Pernahkah anda ke Masjid Imam Syafie, di Iskandariah, Mesir? Jika belum, penulis ingin ceritakan sebuah pengalaman. Tetapi awas, ia bukan pengalaman indah.
Sewaktu mengunjungi Mesir pada 2007, penulis singgah ke masjid berkenaan untuk solat Asar. Hati gembira bukan kepalang, kerana inilah masjid bersempena nama imam yang menjadi mazhab kebanyakan penduduk di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia . Teringat penulis, di bumi Mesir inilah Imam Syafie melahirkan Qaul Jadidnya.
Tetapi alangkah hampa, masjid ini kelihatan terbiar usang. Tempat wuduknya hancing. Baunya menyakitkan hidung. Mengambil wuduk di situ seperti berwuduk di dalam tandas. Rasa sesak nafas dibuatnya. Kemudian, permaidaninya sudahlah agak buruk, dipenuhi pula dengan pasir dan debu. Bula bersujud, dahi ditompoki debu pasir ini. Solat pun menjadi tidak khusyuk dan tidak selesa.
Di luar, peminta sedekah beratur. Anjing berkeliaran. Kawasan sekitar masjid, juga begitu: Sampah, peminta sedekah, debu dan berkecamuk. Keadaan yang hampir sama dapat dilihat di sekitar Iskandariah dan Kaherah.
Pernahkah anda melawat Syria ? Penulis sukakan Syria . Inilah tanah para anbia, sahabat, tabiie dan tabiin. Di sinilah bermakamnya Nabi Ayub, Yahaya dan Zakaria. Di sinilah juga terletaknya makam makam Habil, anak Nabi Adam.
Selain itu, kepala Saidina Hussin turut di makamkan di Damsyik. Bilal Bin Rabbah, Umaiyah bin Abi Sufian, Saidina Umar bin Abdul Aziz, Khalid Al Walid, Ubaidullah bin Umar, pahlawan Salibi Salehuddin Ayubi turut dimakamkan di sini.
Tetapi sedih, bandar-bandar di Syria, termasuk Damsyik juga dicemari dengan sampah. Longgokan sampah dan tandas yang hancing boleh dilihat di mana-mana. Keadaan yang sama dapat dilihat sekitar Iran yang penulis lawati pada 2001.
Pernahkah anda berkunjung ke Eropah? Jika sudah, anda akan akui fakta yang akan penulis sebutkan nanti. Jika belum, penulis ingin maklumkan, keadaan di negara-negara Eropah tadi jauh bezanya dengan di negara-negara Islam yang penulis lawati.
Switzerland cukup bersih. Tasik Lugano dan Luzerne misalnya bukan saja cantik dihiasi gunung-ganang, malah sangat bersih. Itik dan burung bebas berkeliaran seperti tasik itulah habitat asalnya. Sampah? Tiada, kecuali di dalam tong sampah.
Ia mengingatkan juga penulis ketika bersantai di sebuah tasik berhampiran Istana Buckingham, London . Tiada sampah dilihat di atas tanah. Itik, tupai dan burung-burung berkeliaran bebas. Tiada sesiapa yang mengganggu haiwan tersebut. Pantai Devon juga begitu.
Di Australia, burung undan, camar, bangau dan sebagainya hidup aman dalami di tasik, sungai serta laut yang bersih dan jernih airnya. Ops, jangan buang sampah di sini. Anda akan ditahan. Membuang bungkusan gula-gula yang sekecil jari kelingking pun menjadi satu kesalahan besar kerana ia akan mencemarkan laut. Ia boleh menyebabkan kematian ikan paus. Demikan juga di New Zealand .
Tandas-tandas di negara yang disebutkan tadi pula cukup bersih hingga kita rasakan boleh tidur di dalamnya! Pantainya bebas daripada sampah.
Pernahkah anda lawati tempat ibadat mereka? Jika belum, penulis ingin ceritakan, setiap rumah ibadat itu bersih dan teratur. Bebas dari sampah dan kotoran.
Sekarang bandingkan pula dengan Malaysia . Apakah yang akan anda lihat jika berkunjung ke Teluk Kemang misalnya? Sampah sarap. Apa yang akan anda lihat di dalam tasik? Sampah. Apa yang anda lihat di kaki-kaki lima jalan? Sampah juga. Di tepi bangunan, sampah. Di atas jalan, sampah. Di dalam parit dan sungai, sampah.
Pemandu dan penumpang dari membuang sampah dari kereta adalah pemandangan biasa. Malah tandas masjid yang hancing, tercabut kunci, diconteng dengan perkataan lucah, najis tidak dipam, juga adalah pemandangan biasa.
Udara yang bersih? Maaf, itu pemandangan yang hanya wujud dalam ilusi. Lori dan kereta membuang asap hitam. Kilang-kilang membuang asap hitam.
Berapa ekorkah itik dan tupaikah yang pernah anda lihat hidup bebas di Tasik Titiwangsa dan Tasik Perdana? Kosong.
Jangan harap itik, angsa, burung dan tupai dapat hidup aman di tasik- tasik atau sungai di negara ini. Ini kerana, apabila mereka berenang-renang di permukaan air, pasti ia akan dibaling dengan kayu dan batu.
Tahukah anda berapa banyak sampah dikutip di Sungai Kelang setiap hari? Jawapannya, 50 hingga 60 tan metrik. Agaknya ribu tankah jumlahnya kalau dikutip di setiap batang sungai di negara ini?
Sekarang cuba anda perhatikan pula senarai negara paling bersih di dunia. Untuk pengetahuan anda, senarainya didahului oleh negara-negara Barat. Environment Performance Index (EPI) pada 2009 misalnya memberikan 95.5 markah kepada negara teratas, Switzerland , daripada markah penuh, 100.
Ini diikuti oleh Sweden dan Norway (93.1), Finland (91.4), seterusnya Costa Rica, Austria, New Zealand, Latvia, Columbia dan Perancis. Turut sering disenaraikan dalam kelompok negara terbersih di dunia ialah Iceland , Jerman dan United Kingdom . Begitulah setiap tahun, negara-negara
Barat menguggulinya.
Bandar raya terbersih di dunia juga begitu. Ia didahului oleh Calgary (Canada), diikuti oleh Honolulu (Amerika Syarikat), Helsinki (Finland), Ottawa (Kanada), Minneapolis (AS), Oslo (Norway), Stockholm (Sweden), Zurich (Switzerland), Katsuyama (Jepun), dan Berne (Switzerland).
Mengapa? Mengapa Malaysia , Kuala Lumpur dan negara-negara Islam lain tidak tersenarai?
Sebenarnya, akuilah hakikat bahawa, daripada aspek kebersihan dan penjagaan alam, orang bukan Islam ternyata lebih Islam daripada orang Islam sendiri. Ia bermaksud, jika kita ingin tahu erti apakah kebersihan seperti yang dianjurkan oleh Islam, pelajarilah dari orang bukan Islam.
Aneh, kerana orang-orang bukan Islam ini tidak tahu pun tentang wujudnya firman Allah dalam surah Baqarah ayat 222, yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Mereka juga tentu sekali tidak tahu akan wujudnya hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Mas’ud, mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”
Tetapi, mengapa kita tidak berasa malu? Mengapa kita masih suka kepada kekotoran?
OLEH: ZULKARNAIN ZAKARIA
Recent Comments