FATWA
Dari segi bahasa, fatwa bererti petua, nasihat atau jawapan atas pertanyaan yang berkaitan dengan hukum. Orang yang mengeluarkan fatwa disebut sebagai mufti dan yang meminta fatwa disebut mustafti. Dalam ilmu usul fiqh, fatwa ditakrif sebagai pendapat yang dikemukakan oleh seorang mufti atau ahli fikah sebagai jawapan bagi pertanyaan peminta fatwa dalam suatu kes yang sifatnya tidak mengikat. Tidak mengikat bermaksud kerana fatwa yang dikeluarkan tidak harus diikuti oleh orang yang memintanya kerana fatwa seorang ulama biasanya berbeza daripada fatwa ulama lain di tempat yang sama. Pada awalnya, fatwa hanya diberikan secara bebas dan tidak ada usaha untuk membukukannya. Pengumpulan fatwa menjadi sebuah kitab dilakukan pada abad ke-6, atas inisiatif beberapa ulama fikah. Setelah itu, terdapat pelbagai kitab fatwa daripada berbagai-bagai mazhab.
MENGELUARKAN FATWA
Ada tiga perkara yan harus diperhatikan oleh seorang mufti semasa mengeluarkan fatwa. Pertama, fatwanya harus berlandaskan dalil. Jika fatwanya diambil daripada pendapat mujtahid terdahulu, beliau harus menyebutkan rujukannya, termasuk dalil yang mendasari pendapat mereka. kedua, jika mufti mempunyai kemampuan ilmiah untuk menyimpulkan hukum melalui penalarannya sendiri, beliau harus mendalami hukum dengan mengambil kira reality yang ada. Ketiga, fatwa harus berdasarkan pemahaman agama yang benar, dengan menimbangkan aspek kemaslahatan umat.
FATWA SEMASA
Fatwa semasa ialah pendapat mufti yang berkaitan dengan masalah baru. Beberapa buku kumpulan fatwa yang dapat digolongkan dalam kategori fatwa semasa antaranya: kitab al-Fatawa karya Syeikh Mahmud Syaltut, ulama Mesir terkemuka, kitab al-Fatwa al-Mu’asirah karya Yusuf al-Qardawi, Tanya Jawab Agama yang dikeluarkan oleh Majelis Tarjih Muhammadiyah dan kumpulan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia.
PERANAN MUFTI
Di beberapa negara Islam pada masa ini, seperti di Mesir, Arab Saudi, Syria dan Maghribi, peranan mufti sangat penting dan merupakan salah satu institusi rasmi yang menguruskan pelbagai persoalan umat Islam. Di Malaysia, institusi rasmi yang mengeluarkan fatwa ialah Majlis Fatwa Kebangsaan. Mufti sebagai salah satu jaatan keagamaan tidak terikat oleh satu mazhab. Mufti boleh mengambil atau merujuk fatwanya kepada mana-mana mazhab, dengan menimbangkan keadaan dan situasi masyarakatnya.
SYARAT MUFTI
Ulama ada menyebut banyak syarat yang harus dipenuhi seorang mufti agar fatwanya dapat dipertanggungjawabkan. Syarat tersebut ialah akil baligh, berakal, merdeka, adil dan mempunyai kemampuan ilmiah untuk mengeluarkan fatwa. Menurut al-Ghazali, ulama usul fiqh Mazhab Syafie, yang dimaksudkan dengan orang yang “adil” dalam syarat itu ialah orang yang baik agamanya dan memelihara kehormatan peribadinya. Syarat ini sangat diperlukan kerana mufti merupakan ikutan masyarakat, baik dari segi fatwa yang dikeluarkan mahupun dari segi keperibadiannya.
DASAR HUKUM FATWA
Seseorang tidak boleh melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak tahu hukumnya. Jika dia tidak tahu, maka dia wajib bertanya kepada orang yang mengetahui (Q.16:43). Adapun orang yang mengetahui hukum sesuatu perkara, maka wajib baginya memberitahu hal itu jika diminta pendapatnya. Dalam sebuah hadis disebutkan: “Barang siapa yang menutup pengetahuan setelah dia ditanya, maka pada hari kiamat kelak dia akan dikekang dengan kekang api neraka” (H.R. Muslim).
- Salah satu lembaran buku kumpulan fatwa ialah Muhimmat al-Nafa’is. Kitab koleksi fatwa dari Makkah yang dikumpulkan pada kahir abad ke-19 ini banyak digunakan oleh umat Islam
- Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh ulama, makanan yang mengandungi daging atau lemak babi adalah haram, baik untuk dimakan mahupun dijual
Oleh : Suryati Saat
Recent Comments