Kehadiran bulan Muharam sebagai Tahun Baru Hijrah, adalah tahun baru bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bulan Muharam dianggap bulan mulia dan terpuji. Rasulullah s.a.w sendiri menyebut bulan Muharam sebagai bulan Allah.

Puasa yang paling utama setelah bulan Ramadan adalah puasa di bulan Allah yang kamu menyebutnya bulan Muharam. (maksud hadis)

Apa yang diharapkan dalam memasuki Tahun Baru Hijrah ini kita akan menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Inilah langkah orang bijaksana yang menjadikan masa lampaunya sebagai pelajaran untuk pedoman masa akan datang.

Firman Allah dalam surah al-Faatir ayat 37 bermaksud, Bukankah kami telah melanjutkan umur kamu dan memberi masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat. Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul yang memberi amaran.

Dalam suasana negara yang dibebani dengan isu rasuah sempena tahun baru Hijrah ini, wajar kita bertekad, berhijrah memerangi rasuah.

Rasuah telah menjadi satu bentuk global dan berlaku di mana-mana negara. Namun hakikatnya, gejala rasuah tidaklah begitu ketara di negara kita.

Namun kita tidak boleh leka dan harus sedar bahawa rasuah adalah penyakit yang sangat berbahaya jika dibiarkan berterusan kerana petanda-petanda ke arah itu sudah ada.

Justeru, semua peringkat agensi kerajaan harus bertanggungjawab dan berjihad membanteras gejala rasuah yang menjijikkan ini.

Apabila dikaitkan dari sudut Islam, Allah s.w.t memberi amaran kepada orang Islam supaya tidak makan makanan atau harta yang bersumberkan kebatilan atau tidak halal seperti menganggap harta orang lain sebagai harta kita.

Hadis Nabi Muhammad s.a.w menyebut orang yang memberi rasuah dan menerimanya, kedua-duanya adalah sama sahaja. Tempat yang paling sesuai dengan mereka ialah di luar syurga iaitu di dalam neraka. Apa yang penting bagi umat Islam ialah menegah daripada perkara yang batil; termasuk rasuah.

Rasulullah sendiri pernah ditawarkan perempuan cantik, jawatan tinggi dan harta kekayaan oleh kaum musyrikin Quraisy agar berhenti berdakwah ke jalan Allah. Nabi menjawab: Seandainya kamu letakkan matahari di tangan kananku, dan bulan ditangan kiriku, nescaya aku sekali-kali tidak akan berhenti menyampaikan ajaran tauhid tersebut.

Demikian kentalnya iman Rasulullah untuk tidak terlibat dengan elemen-elemen rasuah tersebut. Itulah jawapan yang amat tepat. Itulah juga cara Nabi menutup mulut orang yang hendak merasuah baginda.

Amalan memberi hadiah ketika musim-musim perayaan sememangnya baik sekiranya dibuat secara ikhlas bagi menunjukkan tanda persahabatan antara pemberi dan penerima.

Namun hakikatnya, kita perlu berhati-hati takut-takut pemberian hadiah itu bermotifkan rasuah. Sesuatu pemberian hadiah itu menjadi rasuah apabila ia dengan tujuan mendapatkan keistimewaan, perkhidmatan atau balasan daripada pihak pegawai kerajaan yang bertugas atau untuk urusan rasminya.

Walaupun memberi dan menerima hadiah atau keraian kecil-kecilan seperti buku diari dan secawan kopi biasa berlaku serta sukar dielakkan tetapi ramai yang berpendapat bahawa jika ia berlaku antara kakitangan sektor awam dengan swasta tanpa batasan, mampu menyerap serta berkembang sebagai satu bentuk rasuah.

Semua bentuk larangan rasuah, adalah selari dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w pernah mengutuskan Ibn Ul-Latbiah kepada satu kabilah untuk mengutip zakat. Setelah beliau pulang, Ibn Ul-Latbiah pun memberikan apa yang diberikan oleh kabilah berkenaan dalam bentuk zakat, sedangkan sebahagian lagi tidak diserahkan kerana ia adalah hadiah peribadi yang diberikan oleh kabilah berkenaan.

Ibn Ul-Latbiah berkata: Ini bahagian kamu dan ini apa yang kamu hadiahkan kepadaku. Mendengar ucapan itu, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

Mengapa kamu tidak tinggal di rumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin bab Halal wal Haram min Rubuil Adat, mengulas peristiwa itu seperti berikut:

Kalau sudah demikian kerasnya larangan dan ancaman, maka sepatutnya seorang hakim atau penguasa atau orang yang berkhidmat dengan jabatan- jabatan pemerintah merenung dirinya. Sekiranya sewaktu ia tinggal di rumah bersama keluarganya (tanpa berkhidmat dengan jabatannya) ia diberi hadiah, maka bolehlah ia terima.

Tetapi kalau ia terima kerana jawatannya atau ketika ia memegang sesuatu jawatan, sedangkan kalau ia tidak memegang jawatan itu, kemungkinan ia tidak diberi hadiah maka hal ini dipandang sebagai subahat. Oleh itu ia hendaklah dijauhi.

Catatan : Ibnu Majid

 

Translate »