Seorang pereka fesyen terkenal Itali, Elsa Schiaparelli (1890-1973) yang masyhur dengan rekaan pakaian wanita selama tiga dekad -1920 hingga 1940-an- dalam autobiografinya, Shocking Life (diterbitkan 1954) menyatakan, dua puluh peratus wanita berhadapan dengan perasaan rendah diri (inferiorty complex) manakala tujuh peratus sangat berilusi (hidup dalam khayalan).

Bagi sesetengah orang, hal itu tidak mengejutkan. Cuma sedikit berbeza ialah latar belakang masa yang mempengaruhi Elsa bependapat demikian. Elsa lahir selepas beratus tahun Itali menemukan zaman kebangkitannya, tetapi pengaruh estatika cukup besar dalam masyarakat Itali yang terkenal dengan gaya penciptaan seni yang indah dan menarik. Kita kenal nama-nama besar dalam penciptaan seni yang cukup berpengaruh, berasal dari Itali yang banyak menempatkan fenomena seni hingga sekarang.

Ramai yang mengagumi keindahan lukisan Leonando da Vinci (1452-1519), potret seorang wanita yang dianggap kekasihnya dalam posisi tersenyum. Monalisa. Teknik lukisan ‘kuning telur’ yang dikenali sebagai chiaroscuro itu menyebabkan harga potret Monalisa mencecah ratusan juta ringgit. Seorang lagi pelukis dan pengukir tersohor Itali, Michelangelo di Lodovico Buonarroti Simon atau lebih dikenali dengan panggilan Michelanglo (1472-1564), diakui sebagai pereka bangunan yang cukup berseni. Lukisannya di siling Sistine Chapel (1509) menjadi bahan kajian sejarah seni tampak dan visual yang cukup besar hingga kini.

Bagi Elsa Schiaparelli, sama ada benar atau tidak penemuan itu, usaha untuk mengatasi masalah kompleks rendah diri adalah dengan rekaan-rekaan fesyen yang cantik dan menawan, dan hasilnya, membantu para wanita meningkatkan tahap psikologi percaya diri. Akhirnya, falsafah pengembangan fesyen yang dimulakan oleh Elsa menjadi suau bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan, sehingga melahirkan ramai bakat dan pereka fesyen dunia sebagai tokoh perniagaan yang kaya raya.

Kini, persaingan dalam bidang fesyen menjadi tersangat sengit sehingga pakaian tidak lagi dianggap sekadar ‘menutupi aurat’, sehingga muncul beberapa istilah yang cukup menggiurkan, seperti trendy, sofistikated, anggun dan sebagainya. Setelah beberapa lama mendonimasi pemikiran, kini muncul pula fenomena falsafah berpakaian dengan maksud minimalis. Minimalis adalah nama terbitan bagi istilah ‘minimize’ yang dalam bahasa Melayu boleh dimaksudkan ‘kurangkan’.

Kurangkan boleh bermaksud, mengurangkan penggunaan bahan untuk membuat pakaian, juga corak-corak dan warna yang minimu, yakni tidak padat dan sangat pelbagai. Awalnya, minimalis merupakan satu gerakan dalam penghasilan tema seni, termasuk kehidupan dan hiasan yang cukup simple atau mudah, kerana para pengagumnya lebih mementingkan skala penglihatan yang lebih lapang (pola ruang kosong) atau kepercayaan pandangan mata lebih serasi dan segar.

Prinsip minimalis juga menjadikan wanita lebih berani daripada sebelumnya dalam tahap gaya dan penampilannya. Ia lebih selesa memakai pakaian yang dilihat ‘bagaikan tidak cukup kain’ dan ‘sendat’ sehingga menampakkan bentuk badannya, kerana percaya dan dapat meningkatkan keyakinan diri. Sayangnya, fenomena itu menjadi sedikit terhalang untuk berkembang di ruang awam secara bebas, setelah seluruh dunia terpaksa mengehadkan pergerakan akibat pandemik COVID-19, maka industri fesyen ikut terjejas. Kuasa beli wanita dan juga penduduk dunia menurun, maka persaingan fesyen menjadi banyak tidak beres. Sektor peruncitan pakaian berhadapan dengan kemerosotan perniagaan, tetapi, dunia perempuan terus bergelut dengan ilusi, ilusi bagaimana untuk meneruskan hidup dalam situasi yang cukup sukar dan menjaga kecantikan diri.

Wanita merupakan golongan yang sangat takut dengan kegemukan. Rata-rata wanita akan rasa malu bila ditegur badannya sudah mengalami perubahan membesar ke sisi setelah lebih setahun terpaksa terperap dalam ‘sangkar rumah tangga’, yang juga cukup memenatkan kerana terpaksa menyediakan juadah lebih kerap berbanding sebelumnya.

Ilusi kedua ialah bagaimana untuk meneruskan hidup dalam keadaan semuanya minimum, pendapatan dan juga pergerakan dengan kenaikan kos sara hidup, tanggungjawab semakin bertambah dan lain-lain liabiliti yang terpaksa dihadapi. Ertinya, soal gaya dan keperluan untuk menghiasi diri diketepikan, kerana gaya dan penampilan itu hanya terhad di rumah, bukan lagi di luar rumah. Kalaupun masih bekerja, ada pekerjaan, semuanya dilakukan secara work from home, tidak perlu berdandan kemas dan mengenakan peralatan kosmetik yang mengambil masa panjang. Cukup minimalis.

Ini bermakna, kehadiran COVID-19 turut menukarkan perspektif wanita terhadap kecantikan, sekurang-kurangnya pasaran barangan kosmetik, pakaian dan peralatan kurang mendapat sambutan. Di rumah, hiasan diri cukup minimalis, dengan seikit talcum dan tidak perlu kepada pewangi, yang penting ialah memperlihatkan ke dalam diri, bagaimana mengekalkan motivasi dan diberikan kesihatan sebaik-baiknya.

Kenapa wanita lebih ramai berilusi berbanding dengan lelaki? Mungkin kita boleh melihat ke belakang tentang bagaimana seseorang anak perempuan itu dididik dan disosialisasikan dalam keluarga. Kita juga boleh memerhatikan bagaimana kanak-kanak perempuan membesar dan diberikan perhatian oleh keluarga, terutama oleh ilusi seorang ibu.

Sebaik sahaja seorang anak perempuan lahir, anak itu lebih banyak dihiaskan dengan pakaian yang lebih menarik, termasuk pemilihan warnanya yang lebih cenderung kepada merah jambu dan merah berbanding anak lelaki, putih biru dan warna-warna lain selain merah jambu. Apakah warna-warna itu melambangkan seksis? Atau makna tertentu? Maka di situlah bermulanya pembentukan sikap, di mana anak-anak perempuan membina kerangka pemikirannya, sangat menerima kata-kata berbentuk pujian dan sanjungan berbanding kata-kata yang diajukan kepada anak lelaki, kuat, tangkas dan perkasa.

Berdasarkan pandangan psikologi, misalnya Carl Gustav Jung (1875-1961), perempuan sangat cenderung kepada pujian sama ada daripada gender yang berbeza atau sama. Sebab itulah kadangkala seorang lelaki akan merasa ‘beban’ apabila terpaksa menunggu terlalu lama seseorang wanita ‘menghias diri’ meskipun sekadar untuk ke pasar pagi minggu. Semuanya perlu dirapikan, matching antara ‘tudung’ dan baju. Ini belum difikirkan bagaimana untuk ke majlis-majlis yang lebih besar, seperti jamuan makan malam tahunan, juga hadir kenduri kahwin seseorang.

Sebulan atau dua bulan sebelum majlis, sudah memikirkan pakaian mana dan bagaimana untuk digayakan pada hari berkenaan, kadangkala sibuk membuat tempahan kerana tidak mahu dipersepsikan atau diingat dalam lamunan sejarah, pakaian yang sudah beberapa kali diulang-pakai dalam majlis yang berbeza. Mujurlah ketika ini tidak ada sambutan hari jadi, kenduri sosial dibenarkan, maka tidak berlaku kerumitan dalam soal berbusana dan penampilan diri. Pembelian pakaian dan kosmetik berubah menjadi sangat minimalis.

Awalnya, media sosial cukup banyak iklan tata cara berhias oleh pengeluar-pengeluar produk, namun setelah COVID-19 semakin panjang penularannya, situasi itu sudah sangat drastik berubah. Yang agak melimpah ialah penjualan produk kesihatan, makanan tambahan dan anek jenis makanan yang boleh dipesan secara dalam talian, dengan tawaran ‘free delivery’ atau dikenakan sedikit bayaran COD –bayar bila barang sampai.

Laman sesawang peruncitan dalam talian, Shopee, Lazada dan sebagainya setiap bulan ada jualan istimewa yang ditarikhkan dengan dua angka yang sama bagi sesuatu bulan. Misalnya, 6/6’ 7/7 dan kini baru lepas 8/8, yang akan diteruskan pada bulan September nanti dengan gandingan 9/9, Oktober 10/10, November 11/11 dan Disember 12/12. Namun, kegemparan –jualan – tidak lagi menggiurkan seperti mana tahun-tahun sebelumnya kerana berlaku kecurangan dan penipuan dalam pembelian secara dalam talian.

Shopee dan Lazada, sebenarnya tidak mempunyai produk keluaran khusus, hanya menyediakan perisian untuk menghidupkan e-dagang. Produk yang diiklankan itu dibekalkan oleh peniaga-peniaga tertentu, dari ikan bilis hinggalah produk elektrik, pakaian dan kosmetik, barangan makanan dan jualan buku elektronik (digital atau dikenali e-book). Shopee dan Lazada membantu para peniaga memasarkan produk mereka, bahkan pengguna lebih mempercayainya kerana setiap pembelian ada jaminan, hanya setelah barangan itu dihantar dan nilai ‘memuaskan’ bayaran dilepaskan kepada pembekal. Ada tempoh tiga atau beberapa jam untuk membuat pengesahan atau memeriksa produk, dan jika tidak berpuas hati, boleh dikembalikan.

Jadi, kepercayaan dan keyakinan pengguna meningkat berbanding kes-kes penjualan oleh individu, kerana banyak juga kisah penipuan, produk yang ditempat tidak sama bila diterima, lain yang dibeli lain yang diterima, bahkan lebih menyedihkan berlaku penipuan. Membeli gajet untuk tujuan anak-anak meneruskan pembelajaran dari rumah, yang sampai hanya seperti barangan permainan kanak-kanak.

********

Saya kembali kepada fasa konsep keindahan dan kaitannya dengan perempuan. Secara teorinya, tidak ada perempuan yang tidak mengimpikan kecantikan, bahkan perempuan gila yang saya temui setiap pagi di Jalan Kepong-Batu Caves juga berhias dengan caranya sendiri biarpun kadangkala mencangkung dan bertelanjang tanpa segan silu. Mereka yang lalu lalang tidak ingin menontonnya. Mereka sedar, akan dikaitkan dengan fenomena gila jika ikut memerhatikan apa yang dilakukan oleh wanita gila itu.

Sehari dua ini agak empatik, juga simpatik masyarakat Malaysia bila meninggalnya Siti Sarah Riassudin, isteri seorang penyanyi dan pelawak sebaik sahaja berita itu dimuatnaikkan ke halaman media sosial. Ucapan takziah datang dari pelbagai pihak, namun satu hantaran di media sosial cukup menarik perhatian saya, yang saya kira penulisnya seorang wanita yang cukup mengharapkan ‘layanan istimewa seorang suami’.

Tulisannya memaparkan kisah romantik Shuib dan Allahyarham, sentiasa dipujuk suami bila isteri ‘merajuk’, dimandikan suami dan  apa-apa keperluan yang dipenuhi oleh suami. Beruntungnya Siti Sara, bidadari Shuib. Semoga syurgalah tempat mereka di atas pemenuhan tanggungjawab, meninggalnya pelantun lagu Kesetiaan yang juga seorang yang dermawan, anak yang patuh kedua ibu bapa dan isteri yang sholehah. Perjalanan hidup mereka cukup menarik, yang boleh dijadikan panduan dan suri teladan oleh pasangan suami isteri, agar masalah-masalah dalam rumah tangga yang boleh mencetuskan perceraian, konflik dan pelbagai prasangka dapat diatasi, kerana itulah sebenarnya makna kecantikan bagi setiap orang yang cintakan kebahagiaan.

Saya cukup tertarik dengan cerita itu, walaupun ditulis dalam sudut ‘curahan hati’ seorang perempuan, dan dalam masa yang sama, saya sangat menantikan pujian dari pihak lelaki dari cerita yang kita dengar daripada Allahyarham Siti Sarah dan Shuib. Sebabnya, saya sangat melihat ‘kecantikan sebenar’ seorang perempuan ialah keikhlasan hati, menerima dan mentaati suami dalam apa-apa pun keadaan asalkan tidak menyanggahi syariat.

Saya tidak mendengar, sehingga kini Shuib mengeluh mengenai Siti Sarah yang keluar daripada beliau sendiri. Sekali imbas, saya melihat Shuib cukup senang dengan Siti Sarah sebagai pasangan hidupnya untuk mencari bahagia, kerana bahagia itu adalah menjadikan orang yang dekat dengan kita mampu tersenyum, tidak marah-marah dan tidak berprasangka buruk alias cemburu buta, syak wasangka dan tidak meletakkan prioriti kehidupan dalam kekeliruan makna kehidupan, sehingga yang dikejar tak dapat dan yang dikendung keciciran.

Hal ini bukan perkara kecil, bahkan jika meniliti pola kehidupan pasangan Melayu-Islam ia cukup menjolok dengan makna persefahaman, sehingga menjadi faktor dominan yang menyebabkan keberantakan rumahtangga. Secara psikologinya, saya cukup memahami erti pengorbanan Siti Sarah, prioriti kehidupan yang dipilih dan nilai kesetiaan yang membaluti jiwanya sepanjang bergelar isteri, apa-apa yang boleh dinamakan virus rumah tangga dapat mereka sisihkan, kecualilah virus corona yang menjadi garis pemisah.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan kerana paras oksijen menurun dengan drastiknya. Hari Jumaat (6 Ogos 2021), doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawa bayi yang berada dalam kandungannya, yang baru memasuki lapan bulan , sebagaimana diberitahu oleh pengurusnya, Nana Mohd Rom. Bayi lelaki pramatang itu selamat dilahirkan, namun Siti Sarah akhirnya menghembuskan nafas terakhir setelah ditidurkan selama 30 jam sebelum Subuh (5.13 pagi), Isnin 9 Ogos 2021. Bayi lelaki itu merupakan anak keempat pasangan Siti Sara dan Shuib hasil perkongsian mereka sejak tahun 2011.

Sepanjang berita Siti Sarah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), tidak henti-henti masyarakat mendoakan ‘keajaiban Allah SWT’ – kesembuhan dan keselamatan bayi dalam kandungan – dan kecekalan Shuib untuk berhadapan dengan situasi cemas itu. Bahkan, Shuib tidak melupakan untuk melaksanakan tanggungjawabnya, memantau sepanjang masa situasi yang dialami oleh isterinya walaupun tidak mampu berada di sisinya sepanjang masa, dan tidak berhenti menyusun majlis bacaan al-Qur’an sebagai ikhtiar terbaik kepada Allah SWT, kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Semangat empati masyarakat juga begitu terpuji,  ratusan orang menunggu saat-saat Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak bersebelahan pusara ibunya, Allahyarhamah Nur Aini Mohamad, yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013, akibat kompilasi pelbagai penyakit termasuk kencing manis.

Selepas kematian dan jenazahnya selamat dikebumikan, banyak cerita mengenai kebaikan Siti Sarah yang tidak pernah diketahui umum, sama ada sepanjang zaman remaja (membantu ayahnya menjual roti canai) tatkala negara dilanda kemelesetan ekonomi 1997/1998, kedermawanan dan keikhlasannya membantu mereka yang kurang bernasib baik dan hajatnya untuk membayar sewa rumah orang yang dibantu oleh Ebiet Lew serta sangat menyentuh emosi ialah pelukan terakhir dengan anak-anaknya sebelum dibawa ke HCTM.

Akibat COVID-19, bukan Siti Sarah seorang yang berhadapan dengan situasi yang serupa. Memang cukup ‘sedih’ kerana saya ikut simpati dengan seorang rakan anak saya apabila isterinya terpaksa ditidurkan dan dilakukan pembedahan untuk menyelamatkan bayi berusia 32 minggu dalam kandungan. Apa yang dilalui oleh Siti Sara, itulah juga dilalui oleh rakan anak saya, isterinya meninggal selepas 40 jam dibedah dalam keadaan koma.

Apabila kita menelusuri berita atau cerita dalam media sosial, kes yang serupa bukanlah sesuatu yang mengejutkan, bahkan ada beberapa orang lagi isteri hamil yang terpaksa ditidurkan kerana mengalami penurunan paras oksijen, yang menyebabkan sukar bernafas dan perlu bantuan pernafasan.

Kesemua peristiwa itu mungkin akan menginsafkan lebih ramai artis yang pada masa kini masih tidak mempercayai bahawa pengambilan vaksin dapat membantu, mengurangkan kebolehjangkitan virus corona. Virus corona bukan ‘palsu’, ia benar-benar ada dalam komuniti. Saya cukup simpati, dalam terngadah itulah ada yang mula menunjukkan emosi kesal, dan dikesali bila ada yang masih mahu menang sendiri, seolah-olah dirinya dilindungi oleh sistem pertahanan yang cukup kuat secara semulajadi, tanpa memerlukan apa-apa sokongan lagi.

Sebenarnya, keindahan yang kita impikan sekarang ialah kembali kepada norma sebelumnya: bebas bergerak, ada pekerjaan, ada peluang berbual-bual, hadir secara fizikal di mana-mana yang kita suka, bertemu dan bersembang-sembang dengan sesiapa yang boleh kita temui. Kita rindukan semuanya itu tetapi tidak jangan lupa, sepanjang kita mengharungi pandemik sehingga kini (setahun tujuh bulan -18 Mac 2020 hingga Ogos 2021), keindahan dan kecantikan sebenar ialah bagaimana kita boleh menjaga hati, perasaan dan membendung emosi tidak selesa, memperkuatkan iman dan sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar virus tersebut segera berakhir.

Sekurang-kurangnya, sampai tahap ini kita mampu berdiri, menguruskan kehidupan dengan cukup sederhana dan mempunyai motivasi tinggi untuk menyalahkan orang lain, walaupun setiap masa kelihatan politikus sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa –jolok menjolok, kecam mengecam dan beli membeli sesama mereka;  seumpama homo homini lupus (manusia serigala) menurut Thomas Hobbes (1588-1679) – dan hati kecil sangat tersentuh untuk turut membantu sekadar termampu bila dapat tahu ada jiran kehabisan bekalan makanan, ada keluarga yang buntu memikirkan ‘apa yang tersisa untuk dimasakkan’ di hujung kampong, dan sebagainya.

Tetapi, yang cukup menyedihkan ialah semakin ramai orang Melayu-Islam mengambil jalan mudah menamatkan kehidupan sendiri- menggantung diri, meminum racun, terjun bangunan tinggi, cuba bunuh diri di tepi hutan, menjerut leher di alang rumah, menikam anggota keluarga sebelum mengelar anggota sendiri- dan semakin ramainya pasangan membubarkan perkahwinan mereka seolah-olah itulah cara terbaik untuk melarikan diri daripada kesulitan dan kesukaran yang dalam tempoh pandemik.

Sebagai orang Islam, kita perlu berikhtiar, merenung dan memikirkan bagaimana untuk keluar daripada kemelut hidup –penyakit, tekanan ekonomi, tekanan psikologi dan kutukan sosial –   kerana manusia adalah sebaik-baik kejadian yang dijadikan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (QS 95: 4)

Ibnu Khatir yang mengupas mengenai ayat tersebut menjelaskan “Allah SWT telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.”

Dalam surah an-Nas, Allah SWT memberikan dua petunjuk kepada manusia – petunjuk yang berakibat negatif dan petunjuk yang bersifat positif – atau kelebihan dan kekurangan, kekuatan dan kelemahan. Potensi negatif  seperti menderita kerugian, mudah terjerumus ke lembah kezaliman dan kemungkaran, berkeluh-kesah (gugup dan bakhil atau kedekut, tergesa-gesa atau terburu nafsu dan melampaui batas. Potensi positif ialah sesuai dengan kedudukannya sebagai an-Nas, iaitu insan, tidak terkongkong oleh persekitaran hidup dan sentiasa berusaha mnggali potensi diri dan memperbaiki sikap, tetapi perlu berada dalam kerangka keimanan (beramal sholeh)–amin, aman dan amanah.

Katakanlah: Saya berlindung kepada Rabb manusia. Raja manusia. Tuhan manusia. Dari kejahatan bisikan ‘khannas’. Yang berbisik-bisik di dalam dada manusia. Yang berupa bisikan ‘al-jinnah’ dan ‘al-nas’. (QS 114: 1-6)

Achmad Chojim menjelaskan, al-jinnah adalah nafsu atau keinginan manusia, manakala al-nas ialah ‘mind’ atau fikiran. Fikiran yang sihat itu adalah yang dapat memahami hukum sebab-akibat, yang boleh membezakan antara baik dan buruk, yang lojik, dan yang dapat membuat rumusan yang benar, memberikan cadangan bagi menangani masalah kehidupan, bukan menghancurkan makna kehidupan (berpecah, bercerai berai, saling bermusuh, memutuskan silaturrahim dan jatuh menjatuhkan). (Achmad Chodjim, ANNAS; Segarkan Jiwa Dengan Surah Manusia, Jakarta: PT Serambi Pustaka, 2004).

 

MONOSIN SOBRI

Translate »