Korban adalah sejarah yang panjang dan dimiliki oleh semua tradisi manusia. Korban adalah manifestasi dari syukur yang puncaknya adalah takwa. Ini sebagai isyarat bahawa disyariatkannya korban sesuai dengan namanya, korban adalah kerana manusia mulai menjauhi Allah dengan mengkhianati-Nya dengan cara tidak patuh terhadap aturan- aturan-Nya.
Semua manusia dekat kepada Allah, sebagaimana tersirat dalam dalam firman Allah surah al-A’raf ayat 19 yang bermaksud: Hai Adam, tinggallah engkau bersama isterimu (Hawa) dalam syurga dan makanlah kamu berdua sebagaimana kamu kehendaki dan janganlah kamu hampiri pohon kayu ini, nanti kamu termasuk orang-orang yang aniaya.
Namun kerana terpedaya akhirnya terjatuh pada larangan Allah, sebagaimana dilakukan oleh Adam dan Hawa. Pelanggaran yang dilakukan kedua-duanya menjadikan mereka menjauhi dari Allah dan Allah pun menjauh dirinya. Dari sini diketahui bahawa korban adalah proses kembali mendekat kepada Allah atau yang lazim disebut dengan taubat. Taubat adalah kembali ke posisi semula, dekat dengan Allah. Orang yang menjauhi dari Allah, adalah orang yang mengingkari fitrah sendiri. Dengan ini, korban juga dimaksudkan untuk meningkatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan itu memerlukan pengorbanan.
Dalam konteks al-Quran orang pertama melakukan korban adalah Habil dan Qabil (surah al-Maidah ayat 27). Kononnya, Habil mempersembahankan kibas terbaik yang dimilikinya, sedangkan Qabil mempersembahkan tumbuh-tumbuhan yang rendah kualitinya. Oleh kerana itu, korban Habil diterima dan tidak demikian dengan korban Qabil kerana boleh jadi ia tidak ikhlas dan persembahannya tidak sempurna. Seterusnya amalan korban itu diteruskan oleh Nabi Ibrahim (surah As-Syura ayat 51 dan As-Shaffat ayat 102).
Iktibar dari kisah Habil dan Qabil agar korban itu diterima Allah, maka disamping kerana lillahi taala (ikhlas), juga mesti berkorban dengan haiwan yang memiliki kualiti yang baik. Maknanya binatang korban itu tidak cacat (berpenyakit), cukup umur, banyak dagingnya dan lain-lain, meskipun hal-hal itu tidak sampai kepada Allah s.w.t., tetapi yang sampai kepada Allah bukan darah atau dagingnya, tetapi ketakwaan pelakunya. Jadi kunci dari semua amal, baik amal sosial mahupun yang bersifat individual adalah takwa.
Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai- nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya.
Anak cucu Adam menyedari betapa pentingnya ‘korban’ dan mulailah tradisi ini berkembang sehingga akhirnya bukan hanya binatang yang dipersembahkan tetapi juga manusia dan bukan hanya kepada Allah tetapi kepada dewa-dewa yang dipertuhankan.
Pada masa Nabi Ibrahim sudah ada pemikir yang mulai sedar tentang kekeliruan mengorbankan manusia. Bagi mereka manusia terlalu mahal untuk dikorbankan. Allah meluruskan tradisi yang sesat ini melalui Nabi Ibrahim.
Al-Quran menghuraikan bahawa Nabi Ibrahim memberitahu kepada anaknya (Ismail) bahawa beliau bermimpi menyembelihnya. Ismail sedar bahawa itu adalah perintah Allah, kerana salah satu cara Allah memberi wahyu (informasi) kepada manusia adalah melalui mimpi (lihat al-Quran surah al-Syura ayat 51).
Maka Ismail dengan penuh keikhlasan berkata, “Ayahku, laksanakan apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk kelompok orang yang bersabar (al-Quran surah al-Shaffat ayat 102). Akan tetapi setelah Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya (dan mengerakkan pisau di lehernya), Allah menebus anaknya dengan kibas yang besar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Nabi Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan IIahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Ujian bagi bapa dan anak ini menjadi teladan bagi umat Islam tentang cara mentaati perintah Allah. Pengalaman mereka itu dijadikan dasar ibadah haji. Dapat dikatakan bahawa ibadat haji dengan pelbagai aktivitinya merupakan pelestarian dari pengalaman rohani mereka, sebab di dalamnya mengandungi makna dan pelajaran bagi umat manusia secara keseluruhan hingga akhir zaman.
Dapatkah kita memperkuat takwa kita dengan pengorbanan yang kita lakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah haji? Tentu kita tidak ingin sekadar mendapat yang lahir saja dari ibadah haji ini. Justeru kita harus ingat bahawa korban yang kita lakukan pada hari-hari sekitar Aidiladha ini dengan menyembelih lembu atau kambing, hendaknya ia akan menambah lagi ketakwaan kita.
Umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dalam beberapa hari lagi. Bagi kaum Muslimin yang berkuasa menyembelih korban hendaklah melaksanakan tanpa ragu-ragu sebagai usaha untuk bertaqqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah. Di samping melaksanakan korban ini kita ikut serta membiasakan diri dengan fakir miskin yang hidupnya serba kekurangan setiap hari.
Hal ini akan memberikan kesan yang baik kepada golongan fakir miskin sehinggalah hilang jurang pemisah antara si miskin dan si kaya, yang akhirnya akan hidup berdampingan dengan penuh persaudaraan dan saling tolong-menolong.
Di dalam sebuah hadis yang bersumber dari Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Tidak ada amal dari keturunan anak Adam (manusia) pada hari korban (atau pada 10 Zulhijah) yang lebih disenangi Allah daripada mengalirkan darah korban. Kerana sesungguhnya haiwan yang dijadikan korban itu pasti datang pada hari kiamat dalam keadaan sempurna dengan tanduk-tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah itu akan jatuh dari Allah pada suatu tempat sebelum jatuh menitis ke bumi. Maka bersihkan jiwa kamu dengan korban.
Yang dimaksudkan hadis di atas adalah amal yang paling dicintai oleh Allah pada hari korban adalah menyembelih korban. Pahala korban itu akan diterima oleh Allah sebelum darah korban menitis ke bumi. Tetapi pahala semulia itu dapat diperoleh jika kita mahu melaksanakannya dengan ikhlas.
Oleh: MOHD. SHAUKI BIN ABD. MAJID
Recent Comments