“SESIAPA yang menentang ulama atau mengkritik mereka, penentang-penentang dan pengkritik yang berkenaan akan dihukum seksa di akhirat kelak dan diturun bala di dunia.”
Kata-kata ugutan seumpama ini sering menjalar dalam masyarakat Melayu kampung dari mulut ke mulut dan di akhir-akhir ini makin meluas melata berjangkit melalui kuliah-kuliah agama yang diadakan di masjid-masjid dan surau.
Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas golongan yang dikatakan menentang itu, tetapi dapat difahami ia ditujukan kepada pemimpin-pemimpin negara.
Kata-kata ugutan seumpama ini merupakan gertak dan gerpak saja, tetapi seorang pesara kerajaan yang berpangkat ayah telah berkata dan memberi nasihat kepada anak gadisnya.
Bapa: Jangan kata Tok Guru Haji Hadi tidak betul!”
Anak: Mengapa begitu? Mereka sebenarnya memang tidak betul.
Bapa: Semalam di masjid, ada orang berkata, sesiapa melawan tok guru atau menentang penyokong-penyokongnya, Tuhan akan turun bala.
Anak: Siapa tentang tok guru, siapa tok guru yang ditentang itu?
Bapa: Hari-hari aku dengar radio,Tok Guru Haji Hadi tidak betul.”
Anak: Kita tentang mereka bukan kerana mereka tok guru, tetapi kita sanggah politiknya, kita sangkal cara pentadbirannya, kita celen cara mereka berfikir, kerana semuanya tidak cucuk dengan politik negara kita.
Bapa: Tetapi mereka orang berkat.
Anak: Tuhan tidak akan kurniakan berkat dalam urusan politik yang tidak betul. Doa mereka atas nama politik tidak pernah dikabul Tuhan walaupun dalam bentuk sembahyang hajat beramai-ramai memenuhi padang bola sekalipun.
Bapa: Dulu aku pun sokong kerajaan, tetapi dah tua begini sokong Islamlah.
Anak: Dulu dan sekarang kita tetap Islam. Pas bukan Islam dan Islam bukan Pas. Kita tidak akan masuk neraka kerana sokong kerajaan dan tidak akan masuk syurga kerana menyanjung Pas.
Ugutan seumpama ini adalah aneh dan luar biasa. Sulit bagi sesetengah orang yang tidak pernah berpengalaman dengan kuntai Pas untuk mempercayainya, tetapi sebenarnya terjadi di banyak tempat. Sebabnya adalah kerana Pas mempolitikkan agama dan mengagamakan politik sehingga dirasai bahawa Islam itu Pas dan Pas itu Islam.
Mereka melaungkan slogan “kepimpinan ulama” semacam golongan ulama adalah kudus dan suci daripada melakukan sebarang kesalahan dan kesilapan.
Inilah antara keburukan dan keaiban yang menimpa Islam apabila ia diperkudakan bagi kepentingan politik berparti. Islam sudah diturunkan taraf sama dengan sebuah pertubuhan politik. Al-Quran pula disamakan dengan perlembagaan parti. Golongan ulama yang sebenar, ahli agamawan dan cerdik pandai amat menyedari tentang keburukan itu, tetapi sebilangan besar mereka lebih senang mengambil sikap mendiamkan diri bagi maksud mengelak daripada fitnah.
Memang patut dan munasabah mereka mengambil sikap sedemikian, kerana mereka yang terlibat dalam arus penyelewengan yang berkenaan adalah dikenali sebagai ulama juga dan dianggap mempunyai kemuliaan yang mampu melakukan perkara-perkara luar biasa, sebagaimana anggapan golongan Syiah kepada mullah-mullah mereka..
Saya adalah dari keluarga tok guru. Ayah saya dikenali dengan nama Tok Guru Batu Tiga, datuk saya dikenali Tok Selehor dan dua orang bapa saudara saya tok-tok guru belaka. Mereka mempunyai pondok, madrasah dan ramai murid. Tetapi saya tidak pernah melihat dan mendengar mereka melakukan perkara-perkara luar biasa.
Memang ada orang membawa bekas air untuk dijampi sebagai air tawar, membawa anak untuk dijamah kepalanya, mengetuai majlis tahlil atau doa selamat atau sebagainya, tetapi mereka tidak pernah mendakwa dirinya sebagai orang yang dapat melakukan perkara-perkara luar biasa.
Tidak pernah ada di rumahnya apa yang dikatakan sebuah tempayan atau botol yang berisi air, kemudian air itu dikatakan air jampi Tok Batu Tiga atau air jampi Tok Selehor. Apa lagi madu jampi atau minyak biji saudak jampi.
Apabila orang ramai menghulurkan air kepada tok guru untuk dijadikan air ubat yang dikenali sebagai air tawar, agak sulit untuk tok guru yang berkenaan untuk menolaknya. Tetapi apabila tok guru mendakwa bahawa air tawarnya penuh berkat dan orang ramai pula percaya bahawa air itu boleh mengubah sesuatu keadaan, maka hal ini adalah khurafat besar dan perlu diperbaiki.
Saya juga tidak pernah dengar ulama dahulu, termasuk Tok Kenali dan Tok Bunut Payung mengadakan sembahyang hajat beramai-ramai di stadium, atau berceramah dan berkuliah secara menyindir, memperbodoh dan memperlekehkan orang lain sesama Islam. Mereka juga tidak mengeluarkan hukum yang aneh dan pelik yang dapat difahami sebagai menurunkan martabat Tuhan setaraf dengan makhluk, seperti kata-kata Tuhan juga mencarut.
Ulama adalah manusia biasa, bukan paderi atau sami. Dalam Islam tidak ada konsep kepaderian atau kesamian yang diistilahkan sebagai rabbani. Hadis Rasulullah amat jelas dalam perkara ini sebagaimana sabdanya yang bererti “Tidak ada kepaderian dalam Islam.”
Kemuliaan seseorang itu bergantung kepada takwa dan iman. Mungkin dia seorang buruh atau petani atau nelayan atau sebagainya maka ukuran mulia dan hina adalah sejauh mana patuh dan tunduknya kepada Allah swt.
Antara tanda kepatuhan seseorang kepada Allah, selain daripada menunaikan kewajipan Rukun Islam ialah amalannya terhadap keluarganya, masyarakat dan negara. Banyak pihak mendapat faedah daripada amalan hariannya.
Ulama adalah golongan orang yang memiliki ilmu pengetahuan agama dan dengan pengetahuan tersebut timbul rasa takut dan tunduk kepada Allah. Orang ramai mendapat faedah daripada ilmunya itu. Petani adalah golongan yang bekerja membanting tulang di sawah. Orang ramai mendapat beras daripada usahanya itu. Begitu juga nelayan di mana orang ramai mendapat ikan daripada kerjanya.
Antara ulama, buruh, petani dan nelayan di sisi Allah adalah sama saja. Cuma yang membezakan mereka adalah takwa dan iman. Mungkin seorang petani lebih dulu masuk syurga daripada ulama sekiranya dia lebih hampir dengan Allah berbanding orang lain, walaupun orang lain itu kelihatan berkupiah keras, berjanggut, berjubah dan sebagainya.
Satu kumpulan sedang melakukan qiamullail dan tahajud di sebuah masjid selepas tengah malam. Pada masa yang sama ada satu kumpulan yang lain sedang bertungkus lumus menggali parit untuk membaiki paip air yang bocor. Beratus-ratus penghuni di suatu taman telah keputusan air disebabkan saluran air ke taman mereka pecah.
Sudah tentu kumpulan yang sedang bekerja menyambung saluran air itu lebih banyak pahalanya daripada kumpulan yang sedang qiamullail, kerana kerja-kerjanya memberi faedah besar kepada orang ramai yang sedang keputusan air yang berkenaan.
Bahkan sekumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai ulama yang sedang berceramah politik dengan propaganda memperlekeh dan memperbodohkan orang lain, sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa program pembangunan rakyat, mereka ini belum tentu lebih baik daripada kumpulan buruh yang sedang menyelamatkan orang lain daripada kekeringan air.
Hadis Rasulullah menjelaskan demikian, iaitu “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang dapat memberi faedah kepada orang ramai.”
Amalan qiamullail ada faedahnya sekiranya tidak mengganggu kerja-kerja asasi hariannya. Tetapi faedah itu hanya untuk dirinya saja dan orang ramai termasuk keluarganya sendiri tidak dapat menumpang faedah daripadanya.
Paling buruknya ialah sekumpulan yang bergelar ulama melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan ketidaktenangan dan kegelisahan orang ramai. Kerja-kerja mereka seumpama ini langsung tidak ada nilai di sisi Allah.
Hadis riwayat Bukhari menyatakan “Sesungguhnya ulama adalah pewaris Nabi.” Maksudnya apabila para Nabi sudah tiada, maka tugas para Nabi itu menjadi tugas para ulama pula, iaitu menyampaikan (tabligh), menjelaskan (tabyin), memutuskan sesuatu persoalan tertentu (tahkim) dan sebagai contoh utama (uswah).
Apabila ulama sudah terlibat dalam memperalatkan agama bagi kepentingan politik maka tugas-tugas tersebut hampir mustahil dapat dilaksanakan. Ketika ini yang haram menjadi harus dan yang harus menjadi haram menurut pola dan pertimbangan politik mereka. Matlamat akhirnya bukan lagi mencari keredaan Allah, tetapi bermaksud menang dalam pertandingan pilihan raya.
Oleh : Dato Dusuki Hj Ahmad
Recent Comments