Bagi kita orang awam, godaan yang sukar dielakkan itu adalah mendedahkan aib orang lain.

Dalam riwayat Imam al-Tirmidzi disebutkan sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang mendedahkan aib saudaranya, Allah akan mendedahkan aibnya. Barangsiapa yang didedahkan aibnya oleh Allah, Allah akan mempermalukannya, bahkan di tengah ahli keluarganya.”

Imam Fakhr al-Razi dalam tafsirnya menceritakan sebuah riwayat bahawa para malaikat melihat di lauh al-mahfudz kitab catatan manusia. Mereka membaca amal saleh manusia. Ketika sampai pada bahagian yang berkenaan dengan keburukan manusia, tiba-tiba sebuah tirai jatuh menutupnya. Malaikat berkata, “Maha Suci Dia yang menampakkan yang indah dan menyembunyikan yang buruk.”

Kenapa membicarakan aib orang lain itu begitu dikecam dalam Qur’an dan Hadis? Kerana pada masa kita mendedahkan aib orang lain, dalam diri kita akan muncul perasaan bahawa kita lebih baik dari orang tersebut. Merasa lebih baik ini jelas merupakan sifat iblis. Itu sebabnya kita sebagai orang awam harus belajar menahan diri untuk tidak membicarakan keburukan orang lain. Apa kita sendiri tidak punya aib atau kelemahan sehingga kita lebih asyik mengata aib orang lain?

Al-Hujurat ayat 13 mengingatkan kita: “Janganlah kamu mengolok-olok kaum yang lain [kerana] boleh jadi mereka [yang diolok-olok] lebih baik dari mereka [yang mengolok-olok] dan jangan pula kaum wanita [mengolok-olok] wanita lain [kerana] boleh jadi wanita yang [diperolok-olok] lebih baik dari wanita [yang memperolok-olokkan]….

Tentu saja ada pengecualian boleh mendedahkan aib orang lain seperti ketika bersaksi di pengadilan, memberi nasehat agar si fulan tidak mengulangi kesalahannya atau memberi peringatan agar orang tidak tertipu kelakuan buruk si fulan. Intinya, mari kita berhati-hati membicarakan keburukan orang lain, jangan sampai Allah pun membuka keburukan kita. Ya Sattar, ustur ‘uyubana….

Kalau godaan bagi orang awam seperti kita ini untuk tidak membuka aib, maka untuk orang-orang khusus (wali, salik), godaannya adalah untuk tidak semberono menceritakan pengalaman ghaibnya.

Pada tahap awal, para salik akan melihat berbagai keghaiban. Ini pun sebenarnya ujian. Pelbagai peristiwa ghaib atau pesan langit tidak boleh diceritakan ke semua orang tanpa izin-Nya. Jika melakukannya, maka para salik telah gagal melewati ujian ini. Kalau setetes rahasia ilahi yang dititipkan kepadamu sudah membuat dirimu berbangga dan bicara ke semua orang untuk menimbulkan kebanggaan pada dirimu, maka bagaimana Allah akan membuka rahsia-Nya yang lebih besar lagi?

Kenapa para salik harus menahan diri untuk menceritakan berbagai “karomah” atau “keghaiban” yang mereka alami? Ini kerana dikhuatiri akan timbul perasaan lebih suci dan lebih dekat kepada Allah dibanding orang lain. Ini sekali lagi jelas merupakan sifat iblis.

Walhal, orang awam tidak boleh sembarangan mendedahkan aib orang lain. Para salik juga tidak boleh sembarangan menceritakan perkara ghaib. Kerana kedua-duanya membawa kepada perasaan lebih baik dan lebih suci dari orang lain.

Oleh: Nadirsyah Hosen

Sumber : nadir.net

Translate »