Kita percaya dan yakin bahawa malapetaka banjir besar yang menimpa Negara Pakistan itu menuntut kita untuk berfikir dengan penuh kecerdasan batiniah atau dengan mata hati. Lihatlah dengan mata hati, jika tidak tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t tidak akan terjangkau.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dan daripada kehidupan dunia, sedang mereka lalai tentang (kehidupan) akhirat.” (Ar-Rum: 7)
Demikian juga dalam memerhatikan dan memahami ayat-ayat Allah, seandainya mereka melihat ayat-ayat tersebut dengan pandangan mata atau dengan pelbagai aneka fenomena, tetap tidak dapat meletakkan atau memanfaatkannya sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
Malah ia juga tidak dapat membawanya memahami makna hidup dan fungsi serta peranan manusia di pentas dunia ini. Boleh jadi mereka melihatnya sebagai satu perbuatan sihir atau mitos atau boleh jadi juga mereka melihatnya semata-mata sebagai fenomena alam dan tidak mengaitkannya sedikit pun dengan Allah s.w.t.
Firman Allah yang bermaksud: “Aku akan memalingkan hati orang-orang yang sombong dan takbur di muka bumi ini dengan tiada alasan yang benar daripada memahami ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan Kekuasaan-Ku); “Dan mereka yang bersifat demikian jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepada-Nya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripada-Nya.” (al-Araaf: 146)
Jadi, apakah kaitan antara kederhakaan manusia kepada Allah seperti kekufuran dengan bencana alam? Di dalam al-Quran sendiri banyak menyentuh hal sedemikian. Hanya manusia seringkali alpa menemukan makna antara yang makruf dengan yang mungkar.
Dosa dan keingkaran yang dilakukan manusia mengakibatkan gangguan terhadap keseimbangan di darat, di laut dan udara. Ketiadaan keseimbangan itu, mengakibatkan bencana bagi makhluk yang hidup termasuk manusia. Semakin banyak pengurusan terhadap persekitarannya, semakin besar pula kesan keburukanya. Semakin banyak serta bermacam-ragam dosa manusia, semakin parah pula kerosakan persekitarannya. Hakikat ini merupakan kenyataan yang tidak dapat ditolak, apabila kita mengaitkannya dengan fenomena yang melanda manusia akhir-akhir ini. Demikianlah Allah s.w.t menciptakan semua makhluk, saling kait-berkait. Dalam kaitannya yang harmonis, lahir keserasian dan keseimbangan daripada yang terkecil hingga yang terbesar, dan semuanya tunduk dalam pengaturan Allah s.w.t Yang Maha Agung.
Apabila terjadi gangguan pada keharmonian dan keseimbangan itu, maka kerosakan tidak dapat dielak, dan ini memberi kesan kepada seluruh bahagian alam, termasuk manusia.
Alam raya dengan segala bahagiannya yang mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain, bagaikan satu tubuh badan dalam satu ikatan ia merasai rasa sakit atau sihatnya. Demikian juga dalam pelaksanaan kegiatan dan kewajipanya. Seluruhnya saling pengaruh-mempengaruhi, dan sebagaimana dijelaskan di dalam al-Quran, pada akhirnya semua itu akan kembali kepada Allah s.w.t. Apabila salah satu bahagian tidak berfungsi dengan baik atau menyimpang dari jalan yang seharusnya ia tempuh, maka akan tampak kesan negatifnya pada bahagian yang lain. Kesan ini akan mempengaruhi pada seluruh bahagian. Hal ini berlaku terhadap alam raya dan merupakan hukum alam yang ditetapkan Allah s.w.t yang tidak mengalami perubahan, termasuk terhadap manusia, di mana manusia pun tidak mampu mengelakkan diri daripada mengalaminya.
Masyarakat manusia yang menyimpang dari jalan lurus yang di tetapkan oleh Allah, termasuk yang berkaitan dengan alam raya akan terasa impak yang negatif hasil daripada penyelewengan itu. Apabila. keadaan itu terjadi, maka akan lahir krisis dalam kehidupan bermasyarakat serta gangguan dalam interaksi sosial mereka seperti krisis moral, ketandusan kasih sayang dan kekejaman. Bahkan lebih daripada itu akan bertimpa-timpa musibah dan bencana alam seperti “keengganan langit menurunkan hujan atau bumi menumbuhkan tumbuhan”, datangnya banjir atau tanah runtuh serta gempa bumi dan bencana alam yang lain. Semua itu adalah ayat-ayat atau tanda-tanda yang diberikan Allah s.w.t Yang Maha Kuasa.
Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah s.w.t mahu merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Ar-Rum: 41)
Oleh hal yang demikian itu, dalam usaha mengharungi kehidupan duniawi, kita harus berasa senang, berlapang dada, yakin, dan reda menerima hukum dan peraturan Ilahi. Ia bersesuaian sepertimana firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 59 yang bermaksud: “Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan Allah dan rasul-Nya kepada mereka, dan berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah.” (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).”
Ada pun perkara yang termasuk dalam ruang lingkup yang diterima dengan perasan senang hati (reda) itu ialah ketentuan-ketentuan (qadar) yang sudah ditetapkan Allah untuk setiap orang atau sesuatu bangsa.
Ketentuan-ketentuan itu yang umumnya disebut takdir pada asasnya melibatkan dua perkara. Pertama, berupa nikmat yang pasti akan diterima manusia dengan perasaan senang dan dengan penuh kegembiraan; dan kedua, merupakan bencana (musibah dalam pelbagai bentuk).
Ketika kita ditimpa bencana, sudah tentu kita akan mengeluh, sedih dan berkata-kata dalam hati: mengapa musibah itu menimpa ke atas diri kita. Sikap seumpama ini termasuk dalam kategori tidak reda menerima takdir ketentuan Ilahi.
Walhal dalam Islam dianjurkan agar kita bersikap seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud: “Apabila sesuatu musibah menimpa engkau, maka janganlah engkau berkata, “Kalau (tadinya) aku berbuat begitu tentulah jadinya akan begini.” Tetapi katakanlah, “Allah telah mentakdirkan yang demikian dan apa-apa yang dikehendaki-Nya, Dia perbuat.” Ucapan `kalau- kalau’ itu hanyalah membukakan peranan syaitan.” (Riwayat Muslim)
Jelasnya, dengan apa yang kita saksikan di sekeliling kita, selain mengakuri keesaan dan kemahakuasaan-Nya, hendaknya kita juga dapat menginsafi bahawa betapa pentingnya manusia diasuh untuk ‘bersahabat’ dengan alam.
Dalam segala keadaan apa sekalipun, apa yang lebih penting pada saat kita dilanda berbagai-bagai macam musibah, kesabaran yang tinggi amat dituntut oleh agama. Dan setiap kesabaran itu juga merupakan pintu hidayah bagi hati.Tidak dapat tidak kita perlu memiliki kesabaran itu kerana setiap musibah yang terjadi tidak lepas daripada ketentuan Allah s.w.t. Kita tentu tidak mahu sehingga tiba pada suatu peringkat, akibat ketidaksabaran itu akan mencacatkan keimanan seseorang (kita) terhadap rububiyah Allah.
Salah satu daripada sedemikian banyak faktor yang menyebabkan kegagalan seseorang dalam menjaga dan menpertahankan sikap sabar adalah rasa pesimis dan kekurangan keyakinan terhadap balasan dan janji Allah sw.t. Abu Talib Al-Makki dalam kitabnya Qutul Qulub menjelaskan bahawa orang yang paling baik atau terpuji kesabarannya ketika ditimpa musibah adalah mereka yang paling tebal keyakinannya, dan kebanyakan manusia yang gemar atau suka mengeluh dan bersikap berdendam dalam menerima musibah adalah mereka yang tipis keyakinannya. Bagi Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah pula, bencana-bencana yang menimpa manusia merupakan kenikmatan. Terhapusnya dosa dan kesalahan dengan adanya musibah-musibah, juga termasuk dalam kenikmatan yang besar.
Bencana atau musibah yang melanda pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana. Hal demikian itu semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih, dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.
Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah s.w.t semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut. Tidak ada tempat berlindung kecuali berada dibawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada- Nya. Sehubungan itu, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (At- Taghabun: 11)
Alqamah, seorang tokoh daripada kalangan tabiin pernah berkata: “Ia adalah seseorang yang dilanda musibah. Kemudian ia meyakini bahawa musibah itu berasal daripada Allah, sehingga tetap reda dan berserah diri.”
Demikan juga dengan Nabi Yunus, iaitu ketika baginda dimasukkan ke dalam mulut ikan yang besar, maka ia memanggil Rabbnya, memohon pertolongan daripada-Nya, sekali gus mengakui kesalahannya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Allah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (Al-Anbiya: 87)
Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan ‘mengundang’ jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Semoga kita semua terpelihara daripada bencana serta dapat menghayati ayat-ayat Allah, baik yang terhampar mahupun yang tertulis.
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa ia adalah hak/benar.” (Al-Fusshilat: 53)
Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan.” (Al-Baqarah: 155)
Ini semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin, dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi…”
Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita. Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad s.a.w, contohnya, pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih, dan air mata tetap berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhannya sahaja. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.
Demikianlah contoh keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t. Justeru itu digalakkan mereka yang ditimpa musibah itu berkata sebagaimana yang dituntut oleh agama: “Kami hanya bagi ( milik ) Allah dan kami tetap kembali mengadap-Nya.” (Al-Baqarah:156)
Di dalam al-Quran dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.
Kesabaran yang tinggi amat dituntut di dalam Islam kerana dengan memiliki jiwa yang sedemikianlah umat Islam akan menjadi suatu umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa. Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.
Catatan : :Ibnu Majid
Recent Comments