Pengenalan
Nabi Muhammad (SAW) merupakan nabi terakhir yang Allah bangkitkan untuk menyeru kepada tawhid dan kebenaran. Ajaran Islam yang dibawa itu kekal sehingga akhir zaman.Umat Islam semakin berkembang sehingga kini di dunia. Islam bermula sendiri di Tanah Arab berkembang sehingga pernah menjadi kuasa besar dunia, menguasai dunia dari Barat sehingga ke Timur. Penerimaan masyarakat Arab dan dunia kepada Islam berdasarkan pendekatan metodologi dakwah yang baik dan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Manusia ini inginkan kebaikan. Metodologi dakwah Nabi Muhammad mempunyai ciri-ciri istimewa yang boleh dipelajari dan diaplikasikan sekarang oleh para pendakwah Islam.
Artikel ini menjelaskan ciri-ciri istimewa metodologi dakwah Nabi Muhammad, antaranya ia adalah gabungan antara metodologi para nabi-nabi terdahulu yang didedahkan kepada baginda. Seterusnya perbincangan tentang prinsip yang terkandung di dalam metodologi tersebut beserta dengan manhaj Nabi Muhammad dalam berdakwah. Beberapa contoh akan diketengahkan dalam memahami dan mengaplikasi metodologi da’wah tersebut. Dengan ini kita dapat mengetahui rahsia sebahagian besar di sebalik kejayaan dakwah Islam.
Metodologi Dakwah Nabi Muhammad Sebagai Gabungan Metodologi Dakwah Para Nabi-Nabi Sebelum
Para nabi dilantik oleh Allah untuk menyeru manusia kepada kehidupan yang baik di dunia dan selepas kematian. Para Nabi kadang-kadang diberi mukjizat untuk membimbing mereka. Mereka juga ada yang diberikan kitab-kitab wahyu sebagai panduan untuk diri sendiri dan orang lain. Walau bagaimanapun, di kalangan semua nabi-nabi terdahulu, Nabi Muhammad (SAW) adalah yang paling penting kerana baginda adalah rasul yang terakhir dari semua para nabi. Dari sudut metodologi dakwah, Nabi kita Muhammad (SAW) menggabungkan semua ajaran dan metodologi dakwah semua nabi sebelum baginda.Ini menjadikan Nabi Muhammad sumber yang autentik dalam mengetahui dan memahami metodologi dakwah para nabi Allah. Ini menjadi rujukan kepada para pendakwah.
Al-Quran menjelaskan kedudukan Nabi Muhammad dalam soal autoriti dalam agama yang perlu difahami umat manusia semasa. Akibat mengengkari suruhan supaya manusia mentaati Nabi Muhammad, umat manusia berada dalam kejahilan dan menjadi sesat. Mereka juga mendapat pembalasan api neraka.
Terdapat tiga keutamaan yang ada pada Nabi Muhammad, iaitu:-
- Allah menyuruh seluruh manusia agar mentaati Nabi Muhammad seperti terkandung dalam al-Qur’an.
Allah berfirman: “Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah …” (Surah al-Nisa’: 64);”Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” (Surah Al ‘Imran: 32);”Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.” (Surah Al ‘Imran: 132);”Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah al-Nisa ‘: 65).
- Sebagaimana para Nabi-nabi terdahulu, Nabi Muhammad (SAW) membawa keterangan yang membuktikan kebenaran Nabi-nabi dan Kitab-kitab suci yang diturunkan kepada mereka. Apabila turunnya al-Qur’an, Nabi Muhammad menerangkannya satu persatu dan menterjemahkannya dalam Sunnah baginda.
Ini jelas apabila al-Qur’an menyatakan: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Qur’an yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka berfikir. (Surah al-Nahl: 44).
- Nabi Muhammad (SAW) membawa Syariah yang menghapuskan hukum-hukum berat umat sebelumnya.
Al-Qu’an menjelaskan seperti berikut: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w.) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; da ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-A’raf, 157).
Prinsip-Prinsip Umum Metodologi Dakwah Nabi Muhammad (SAW) yang Diamalkan Baginda Sendiri
Metodologi dakwah Nabi Muhammad mempunyai prinsip-prinsip umum yang diamalkan sendiri oleh baginda, antaranya:-
- Nabi Muhammad (SAW) mengamalkan apa yang dikata.
- Tidak ada kompromi dengan prinsip asas Islam.
- Pendekatan dakwah yang lembut dan penuh kasih sayang.
- Nabi Muhammad sentiasa memikirkan untuk mengurangkan bebanan bagi ummahnya.
- Semua jenis rasuah gagal mengubah misi dakwah Nabi.
- Tidak ada kompromi dengan pelaksanaan syariah.
Di bawah diterangkan secara ringkas prinsip-prinsip Rasulullah sehingga kepada kemenangan Islam.
1. Nabi Muhammad (SAW) mengamalkan apa yang dikata
Nabi Muhammad bertindak menurut apa yang diucapkan dan mengamalkan apa yang disebut (walk the talk). Tiada perbezaan antara tindakan dan perkataan. Sayyidatina ‘A’ishah (RA) berkata bahawa setiap perkara yang baginda katakan atau bertindak adalah al-Qur’an. Kata-katanya yang terkenal apabila ditanya oleh Hisyam bin Amir tentang akhlak Rasulullah, ‘A’isyah menjawab, “Akhlaknya (iaitu Nabi SAW) adalah al-Qur’an.” (Muslim)
Baginda sentiasa menunjukkan personalitinya yang penuhbermoral dan berkebajikan.Ini menjadikan baginda sebagai model terbaik (par excellence) bagi umat manusia. Pujian Allah ini tergambar dalam al-Qur’an, apabila Allah menjelaskan Rasulullah sebagai ikutan terbaik umat manusai: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21).
Nabi Muhummad adalah Nabi yang paling sabar dan paling konsisten dari semua Nabi-nabi. Baginda adalah salah satu daripada empat nabi yang dikenali sebagai “ulu al-‘azm.” Ini dijelaskan dalam al-Qur’an: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Uli l-‘Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engakau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). …” (Surah al-Ahqaf: 35).
Berbanding dengan Nabi-nabi lain bebanan tanggungjawab Nabi Muhammad sangat berat. Baginda harus membimbing semua manusia sehinggalah Hari Kiamat. Dengan sebab itu Allah telah mendedahkan kepadanya, ajaran dan metodologi semua nabi lain, tetapi cara pengajaran dan pengajarannya tidak diturunkan kepada Nabi-nabi lain. Kepentingan metodologi Nabi Muhammad terletak pada statusnya sebagai Nabi terakhir serta penyudah para rasul membawa ajaran mengenai Islam.
2. Tidak ada kompromi dengan prinsip asas Islam
Mesej dakwah Nabi Muhammad untuk menolak sebarang penyembahan dan amalan syirik dalam masyarakat.Masyarakat perlu berada di atas dasar tauhid dan beribadat kepada semata-mata kepada Allah dan mengikut cara-cara yang betul menurut ajaran Islam. Apabila orang bukan Islam memintanya untuk berkompromi, iaitu mereka akan menyembah Allah sekiranya Nabi Muhammad menyembah berhala mereka sebagai balasan, maka Surah al-Kafirun diturunkan.
Allah berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kami ugama kamu, dan bagiku ugamaku.” (Surah al-Kafirun, 1-6)
Surah al-Kafirun ini mengingat umat Islam agar tidak terpedaya dengan tipu daya pihak musuh-musuh Islam dan orang-orang yang sesat untuk menjadi mereka menyeleweng dari jalan yang benar. Dengan kata lain, identiti mereka sebagai umat Islam perlu kekal walaupun di mana dan apa keadaanya.
3. Pendekatan dakwah yang lembut dan penuh kasih sayang
Pendekatan dakwah Nabi Muhammad penuh dengan kasih sayang dan lembut kepada orang yang didakwah.
Sebagai contohnya, kes yang berlaku kepada seorang Arab baduiyang kencing di dalam masjid yang menimbulkan kemarahan para Sahabat Nabi dengan herdikan. Nabi Muhammad melarang Sahabat berbuat demikian, meminta mereka supaya badui tersebut menyelesaikanhajatnya terlebih dahulu dan kemudian memerintah dicurahkan air.
Ini terkandung dalam hadis dari Anas bin Malik (RA), beliau berkata: Seorang Arab badui pernah memasuki masjid, lantas dia kencing di salah satu sisi masjid. Lalu para sahabat menghardik orang ini.Namun Nabi (SAW) melarang tindakan para sahabat tersebut.Tatkala orang tadi telah menyelesaikan hajatnya, Nabi (SAW) lantas memerintah para sahabat untuk mengambil air, kemudian bekas kencing itu pun disirami. (Bukhari, hadis no. 221; Muslim, hadis no. 284) (Sumber: https://rumaysho.com/29-10-pelajaran-berharga-dari-arab-badui-yang-kencing-di-masjid-nabi.html).
Nabi Muhammad juga dimaklumkan oleh wahyu tentang perintah Allah supaya Nabi Musa dan Nabi Harun pergi dan bercakap dengan Fir’aun dengan lembut. Allah berfirman: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha: 43-44).
Selain bercakap lemah-lembut ayat ini juga menunjukkan pentingnya memilih sasaran dakwah yang tepat, dalam kes ini perintah untuk berdakwah kepada Fir’aun.
4. Nabi Muhammad sentiasa memikirkan untuk mengurangkan bebanan bagi ummahnya
Di sini beberapa contoh boleh dikemukakan, antaranya semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj ketika Allah memperjalankan Nabi Muhammad ke sidrat al-muntaha untuk menerima kefarduan solat lima sehari semalam. Baginda berulang alik meminta kepada Allah supaya untuk mengurangkan jumlah solat wajib yang dari mulanya lima puluh kali dikurangkan kepada lima kali sahaja. Semuanya atas nasihat para Nabi yang ditemui baginda selepas memahami kelemahan umatnya untuk memenuhi perintah Allah.
Dalam soal ibadah misalnya, banyak rukhsah (keringganan) diberi seperti orang yang sakit apabila mereka tidak mampu berdiri, mereka bersolat dalam keadaan duduk dan berbaring.Kewajiban berpuasa boleh ditunda sekiranya dalam perjalanan atau sakit, membayar zakat hanya kepada harta yang mencapai nisab dan haul dan menunaikan haji kepada mereka yang mampu.
Selain itu ada kisah tiga orang lelaki yang datang menemui isteri baginda bertanya tentang ibadah nabi sehingga mereka berpendapat ibadah mereka perlu banyak sehinggakan di kalangan mereka hendak beribadah sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan hidup membujang. Rasulullah (SAW) bukan sahaja terus menemui mereka supaya kesilapan dapat diperbetulkan malah menasihati mereka supaya mengikut sunnah baginda sebagai manusia biasa yang memerlukan rehat, makanan dan teman. Kesemuanya dilakukan bagi mengelak mereka yang terbeban dengan ibadah semata-mata sehingga lupa kehidupan duniawi. Baginda juga menggalakkan kita untuk berkahwin dan berfikir jalan tengah yang sesuai untuk semua orang.
Ini terkandung dalam hadis riwayat dari Anas bin Malik (RA), iaitu: Telah datang tiga orang ke rumah-rumah isteri-isteri nabi (SAW) lalu mereka bertanya tentang ibadat nabi (SAW). Apabila dimaklumkan (tentang ibadat nabi), mereka merasakan seolah-olah ia sedikit. Lalu mereka berkata: “di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan nabi (SAW) yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang?” Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Maka Rasulullah (SAW) datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? (Diakui mereka) Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.” (Bukhari: Hadith no: 5063).
5. Semua jenis rasuah dan tawaran gagal mengubah misi dakwah Nabi
Dalam sirah nabawi menunjukkan bahawa Nabi Muhammad berdakwah kepada keluarga terdekat dari suku Abd al-Muttalib. Ada yang menerima dan ada pula yang menolaknya.Itu pun tidak menyebabkan Nabi berputus asa. Dakwah Nabi akhirnya mendapat sambutan dari golongan miskin dan lemah, hamba abdi dan mereka yang tidak berharta dan kuasa. Walaupun golongan musyrikin cuba melarang masyarakat menerima Islam, pengikut Nabi tetap nekad berdakwah, antaranya dengan berdakwah di kaabah dan membaca al-Quran di situ dengan suara kuat.
Pihak Quraisy akhirnya mengadu kepada bapa saudara Nabi, Abu Talib memintanya menasihat Nabi Muhammad supaya tidak lagi berdakwah dan berlepas tangan. Abu Talib bagaimanapun menolak dan membela Nabi.Selepas itu segala rasuah dan tawaran supaya berhenti berdakwah kepada Islam. Baginda ditawarkan dengan pelbagai tawaran sama ada secara terang atau tersembunyi, antara harta, pengaruh kedudukan dan wanita untuk meninggalkan misinya, Nabi tidak menerima kompromi tersebut. Bahkan Nabi Muhammad pernah berkata kepada Abu Talib, “Wahai bapa saudaraku. Demi Tuhan kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan dakwah ini, perjuangan ini, nescaya aku tidak akan tinggalkan sehingga Tuhan menangkan agama ini.” (Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd.Rahman, 2012).
6. Tidak ada kompromi dengan pelaksanaan syariah
Dalam pelaksanaan syariah Nabi menjalankan tugasnya dengan adil tanpa diskriminasi. Contohnya, apabila Fatimah binti al-Aswad, seorang wanita dari Bani Makhzum dari suku Quraisy disabitkan tuduhan mencuri, hukuman dijalankan walaupun Fatimah dari keturunan oleh Quraisy yang dihormati di Makkah. Menurut sejarah, kejadian ini dikatakan berlaku semasa pembukaan Makkah 630 atau ketika haji Perpisahan (wida’) 632.
Terdapat beberapa keterangan dalam kes ini. Menurut ‘A’ishah (r.a.), Fatimah biasa meminjam barangan orang, tetapi kemudian menafikannya. Ada keterangan lainmenggambarkan barangan yang dicuri sebagai perhiasan. Dalam keterangan yang lain dia keluar pada waktu malam dan, setelah bertemu dengan pengembara, dia mengambil salah satu beg mereka. Tetapi dia ditangkap secara terangan, dan mereka merampas kembali barang tersebut dan mengikatnya. Pada siang, Fatimah dibawa kepada Nabi dan baginda memerintah supaya tangannya dipotong menurut hukuman hudud dalam al-Qur’an (Surah al-Ma’idah, 38).
Kaum Quraisy menjadi serba salah dan akhirnya berusaha supaya hukuman tersebut dilonggarkan atau Fatimah dibebaskan dari hukuman tersebut.Bagaimanapun tiada yang berani bercakap mengenainya. Akhirnya mereka menghantar ‘Usamah ibn Zaid untuk bercakap tentang ini kerana dia disayangi Nabi. Kemudian ini diikuti oleh orang lain. Ini menimbulkan kemarahan Rasulullah sehingga baginda menjawab, “Adakah kamu bersubahat untuk melanggar undang-undang Allah? ‘Usamah, jangan bercakap dengan saya.Apabila hudud dilanggar, tidak ada pilihan. Jika anak perempuan saya mencuri, saya akan memotong tangannya.” ‘Usamah menjawab, “Ya Rasulullah, mintalah ampun untuk saya!”
Fatimah kemudian memohon perlindungan dari Umm Salama, salah seorang isteri Muhammad dan keluarga sendiri. Nabi Muhammad mengarahkan isterinya untuk tidak melindungi Fatimah, dan mengulangi bahawa dia tetap akan menjatuhkan hukuman potong tangan walaupun ia dilakukan anak sendiri.
Pada sebelah petangnya Nabi Muhammad sekali lagi berdiri untuk memberitahu kepada orang ramai tentang hal tersebut. Dia memuji Allah, kemudian meneruskan: “Sekarang untuk kes kami ini. Wahai manusia, bangsa-bangsa sebelum kamu tersesat dan musnah, kerana jika seorang yang mulia melakukan kecurian, mereka melepaskannya, tetapi jika orang yang lemah di antara mereka mencuri, mereka menjatuhkan hukuman yang ditetapkan kepadanya. Atas nama Allah, di mana tangannya adalah hidup saya, walaupun Fatimah binti Muhammad mencuri, saya akan memotong tangannya.” Selepas itu baginda mengarahkan hukuman itu dilaksanakan. Nabi mengajar dalam kes hudud ini bahawa: “Tangan harus dipotong atas kesalahan mencuri sesuatu yang bernilai seperempat dinar atau lebih.”
Menurut ‘A’ishah, Fatimah benar-benar bertaubat selepas kes ini.Kisah ini mengajar kita bahawa Nabi Muhammad tidak ada kompromi dalam pelaksanaan syariah.Ini merupakan pengajaran kepada masyarakat Islam secara umum dan pemimpin Islam secara khusus.Dakwah Islam adalah yang benar-benar mengikut peraturan undang-undang (rule of law).
Kesimpulan
Sebelum ini dalam sejarah dunia Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk dunia dengan mengamalkan ciri-ciri istimewa yang ada dalam metodologi dakwah Nabi Muhammad (SAW). Kenyataan bahawa jumlah penduduk dunia yang sudah mencapai angka 7 bilion, dengan umat Islam hanya 1.6 bilion, umat Islam perlu berusaha gigih berdakwah kepada masyarakat bukan Islam.Dengan ciri-ciri dakwah Rasulullah (SAW) umat Islam sebagai ‘Umat dakwah’ mampu membawa perubahan kepada suasana dunia yang semakin mencabar dan fenomena Islamofobia, aktiviti dakwah perlu diperluaskan lagi keseluruh Negara dan dunia.
Rujukan
Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. (2012). Biografi Muhammad bin Abdullah. Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd
https://en.wikipedia.org/wiki/Fatima_bint_Al-Aswad
Oleh : Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, UIAM
Recent Comments