Persoalan pertama, adakah perang mazhab sedang berlaku hari ini? Lihat Iraq, pertumpahan darah sedang berlaku antara penganut mazhab Sunnah wal Jamaah dengan Syiah. Lihat Afghanistan, perang antara Wahabbi dengan bukan Wahabbi sedang berlaku. Adakah itu perang mazhab?
Apabila disebut perang dalam erti kata sebenar, ia bererti pertempuran secara berterusan antara dua pihak dengan pertumpahan darah serta dapat menawan wilayah-wilayah tertentu. Sementara apabila disebut mazhab maka tentunya ia merujuk kepada aliran pemikiran yang berbeza walaupun dalam agama yang sama.
Maka jika maksud perang adalah sedemikian, maka tidaklah boleh dikatakan ia sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan. Ini kerana pertempuran secara berterusan tidaklah pula berlaku. Apa yang berlaku di Iraq ialah serangan gerila dalam bentuk pelbagai kumpulan terhadap kerajaan Baghdad dan tentera Amerika Syarikat. Walaupun Afghanistan berbeza tetapi ia juga merupakan pertempuran gerila daripada Taliban ke atas kerajaan Kabul.
Sementara kumpulan gerila di Iraq yang umumnya adalah dari kalangan Sunnah wal Jamaah tetapi ia bukan berdasarkan kepada fahaman mazhab, tetapi lebih kepada politik golongan sebahagian daripada Sunnah wal Jamaah yang menolak kerajaan demokratik dokongan Amerika di Baghdad. Walaupun kerajaan Baghdad didominasi oleh Syiah tetapi sebahagian besarnya juga terdiri daripada golongan Sunnah. Malah Kurdis yang menjadi dalah satu daripada tiga komponen golongan di Iraq adalah juga Sunnah, dajn bukannya Syiah.
Di Afghanistan pula keadaan juga tidak boleh dilihat sebagai mazhab. Sememangnya Taliban dianggap sebagai Wahabbi sementara kerajaan Kabul terdiri daripada pelbagai golongan bukan Wahabbi, tetapi pertempuran antara kedua pihak lebih kepada soal politik, iaitu untuk menentang Amerika di samping untuk kepentingan etnik masing-masing.
Maka jika apa yang dilihat sebagai perang di Iraq dan Afghanistan tidak boleh dinilai sebagai peperangan mazhab, maka bererti pada masa ini ia tidak berlaku. Bagaimanapun jika dilihat dalam sejarah islam sekalipun, apa yang dinilai sebagai perang mazhab tidaklah setepat yang disangka. Untuk memudahkan pemahaman memang seringkali kecenderongan adalah untuk melabel. Itu adalah sifat manusia di mana minda mencari jalan untuk memudahkan tanggapannya.
Umpamanya perang antara Umayah dan Abasiah, adakah ia merupakan perang mazhab? Sementara pihak Syiah mendokong Abasiah dengan Umayah pula disisifatkan sebagai Sunnah wal Jamaah, tidakkah ia tidak tepat. Banyak factor yang mendorong perang antara kedua Bani Umayah dan bani Abasiah, malah ia tidak ada kaitan dengan agama, hanya keluarga dan golongan. Politik semata-mata.
Ataupun mazhab itu sendiri berkait rapat dengan politik? Dalam sejarah Islam, bibit-bibit bermulanya mazhab adalah kerana politik. Pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan dan kemudian munculnya Syiah Ali, tidakkah itu politik semata-mata. Memanglah ia mempunyai asas perjuangan di atas landasan keadilan. Tetapi perjuangan untuk keadilan adalah politik. Sementara tuntutan agama untuk keadilan juga menunjukkan agama berkait rapat dengan politik. Maka begitu juga dengan mazhab.
Maka agama, mazhab dan politik berkait rapat, Untuk menyatakan bahawa perang mazhab akan berlaku pada masa akan dating, ia tidak semudah membuat penilaian sebegitu. Seperti juga di Iraq dan Afghanistan, ia bukan peperangan mengenai mazhab atau agama semata-mata. Ia berkait dengan politik, kaum, etnik, nasionalisme, imperialisme, geopolitik global damn sebagainya.
Maka itulah yang akan berlaku pada masa akan dating. Jika dilihat perang mazhab yang berlaku, ia sebenarnya bukan aliran pemikiran semata-mata. Banyak factor lain yang menyumbang kepada sesuatu peperangan. Agama dan fahaman hanya menjadi alas an atau dorongan bagi sesetengah kumpulan, tetapi secara keseluruhan, ia melibatkan banyak faktor, termasuk ekonomi, sosial dan rebutan sumber alam.
Dalam melihat masa akan datang, cuba lihat kedudukan mazhab. Dalam tradisi Islam, perbezaan mazhab dilihat dari sudut dua cabang utama iaitu Sunnah wal Jamaah dan Syiah. Sementara dalam Sunnah pula terdapat lagi sub mazhab, seperti Wahabbi. Masing-masing mempunyai pemahaman agama yang berbeza. Ada yang kecil, tidak kurang pula ada yang besar. Dalam Syiah, terdapat banyak lagi sub mazhab.
Tetapi pertembungan antara kedua belah pihak ini tidak semudah satu lawan satu. Akan berlaku pakatan yang kadang kala berlaku antara mazhab yang berbeza. Umpamanya Kurdis yang Sunnah boleh berbaik dengan Syiah di Iraq. Itu belum lagi dikira perbezaan fahaman mengenai agama di kalangan orang Islam sendiri. Sememangnya golongan Islam liberal adalah minority tetapi banyak lagi aliran yang dinamakan dengan sesuatu perkatraan hanya bagi memudahkan pemahaman seperti Islam konservatif, Islam progresif Islam fundamentalis, Islam revolusioner, Islam radikal dan pelbagai lagi.
Dalam hal ini adalah dapat diterima akal untuk menerima pandangan MantanTun Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak usahlah membezakan antara sesama Islam. Asal saja seseorang itu mengucap dua kalimah syahadat dan mengakui Islam, anggaplah mereka sebagai bersaudara. Itu bermakna tidak wajar menumpahkan darah sesame Islam. Sebarang perbezaan aliran biarlah dihujahkan pada pentas forum, persidangan, buku-buku atau Internet tetapi tidaklah wajar hingga berbunuhan sesama sendiri.
Jika orang Islam berpegang kepada prinsip ini dan tidak mencari pelbagai hujah untuk membunuh sesama Islam, banyak nyawa orang Islam dapat diselematkan. Umpamanya Hamas dan Fatah tiodak akan bertempur sesame sendiri dengan tumpuan mereka adalah melawan musuh iaitu Israel.
Tidaklah berlaku tindakan keganasan yang membunuh banyak sesama Islam di Iraq supaya Amerika akan cepat berundur dari situ dan tidak ada alas an untuk sentiasa berada di negara malang itu. Begitu njuga di Afghanistan, jika Taliban menghentikan serangan, negara itu akan menikmati ruang damai dan segala tenaga dapaty ditumpukan kepada pembangunan.
Oleh : Zin Mahmud
Recent Comments