Gender sebagai satu gejala sosial dapat diertikan sebagai pembahagian peranan manusia berdasarkan jenis kelamin (laki-laki dan perempuan). Persoalan gender khususnya yang berkaitan dengan pengubahan struktur masyarakat ke arah yang lebih adil bagi kedua-dua jenis kelamin, telah menjadi isu di dunia Islam sejak awal abad yang ke-20.

Akhir-akhir ini gerakan yang memperjuangkan perubahan tersebut secara luas disebut feminisme Islam. Tujuan perjuangan feminisme pada umumnya adalah bagi mencapai kesetaraan harkat dan kebebasan perempuan dalam memilih untuk mengelola kehidupan dalam atau luar rumah tangga.

Feminisme Islam tidak boleh disamakan dengan feminisme radikal Barat. Ia memiliki ciri-ciri keislaman yang khas.

Kesedaran mengenai keterasingan kedudukan perempuan dalam masyarakat Muslim pertama-tama dialami dan disuarakan oleh perempuan Islam dari kelas menengah dan atasan.

Namun bersamaan dengan kesedaran mengenai ketidakadilan yang dialami perempuan pada umumnya, para aktivis awal ini juga berusaha menepis tuduhan bahawa Islam adalah agama yang menindas perempuan.

Lahirnya feminisme Islam adalah positif. Ia menunjukkan betapa taraf pengetahuan di kalangan kaum wanita mulai menyamai kaum lelaki. Gerakan ini tidak bertujuan untuk menandingi peranan lelaki. Secara umum gerakan ini ingin membangunkan sebuah masyarakat yang adil, baik lelaki atau wanita dan membebaskan pembezaan sosial dan kasta.

Tuntutan utama para feminis Muslim pada mulanya adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan serta membanteras buta huruf.

Di antara para feminis Muslim terawal ialah Aisyah Taymuriyah (penulis dan penyair Mesir, 1984-1902) dan Zainab Fawwaz (Lebanon) yang berusaha memecah tembok isolasi dengan cara berkomunikasi dengan perempuan lain yang senasib. Manakala di India, nama seperti Rokeya Sakhawat Hussin dan Nazar Sajjad Haydar, kedua-duanya menentang gagasan domestik perempuan yang disosialkan melalui cerita rekaan. Mereka menulis cerita, novel dan artikel yang memuat gagasan pembebasan perempuan. Karya-karya ini semua akhirnya menjadi sumber inspirasi tokoh-tokoh feminis Islam lain seperti Raden Ajeng Kartini (Indonesia) 1879-1904, Emilie Ruete (Zanzibar, 1844-1924), Taj as Salthanah (Iran) dan Nabawiyyah Musa (Mesir). Mereka menyarankan yang antara gagasan pentingnya merumus kembalikan pendidikan dan pekerjaan yang sesuai untuk perempuan.

Huda Sya’rawi (1879-1947) adalah feminis Mesir yang patut disebut khususnya keupayaannya dalam membezakan antara tradisi dan ajaran Islam. Idea beliau memperlihatkan adanya pengaruh gerakan modernisme Islam yang dipelopori oleh Muhammad Abduh (Mesir) pada abad ke-18.

Sya’rawi memulakan kariernya sebagai feminis pada tahun 1909 dengan menumpukan kepada kepentingan faktor kesihatan untuk wanita dan anak-anak. Organisasi sosial yang didirikannya bersifat sekular dan menjadi wadah saluran aktiviti sama ada perempuan Muslim ataupun Kristian.

Pada tahun 1923, Sya’rawi memimpin persatuan feminis Mesir yang dianggap organisasi feminis pertama di dunia Arab.

Namun, pada abad ke-20, para feminis terutama yang dipengaruhi oleh Marxisme berpendapat bahawa penindasan terhadap golongan wanita adalah akibat konflik pertentangan kelas yang diperkuatkan oleh ideologi gender dan agama.

Ekoran fenomena ini, maka timbul masalah peranan dan kedudukan gender yang tak setara sama ada dalam keluarga mahupun masyarakat yang akhirnya wanita menjadi mangsa pengeksploitasian.

Dari generasi ini terdapat beberapa nama yang berpengaruh besar dalam wacana feminisme Islam kontemporari. Mereka ialah Nawal El Saadawi iaitu seorang doktor dan feminis Mesir yang berfahaman sosialis. Hasil penanya banyak menekankan masalah yang dihadapi perempuan di negaranya terutama berkaitan dengan tekanan sosial, ekonomi, psikologi malah sehingga kepada aspek seksualiti.

Manakala Fatimah Mernissi, Dekan Sosiologi, Universiti Rabat, Maghribi dalam beberapa karyanya menafsirkan kembali teks-teks klasik Islam dari perspektif feminis.

Kemudian muncul tokoh-tokoh feminis yang lain seperti Riffat Hassan (Pakistan), Amina Wadud Muhsin (Amerika Syarikat), Leila Ahmad iaitu seorang feminis kelahiran Pakistan yang menghurai akar sejarah tentang munculnya wacana perempuan dan gender dalam Islam.

Selain isu politik dan yang berkaitan dengan penafsiran teks keagamaan, perkara lain yang sering dijadikan topik perbincangan dalam karya mereka ialah pengalaman spiritual yang khas bagi perempuan, misalnya yang berkaitan dengan fungsi reproduktif yang dimilikinya seperti dalam karya penyair Furugh Farrukhzad dari Iran.

Sebenarnya, di samping feminis perempuan, terdapat juga apa yang disebut feminis daripada kalangan laki-laki Muslim seperti Qasim Amin (1865-1908) di mana karyanya cukup penting bagi perkembangan pemikiran feminisme Islam.

Manakala generasi feminis laki-laki kontemporari diwakili oleh Ashgar Ali Engineer (India). Karya-karya mereka telah membentuk sebuah jaringan feminis yang melintasi batas-batas negara dan kelas. Karya mereka menjadi acuan penting bagi gerakan feminisme di negara Islam.

Dalam konteks negara kita, organisasi feminis Islam yang menonjol ialah Sisters in Islam yang ditubuhkan pada tahun 1991 bertujuan menyelesaikan masalah kekerasan dalam rumah tangga di kalangan umat Islam di Malaysia.

Oleh : Mohd. Shauki Abd. Majid

Translate »