Dahulu pada suatu ketika dalam media sosial seorang anak muda didakwa  telah menghina Yang DiPertuan Agung.Walaupun ia dikatakan telah memohon maaf tetapi keterlanjuran kata dan bahasa dalam menyampaikan buah fikirannya didalam media sosial betapa mengambarkan sikap tidak beradab anak muda ini.Bagi mereka yang menyokong perilaku melanggar adat, memberikan alasan perilaku tersebut adalah remeh,ada kebenarannya adalah termasuk golongan yang mempersendakan pemimpin atau ketua negara.Tindakan yang diambil oleh pehak berkuasa dalam kes sebegini sepatutnya dipuji agar ia tidak akan berulang lagi.Tindakan pehak yang terbabit sebenarnya telah melanggar syariat Islam.

Antara makna adab adalah menghormati tatasusila, berbudi bahasa dan merendah diri. Jika melakukan tingkah yang bertentangan dengan pengertian adab itu maka ia dipanggil biadab. Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) pada halaman 152 mentakrifkan biadab itu sebagai: (i) tiada budi bahasa, tidak beradat; dan (ii) tidak bertamadun, belum maju. Maka dalam konteks ini, bolehlah dikatakan mereka yang biadab itu “tidak berbudi bahasa” ataupun “tidak beradat.”

Sementara perkataan remeh pula bermaksud (halaman 1122): tidak mustahak, tidak penting, dan tidak berharga. Apabila menganggap tindakan “tidak berbudi bahasa” ataupun “tidak beradat” itu sebagai “tidak mustahak, tidak penting” dan “tidak mustahak”, ia sebenarnya menampakkan ada unsur anarkisme dalam diri orang tersebut.

Anarkisme berakar umbikan perkataan “anarkis” dan membawa maksud “keadaan tidak ada atau tidak berasaskan undang-undang (keterlibatan umum atau pemerintahan yang teratur)”; dan, kekacauan atau porak peranda (dalam negeri dan lain-lain).” Anarkisme pula membawa maksud “fahaman (pendirian) bahawa segala bentuk kerajaan atau pemerintahan bersifat menindas dan wajar dimansuhkan, penolakan segala bentuk kekuasaan atau kawalan paksaan.” (halaman 42)

Berdasarkan makna tersebut, jelaslah bahawa anarkisme telah menjadi agenda oleh pihak tertentu yang tidak menganggap menghormati “adat” dan mengamalkan “budi bahasa”. Keparahan tidak menghormati adat itu menjangkitkan pula kepada pertanyaan sudah hilangkah seni pergaulan  ataupun etika bermasyarakat atau bernegara di Malaysia?

Al-Ghazali pernah memberikan panduan mengenai etika kehidupan manusia dengan menekankan bahawa dalam apa situasi pun yang berlaku, menghormati pemimpin yang sah adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan. Sebagai bentuk politik yang beradab, al-Ghazali meskipun ada ketikanya tidak bersetuju dengan tindakan pemerintah, beliau tidak pernah menunjukkan sikap memberontak dan cuba memperbaikinya menerusi perantaraan nasihat.

Beliau menggunakan akal untuk menyatakan kebenaran dan menjauhkan tindakan berasaskan perasaan. Bahkan, menerusi sebuah nukilannya, al-Ghazali berkata, kita perlu menyibukkan diri dengan mengadakan pembaikan dari dalam terlebih dahulu. Kerosakan dari dalamlah yang menyebabkan adanya serangan dari luar.

Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk etika berpolitik, mencipta suasana “hidup baik bersama dan untuk orang lain” sebagai hakikat perjuangan dan amalan seseorang itu. Seseorang yang budiman sentiasa berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain, memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang lain apatah lagi terhadap kepimpinana tertinggi negara.

Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi kehidupan mulia adalah kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya, tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat masyarakat yang tidak bermoral.

Bahkan, naluri yang diasaskan atas keinginan nafsu sebenarnya telah mencabar perintah Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah

Rasul- Nya dan penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (Surah an-Nisaa: 59). Apa yang lebih manis adalah setelah merasakan diri bersalah atau melanggar adat, dengan memohon maaf akan menghidupkan semula keinginan besar kepada kejujuran.

Dengan mengaku silap atas keterlanjuran, seseorang manusia tidak akan luntur keluhuran budi bahasa, bahkan dalam jangka panjang memberi kekuatan moral. Inilah sebenarnya matlamat dan tingkah laku seorang itu, menjadikan akhlak sebagai sempadan dan kerangka yang menentukan sebarang tindakan ataupun keputusan.

Sikap tidak beradab dan tidak mahu mengaku bersalah sebenarnya menghampiri dengan perangai iblis, kerana Allah SWT mengingatkan kita bahawa Iblis pernah mendakwa: Aku lebih baik darinya, Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan dia dari tanah.” (Surah Shad: 76) Tetapi Allah SWT tetap tidak mengiktiraf Iblis lebih baik dari Nabi Adam a.s. dan kerana itulah pemujaan diri “merupakan salah satu bentuk syirik”. Dalam hal ini, para ulama muafakat bersetuju, “kemaksiatan hati itu adalah lebih buruk daripada kemaksiatan anggota badan.” Ertinya, hatilah yang akan menentukan seseorang itu membara semangat anarkis ataupun muncul sebagai seorang yang tidak beradab.

Persoalannya, antara “persenda raja sebagai isu remeh?” seperti yang didakwa oleh golongan yang bersubahat ataupun “tidak menghormati adat atau tindakan biadab”, manakah yang wajar untuk kita jadikan sempadan dalam usaha membentuk diri sebagai manusia yang jujur, luhur dan bersusila? Kita sendirilah boleh memilihnya, kerana pilihan itulah yang akan menyenaraikan di manakah sebenarnya kita berada dan akan berada.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »