Makna bahagia cukup beragam manakala jalan untuk menuju kebahagiaan bukan mudah, cukup berliku. Ungkapan seperti itu sangat lazim kita dengar, bahkan kadangkala kita cuba mendefinisikan sendiri apa itu makna kebahagiaan. Ada orang mensinonimkan ‘kebahagiaan’ itu dengan ‘kesenangan’ atas alasan, bila merasa senang, maka itulah kebahagiaan. Senang itu meliputi dua situasi, situasi batin dan kesempurnaan fizikal (material).

Dalam masyarakat Afrika, pada zaman silam digambarkan bahawa seorang isteri atau suami yang berubah bentuk fizikalnya, dari keadaan ramping atau kurus menjadi gemuk dianggap ‘cukup bahagia’ kerana hidup dalam serba kecukupan, terutama keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, keselamatan dan persekitaran yang kondusif, serta kestabilan emosi.

Ukuran kebahagiaan dengan kesenangan sebenarnya tidaklah begitu tepat. Menurut pakar psikologi, Martin Seligman kebahagiaan itu sangat berkaitan dengan sikap positif cara pandang seseorang terhadap masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Itulah sebabnya, orang yang senang (kaya) tidak semuanya bahagia. Kesenangan diukur pada kriteria material seperti mempunyai rumah besar, kereta mewah, kewangan yang banyak dan kemudahan-kemudahan yang tidak dimiliki oleh orang biasa. Kita mungkin menggambarkan bagaimana salah seorang yang terkaya di dunia, Bill Gates dan Melinda Gates boleh bercerai begitu juga mengenai Steve Jobs.

Seteve Jobs pernah berkahwin dengan Laurence Powell (1991) dan mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelukis, Chrissan Brenan serta Joan Abez. Semasa kematiannya (5 Oktober 2011), Jobs masih kekal dengan Laurence, walaupun kehidupan rumah tangganya muncul pelbagai masalah kesetiaan dan ‘krisis’. Laurence tetap mempertahankannya walaupun Steve Jobs disahkan mengalami kanser pankereas (sejak didiagnosis pada pertengahan 2004) sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Seperti diedahkan oleh bekas kekasih gelap Steve sendiri selama lima tahun, Chrisann Brennan dalam The Bite In The Apple: A Memoir of My Life With Steve Jobs (2013).

Mereka dikatakan bercinta pada zaman remaja (1972-1977), Brennan adalah pekerja di syarikat Apple dalam unit pengiriman. Hasil hubungan sulit (tinggal serumah di Capurtino) itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Lisa. Mereka berpisah semasa Chrissan hamil (1977) dan apabila anak itu lahir, Steve menolak dirinya sebagai bapa dengan berkata: 28 peratus lelaki Amerika Syarikat bersedia menjadikan dirinya bapa kepada Lisa. Selepas menjalani ujian DNA (1983), Steve akhirnya mengakui Lisa adalah anaknya hasil kehidupan bersekedudukan (cohabation) selama lima tahun dan telah membiayai pendidikan tersebut hingga lulus daripada Universiti Harvard .

Seringkali juga kita dengar, apabila pasangan itu berkahwin mereka cuba melupakan masa lalu kerana masa lalu itu sudah berlalu dan tidak dapat dikembalikan. Masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan diambil kebaikannya jika bersesuaian, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana menyesuaikan diri dengan semangat zaman atau keadaan semasa yang kita hadapi bersama.

Di masa lalu, kita berhadapan secara bersendirian atau dibantu dan dimotivasi oleh sanak saudara atau sahabat karib. Masa kini, setelah berkahwin kita hanya ada suami, anak-anak dan sanak saudara. Sanak saudara tentunya cukup berbeza, kerana kita berhadapan dengan dua tradisi yang berbeza, budaya keluarga sebelah suami dan budaya keluarga di sebelah isteri. Tentunya, antara mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza, kerana tradisi kehidupan dan pesekitaran kehidupan juga berbeza, maka di situlah kita perlu memahami dengan jelas, nilai-nilai persamaan bukannya membangkitkan perbezaan.

Secara hipotetikal, saya cuba gambarkan kisah yang berlaku dalam novel popular Korea Selatan, Kim Jiyoung, Born 1982, yang ditulis oleh Cho Nam-Jo yang dikatakan sudah terjual lebih sejuta naskhah di seluruh dunia sejak ianya diterbitkan. Mula diterbitkan pada tahun 2016, manakala terjemahan Inggeris diterbitkan oleh Simon and Schuster tahun 2020. Tahun 2019,  novel tersebut difilemkan di mana Jung Yu-Mi dan Gong Yoo mengambil peranan sebagai watak utama

Novel ini, hanya setebal kurang 180 halaman, ditulis dalam enam bab berdasarkan kronologi kehidupan Kim Jiyoung – Autumn (musim luruh) 2015, zaman kanak-kanak 1982-1994, zaman remaja (1995-2000), awal zaman dewasa (2001-2011), perkahwinan (2012-2015); dan 2016, di mana Kim Joyoung mula berhadapan dengan kegelisahan psikologi, iaitu depresi.

Kim Jiyoung adalah seorang isteri dan juga ibu. Zaman lalunya cukup traumatik kerana pernah membesar dalam persekitaran masyarakat yang memperlekehkan perempuan, dalam istilah feminisme dikenali sebagai dunia patriarki. Kim Jiyuong yang berusia 33 tahun, tinggal di sebuah apartmen  sewa  di pinggir Seoul. Mempunyai seorang anak perempuan dan setelah merasakan sukar untuk mengasuh anak tunggalnya, Kim Jiyoung berhenti kerja. Keputusan tersebut mendapat persetujuan suami.

Transisi kehidupannya, dari seorang wanita berkerjaya (agensi pemasaran) dan suri rumah sepenuh masa, menjadi punca atau penyebab kepada depresi, bermula sejak Kim Jiyoung disahkan hamil. Ia semakin meningkat selepas bersalin (postpartum depression). Beliau kemudiannya terperangkap dalam bingkai gangguan jati diri,  dissosiative depression (gangguan identiti berganda) atau split personality, iaitu memiliki lebih daripada satu gambaran mental keperibadian.

Keperibadian yang berbeza itu saling mengawal dan mempengaruhi Kim Jiyoung sama ada semasa berfikir  atau membuat keputusan. Kadangkala Kim Jiyoung muncul sebagai watak atau peribadi seseorang yang masih hidup ataupun sudah meninggal, termasuk ibu dan rakan sekuliahnya yang meninggal semasa bersalin. Akibat gangguan tersebut, suaminya membawa Kim Jiyoung menemui psikiatari dan akhirnya dijadualkan perancangan rawatan.

Di bahagian akhir, pakar psikiatiari itu bercerita tentang Kim Jiyoung seperti berikut: Jiyoung menjadi orang yang berbeza dari waktu ke waktu. Beberapa orang masih hidup, beberapa orang lainnya sudah meninggal, semuanya adalah perempuan yang dikenalinya. Tidak peduli bagaimana orang lain melihatnya, ia bukan sebuah lelucon atau tindakan jahil. Sesungguhnya, tanpa kecuali (cela) sepenuhnya, dia menjadi orang itu.” Orang itu ialah perempuan-perempuan yang dikenalinya, sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Jiyoung lahir pada tahun 1982, semasa kerajaan Korea Selatan melaksanakan dasar perancangan keluarga, yakni mengehadkan kadar kelahiran. Dasar itu  menyebabkan “semua jenis kelamin (janin) diperiksa” dan “ jika perempuan digugurkan.” Ia merupakan amalan lazim berdasarkan anggapan bahawa anak perempuan membawa kepada bencana atau masalah kesihatan (perubatan). Manakala ketika di rumah, sewaktu membesar Jiyoung merasakan berlaku diskriminasi yang jelas di mana adik lelakinya diberikan keutamaan layanan dan asuhan, termasuk terpaksa berkorban. Ia seperti mengulangi kedudukan anak perempuan di zaman Jahiliyah.

Di sekolah, pelajar perempuan berhadapan dengan aturan yang tidak mesra. Jiyoung pernah mengalami gangguan seksual di sekolah, di tempat awam dan juga di tempat kerja. Setelah membuat keputusan untuk berhenti kerja, Jiyoung sering teringat dengan ungkapan-ungkapan yang mencela terhadap peranan wanita sebagai ibu seperti panggilan “Mom-chung” (ibu lipas), yakni ejekan terhadap wanita yang hidup di atas saraan suami atau mengharapkan wang suami.

Meninggalkan dunia pekerjaan sebelumnya, Jiyoung membawa perkhabaran tentang kemelut psikologi apabila diperkenalkan undang-undang baharu untuk melawan diskriminasi gender, bagi mengatasi masalah ketidakadilan terhadap perempuan. Ini bermakna, walaupun Korea Selatan dilihat sebagai sebuah negara industri yang maju, diskriminasi gender masih belum terhapus sepenuhnya. Mungkin juga menjadi salah satu faktor meningkatnya bunuh diri dalam dalam kalangan rakyat Korea Selatan termasuk selebriti perempuan dan lelaki.

Perempuan sentiasa dilihat dalam bingkai keinginan dan prasangka lelaki, suatu manifestasi gerakan feminisme yang berkembang di barat pada tahun 1800. Gelombang pertama bermula di Perancis, manakala gelombang kedua pada tahun 1960-an dan gelombang ketiga pada awal 1990-an. Ia berkonsepkan ‘autonomi individu’ berkaitan dengan hak.

Hal ini ikut berkembang di Malaysia, dan satu dasar pengupayaan wanita dalam pelbagai peringkat membuat keputusan telah ditetapkan pada tahap 30 peratus (Deklarasi Beijing, 1995). Ini bermakna, pengaruh wanita dalam persekitaran ekonomi, politik dan sosial di Malaysia cukup besar, walaupun kadangkala dilihat ‘kurang bermaya’ dalam sesetengah perkara.

Kategori pekerjaan juga lebih didominasi oleh wanita dalam beberapa sektor, termasuk perkhidmatan awam dan pendidikan. Kesannya, ada situasi di mana lelaki sebagai suami rasa terhina apabila gaji isteri lebih besar, perspektif keluarga mertua terhadap menantu ‘cabuk’ dan tanggapan masyarakat terhadap lelaki mengharapkan wang gaji isteri untuk meneruskan kehidupan sehingga muncul fenomena ‘husband-housewife’, yakni lelaki sebagai pengasuh dan pengurus rumahtangga apabila isteri keluar bekerja.

Ada wanita sudah hilang tradisi kehidupannya, dan tidak lagi menjadi seorang tukang masak yang cekap, bahkan tidak tahu memasak, kecuali ‘masak maggie’ atau jenis makanan versi western. Hal ini lebih serius berlaku dalam kalangan anak-anak perempuan yang dilahirkan pada zaman millennium atau generasi baharu yang disifatkan sebagai ‘digital natives’ yang lebih gemar mengambil makanan ‘segera’ atau fast-food, makanan yang sudah diproses.

Kembali kepada kisah Jiyoung, persoalan masyarakat yang dihadapi oleh masyarakat Korea Selatan masih melihat bahawa perempuan adalah sosok perawat, di mana diperlukan pengorbanan dan kepedulian terhadap orang lain, khususnya lelaki. Perempuan wajib berkorban apa sahaja demi kesejahteraan orang lain, jika tidak ia dilihat sebagai seorang yang gagal, gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya dan nilai. Jiyoung dilihat telah gagal dalam meritmakan nilai sosiobudaya dan dianggap menjadi sumber kepada masalah.

Selain itu, novel ini turut memberikan gambaran keperluan praktis untuk menyesuaikan diri (self-policing) terhadap patologi yang berlaku dan dilakukan oleh perempuan, sebagaimana ditulis dalam bentuk kes-kes perundingan kaunseling. Pengarang cuba menyusurgalurkan bentuk-bentuk pengawasan diri (self-surveillance) yang perlu diamalkan oleh seorang perempuan, yakni kadangkala berkonflik dengan diri sendiri.

Memang, kita tidak dapat menolak masa silam. Masa silam cukup mempengaruhi sikap dan pembentukan jati diri. Jiyoung, terpaksa mencari keputusan dalam menekuni proses kehidupan seterusnya, yakni membuat keputusan berhenti kerja  dan seterusnya menerbitkan dakwaan seperti “Mam-Chung”. Ia juga memberikan kita manisfestasi, perempuan harus menerima keadaan tanpa diberikan peluang untuk mempersoalkannya. Ia memperlihatkan dunia patriarki masih terus menguasai dan hidup dalam masyarakat Korea Selatan meskipun sudah berakhir nilai-nilai yang dipegangi oleh generasi terdahulu, termasuk generasi selepas baby-boom dan sebagainya. Proses peralihan dan perubahan budaya bukan semudah yang kita fikirkan, banyak halangan dan situasi yang mencirikan konflik serta memerlukan pengorbanan besar ahli masyarakat walaupun pada dasarnya dilihat cukup konstruktif.

Apa yang menarik naratif novel ini ialah kemahiran pengarang mengungkap dialog perempuan dan lelaki yang cukup strategik dan berjaya menaikkan simpati. Tidak berlebihan cara pengarang mengungkapkan idea feminismenya, dengan tidak menyerang dunia patriarki secara lantang, sebaliknya menelusuri bagaimana untuk memperdayakan wanita, agar tidak melihat semua lelaki ‘adalah sampah dan harus dibunuh’.

Fenomena melihat semua lelaki adalah sama: jahat, penipu, tidak boleh dipercayai, suka berselingkuh, mata keranjang, tidak setia (curang) dan sebagainya tidak dibahas dengan emosi terbelah, kerana antara lelaki dan perempuan masih tetap saling memerlukan. Lelaki dan perempuan akan terus hidup bergandingan, kerana mereka adalah kawan yang paling rapat dan teman yang amat diperlukan selagi kita berstatus manusia.

Saya sengaja mengambil naratif ini untuk melengkapkan perbincangan selanjutnya dalam konteks proses kebahagiaan yang lebih luas berdasarkan tulisan-tulisan psikologi dan pemikir Islam yang pernah kita ketahui. Saya berpendapat, kebahagiaan tidak wajar diukur dengan neraca materialistik, biarpun sudah dibentuk beberapa kriteria atau pembentukan indeks kebahagiaan oleh banyak pihak, tetapi ia akan tetap berpaksikan bagaimana kita berusaha untuk menjadikan kehidupan itu lebih bahagia. Kebahagiaan adalah manifestasi daripada ketenangan dan ketenteram jiwa, jauh terhindar daripada kekusutan fikiran biarpun dari segi material kita hidup dalam serba kekurangan atau cukup sederhana.

Inilah yang dimaksudkan oleh al-Ghazali ‘menahan syahwat’, yakni syahwat perut dan keinginan seks yang bergelora, sebagaimana diceritakan dalam al-Qur’an perihal kisah Nabi Yusuf AS dan Zulaikha. Nabi Yusuf AS teguh dengan pendiriannya, walaupun digoda oleh Zulaikha tetap menolaknya dan semangatnya cukup kuat untuk menepis godaan syaitan.

Begitu juga dengan kisah Sulaiman bin Yassar, seorang lelaki yang paling tampan dalam pandangan ramai wanita. Sulaiman pernah menceritakan: Pada suatu malam, saya bertemu dengan Yusuf AS, dalam mimpi.

Saya seolah-olah bertanya: Apakah engkau adalah Yusuf? Yusuf menjawab: Ya! Akulah Yusuf yang engkau maksudkan, dan engkau Sulaiman yang belum bermaksud sambil membaca firman Allah SWT yang bererti: Sesungguhnya wanita itu sangat tertarik/teruja dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda Tuhannya.” (Surah Yusuf, ayat ke-24).

Sulaiman pernah digoda oleh seorang wanita cantik dalam kalangan bangsa Badwi. Ketika bersama rombongan untuk menunaikan haji, sampai di tengah jalan mereka berkhemah. Sulaiman berada di dalam khemah manakala rakannya, pergi ke pasar untuk membeli belah dan mencukupkan keperluan sebelum meneruskan perjalanan.

Seorang wanita Badwi terlihat wajah tampan Sulaiman yang keseorangan  berada dalam khemah. Wanita Badwi yang berhijab itu turun dari bukit dan menuju ke khemah di mana Sulaiman sedang berehat. Sesampainya di khemah tersebut, wanita Badwi itu membuka hijabnya dan melepaskan sarung tangan lalu berkata: Lepaskanlah dahagaku.

Mulanya Sulaiman memahami bahawa wanita itu haus dan menginginkan minuman. Sulaiman berusaha memenuhi keperluan tersebut, membawa secangkir air. Tetapi, wanita Bawi itu mencelah: Aku tidak memerlukan ini (air). Aku inginkan ialah apa yang diinginkan oleh lelaki kepada isterinya.”

Sulaiman serba salah, tetapi kerana imannya cukup kuat, hati kecilnya berbisik: Iblis telah mempersiapkan engkau kepadaku. Sulaiman kemudian menundukkan kepalanya di antara kedua lututnya, dan menangis. Bila wanita itu melihat Sulaiman, ia pun mengenakan semula hijabnya dan terus pergi meninggalkan Sulaiman di dalam khemah, kembali bersendirian.

Sebaik pulang daripada pasar, sahabatnya melihat Sulaiman dalam keadaan sedih dan matanya bengkak akibat menangis. Sahabatnya itu bertanya: Apakah sebabnya engkau menangis, wahai Sulaiman?

Tidak ada apa-apa, aku hanya ingatkan anak-anakku,” Sulaiman cuba menyembunyikan sebabnya.

Rakannya terus menduga: Demi Allah, tidak. Engkau pasti ada sesuatu yang hendak diceritakan. Engkau hanya baharu tiga hari meninggalkan mereka.”

Sulaiman enggan membocorkan cerita sebenar. Tetapi akhirnya, atas desakan bertalu-talu, Sulaiman seperti tewas. Sulaiman menyatakan dirinya telah digoda oleh seorang wanita Badwi. Godaan itu dapat dikawal dan dielakkan,  Sulaiman berjaya menolak pelawaan wanita Badwi itu untuk ‘bersenggama’ menyebabkan wanita itu pergi dengan rasa kesal dan kecewa. Rakannya, kemudian ikut bersama menangis.

Sulaiman berkata: Dan engkau lalui apa yang menyebabkan engkau menangis? Sepatutnya, akulah yang wajar menangis.

Rakannya mencelah: Aku menangis kerana aku khuatir. Aku khuatir jika berada dalam situasi yang engkau hadapi, aku pasti tidak dapat menahan godaannya.

Kedua sahabat itu pun menyambung tangisan mereka.

Ketika tiba di Mekah, Sulaiman menciumi Hajarul Aswad, iaitu selepas melakukan tawaf dan sa’ie. Selepas itu, Sulaiman berehat sehingga tertidur. Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tampan dan tinggi. Lalu, Sulaiman berkata: Semoga Allah merahmatimu dan siapakah engkau?

Jawab lelaki itu: Akulah Yusuf yang jujur.”

Sesungguhnya, keadaan yang menimpamu dan wanita al-Aziz adalah cerita yang cukup mengagumkan,” celah Sulaiman.

Yusuf AS menjawab: Dan, keadaanmu dengan wanita Badwi itu lebih mengagumkan.”  (al-Ghazali, 2021, hal. 295-297).

(Bersambung, VII- JALAN KEBAHAGIAAN)

Kamarun KH

Translate »