Kepercayaan atau keimanan meniscayakan adanya ketulusan, kesedaran dan cinta. Ketulusan ertinya komitmen hati yang tanpa disertai tekanan atau paksaan. Sebab keimanan merupakan pilihan, dan pilihan hanya dapat diambil bagi seseorang yang dalam keadaan bebas berkehendak; merdeka.
Keimanan juga harus dilandasi oleh cinta. Sebab, kepercayaan dan cinta merupakan dua perkara yang saling berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan; kepercayaan adalah bukti cinta, begitupun cinta juga adalah bukti bagi sebuah rasa percaya. Bukan disebut kepercayaan jika tanpa ada cinta. Sebaliknya, tiada cinta tanpa ada kepercayaan. Ini dapat dilihat dari cara pandang para sufi yang berteraskan beragama dengan cinta. Kepercayaan dan cinta tidak boleh dipaksakan.
Abu Manshur al-Hallaj, seorang sufi, ketika berada di sebuah pasar di kota Baghdad, melihat seorang Muslim sedang memaksakan kehendak dan mengherdik orang Yahudi. Kemudian orang Yahudi itu menyampaikan keberatannya kepada lelaki itu dan berkata, “perbezaan agama itu adalah kehendak Allah. Maka janganlah mengingkari kehendak Allah yang sudah ditetapkan”.
Keimanan menjadi tidak bermakna ketika berada dalam tekanan dan paksaan. Dalam Al Qur’an disebutkan satu ayat la ikraha fi ad-din (tidak ada paksaan dalam beragama). Huruf la dalam ayat ini adalah huruf negasi, yang menurut gramatika Arab (Nahwu) berfungsi sebagai nafyi al-jinsi (menegasikan segala bentuk dan pelbagai jenis sesuatu yang dinegasikan). Sehingga ayat ini mengandungi erti bahawa tidak boleh ada paksaan sama sekali dalam pelbagai bentuk dan jenis paksaan apapun dalam beragama.
Kita tahu bahawa ada banyak bentuk, motif, dan jenis paksaan, yakni paksaan dengan menggunakan cara-cara kekerasan, paksaan dengan cara-cara persuasif-lunak, paksaan dengan mengambil kesempatan terhadap kelemahan seseorang atau golongan tertentu secara ekonomi atau politik, atau pemaksaan dengan memanfaatkan hubungan orang yang dilindungi dan melindungi, dan bahkan paksaan atas ‘nama cinta’. Dan semua bentuk pemaksaan tersebut dilarang keras dalam al-Quran.
Keimanan menyala di dalam hati seseorang oleh sebuah hidayah (petunjuk) yang boleh diusahakan melalui adanya ketertarikan yang muncul secara semulajadi akibat dari pergolakan batin yang serius dari pergolakan selama belajar, pengalaman hidup, atau pencarian kebenaran, atau terpikat dengan sendirinya pada ajakan (dakwah) yang santun, bukan oleh sebuah paksaan atau tendensi. Paksaan dalam beriman dilarang, sebab bertentangan dengan karaktor keimanan yang meniscayakan adanya pilihan bebas dan cinta.
Islam dalam menyampaikan ajarannya melalui suri tauladan yang baik dari Nabi, tutur kata yang baik, nasihat yang baik, mengajak (dakwah) dan berdialog dengan cara-cara yang paling baik. Hatta, kaedah inipun dilakukan kepada umat pagan, yang ketika Islam turun disebut sebagai para penyembah berhala. Akan tetapi Islam tetap menghargai kepercayaan paganisme sebagaimana dalam sejarah ketika Islam masuk ke Mesir, para sahabat Nabi tetap mempertahankan patung-patung, piramida, dan tempat peribadatan agama pagan yang sedia ada. Demikian juga ketika Islam masuk ke Persia, agama Majusi penyembah api dihormati dan bahkan pendekatan falsafahnya cuba diubahsuai dengan pendekatan tasawuf dan menghasilkan teori al-isyraq (illuminasi).
Sedangkan kepada para pemeluk agama samawi, yang disebut sebagai Ahlul Kitab, seperti Yahudi dan Nasrani, Islam hanya mengajak untuk mencari titik temu, kalimatun sawa, tidak mengajak untuk mencari titik perbezaan yang akan mengakibatkan pada konflik horizontal dan perang atas nama agama (Surah Ali ‘Imran: 64).
Bahkan, Islam mensyaratkan secara mutlak bahawa keabsahan iman bagi seorang Muslim adalah dengan mengimani dan meyakini kepada kitab-kitab suci yang diturunkan kepada umat sebelumnya, iaitu Taurat bagi umat Yahudi dan Injil bagi umat Nasrani (Surah Al-Baqarah: 4), mengharuskan kepada umat Muslim untuk bergaul dengan baik, dan boleh saling memberi hadiah makanan (Surah Al-Maidah: 5).
Islam yang begitu indah dan mesra perlu dirawat, dengan meletakkan ayat-ayat perang dan tidak bertoleransi sesuai dengan konteksnya. Jika tidak, maka akan berpotensi ditafsirkan secara harfiyah (secara lafaz) dan dijauhkan dari konteksnya lalu dipaksakan untuk diterapkan pada masa kini yang berbeza. Di antaranya ayat-ayat peperangan yang mewajibkan orang kafir yang kalah berperang maka harus membayar jizyah, fai, dan ghanimah.
Menurut Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Mesir, dalam bukunya “Muwatinuna La Dhimmiyuna” menyatakan bahawa pembayaran jizyah bukan undang-undang yang pertama kali diterapkan oleh Islam dan dunia Arab. Akan tetapi pembayaran jizyah bagi pihak yang kalah berperang atau daerah yang diduduki merupakan undang-undang perang komuniti antarabangsa pada masa sebelum Masehi dan berlangsung sehingga era Nabi Muhammad. Kaisar Anusirwan, raja Persia, abad ke-5 SM., dianggap sebagai seorang yang pertama kali menetapkan undang-undang pembayaran jizyah pada negara yang diduduki. Dan diterapkan pada saat Persia menguasai Asia Kecil dan Atena. Begitu juga Romawi menerapkan undang-undang pembayaran jizyah kepada negara yang sekarang termasuk negara Perancis.
Sehingga kalau melihat sejarah tersebut, maka persoalan pembayaran jizyah bukan persoalan teologis Islam versus bukan Islam. Akan tetapi murni kerana persoalan politik dan undang-undang perang yang berlaku pada masanya. Dan sekarang dianggap sudah tidak relevan, kerana termasuk pelanggaran hak asasi manusia. Islam sendiri akan selalu merelevankan dirinya dalam konteks tempat dan masanya, shalihun li-kulli zaman wa makan.
Demikian juga persoalan hubungan tegang antara Islam dan bukan Islam dalam beberapa ayat. Turunnya ayat ini berlatar belakang keadaan umat Islam dalam posisi difa’i (bertahan) daripada serangan bukan Islam, bukan menyerang. Kerana misi Islam sejak semula ialah sebagai agama yang menebar kasih sayang, rahmatan lil-‘alamin. Islam membela dirinya demi tegaknya cinta kasih. Dan Islam adalah agama mesra.
Oleh: Mukti Ali
Dipetik daripada muslimmedianews.com
Recent Comments