Ibnu Khaldun dalam Ilmu Peradaban (Ilm al-‘Umran) menyebut bagaimana masyarakat yang berasal dari hulu dan pedalaman padang pasir atau kampung (Badwi) jika mereka mengembangkan peradaban diri individu dan kolektif mereka boleh meningkat menjadi masyarakat bandar, metropolis dan kosmopolitan (Hadhari). Bagaimanapun tidak semua masyarakat berupaya melakukan peningkatan kualiti diri individu dan kolektif mereka membentuk kehidupan beradab seterusnya membina peradaban yang tinggi.

Ada bangsa yang memang tidak berupaya menjadi bangsawan malah kekal sebagai bangsat! Dek kerana ciri-ciri kehalusan adab, keperluan beradab dan ketinggian peradaban tidak pernah meresap masuk dalam jiwa-raga mereka. Tidak kiralah seindah mana dan secanggih mana kehidupan fizikal dan material mereka dizahirkan. Bangsa Badwi tetap dengan sifat hulu, pedalaman dan kampung mereka. Hanya bangsa tertentu yang terpilih dan berupaya menjadikan bangsa mereka bangsa Hadhari.

Antara ciri-ciri masyarakat bangsa Hadhari, mereka selayaknya menjadi bangsawan kerana kehidupan mereka telah diasah dan digilapkan dengan ciri-ciri Hadhari (Peradaban) dalam tutur-kata dan kira-bicara. Dalam ekosistem bangsa Hadhari yang sedia ada, tentu lebih mudah untuk mereka memahami dan menghayati ciri-ciri Hadhari tanpa menafikan wujudnya kealpaan tertentu. Tetapi yang pentingnya ekosistem bangsa Hadhari memungkinkan kekhilafan yang berlaku diperbaiki dengan segera jika ia diperlukan.

Berbeza dengan ciri-ciri masyarakat bangsa Badwi (perkampungan), sekiranya mereka bercita-cita menjadi “bangsawan”, mereka biasanya akan mencuba-cuba jika tidak pun berpura-pura kerana mereka berasal dari ekosistem bangsa Badwi yang pada dasarnya tidak beradab dan tidak memungkinkan peradaban muncul dalam ekosistem tersebut. Masyarakat bangsa Badwi memerlukan masa untuk mengubahsuai dan belajar menjadi beradab seterusnya membina peradaban jika mereka boleh. Jika tidak di mana pun mereka pergi, mereka tetap bangsa Badwi seperti kera mendapat bunga atau tikus membaiki labu. Mereka tidak akan berupaya menjadi bangsa Hadhari tanpa proses pendidikan dan peradaban yang secukupnya.

Krisis politik tanah air sangat berkait-rapat dengan teori ‘Umran masyarakat bangsa Hadhari dan masyarakat bangsa Badwi Ibnu Khaldun. Masyarakat bangsa Badwi sukar untuk memahami dan menghayati kehalusan Bahasa Isyarat dan Bahasa Ibarat masyarakat bangsa Hadhari untuk bertindak sesuai dengan Bahasa Isyarat dan Bahasa Ibarat tersebut. Bahasa masyarakat bangsa Hadhari ialah bahasa beradab lagi beradat. Bahasa masyarakat bangsa Badwi ialah bahasa maki-hamun dan sumpah-seranah!

Masyarakat bangsa Hadhari tidak mungkin sesekali keluar dari sistem nilai adab dan peradaban tinggi mereka untuk memahamkan masyarakat bangsa Badwi dengan kelaziman bangsa Badwi dengan maki-hamun dan sumpah seranah untuk melakukan sesuatu tindakan. Begitu juga disebabkan ekosistem masyarakat bangsa Badwi ini begitu jauh dengan nilai adab dan peradaban tinggi mereka tidak berupaya menanggap Isyarat dan Ibarat yang diberikan dari masyarakat bangsa Hadhari!

Justeru terjadilah apa yang terjadi pada hari ini. Ramai mungkin tidak menyedari sistem politik Malaysia tumbuh dan berkembang dari ekosistem adab dan peradaban yang tinggi sejak ratusan tahun yang lalu. Dalam erti kata yang lain sistem politik Malaysia sudah sedia terbit pada tahap masyarakat bangsa Hadhari yang penuh adab dan perabadan dengan Bahasa Isyarat da Bahasa Ibarat sejak sekian lama. Malangnya ahli-ahli politik Melayu Islam masih terus kekal dalam kelompok masyarakat bangsa Badwi tanpa mereka ingin memahami dan menghayati sistem politik Malaysia yang hanya layak bagi kelompok masyarakat yang boleh membentuk diri individu dan kolektif mereka bersama masyarakat bangsa Hadhari.

Lampiran-lampiran surat-surat di bawah menunjukkan bagaimana Bahasa Isyarat dan Bahasa Ibarat masyarakat bangsa Hadhari gagal difahami dan dihayati oleh masyarakat bangsa Badwi! surat bertarikh 16 Jun 2021 (Kenyataan Media Istana Negara) yang jika Isyarat dan Ibaratnya difahami tidak mungkin memerlukan Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021 yang mengundang murka akibat derhaka! Inilah bezanya adab dan peradaban masyarakat bangsa Hadhari dan masyarakat bangsa Badwi! Apakah masyarakat bangsa Melayu khususnya ahli-ahli politiknya tidak akan berupaya menjadi masyarakat Hadhari sampai bila-bila jika beginilah keadaannya?

Sumber:  Dr Amran Muhammad, Islamic Strategic Studies Institute (ISSI), Malaysia,  https://www.facebook.com/profile.php?id=100006400096419

 

Translate »