Ada rasa kesal, kecewa dan terkilan terhadap makna kecantikan yang tidak dimanfaatkan oleh seseorang sehingga kecantikan itu menjadi sesuatu yang tidak lagi bermakna. Saya mula memahami bahawa kecantikan merupakan nilai yang cukup subjektif tetapi sangat mempengaruhi setiap keputusan yang bersifat material dan spiritual. Kecantikan secara fizikal atau material itulah yang ‘tidak dapat bertahan lama’ seperti keinginan seseorang untuk memiliki model kereta yang tercantik pada sesuatu masa.
Ada orang sanggup menyimpan wang untuk berbelanja untuk mendapatkan model kereta yang diminatinya, kerana sangat terpukau dengan kecantikannya. Tetapi, jarang orang berfikir untuk memenuhi keinginan kepada kecantikan itu berdasarkan kemampuan dan ketahanan enjin kereta tersebut dalam mengharungi perjalanan yang panjang, termasuk ekonomi penggunaan bahan api atau kemantapannya mendaki bukit, menyusur denai dan lopak air serta mengambil selekoh tajam.
Saya mengandaikan ‘kecantikan’ itu daripada perspektif spiritual kerana dalam hidup kita, kita sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti spiritual, sama ada spiritual dalam diri kita sendiri atau orang lain yang ada paling dekat dengan kita. Kalau dalam kehidupan berkeluarga, kekuatan spiritual dan kualiti rohani seorang isteri cukup menyebabkan kerukunan rumah tangga yang dapat membantu kita sendiri menyerlahkan nilai spiritual yang merujuk kepada keimanan dan ketakwaan. Apakah kaitannya dengan kekuatan spiritual dan kualiti rohani seorang isteri sedangkan seorang suami adalah pemimpin dan imam kepada keluarga – isteri dan anak-anak?
Jawapannya ada dalam pernyataan Nabi Muhammad SAW, yang bermaksud: Wanita itu dinikahi atas empat perkara: hartanya, nasabnya, kecantikannya, dan agamanya. Jadi, utamakanlah menikahi perempuan yang mempunyai dasar agama, maka kamu beruntung.” (al-Bukhari dan Muslim).
“Barang siapa menikahi wanita kerana harta dan kecantikannya, kecantikan dan hartanya menjadi haram. Dan, barang siapa yang menikahinya kerana agamanya, Allah akan mengurniakannya (laki-laki) harta (wanita) dan kecantikannya sekaligus.” Al-Tabrani).
“Jangan kamu nikahi wanita kerana kecantikannya sebab kecantikan itu akan memudar. Dan, jangan engkau nikahi wanita kerana hartanya, kerana harta menjadikannya semena-mena (tidak ada sebab yang bersangkutan dan boleh membangkitkan ego, sombong atau angkuh). Nikahilah wanita kerana agamanya.” (Ibnu Umar).
Kenapa harta dan kecantikan tidak diberikan kedudukan istimewa dalam pemilihan calon isteri? Harta dikaitkan dengan pemilikan aset nyata (fizikal dan kekayaan), kedudukan status sosial (kalangan bangsawan atau orang kenamaan), mempunyai pangkat dalam sesebuah organisasi, berada di puncak kerjaya, dan dihormati sebagai seorang berstatus. Dalam cerita-cita lama, hal seperti ini cukup menjadikan perseteruan dan konflik, golongan bangsawan atau orang kaya sanggup menjodohkan anak perempuan dengan lelaki yang setaraf.
Saya pinjamkan sebuah dialog yang terkandung dalam filem Antara Dua Darjat (1960) di mana Sudin (S Samsudin) memberikan nasihat kepada Ghazali (P Ramlee) yang bercinta dengan Tengku Zaleha (Saadiah). Kata Sudin: Ghazali, orang berdarah feudal macam Tengku Karim itu dia lebih suka melihat anaknya mati daripada melihat anaknya membuat perhubungan orang kebanyakan seperti kita.” Kisah ‘memandang hina’ kepada status sosial rendah dipaparkan sejak awal lagi apabila Ghazali menjejakkan kaki ke Anggerik Vila untuk mengajar Tengku Zaleha bermain piano. Ketibaan ‘guru muzik’ disambut dengan ‘ego dan perilaku menghina’, yakni Tengku Karim tidak bersedia bersalaman dengan Ghazali.
Bahkan, perjalan cerita selanjutnya ialah Tengku Karim memarahi anaknya, Tengku Zaleha yang ikut membantu menolak sebuah kereta yang tersangkut di dalam lumpur akibat hujan. Tengku Zaleha basah kuyup. Tengku, berdarah mulia, Tidak layak bercampur-gaul dengan pemuda-pemuda yang bukan keturunan di raja, tau?
Wanita dalam kalangan kaum bangsawan (feudal) dibatasi pergaulan dan pergerakannya, kecuali dalam kalangan kelompok yang sama. Hal ini berlaku kepada Tengku Zaleha, akibatnya terpaksa dikurung di rumah: Mulai hari ini, Ayahanda tidak izinkan kamu pergi ke mana-mana. Kerana Ayahanda curiga kalau kau bercampur gaul, lebih-lebih lagi kamu membuat perhubungan dengan pemuda-pemuda yang tidak setaraf dengan kita.”
Namun, dalam keadaan berbeza tidak terdapat konflik ‘antara dua darjat’, apabila Tengku Karim berkahwin dengan Yang Cik (Rahimah Alias), seorang perempuan cantik daripada orang biasa dan bekerja sebagai wanita kabaret (GRO – Pelayan Pelanggan Wanita), sehingga melahirkan Tengku Zaleha.
“Ya! Aku memang perempuan cabaret! Ayah kau yang tergila-gilakan aku dulu. Oh! Kalau kamu Tengku-Tengku yang gilakan perempuan biasa tak mengapa ya! Kalau Tengku Zaleha gilakan laki-laki kebanyakan kamu pentingkan darah. Kenapa ayah kamu tidak pentingkan semasa ia kahwin dengan aku dulu?”
Di akhir babak, Ghazali berusaha meruntuhkan kebanggaan keturunan bangsawan atau feodalisme yang ada dalam keluarga Tengku Karim: Kamu selalu berbangga dengan darah keturunanmu! Sekarang cubalah kamu bandingkan darahmu dan darahku!.Bandingkanlah darahku dan darahmu! Semua manusia darahnya sama, merah kehitaman. Hanya spesies belangkas mempunyai darah biru. Ini bermakna, dalam hidup bermasyarakat, kedudukan dalam status sosial tidak perlu dibezakan dan dijarakkan. Dalam masyarakat berbudaya, pangkat, harta dan status sosial hanyalah ‘game point’ yang cukup banyak merintis konflik dan krisis. Namun, ada juga dalam kalangan bangsawan sanggup meninggalkan kebangsawanannya untuk hidup sebagai manusia biasa, tanpa terikat dengan pelbagai protokol dan pengalamam prejudis.
Kenapa harta tidak dijadikan sandaran utama atau faktor penentu? Ini kerana harta telah menyebabkan pemiliknya kadangkala terlupa, dengan budaya tamak dan haloba mereka gunakan untuk bersaing bahkan ‘membeli jodoh dan cinta’.
Transaksi seperti itu tidak berlangsung dengan baik dan berkekalan, kerana banyak halangan yang berlaku dalam perkahwinan tersebut sebagaimana berlaku dalam mereka yang bergelar jutawan dan laksawan. Akibat terlalu memikirkan kekayaan, diabaikan banyak keperluan lain termasuk kemantapan spiritual, yang akhir sepasang suami isteri yang dilihat bahagia membuat keputusan dalam haluan masing-masing sehingga keduanya memfailkan proses penceraian.
Begitu juga dengan sebahagian besar wanita cantik. Ada di antaranya berakhir dengan tragedi, sama ada olehnya sendiri atau orang-orang di sekitarnya. Kisah Marilyn Monroe cukup memberikan kita pengetahuan bagaimana kecantikan seorang dieksploitasi dengan begitu kejam dan menjadi bahan eksperimen politik. Akhirnya, Marilyn Monroe mati akibat terlebih mengambil barbiturit (sejenis dadah yang digunakan sebagai ubat penenang atau dikenali sebagai pil tidur ) pada 5 Ogos 1962.
Kita juga banyak mendengar dan membaca laporan, golongan wanita cantik sangat berhadapan dengan ‘krisis jiwa’ yang sukar dikawal sehingga mereka membuat keputusan ‘bunuh diri’ dan sebagainya apabila gagal dalam kerjaya atau kehidupan untuk berkeluarga. Antaranya, Ahn So Jin , Jo Hana, Sulli, Go Haraa, Jang Ja Yeon. Choi Jin Sil, dan Lee Eun Joo. Ia tidak bermakna tidak ada mereka yang ternama lelaki yang membunuh diri akibat tekanan dan kemelut jiwa. Orang yang mengalami ‘gangguan mental’ dipanggil ‘sakit jiwa’ dan kerana itu kehidupan ini benar-benar memerlukan ‘kesihatan mental’ dan ‘kemantapan spiritual’.
Kemantapan spiritual boleh diraih menerusi pendidikan agama dan bimbingan moral daripada mereka yang cukup baik, sederhana dan sentiasa melimpahkan kehidupannya dengan sabar, syukur dan mensucikan jiwa. Pengalaman inilah yang sangat ditekankan oleh al-Ghazali dalam pendekatan ‘jiwa agama’ yang kemudiannya kita kenali sebagai tasawuf.
Nilai tasawuf berbeza dengan kehidupan beragama dalam beberapa agama yang kita kenal, misalnya Hindu, Kristian dan Buddha. Dalam tiga agama besar selain Islam itu, konsep penyucian jiwa adalah sesuatu yang tidak berhubung dengan kehidupan sebagai rakyat, kerana pengamal-pengamalnya akan menjarakkan diri dengan masyarakat. Mereka menjadi penunggu gereja, penjaga kuil dan pagoda sehingga sumber kehidupan mereka terpaksa dibantu oleh orang lain. Mereka memusatkan aktivitinya kepada gereja, kuil dan pagoda, bukan seperti Islam. Kehidupan zuhud, tidak memisahkan mereka dengan masyarakat kebanyakan, kerana mereka turut diwajibkan berkeluarga, bergaul dengan tetangga dan tentunya menyampaikan dakwah kepada ahli masyarakat, bukan hanya dalam lingkungan masjid yang menjadi tumpuannya sahaja.
Mereka diwajibkan keluar daripada persekitaran itu. Dan, tentunya, untuk keluar daripada masjid tradisi, ia memerlukan sokongan orang ramai, termasuk mengundangnya untuk menyampaikan dakwah dan juga merancang dakwah di luar ‘tempat tradisi’nya. Kalau dia merupakan seorang pengajar atau pendidik di pondok, ia juga wajar keluar daripada pondoknya itu ke kawasan-kawasan tertentu, termasuk bersyarah di kawasan lapang, di premis-premis awam dan sebagainya. Hal sebegini jarang berlaku dalam kalangan paderi, sami dan juga rabi. Kecuali jika ada perhimpuan besar majlis keagamaan mereka yang khusus.
Kecantikan dan harta boleh hilang sekelip mata. Kecantikan boleh membawa duka dan menyebabkan ‘jiwa lara’ ataupun terluka. Ini kerana mereka yang cantik kadangkala ego dan sombong menyebabkan mereka yang terhina berusaha membalas dendam bagi memberikannya ‘pengajaran’ atau menimbulkan orang lain rasa cemburu. Apatah lagi jika kecantikan itu tidak disusuli dengan ‘budi bahasa’, ia akan memerangkap ‘bom benci’ dan ‘rasa curiga’. Ada juga kedengaran, kecantikan itu membawa luka parah dalam kehidupan misalnya cerita yang pernah dirangkaikan oleh Eka Kurniawan dalam Cantik Itu Luka (1995).
Dewi Ayu yang mempunyai empat orang anak perempuan. Tiga daripadanya memang cantik sehingga menjadi rebutan sebagaimana Dewi Ayu sendiri yang menjadi rebutan para lelaki di rumah pelacur Ma Kelawar. Hanya seorang anaknya yang tidak dilahirkan cantik, tetapi diberikan nama Cantik. Semasa mengandung Cantik, Dewi Ayu setiap hari berdoa agar kelahiran anak bongsunya dengan wajah yang hodoh dan buruk. Dewi Ayu cukup faham dan berpengalaman kerana kecantikan itulah menyebabkan persekitaran kehidupan di Halimunda. Darah kacukan (bapa Belanda dan neneknya, dalam kalangan ningrat tradisi, Ma Iyang).
Ma Iyang merupakan gundek kepada seorang lelaki Belanda bernama Ted Stammier. HAsil hubungan tersebut lahirlah Aneu Stammier. Henry Stimmer merupakan abang Aneus Stimmer yang dari perkahwinan yang sah Ted Stammier dan Marietje Stammler. Setelah dewasa, Aneu dan Henry jatuh cinta, dan ketika itu Ma Iyang sudah pun mati bunuh diri. Hasil hubungan cinta itu, Aneu akhirnya melahirkan seorang anak perempuan, iaitu Dewi Ayu. Bagaimanapun, kedua ayah dan ibnnya meninggal dunia ketika Dewi Ayu masih kecil, dan dia diasuh oleh waris-warisnya dalam persekitaran tradisinya.
Letika berusia 17 tahun, Dewi Ayu kehilangan ahli keluarganya akibat serangan tentera Jepun. Dewi Ayu dipenjarakan (selama dua tahun) bersama-sama orang Belanda semasa pemerintahan Jepun. Selepas itu, Dewi Ayu dipindahkan ke rumah besar milik Mama Kalong dan ketika itu ia mula dipaksa menjadi pelacur bagi memenuhi gejolak nafsu tentera Jepun. Tiga anak perempuan Dewi Ayu dilahirkan cantik ialah Alamanda, Adinda dan Maya Dewi. Keempat-empat anak Dewi Ayu tidak diketahui dengan jelas siapa bapak mereka.
Alamanda berkahwin dengan Sodanco, seorang bekas tentera Jepun yang masih tinggal di Halimunda walaupun Jepun menyerah kalah. Hasil perkahwinan tersebut, lahir pula seorang puteri bernama Nurul Ain. Sadanco pernah tidur dengan Dewi Ayu dan merupakan seorang lelaki yang sangat dibencinya, dan menyerahkan Alamanda untuk dijadikan isteri bagi mengelakkan diganggu. Adinda berkahwin dengan Komrad Keliwon, dan melahirkan seorang anak lelaki yang diberikan nama Krisan. Maman Gandeng, bekas kekasih Dewi Ayu, pula berkahwin dengan Maya Dewi.
Setelah meningkat dewasa, Krisan dan Nurul Ain saling jatuh cinta. Tetapi disebabkan keterakin Krisan kepada Rengganis, mereka bersetubuh sehingga hamil. Krisan juga bersetubuh dengan Cantik sehingga hamil. Bagi Krisan, bersetubuh dengan sesiapa pun tidak ada bezanya, samaa Rengganis yang cantik ataupun Cantik yang hodoh. Suatu hari, Cantik bertanya kepada Krisan, kenapa beliau bersetubuh dengannya. Jawab Krisan: Cantik Itu Luka pada suatu malam sebelum dia terbunuh.
Dalam persepsi lazim, juga dalam novel Cantik Itu Luka atau gambaran perempuan cantik biasanya diidentikkan dengan: berkulit putih, bentuk badan yang menggiurkan lelaki (lansing dan juga ada bentuk seperti buah pir) dan rupa paras yang menawan di mata masyarakat. Dalam dunia lain, perempuan yang cantik disinonimkan dengan berkulit halus, berdahi licin, rambut panjang mengurai (mitos hantu pari, kini sukar untuk ditonton kerana ramai wanita bertudung walaupun hanya trend fesyen), pipi merah menyala dan alis mata menonjol (teknik make-up), leher jinjang (tidaklah sepanjang leher zirafah), hidung mancung (pembedahan plastik) dan pinggang ramping serta berdada bidang (pakai Cossack).
Hati-hati bila terpandang wanita cantik zaman sekarang kerana tidak semua merupakan kecantikan asli. Semuanya sudah boleh direkayasa menerusi teknik pembedahan (pembedahan plastik, implant silicon, pemotongan usus, make-up dan sebagainya) asalkan mempunyai wang untuk kelihatan cantik, ayu dan anggun. Itulah juga mendorong segelintir lelaki berusaha menjadi ‘perempuan’ termasuk melakukan penukaran alat kelamin dan payu dara, dari lelaki kepada perempuan. Kata orang, dunia akhir zaman, lelaki cenderung menjadi perempuan, melanggar fitrah penciptaan Allah SWT.
Menarik lantunan kata-kata: Wanita itu laksana perhiasan. Maka ia berhak menerima pujian dan penghormatan kecuali ia sendiri memilih menjadi kuali. (facebook, Lazim Noor, 9.1.2022). Semua orang akan menghormati seorang wanita, bukan hanya kerana wanita adalah ibunya, tetapi apabila seorang wanita itu ada dan penuh sifat kewanitaannya. Setiap orang sentiasa memuji atau menghormati seorang wanita yang keperempuanannya cukup sifatnya. Itulah benar, dalam keadaan sekarang, ada perempuan yang memilih untuk menjadikan dirinya seperti kuali.
Apa itu kuali? Kuali, termasuk dalam peralatan memasak, tetap berkeladak dengan ‘arang’ dan hitam, walaupun dilekat dengan sejenis bahan (anti melekat – non stick) yang dikenali dengan nama polytetraflouroethylene (PTEE). PTEE boleh menyebabkan kanser sekiranya pelekat itu tertanggal. Cuba kita lihat, di mana sesebuah kuali yang sentiasa digunakan disimpan? Sebahagian besarnya diletakkan di bahagian paling bawah ‘kabinet’ atau digantung di bahagian dinding berhampiran penunu memasak. Sesekali, kelihatan kuali masih dibiarkan minyak masak yang digunakan bertakung di dalamnya.
Bolehkah kita mentafsirkan metafora Lazim Noor (Lara MN) itu? Apakah ‘kuali’ itu merupakan sikap dan pendirian perempuan yang sudah berubah?: suatu evolusi dalam kehidupan berumah tangga, kerana lebih mengutamakan kecantikan diri – menghias diri – tetapi take thing for granted dalam pemenuhan fungsi sebagai ‘menjaga perut’ suami? Sepeti pesan orang tua-tua, formula kebahagian rumah tangga mereka adalah berpandukan tiga perkara: jaga perut suami dengan masakan isteri, jaga pakaian dan harta suami; dan layan suami sebaik-baiknya sama ada ketika berdua-duaan diranjang, atau semasa bercakap-cakap dan dihadapan tetamu (juga sanak saudara). (BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments