RIMA Fakih, mencetuskan kontroversi tahun lalu apabila dia menjadi peserta Islam berketurunan Arab Lebanon pertama yang memenangi pertandingann ratu cantik Miss USA.

Dia yang berhijrah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya pada tahun 1993, memang dilahirkan sebagai wanita yang memiliki rupa paras yang menawan dan sejak kecil, dia suka berpenampilan menarik.

Ketika diterima sebagai salah seorang peserta pertandingan, Rima tidak keberatan untuk merakamkan pelbagai aksi di hadapan kamera biarpun terpaksa berbogel.

“Saya pernah berbogel untuk satu sesi fotografi. Ketika itu, hanya lukisan tatu yang melindungi bahagian sulit di tubuh saya.

“Saya rasa lebih selesa bergambar sedemikian lagipun di dalam pertandingan sebegini, saya ingin kelihatan lebih menonjol dan mampu memberikan gaya menarik, lain daripada yang lain,” katanya.

Walaupun menyertai pertandingan Miss Universe dan berbogel untuk sesi fotografi, Rima turut mendedahkan bahawa sepanjang sesi berkenaan serta sepanjang pertandingan itu berlangsung dia masih belum meninggalkan puasa.

“Bagi saya puasa adalah tuntutan dalam Islam dan saya tetap berpegang teguh kepadanya.

“Dipilih sebagai wanita tercantik dunia, ia menuntut komitmen saya untuk memperagakan pelbagai jenis fesyen pakaian namun dalam jiwa saya, saya masih lagi Islam,” katanya yang membidas pendapat orang ramai tentang perlakuannya yang sanggup mengenepikan ajaran Islam seolah-olah agama hanya syarat untuk dia hidup sebagai manusia bertamadun.

Bagi umat Islam, pertandingan ratu cantik jelas merupakan sesuatu yang bertentangan dan dilihat menjatuhkan maruah wanita.

Kecantikan para peserta dieksploitasi secara melampau apabila mereka diminta bergaya separuh bogel dengan mengenakan bikini yang merupakan syarat pertandingan itu sendiri.

Impak pertandingan serupa ini bukan kecil. Hampir semua wanita kini ingin dilihat sebagai orang yang cantik. Terpukau dengan kejelitaan kosmetik para peserta, ramai yang mula mecari produk-produk kecantikan untuk menampung cela pada wajah.

Fitrah wanita yang ingin sentiasa tampil jelita, anggun dan bergaya bukan sekadar memberi kepuasan pada diri sendiri. Realitinya, golongan ini adalah penyumbang kepada nilai pasaran untuk produk kecantikan yang dianggarkan mencecah trilion dolar setahun.

Ketaksuban dalam mengejar  kecantikan atau untuk menjadi lebih cantik adakalanya memerangkap diri sehingga persoalan akidah sanggup dibelakangkan.

Di sini, kita dapat melihat pentingnya ketakwaan untuk dijadikan sebagai asas dalam membina neraca untuk mengukur dan menilai erti  kecantikan, supaya  kecantikan itu merupakan sifat atau unsur yang benar-benar bererti.

Sebenarnya sudah terlalu lama kita mentafsir kecantikan menurut pandangan zahir sehingga kita terlepas pandang bahawa orang cacat penglihatan juga mempunyai naluri yang sama untuk menikmati  kecantikan .

Sewajarnya, kita belajar dari golongan ini bagaimana cara mereka mentafsir kecantikan supaya  kecantikan itu dapat dinilai dengan lebih seimbang dan menyeluruh.

Mereka menilai melalui suara yang didengar kerana cara berhubungan adalah ukuran bagi mereka menilai kecantikan  seseorang.

Dalam Islam, tidak salah untuk tampil cantik. Syaratnya, jadikan pegangan agama sebagai landasan untuk mendapat kecantikan yang diberkati di dunia dan akhirat.

Bunyinya mungkin klise tetapi sedarlah bahawa agama adalah benteng yang mampu membendung pemikiran, nafsu dan juga emosi untuk kita membentuk dan mentafsir kecantikan pada diri.

Sejarah penafsiran cantik sudah bermula sejak zaman kuno lagi. Seawal zaman Socrates dan Plato, manusia telah cuba mengungkap erti kecantikan. Socrates menyatakan bahawa kecantikan  itu sesuatu yang sukar untuk dijelaskan.

Kalangan ahli falsafah mengakui bahawa kecantikan itu melibatkan perasaan gembira, seperti Thomas Aquinas, walaupun sesetengahnya menganggap  kecantikan  sebagai sesuatu yang benar-benar subjektif sifatnya dan ia sangat bergantung kepada keadaan diri seseorang sebagaimana yang dipegang oleh Rene Descartes.

Orang Yunani kuno yang mentafsir kecantikan sebagai sesuatu yang baik dilihat dari sudut moral masyarakat, bersesuaian dengan kebiasaan masyarakat dan ia sesuatu yang boleh memberi kesenangan hati kepada mata yang melihat.

Walau apapun tafsiran dan pandangan mengenai kecantikan, Islam mempunyai garis panduan mengenenai kecantikan itu sendiri.

Harus diingat, kecantikan itu adalah rezeki namun ia juga adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah s.w.t. Bagi yang menggunakannya sesuai dengan tuntutan agama, dia akan menjadi orang yang beruntung. Dan bagi yang menggunakannya di jalan yang salah, sangatlah merugikan dan berdosa.

Bukan itu sahaja, orang yang mempergunakan kecantikan dengan niat yang tidak baik hanya akan merendahkan martabat kecantikan dirinya sendiri.

Boleh dikatakan pelbagai cara sanggup dilakukan demi memiliki kecantikan yang ideal. Namun, adakah kecantikan ideal yang dikejar itu kecantikan yang hakiki?

Desakan untuk tampil cantik dan menarik adakalanya terlalu sukar untuk ditolak. Ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan kecantikan di salon, mengunakan aneka kosmetik dan mengenakan pakaian berjenama.

Apa yang menyedihkan, ada juga yang sanggup menjalani pelbagai jenis pembedahan, malah ada antara kaedah tersebut membahayakan diri serta mengundang dosa.

Yang pastinya, soal kecantikan memang tidak dapat dipisahkan daripada kamus hidup setiap yang bergelar wanita, apatah lagi cantik itu adalah fitrah manusia.

Antara jalan mudah untuk cantik yang pernah hangat diperkatakann ialah suntikan botox.

Walaupun penggunaannya telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana diyakini mengubah kejadian Allah dan menyimpang daripada ajaran Islam yang syumul, hakikatnya, bukannya mudah untuk menegah atau menghentikan serta-merta sesuatu yang agak sudah sebati dalam dunia kecantikan ini.

Apa lagi, golongan yang sanggup berhabis ribuan ringgit dan menolak hukum Allah s.w.t hanya semata-mata untuk kelihatan cantik.

Selain Botox, wanita Islam turut dikelirukan dengan penggunaan unsur serbuk emas 24 karat di dalam produk kecantikan dan penjagaan kulit.

Malah ada yang berpendapat, produk yang mengandungi serbuk emas ini ialah susuk moden.

Penceramah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood pernah menjelaskan, Islam  tidak melarang manusia itu atau umatnya untuk kelihatan cantik, namun cara untuk tampil cantik itu perlu mengikut garis panduan yang dibenarkan di dalam Islam .

Penjelasan beliau itu dapat dibuktikan dalam satu hadis Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah ini Maha Indah dan Maha Cantik dan Allah suka yang indah-indah dan yang cantik-cantik.”

“Tidak salah kita berikhtiar untuk menjaga wajah, kesihatan, penampilan diri tetapi biarlah dengan kaedah dibenarkan di dalam Islam.

“Pemakaian susuk, ia ada menggunakan jampi serapah atau mentera, ada orang perantara, biasanya bomoh susuk, untuk memasukkan susuk ke mana-mana bahagian yang dikehendaki dan sebelum si pemakai menghembuskan nafas terakhir, dia perlu mengeluarkan susuk tersebut terlebih dahulu.

“Berbeza dengan produk kecantikan yang terdapat di pasaran, ia tidak menggunakan bahan jampi serapah.

“Malah produk ini apabila dipakai di wajah ia akan meresap ke dalam wajah dan lama kelamaan ia akan hilang dengan sendirinya. Berbeza dengan mereka yang memakai susuk di mana apabila melalui sinar x, bahan susuk sama ada emas atau berlian tersebut masih kelihatan di bawah lapisan kulit,” katanya.

Tambahnya lagi, sama ada susuk atau botox, keadah kecantikan ini jelas haram di sisi Islam walaupun alasan yang sering digunakan oleh para wanita ialah untuk tampil menarik di mata suami.

Mengulas tanggapan yang mendakwa pemakaian segelintir produk kecantikan, akan membuatkan wajah lebih menonjol, seterusnya menarik perhatian ramai dan bukankah ini dikira telah mengubah kejadian Allah?

“Sesuatu yang mengubah kejadian Allah, jelas diharamkan di dalam  Islam, contohnya, Botox yang jelas mengubah bentuk wajah seseorang itu,” katanya.

Namun, perlu ditekankan di sini, rawatan kecantikan yang diambil untuk merawat masalah di wajah seperti jerawat yang teruk, ia tidak dianggap merubah ciptaan Allah.

Seperkara lagi, jika seorang isteri memakai produk kecantikan, niatnya adalah untuk menambat hati suami, supaya suami tambah sayang dan juga mungkin niat untuk keyakinan diri, itu sudah jelas dibenarkan di dalam Islam .

Tetapi jika ia diniatkan yang sebaliknya seperti untuk menarik perhatian orang lain, berbangga diri itu telah bercanggah dengan Islam, apatah lagi timbul riak dalam diri apabila terlalu dilambung-lambung dengan pujian.

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a seharusnya diambil perhatian oleh semua umat  Islam  tidak kira wanita mahupun lelaki dalam menilai soal kecantikan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat seseorang itu kepada wajah, paras rupanya dan juga harta benda tetapi yang Allah lihat ialah hati dan amalannya.” Apa gunanya wajah yang cantik tetapi hatinya penuh dengan sifat hasad dengki dan sebagainya.

Biarpun Islam sukakan, keindahan, besederhanalah dalam mencantikkan diri.

Memang agak kurang logik jika mahu mengaitkan pemakaian mekap dengan peningkatan kejadian rogol. Kalau ada pun, kemungkinan mangsa itu dirogol kerana mekap mungkin sangat kecil.

Sungguhpun begitu, pemicu ghairah lelaki terhadap kecantikan wanita itu bukan mudah untuk ditebak.

Bagaimanapun, isu yang ingin dibincangkan di sini bukanlah semata-mata kerana mekap tetapi ia lebih kepada bagaimana wanita terutamanya muslimah supaya tidak melebih-lebih dalam menghias diri.

Islam bukan menyekat umatnya untuk tampil cantik, malah  Islam  sendiri sukakan kecantikan dan keindahan. Tetapi sebagai agama yang juga mengunjurkan kesederhanaan, merias diri juga jangan keterlaluan.

Perbincangan mengenai batasan perhiasan yang diharuskan kepada seorang wanita  Islam  sudah sering dibincangkan secara umum.

Biarpun tidak secara jelas menyentuh mengenai pemakaian mekap, memakai kasut tumit tinggi atau mengenakan gelang kaki berloceng, namun banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh dirujuk dan dijadikan panduan jelas kepada batas perhiasan yang harus bagi wanita  Islam .

Ia termasuk keharusan berhias untuk suami di rumah manakala perhiasan di luar rumah pula selagi ia tidak melanggar syarak dan mendatangkan fitnah atau keghairahan kepada lelaki.

Kecantikan seseorang wanita itu adalah terlalu subjektif untuk diperdebatkan. Mungkin bagi sesetengah orang, perhiasan itu tidaklah sampai menimbulkan fitnah atau keghairahan, tetapi sebaliknya pula pada pandangan mata lelaki yang lain.

Namun perlu untuk difahami, kecantikan yang mengundang fitnah dan rasa ghairah lelaki sebenarnya lebih kepada kecantikan luaran iaitu kecantikan yang dipertontonkan.

Sedangkan kecantikan dalaman iaitu keindahan peribadi yang terbentuk hasil didikan Islam  sepenuhnya adalah kecantikan sebenar yang seharusnya dipamerkan oleh seorang wanita.

Lantas, apa salahnya jika stigma cantik menjurus kepada  kecantikan lahiriah wanita ditukar kepada kesantunan akhlak.  InsyaAllah jika wanita itu lembut tutur katannya, baik budi pekertinya dan pandai membataskan pergaulannya, tentu wanita itu akan lebih dipandang mulia oleh masyarakat dan semestinya dikagumi oleh lelaki.

Kecantikan hanyalah bonus pada pandangan mata, sebaliknya kesantunan akan kekal sebagai tanda hormat yang cukup tinggi dan lebih mempesona.

OLEH : JUHAIDI YEAN ABDULLAH

Translate »