Menurut Islam hidup dan kehidupan ini adalah takdir Tuhan. Namun, ini tidak bererti bahawa manusia tidak dapat berusaha untuk mencapai kesejahteraan hidup itu, kerana dalam bahasa al-Quran takdir adalah ukuran-ukuran yang ditetapkan Tuhan atas segala sesuatu. Manusia bebas memilih perjalanan hidup dalam kerangka takdir tersebut. Ia tidak dapat keluar darinya, namun manusia memiliki banyak pilihan.
Kehidupan manusia di pengaruhi oleh banyak faktor, kerana itu sudah menjadi kewajipannya untuk mengendalikan dan mengarahkan faktor-faktor tersebut sehingga makna yang diharapkan dari kehidupan tercapai. Dan salah satu faktor tersebut adalah kesihatan.
Sihat dalam pandangan agama bukan hanya bebas daripada penyakit atau cacat jasmani, tetapi juga rohani. Islam memperkenalkan istilah afiat yang pada hakikatnya menggambarkan berfungsinya seluruh potensi jasmani dan rohani manusia sehingga mampu mencapai tujuan kehadirannya di pentas bumi ini.
Manusia yang sihat adalah manusia yang sejahtera dan seimbang jasmani dan rohaninya. Dengan kesihatan, manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum yang mungkin, dan dapat meningkatkan pengabdiannya kepada Tuhan serta sesama manusia dan Negara. Para ulama Islam sepakat bahawa ajaran Islam bertujuan memelihara lima perkara pokok, iaitu agama, jiwa, akal, kehormatan (keturunan) dan kesihatan. Setiap usaha yang dapat mendukung tercapainya salah satu dari tujuan itu walaupun belum ditemukan dalam al-Quran atau al-sunnah, mendapat restu atau dukungan penuh dari ajaran Islam.
Gizi (zat makanan yang diperlukan bagi tubuh dan kesihatan), yang dalam hal ini mempunyai peranan sangat besar dalam membina dan menguatkan kesihatan seseorang dan ini tidak terlepas dari apa yang dikemukakan di atas. Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk memelihara kesihatannya seperti terungkap dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu.
Tidak dapat disangkal, makanan mempunyai pengaruh besar terhadap pertumbuhan dan kesihatan jasmani. Persoalan yang akan diketengahkan di sini adalah pengaruhnya terhadap jiwa manusia.
Al-Harali seorang ulama besar berpendapat bahawa jenis makanan dan minuman dapat mempengaruhi jiwa dan sifat-sifat mental pemakannya. Ulama ini menyimpulkan pendapatnya dengan menganalisis kata rijs yang disebutkan al-Quran sebagai alasan untuk mengharamkan makanan tertentu, seperti pengharaman minumam keras (al-Maidah ayat 90) bangkai, darah, dan daging babi (surah Al-An’am ayat 145).
Kata rijs menurutnya bermaksud keburukan budi pekerti serta moral. Sehingga, apabila Allah menyebut jenis makanan tertentu dan menilainya sebagai rijs, maka ini bererti bahawa makanan tersebut dapat menimbulkan keburukan budi pekerti.
Sesuai dengan di atas adalah pendapat yang dikemukakan oleh ulama kontemporeri, Syaikhh Taqi Falsafi, dalam bukunya Child between Heredity and Education. Dia menguatkan pendapatnya dengan mengutip Alexis Carrel, pemenang hadiah Nobel Kedoktoran. Carrel menulis dalam bukunya Man the Unknown lebih kurang sebagai berikut:
Pengaruh dari campuran (senyawa) kimiawi yang dikandung oleh makanan terhadap aktiviti jiwa dan fikiran manusia belum diketahui secara sempurna, kerana belum diadakan eksperimen secara memadai. Namun tidak dapat diragukan bahawa perasaan manusia dipengaruhi kualiti dan kuantiti makanan.
Dalam kaitan dengan kesihatan masyarakat dan kesejahteraan negara, gizi yang membawa kepada kesihatan merupakan syarat untuk pencapaiannya. Tanpa kesihatan, manusia tidak dapat melakukan aktiviti yang bersifat Madani. Dan kesihatan diperoleh dari makanan yang bergizi. Inilah salah satu sebab mengapa al-Quran, dalam banyak ayatnya, mengaitkan aktiviti di bumi dengan makanan yang bergizi.
Jelas bahawa makanan mempunyai pengaruh yang besar bukan sahaja terhadap jasmani manusia tetapi juga jiwa dan perasaannya.
Apakah pesan-pesan al-Quran mengenai makanan? Ketika berbicara tentang perintah makan, Allah s.w.t., memerintahkan agar manusia memakan makanan yang sifatnya halal dan thayyib.
Sesuatu yang halal adalah yang terlepas dari ikatan bahaya duniawi dan ukhrawi. Kerana itu kata halal juga bererti boleh. Dalam bahasa hukum, kata ini mencakupi segala sesuatu yang dibolehkan agama, baik kebolehan itu bersifat sunnah, anjuran untuk dilakukan, makruh (anjuran untuk ditinggalkan) mahupan mubah. Kerana itu boleh jadi ada sesuatu yang halal (boleh), tetapi tidak dianjurkannya dengan kata lain hukumnya makruh. Nabi misalnya melarang seseorang mendekati masjid apabila ia baru memakan bawang. Nabi bersabda sebagaimana diriwayatkan Abu Daud melalui Ali bin Abi Thalib.
Rasulullah melarang memakan bawang putih kecuali setelah dimasak. Dalam riwayat at-Tirmizi dikemukakan bahawa seseorang bertanya: apakah itu haram? baginda menjawab: Tidak, tetapi saya tidak suka aromanya.
Kata thayyib dari segi bahasa bererti lazat, baik, sihat, mententeramkan dan paling utama. Pakar-pakar tafsir ketika menjelaskan kata ini dalam konteks perintah makan menyatakan bahawa ia bererti makanan yang tidak kotor dari segi zatnya atau rosak, atau dicampuri benda najis.
Makanan yang sihat adalah makanan yang memiliki zat gizi yang cukup dan seimbang. Dalam al-Quran disebutkan sekian banyak jenis makanan yang sekali gus dianjurkan untuk dimakan, misalnya padi-padian (al-Sajadah ayat 27), ikan (al-Nahl ayat 4), buah- buahan (al-Mukminun ayat 19; al-An’am [6]: 141), lemak dan minyak (al-Mukminun ayat 21), madu (al-Nalh ayat 69) dan lain-lain. Penyebutan aneka macam jenis makanan ini, menuntut kearifan dalam memilih dan mengatur keseimbangannya.
Betapa agama menekankan peri pentingnya menjaga kesihatan serta pencegahan sesuatu penyakit. Malah kita diberi petunjuk oleh Nabi, apabila ditimpa penyakit segera berubat kerana Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan pula ubatnya.
Dalam usaha mengekalkan dan menjaga kesihatan ia bukan hanya dilihat sebagai urusan perseorangan atau keluarga tetapi menekankan pentingnya pencegahan.
Contohnya apabila kita mendengar wabak penyakit di suatu tempat maka elaklah diri dari menuju ke tempat itu dan jika kita berada di sana maka jangan keluar. Demikian juga Nabi menegur beberapa sahabatnya yang bermaksud melampaui batas beribadah, sehingga keperluan jasmaniahnya terabai dan kesihatannya terganggu.
Pembicaraan keagamaan tentang kesihatan fizikal dimulai dengan diletakkan prinsip: Pencegahan lebih baik dari pengubatan.
Salah satu sifat manusia secara tegas dicintai Allah adalah orang yang menjaga kebersihan. Kebersihan digandingkan dengan taubat, contohnya dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah senang kepada orang yang bertaubat dan senang kepada orang yang membersihkan diri.
Taubat membawa kepada kesihatan mental, manakala kebersihan lahiriah membawa kepada kesihatan fizikal.
Islam menyarankan umatnya mengambil makanan yang halal dan baik sahaja. Adalah kewajipan setiap orang untuk memelihara kesihatannya seperti terungkap dalam sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments