Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan mengenai pengertian dan konsep ‘jamaah’ yang sebenar dalam Islam. Banyak di kalangan umat Islam mengaku bahawa hanya kumpulan mereka itulah jemaah sebenar yang diakui oleh Islam. Namun, sebaliknya jika diteliti pada kandungan ayat suci al-Quran dan hadis, jelas bahawa maksud sebenar daripada al-Quran mengenai jemaah itu ialah sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul- Nya dan penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (Surah an-Nisaa: 59).
Ayat ini menjelaskan jemaah yang berada di bawah pimpinan pemerintahan umat Islam itu sendiri yang diterima atau diakui sebagai jemaah yang sebenar. Ketaatan kepada Tuhan disini bererti memenuhi kewajipan-kewajipan keagamaan dan moral, berusaha mendekati keadilan dan kasih sayang Tuhan dengan menghindari maksiat dan penindasan, serta melaksanakan amal saleh. Manakala ketaatan kepada Rasul bererti mengikuti jalan atau sunahnya dalam memenuhi kewajipan dan perintah Allah. Ketaatan kepada orang-orang yang berkuasa bererti kesetiaan terhadap tujuan untuk mencapai keadaan yang baik dan kondusif bagi ketaatan kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Ini menuntut orang-orang yang berkuasa itu memberikan contoh ketaatan yang teguh kepada Tuhan dan Rasul-Nya.
Perkara ini juga dapat difahami daripada firman Allah SAW di dalam surah tersebut pada ayat lain di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Siapa yang menentang (ajaran) Rasulullah SAW setelah nyata kebenaran kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan lain daripada jalan orang mukmin, kami biarkannya melakukan (kesesatan) yang dipilihnya (dan pada hari akhirat) kami akan humbankannya ke neraka, ia seburuk- buruk tempat kesudahan. (Surah an-Nisaa: 115).
Berdasarkan dua ayat tersebut, jelas menggambarkan maksud daripada pengertian jemaah yang sebenar menurut Islam, iaitu kelompok yang di bawah pimpinan pemerintah umat Islam, bukan jemaah lain sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah kumpulan atau sesetengah pihak. Begitu juga jemaah yang dimaksudkan di dalam hadis Rasulullah saw di bawah ini, yang mana jemaah tersebut menjadi payung yang dapat menaungi umat Islam yang berada di bawah pemerintahannya. Manakala seluruh umat Islam tidak dibenarkan keluar (untuk menentangnya) dengan sebarang kekerasan melainkan sekadar memberi nasihat dan teguran yang ikhlas, bukan secara membangkang mereka dengan membabi buta selagi pendapat pemerintah itu baik dan tidak bertentangan dengan agama.
Persoalan ini juga telah diperjelaskan menerusi sebuah hadis Nabi SAW riwayat Ibnu Umar yang bermaksud: Bahawa Rasulullah ada bersabda, katanya kewajipan setiap umat Islam itu ialah taat dan patuh akan perintah yang tidak ada maksiat sekalipun pada perkara yang disukainya atau dibencinya tetapi sekiranya arahan itu mengandungi maksiat kepada Allah, maka tidak perlu taat dan patuh lagi. (Riwayat Muslim).
Kemudian dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Agama itu ialah nasihat (kejujuran dan kesetiaan); tanya kami (sahabat) “untuk siapa nasihat itu.” Rasulullah menjawab ‘untuk Allah’ (dengan mengimani dan menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu) dan untuk kitab-Nya, iaitu (dengan mengimani dan mengamalkan segala ajarannya) dan untuk Rasul-Nya (iaitu dengan mengamalkan sunahnya dan mematuhi arahannya), juga untuk pemerintah umat Islam (dengan berlaku jujur dan taat setia untuk membelanya) dan untuk seluruh umat Islam (tanpa menaruh perasaan dendam kesumat terhadap sesiapa pun). (Riwayat Muslim dan Abu Daud).
Demikian juga dalam sebuah hadis yang lain, Nabi saw bersabda yang bermaksud: Aku perintahkan kamu dengan lima perkara, pertama: melazimi jemaah (bersama-sama dengan jemaah), kedua: kesetiaan (ikhlas) terhadap semua umat Islam, ketiga: kepatuhan pada pemerintah yang tidak bertentangan dengan syariah, keempat: berhijrah, kelima: berjuang pada jalan Allah. Sesungguhnya sesiapa yang keluar daripada jemaah (sejengkal) akan terungkailah ikatan Islam dari lehernya melainkan dia sempat bertaubat dan sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah, maka dia akan meringkuk di dalam neraka jahanam sekalipun dia berpuasa, bersembahyang, dan mengaku dirinya Islam. (Riwayat Ahmad dan Tarmizi).
Tiada masa yang lebih penting bagi umat Islam dalam menghidupkan budaya hidup berjemaah yang betul. Apa pun masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan secara berasingan. Justru untuk menyatukan umat Islam dan mengatasi perpecahan, budaya hidup berjemaah yang betul perlu disemarakkan. Nabi SAW menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: Dan sesungguhnya pada jemaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab. (Hadis riwayat Iman Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).
Demikianlah balasan mereka yang menentang pemerintah dengan sesuka hatinya dan sewenang-wenangnya, tanpa mengikut panduan agama. Contohnya, kata Imam Ibnu Nasharal Marwazi r.a: “Nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin ialah dengan mencintai ketaatan mereka kepada Allah, mencintai kelurusan dan keadilan mereka, mencintai bersatunya umat di bawah bayangan kuasa pemerintahan mereka, benci kepada perpecahan umat dengan sebab melawan mereka, mengimani bahawa taat kepada mereka ialah demi ketaatan kepada Allah, membenci orang yang keluar daripada ketaatan kepada mereka (iaitu membenci orang yang tidak mengakui kekuasaan mereka dan menganggap halal darah mereka (pemerintah) dan mencintai kejayaan mereka dalam mentaati kepada Allah.”
Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi r.a pula berkata: “Makna ‘nasihat’ untuk para pemimpin kaum Muslimin ialah nasihat yang ditujukan kepada para penguasa mereka. Iaitu dengan menerima perintah mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara-perkara yang bukan maksiat kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal maksiat kepada al-Khalik. Tidak memerangi mereka selama mereka belum kafir, berusaha untuk memperbaiki keadaan mereka, membersihkan kerosakan mereka, memerintahkan mereka kepada kebaikan, melarang daripada kemungkaran serta mendoakan mereka agar mendapat kebaikan. Kerana dalam kebaikan mereka bererti kebaikan rakyat jelata seluruhnya dan kerosakan mereka bererti kerosakan rakyat seluruhnya.”
Nasihat untuk pemimpin ialah dengan mencintai kebaikan, kebenaran dan keadilan, bukan lantaran individunya. Nasihat untuk para pemimpin dapat juga dilakukan dengan cara membantu mereka untuk sentiasa berada di atas jalan kebenaran, mentaati kebenaran dan mengingatkan mereka dengan cara yang baik, termasuk prinsip Ahli Sunnah Waljamaah, iaitu tidak sekali-kali melakukan provokasi atau penghasutan untuk memberontak terhadap mereka meskipun pemerintah itu berbuat kezaliman, tidak boleh melakukan provokasi sekali-kali baik dari atas mimbar, tempat- tempat khusus mahupun tempat-tempat umum.
Jelas, Islam meletakkan ‘adab sopan’ sebagai wadah untuk memelihara hubungan antara pemimpin dengan jemaah. Hubungan yang kukuh di antara kedua-duanya akan menjadikan umat Islam lebih dihormati, disegani dan dapat dicontohi sebagai umat yang bersusil
Oleh : Siti Hawa Hussin
Recent Comments