakan tentang kebebasan beragama. Allah s.w.t telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan jikalau Tuhanmu mengkehendaki tentulah beriman semua orang di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?(Surah Yunus: 99)

Dan dalam surah Al-Kahfi allah berfirman yang bermaksud :

Dan katakanlah. Kebenaran itu datang dari Tuhanmu. Maka barang siapa yang ingin beriman silakan beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah kafir.(Surah Al-Kahfi : 29)

Dengan prinsip-prinsip inilah dan banyak lagi, Islam mengembangkan konsep tentang kebebasan beragama. Dalam catatan sejarah, Rasulullah s.a.w mengamalkan toleransi dalam seluruh kehidupan Baginda sebagai Nabi dan Rasul utusan Allah s.w.t.

Antara lain, beliau menunjukkan sikap bersahabat terhadap para penganut agama lain, berkunjung dan menziarahi keluarga mereka yang kematian ahli keluarga, menghadiri majlis kenduri dan melawat orang-orang yang sedang sakit. Dalam erti kata yang lain, Rasulullah s.a.w mengamalkan sikap menghormati semua manusia biarpun berbeza pegangan agama dan pendapat.

Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh-contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah contoh terbaik.

Demikian juga prinsip toleransi anjuran Islam yang telah dilaksanakan sepenuhnya oleh pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. masih dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat di Malaysia. Antaranya ialah memberikan kebebasan beragama kepada semua golongan. Kebebasan ini dapat dilihat dalam pembinaan rumah-rumah ibadah mengikut agama masing-masing.

Kerajaan sudah tentu tidak membenarkan masjid atau surau didirikan di kawasan yang majoriti penduduknya menganut agama yang lain daripada Islam demi memelihara keharmonian antara kaum. Bahkan dari segi bilangannya, kerajaan sentiasa membenarkan supaya bilangan rumah ibadah yang secukupnya untuk didirikan.

Setiap kaum atau golongan dibenarkan untuk mengajar agama di kalangan masyarakat mereka sendiri tanpa sebarang halangan.

Bahan-bahan bacaan juga dibenarkan untuk dicetak dan disebar di kalangan mereka untuk memastikan mereka dapat menghayati agama sendiri. Setiap kumpulan masyarakat dibenar menghidupkan budaya masing-masing tanpa sebarang tekanan asalkan ia tidak menggugat keharmonian antara kaum.

Kerajaan juga membenarkan pendidikan yang berbeza aliran di peringkat rendah supaya bahasa dan budaya sesuatu kaum dapat terus dikekalkan.

Tiada sebarang sekatan kepada mana-mana kaum untuk melaksanakan kegiatan ekonomi. Bahkan kerajaan menggalakkan usaha sama yang erat antara kaum bagi menjayakan usaha masing-masing.

Oleh : Mohd Shauki Abd Majid

Translate »