Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf ( menyuruh melakukan kebaikan dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutus Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini. Andai kata aktiviti amar makruf dan nahi mungkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliah bermaharajalela lela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak .

Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat, dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan dan bantuan daripada mereka yang berada di situ.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melengah-lengahkan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang”, atau mangsa bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran  di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

Maksudnya “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Pada prinsipnya Pepatah  Melayu “ jangan jaga tepi kain orang” bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu  bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain. Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya”( Riwayat: Muslim)

Berdasarkan peringatan Rasulullah ini, marilah kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketakwaan kita. Selain daripada itu, “ amalan menjaga tepi kain orang” sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang  mengenali lebih dekat siapa  jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenal pasti orang-orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.

Dalam keadaan  beginilah maka amalan jaga tepi kain orang diguna pakai. Bagaimana pun amalan menjaga tepi kain orang yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinsip amar makruf dan nahi munkar.

Justeru, umat Islam sekalian janganlah mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak  tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Jadi tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya.

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang  prihatin terlebih dahulu. Marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab di atas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia diseru untuk sama-sama memikul bebanan ini. Marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah Taala agar pekerjaan amar makruf  dan nahi mungkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.

Susunan : Fathia Husna Fateh

Translate »