Dalam menjelaskan mengenai syahwat perut, al-Ghazali memulakan dengan memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Berjuanglah melawan diri dengan rasa lapar dan haus, kerana pahalanya seperti pahala seorang yang berjihad di jalan Allah. Sungguh tidak ada amalan yang lebih Allah cintai daripada lapar dan haus.
Dalam hadis yang lain, al-Ghazali memetik: Sesungguhnya, manusia yang paling dekat dengan Allah pada Hari Kiamat ialah orang yang sentiasa lapar, haus dan sedih di dunia. Mereka adalah orang yang murah hati dan bertaqwa, mereka orang-orang yang kurang dikenali jika berada di sekitar manusia. Jika mereka tidak ada, ramai orang yang merasakan kehilangannya. Sementara seluruh penjuru bumi mengenalinya, bahkan malaikat langit menaungi mereka.
“Ketika manusia menikmati kehidupan dunia, mereka merasa nikmat dengan taat kepada Allah. Di kala manusia tidur beralaskan kasur (tilam) empuk, mereka tidur beralaskan pundak dan haiwan tunggangan. Di saat orang-orang menghilangkan sunnah para nabi, mereka justeru merawatnya. Bumi menangis jika kehilangan seseorang dari mereka. Allah Maha Perkasa murka pada tempat yang tidak disinggahi oleh seorang pun daripada mereka.
“Mereka tidak serakah dengan kehidupan dunia, seperti keserakahan anjing-anjing terhadap daging bangkai. Mereka cukup dengan sedikit makanan; pakaian lusuh; dan rambut mereka acak-acakan penuh debu. Ketika orang-orang melihat mereka, orang-orang menduga mereka terkena penyakit, pada hal mereka tidak sakit.
“Lalu dikatakan, setelah orang-orang bergaul dengannya, bahawa mereka hilang akal, pada hal mereka tidak kehilangan akal. Akan tetapi, mereka merupakan kalangan yang memandang dengan hatinya akan kehendak Allah yang mampu menghilangkan dunia darinya. Segenap penduduk dunia memandang, mereka berjalan di atas bumi dengan keadaan tidak waras. Pada hal justeru waras ketika akal manusia tidak waras. Bagi mereka, kemuliaan yang sebenarnya di akhirat.
“Wahai Usamah, jika engkau bertemu mereka di suatu negeri, ketahuilah bahawa penduduk negeri itu dalam keadaan aman. Allah tidak akan menyiksa sesuatu kaum jika di antaranya terdapat seorang dari mereka, sebagai ungkapan kegembiraan dan keredhaan Allah terhadap mereka.
“Jadikanlah mereka saudaramu, semoga dengan mendekatka mereka Allah menyelamatkanmu. Apabila engkau mampu berlapar-lapar dan sanggup menghauskan paru- parumu sampai ajal menjemputmu, lakukanlah. Sungguh, dengan hal itu, akan kau raih kemuliaan, Dan, Engkau akan mendapat tempat bersama para malaikat kepada rohmu, dan Yang Maha Perkasa akan berselawat kepadamu.” (HR al-Khatib dan Ibnu al-Jauzi). (al- Ghazali, 2021, hal. 185, 191-193)
Tindakan merasai lapar dan dahaga bukanlah bermakna tidak ada makanan untuk dimakan. Ia memberikan gambaran bahawa kita perlu hidup secara sederhana, dengan memanfaatkan segala sumber makanan itu sebaik-baiknya. Ini kerana makanan yang lazat-lazat (bukan berkhasiat) sangat memudaratkan dan bila berada dalam situasi cukup kenyang, ia akan menimbulkan pelbagai gangguan perut, termasuk gangguan pencernaan. Perut boleh kesakitan kerana perlu bekerja keras untuk memprosesnya bagi menghasilkan tenaga dan membuang lebih banyak sisanya. Bahkan, usus perlu kerja keras untuk menghadamkan makanan yang keras seperti daging dan sebagainya.
Telah dibuktikan, secara saintifik pola makan berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu terkena penyakit, maka para pakar pemakanan dan perubatan sangat mengesyorkan agar kita mengubah cara makan, daripada makan dengan lahap kepada makan secara sihat. Ini kerana ‘tabiat makan’ merupakan salah satu aspek ‘gaya hidup’ yang perlu diawasi kerana sebahagian besar penyakit adalah berpunca daripada pola pemakanan kita sendiri.
Apa maksudnya makan secara sihat? Makan secara sihat ialah dengan memakan makanan yang mengandungi serabut (serat) yang banyak, bukannya makanan berlemak, tinggi kalestrol dan menghasilkan gula dalam darah. Makanan berlemak, tinggi kalestrol, mengandungi gula dan garam yang tinggi akan menyebabkan kita mudah diserang oleh penyakit tiga serangkai, yang kini dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Malaysia: darah tinggi, kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular (angin ahmar, lemah jantung, penyumbatan pembuluh darah, kekurangan oksijen ke jantung, denyutan jantung yang tidak normal dan kerosakan jantung).
Ia bermula dengan pola pemakanan yang sukakan kepada makanan berlemak. Di dalam makanan berlemak mengandungi kolestrol yang tinggi, yang kemudiannya berkumpul di dalam saluran darah, jantung, ginjal, buah pinggang dan di bawah kulit. Urat-urat yang mengalirkan darah berada di bawah dan di dalam kulit menjadi ‘lahan subur menternak lemak’. Ia kemudiannya menyebabkan aliran darah terganggu. Itulah sebabnya mereka yang gemuk, obesiti cukup mengah apabila menaiki rumah bertingkat, berjalan-jalan dalam jarak yang sedikit jauh dan berlari anak untuk mengejar sesuatu. Masalah obesiti di Malaysia semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
Mereka yang sukakan makanan bergaram (ikan kering, makanan berjeruk, fun fries dan dari jenis fast-food) telah dibuktikan menjadi mangsa kepada hipertensi (tekanan darah) dan kegemukan sehingga ada yang meninggal dalam usia yang terlalu muda. Benar, hidup dan mati itu ditentukan oleh Allah SWT, tetapi Allah tidak pernah menyatakan dengan jelas tarikh bila seseorang itu akan mati. Tetapi, Allah menasihatkan agar kita tidak makan apa sahaja, termasuk sekenyang-kenyangnya, kerana ia mengundang banyak masalah, termasuk masalah kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental.
Pada suatu ketika, terutama di awal perkahwinan kadangkala kita sering disindir kerana tidak ‘banyak makan’ sehingga ada yang mendakwa, seorang yang tidak ‘banyak makan’ ada masalah yang lain, termasuk penyakit. Saya pernah menerima sindiran tersebut kerana keadaan fizikal yang kurus dan kecil. Bahkan, ketika menghadiri majlis atau diraikan oleh saudara sebelah isteri yang gemar ‘makan kari’ saya tidak ghairah memakannya, hanya sekadar mengambil kuahnya untuk melembutkan nasi. Saya tidak gemar ‘makan kari’ kerana bahan- bahannya cukup menyebabkan perut saya meragam, dan mengelakkan daripada ‘menternak lemak’. Sebahagian besar ‘kari’ menggunakan susu cair yang dibuat berasaskan krimer, yang belum tentu diperbuat daripada susu.
Tidak mengapa jika ada yang menyindir, menegur dan mendakwa macam-macam. Tetapi, sehingga kini setelah memasuki usia emas, saya masih tidak terganggu dengan pelbagai penyakit kronik, kecuali kadangkala ada sedikit masalah tekanan darah. Ia bukanlah hal yang serius sehingga saya terpaksa tidak mengambil makanan berlemak seperti daging lembu, makanan laut (ketam, sotong, udang mahupun pelbagai jenis siput). Saya boleh makan semua makanan laut, tetapi saya cukup berhati-hati kerana bimbang dihinggapi gout, hingga kini belum ada tanda akan diserang. Saya mempunyai sejarah genetik, maknanya keturunan keluarga yang berhadapan masalah darah tinggi. Ramai ahli keluarga saya meninggal kerana masalah tersebut, termasuk angin ahmar yang disebabkan tekanan darah melampau.
Pun begitu, selain darah tinggi, kencing manis juga merupakan penyakit yang banyak menyebabkan kematian kerana pola pemakanan yang tidak sihat, yakni lebih kepada makanan yang menghasilkan sisa gula yang tinggi. Gula, kita perlukan untuk menghasilkan tenaga, tetapi dengan mengambilnya secara berlebihan akan menyebabkan gula memasuki dalam aliran darah yang boleh menyebabkan darah beracun. Inilah yang dibincangkan oleh Micheal Moss dalam bukunya, Salt, Sugar, Fat: How The Food Giant Hooked Us (2014).
Industri makanan yang diproses, seperti fast-food cukup banyak menggunakan tiga bahan tersebut – garam, gula dan lelemak- bagi menghasilkan makanan yang enak dan mudah disimpan seperti makanan berbentuk bijirin sarapan pagi, pizza, burger, hot dog dan minuman berkabornit. Biarpun didakwa ‘less sugar’ sebenarnya, sukatan gula masih berlebihan daripada kadar yang disyorkan untuk diambil secara purata setiap hari. Banyak kajian telah dibuat terhadap keburukan makanan segera dan makanan yang sudah diproses untuk ‘tahan lama’ termasuk makanan dalam bentuk fast-food dan makanan segera (mee segera, burger, hotdog, pizza dan sebagainya).
Begitu juga ketika mengambil kopi. Kopi adalah sejenis minuman yang berkhasiat dan dapat memanjangkan umur manusia, dengan syarat diambil tanpa campuran gula. Ramai di antara kita tidak menyedari ‘keenakan kopi tanpa gula’ kerana kopi itu pahit maka untuk menghilangkan kepahitan itu dicampurkan dengan gula.
Menurut kajian pakar pemakanan, dalam makanan yang terhasil daripada tumbuh-tumbuhan tidak mengandungi kalestoral berbanding makanan yang terhasil daripada haiwan. Tetapi, disebabkan cara manusia memproses makanan tersebut menjadi makanan bermasak, kandungan kalestrol dalam bahan yang berasaskan haiwan bercampur dengan makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan. Ini dapat kita perhatikan bila memakan makanan ‘ayam masak lemak bersama maman’, semasa memprosesnya memerlukan lebih banyak santan kelapa sehingga daging ayam terasa sangat berlemak. Makanan yang berlemak dan berminyak perlu dielakkan.
Santan kelapa menyelinap masuk ke dalam daging ayam yang menghasilkan ‘rasa lemak’ yang cukup kuat, walhal, santan kelapa itu sendiri tidaklah bahaya, tetapi kerana dipanaskan sangat lama ia menyebabkan ‘pecah minyak’ untuk menyedapkan rasa daging ayam. Ayam sendiri sudah mengandungi lelemak, apatah lagi jika ayam yang digunakan itu adalah ayam yang diternak bukan secara tradisi, diberikan makanan dalam bentuk pellet yang dicampur dengan antibiotik agar cepat membesar dan menghasilkan daging yang banyak.
Kini, disebabkan masalah kenaikan harga makanan ayam, bekalan ayam dilihat sangat membimbangkan sehingga ada kedai atau restoran yang menjual makanan berasaskan ayam terpaksa ditutup sementara, seperti berlaku di Singapura apabila Malaysia tidak lagi mengeksport ayam hidup sejak 1 Jun 2022 lalu. Harga makanan ayam dan ubat-ubatan yang berkaitan dengannya dikatakan naik begitu mendadak sehingga menyebabkan penternak ayam terpaksa menaikkan harga ayam untuk mebolehkan industri tersebut mampu bertahan. Namun, dalam dakwaan tersebut ada juga usaha untuk mencari keuntungan dan tekanan politik agar timbul ‘rasa marah rakyat kepada kerajaan’ dengan alasan ‘tidak dapat mengawal kenaikan harga barang’.
Kita mendengar rungutan. Ibu bapa mengeluh kerana anak-anaknya berhadapan dengan masalah makanan. Anak-anak tidak akan makan nasi bila menu lauknya tidak ada ayam. Kenapa tabiat sedemikian dibudayakan oleh ibu bapa? Ia ada kaitan dengan tabiat ibu bapa sendiri ketika beranggapan adalah lebih mudah menggunakan ayam dalam menu masakan, ada ibu bapa menjadikan salah satu menu harian sejak anak-anak itu boleh mengambil makanan yang berbentuk keras. Ini kerana ayam mudah dibeli dan diproses, dijual di kedai-kedai secara berasingan dan siap diproses.
Jika kita berminat dengan peha, sayap mahupun bahagian dadanya, kita boleh membeli bahagian-bahagian itu sahaja. Hal sedemikian sudah berkembang dalam penjualan bahan mentah yang lain, termasuk ikan sehingga ada ibu bapa moden tidak mahir menyiang ikan atau memproses ayam yang belum dipotong. Mereka lebih gemar membeli makanan yang sudah diproses, menyebabkan kemahiran yang sangat diperlukan sebagai ‘ikhtiar hidup’ semakin hilang.
Hal yang sama juga berlaku dalam kehidupan rumah tangga. Ada rumah tangga yang cukup menarik dalam konteks ‘senang mata memandang’ kerana hiasannya cukup tersusun, tetapi sayangnya, keluarga berkenaan yang mempunyai dapur ‘basah dan kering’ tetapi ‘jarang berasap’. Kenapa berlaku demikian, antara sebabnya ialah kecenderungan kita untuk mencari keselesaaan dalam hidup, sehingga kita kehilangan kemahiran asas yang diwarisi oleh nenek moyang. Saya masih ingat, biarpun penat bekerja di sawah, ibu akan terus bergegas ke dapur memasak untuk menyediakan makanan keluarga biarpun begitu ringkas. Kita makan cukup berselera kerana ibu memasaknya dengan ikhlas dan penuh rasa kasih sayang. Tidak merungut kepenatan dan susah menyediakannya. Bahkan, ibu sangat terkilan apabila ada saudara bertandang tidak dapat dijamu dengan nasi walaupun lauknya cukup sederhana.
Ia berbeza dengan situasi rumah tangga masa kini. Suami isteri mempunyai kerjaya yang memaksa mereka berada di luar rumah dalam tempoh yang panjang, sehingga melebih 12 jam sehari disebabkan pelbagai tuntutan dan situasi. Misalnya keadaan jalan raya yang sesak dan perlu ke kedai untuk membeli bahan-bahannya. Oleh itu, adalah lebih mudah mengajak anak- anak makan di kedai, banyak pilihan dan sebagainya. Tetapi, yang dilupakan ialah makanan itu sendiri, secara rohaninya tidak disediakan berasaskan matlamat kasih sayang, disediakan untuk mencari keuntungan oleh pengusahanya.
Makanan juga mahal kerana perlu mengambil pekerja, menyewa premis perniagaan, membayar lesen dan juga ada ketikanya perlu sediakan ‘wang perlindungan’. Jika berniaga di bahu jalan, perlu juga ‘perlindungan’ kerana ada pelbagai tekanan dan ugutan yang berlaku, maka sebab itulah untuk memakan ‘goreng pisang’ ada ketikanya terpaksa berfikir beberapa kali. Ini kerana dari sebiji pisang dibelah empat atau tiga, dan dijual dengan harga antara 30 hingga 50 sen sekeping, Ertinya, sebiji pisang yang digoreng berharga antara RM 1 hingga RM 2.00. Pisang goreng kadangkala terasa seperti makan ‘potato chips’, terlalu nipis dan cukup garing. Cuma berbeza pisang goreng digoreng bersalutkan tepong.
Dalam tradisi orang Melayu, seseorang yang mengunjungi rumah terasa tidak begitu menarik jika tuan rumah gagal menghidangkan makanan walaupun ala kadar. Tuan rumah akan terasa terkilan, jika tetamu tidak dapat dihidangkan masakannya, kerana makanan itu dilihat sebagai satu bentuk ‘nilai persahabatan dan kekeluargaan’, yang memasaknya secara jujur mengidentikkan dengan makna kasih sayang. Itulah sebabnya, dalam kehidupan tradisi kita selalu melihat bagaimana nilai kasih sayang itu dipupuk dalam setiap tindakan dan perbuatan, cukup berkesan walaupun ia sangat sederhana.
Pada suatu ketika, sebelum ada orang datang meminang si anak gadis, para ibu akan ‘memberikan alasan’ bahawa anak gadisnya ‘belum pandai memasak’, maka ia mungkin tidak akan segera dikahwinkan dengan cepat. Kenapa ’pandai memasak’ itu dijadikan sebagai salah satu terma dalam penentuan sesebuah perkahwinan? Jawabnya, orang Melayu tradisi percaya bahawa seseorang wanita yang pandai menjaga ‘perut suaminya’ akan menikmati kebahagiaan dalam rumah tangga walaupun ia bukanlah sesuatu yang mutlak dan penentu yang wahid.
Ada pesan yang cukup menarik. Seseorang isteri yang berjaya menjaga ‘perut suaminya’ akan menyebabkan suami tidak ‘makan luar’. Sesekali menikmati hidangan di luar rumah tidak mengapa, tetapi bagi seorang isteri yang peka dengan ‘selera makan suami’ akan cuba memperlajari dan mencuba makanan kegemaran itu untuk dipraktiskan di rumah sehingga menjadi atau rasanya lebih baik. Isteri menjadi seorang yang kreatif, dan daripada praktis itu si suami terasa segan atau bersalah untuk makan di kedai, kecualilah dalam situasi terdesak atau terpaksa.
Saya melihat hubungan suami isteri yang gemar menyediakan makanan keluarga tanpa rasa penat dan menyusahkan lebih bahagia daripada pasangan yang boleh menghabiskan masa berjam-jam di restoran atau kedai makan. Hal ini kita dapat perhatikan, bagaimana berbezanya kehidupan kita semasa menjalani fasa PKP. Kini, restoran atau kedai makan semakin digemari, tetapi, rasa makanan sudah tidak lagi menepati selera sebelumnya. Bahkan harganya cukup mahal. Ia mahal kerana bahan mentahnya cukup mahal, kerana pengeluarannya semakin berkurangan akibat pelbagai faktor, termasuk harga input pertanian dan penternakan, hasil yang dikeluarkan dan sikap pengedar atau pemborong (sehingga ada yang memanggilnya kartel) untuk mendapat balik kerugian sepanjang 2 tahun pelaksanaan PKP.
Restoran-restoran pula mendakwa mereka kekurangan pekerja asing, dan jika menggunakan pekerja tempatan, gaji dan kemudahan perlu disediakan menyebabkan kos bertambah. Ini kerana dasar ‘upah minimum’ dan sikap pekerja tempatan sendiri, kurang gigih bekerja dan kerap mengambil cuti. Sebab itulah pekerja restoran tempatan memperoleh gaji lebih rendah daripada pekerja asing, kerana mereka jarang ponteng dan boleh bekerja dalam tempoh yang panjang. Mereka tidak mempunyai masalah yang dikaitkan dengan perihal keluarga.
Dalam hal menjaga syahwat perut, al-Ghazali menegaskan: orang munafik makan tujuh kali ganda dari makannya seorang mukmin, atau syahwatnya tujuh kali ganda dari syahwat seorang mukmin. Penyebutan usus itu merupakan kiasan dari syahwat, kerana syahwatlah yang menerima makanan dan mengambilnya sebagaimana usus memakannya dan bukan bererti usus orang munafik lebih banyak daripada usus orang mukmin. (al-Ghazali, 2021, hal.195).
Kenapa orang munafik makan lebih banyak (tujuh kali)? Seperti dikisahkan oleh Abu Juhaifah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Kuranglah sendawamu, kerana manusia yang paling lama laparnya pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak kenyangnya di dunia.” (HR al-Baihaqi).
Aisyah menceritakan: Rasulullah SAW tidak pernah mengisi rasa kenyang perutnya. Terkadang aku menangis kerana kasihan melihat beliau yang lapar, maka aku mengusap perut baginda dengan tanganku dan aku berkata: Jiwaku adalah tebusan untukmu, bilakah engkau menelan sesuatu di dunia dengan takaran membuat engkau kuat dan menghalangimu dari kelaparan?
Aisyah juga berkata: Saudara-saudaraku, para rasul ulul ‘Azmi bersabar terhadap keadaan yang lebih parah dariku, mereka telah melampaui keadaan mereka, lalu mereka datang kepada Tuhan. Dia memuliakan mereka dan melipatgandakan pahala mereka, maka aku dapati diriku merasa malu jika aku bermegah-megah di kehidupanku, jika kelak kedudukanku lebih rendah dari mereka. Bersabar beberapa hari lebih aku sukai dari berkurangnya kedudukanku kelak di akhirat. Tidak ada yang lebih aku cintai dari bertemu dengan sahabat dan saudara- saudaraku.”
“Maka demi Allah,” jelas Aisyah RA lagi, “baginda menggenapkan kelaparannya sampai Jumaat, hingga Allah mewafatkan.”
Diceritakan juga bahawa Fatimah RA membawa sekeping roti kepada Rasulullah SAW. Rasulullah bertanya kepada puteri kesayangannya itu: Potongan apakah ini?. Jawab Fatimah: Sepotong roti. Hatiku belum senang sehingga aku datang kepadamu dengan sepotong roti.
Rasulullah SAW berkata: Sepotong roti ini adalah yang pertama kali masuk ke dalam mulut bapakmu ini semenjak tiga hari lalu.
Disebutkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW tidak pernah membuatkan keluarganya kenyang selama tiga hari berturut-turut kecuali hanya sepotong roti gandum sehingga meninggal. (al-Ghazali, 2021, hal. 196-197).
Menurut al-Ghazali, bersumberkan cerita para ulamak, Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata: Hindarilah kerakusan, kerana ia akan memberatkanmu di dunia, dan menjadi bau busuk pada kematiannya.”
Lukman pernah menasihatkan anaknya dengan berkata: Wahai anakku, jika perut terisi penuh, maka fikiran akan tertidur, hikmah akan menjadi bisu dan anggota badan akan malas untuk beribadah.”
Bahkan, tulis al-Ghazali lagi: Orang-orang yang cerdas berpendapat bahawa tidak ada yang lebih bermanfaat dalam kehidupan beragama dan kehidupan dunia, kecuali lapar.
“Aku tidak menemukan sesuatu yang lebih berbahaya bagi orang-orang yang mencari kehidupan akhirat, kecuali makanan.”
“Hikmah dan ilmu ada pada rasa lapar. Maksiat dan kebodohan ada pada kenyang.
“Dalam hal menyembah Allah, tidak ada yang lebih baik dari melawan hawa nafsu dan meninggalkan yang tidak halal.
“Pokok dari segala kebaikan yang diturunkan dari langit ke bumi adalah lapar, dan pokok keburukan keduanya adalah lapar.
“Barang siapa menjadikan dirinya lapar maka terputus diriya dari godaan syaitan.” (al- Ghazali, 2021, hal.199-200).
(Bersambung “III- MANFAAT LAPAR”)
Kamarun KH
Recent Comments