Menurut Prof. Raghib, metod eksperimen yang digunakan dalam tradisi keilmuan Islam- berdasarkan kias dan keputusan- disandarkan kepada fakta, eskperimen, contoh ‘yang sangat berbeza (seratus peratus) dengan peradaban Yunani, India dan lainnya’, sekadar ‘teori tanpa percubaan’, tiada aplikasi nyata meskipun teori-teori itu benar. Para ilmuan Islam tanpa jemu meneliti pelbagai teori dan kemudian melakukan percubaan tanpa jemu untuk membuktikan kebenaran teori tersebut sebelum mengemukakan teori baharu yang lebih mendekati dengan kebenaran.
Jika melihat kepada kecenderungan ini, al-Ghazali melakukan eksperimen yang cukup menarik untuk menyelesaikan ‘kemelut psikologi’ yang dihadapinya, yang dalam istilah ilmiah dikenali sebagai ‘hyper reflection’ tanpa jemu selama sebelas tahun. Akibat ‘kemelut psikologi’ daripada asas tujuan berilmu al-Ghazali berjaya menemukan suatu asas falsafah ilmu yang cukup menarik, bukan sahaja ilmu sebagai memenuhi tuntutan kehidupan bahkan menelurkan kaedah pendidikan karakter (pembentukan peribadi), selaras dengan konsep generasi beradab.
Kalau dalam al-Munqizh, kita memperoleh maklumat bagaimana al-Ghazali menggunakan ‘hyper reflection’ untuk menolak, mengkritik dan seterusnya mengecam tiga kelompok ‘pencari kebenaran’ dan meluruskan kaedah kelompok sufi, maka dalam Ihya Ulumuddin diperjelaskan jalan penyelesaian dan praktik tasawuf sebagai sarana pendidikan karakter sesuai dengan kedudukan manusia dalam perspektif Islam.
Ihya Ulumudin disusun dalam empat jilid –mengandungi empat puluh bab – merupakan magnum opus al-Ghazali yang cukup kuat dalam pembentukan dan pembinaan peribadi umat Islam. Kitab ini juga merupakan yang paling banyak mempengaruhi pembentukan akidah umat Islam, dijadikan bahan pengajaran dalam sistem pendidikan tradisi yang cukup berpengaruh dalam pembinaan karakter dan seterusnya menjadi ‘benteng iman’ dan ‘kubu akidah’ sehingga Islam kekal sebagai cara hidup Ahli Sunnah Wal Jamaah.
‘pengajian bertalaki’
Kitab ini bukan sahaja dijadikan teks utama, bahkan turut diadaptasikan dalam karangan ulama-ulama nusantara dalam model pengajaran mereka secara bertalaki dan menjadi rujukan penting dalam tradisi pendidikan Islam bersama-sama kitab-kitabnya yang lain seperti Mizanul Amal, Minhajul Abidin, Misykat al-Anwar, Kimiya as-Sa’adah, al-Iqtisad fi al-I’tikad dan Bidayah al-Hidayah. Semasa kemasyhuran al-Ghazali di Abad Pertengahan Islam, kitab-kitanya tersebar ke seluruh wilayah Empayar Abasiyyah dan juga tersebar ke beberapa bahagian di Eropah.
Kitab-kitab ini menarik minat para orientalis untuk diterjemahkan ke bahasa-bahasa mereka dan kemudian dikaji dengan mendalam dalam pelbagai perspektif ilmu. Kajian-kajian dalam bentuk falsafah telah mempengaruhi beberapa ahli falsafah barat di samping menjadi sumber rujukan mereka untuk menggali semula pemikiran falsafah yang berasal daripada Yunani. Ia berlaku kerana daripada cendekiawan Islamlah masyarakat barat memahami pemikiran falsafah Yunani yang mana sebahagian besarnya bukan sahaja ditinggalkan bahkan berjaya dilupuskan oleh pihak gereja atas alasan bertentangan dengan doktrin agama yang dikuasai oleh gerejawan. Ini dapat dilihat daripada beberapa perbincangan dan pembahasan yang dibuat oleh Ibnu Sina atau Avicenna (Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina, 980-1037), al-Kindi (796-873 M ), dan al-Farabi (870-950 M).
Al-Ghazali melakukan kritikan pedas kepada asas pemikiran falsafah yang menyerap masuk ke dalam pemikiran umat Islam kerana meletakkan keyakinan rasional sebagai kerangka perbahasan tanpa meletakkan peranan Tuhan sebagai prinsip pemikiran mereka. Ini tidak bermakna al-Ghazali menolak peranan akal, tetapi apa yang dibimbangi oleh al-Ghazali ialah penggunaan akal yang berlebihan akan menyebabkan manusia terpesong daripada keyakinan akidah. Kritikan al-Ghazali terhadap falsafah rasional itu dibahas secara ilmiah di dalam kitabnya, Tahafut al-Falasifah terhadap 20 perkara di mana 17 daripadanya merupakan bid’ah dhalalah manakala selebihnya membawa kekufuran (Qadim azalinya alam; Tuhan tidak mengetahui perkara-perkara kecil; dan, pengingkaran terhadap kebangkitan jasmani).
‘Aristotle dan Neo-Platinisme’
Selain itu, al-Ghazali melihat kedudukan ahli-ahli falsafah tidak berlaku jujur terhadap Tuhan sebagai Pencipta Alam kerana mereka (ahli falsafah) melihat ‘ia sebagai metafora atau kiasan (majaz) yang sangat menyanjungi teori kejadian alam secara emanasi (al-Faidh), iaitu ‘alam ini melimpah keluar daripada Tuhan, bukannya dicipta dari tidak ada (creation ex nihillo). Serangan ini ditujukan kepada Ibnu Sina dan al-Farabi yang banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah Aristotle dan Neo-Platonisme. (Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Klasik, 2004, hal,119-121).
Kritik al-Ghazali ke atas al-Farabi ialah mengenai “pemakaian falsafah Greek atau Yunani sebagai ‘lampu’, yang memberikan cahaya baru untuk setiap aspek kehidupan Islam, iaitu ajaran dialektik teologi, pengakuan syahadah dam al-Qur’an, undang-undang, tatabahasa, estatika dan etika dan juga sifat-sifat terpuji bagi seorang pemimpin atau ketua negara. …Perkara yang menjadi sasaran utama kemarahan al-Ghazali atau umumnya golongan ahli al-Sunnah ialah Metafizik atau Theodise Greek khasnya Aristotle. Pemikiran Aristotle dianggap mengandungi banyak unsur-unsur yang bercanggah dengan kepercayaan Islam. Ilmu mantiq Aristotle dianggap sangat bahaya bagi aqidah, kerana ilmu ini mengendalikan pemikiran dalam falsafah…Pokok pangkalnya kritik yang dibuat ialah pertama: Masalah Ketuhanan iaitu intisari falsafah metafizik yang menjadi matlamat akhir dalam aktiviti falsafah di samping persoalan lain seumpama roh, akal dan sebagainya dan kedua; ialah metod rasionalistik yang dipakai, yakni berasas pada akal (intellect) dan fikiran (reason).” (Idris Zakaria, Teori Politik al-Farabi dan Masyarakat Melayu, 1991, hal. 166-167).
Atas penolakan falsafah itu menyebabkan al-Ghazali didakwa sebagai punca kemunduran pemikiran umat Islam dan menjadikan dunia Islam sebagai kelompok negara mundur sejak lahirnya pendekatan tasawuf yang membawa kepada penyingkiran ‘kehidupan duniawi’ sebagai matlamat kehidupan. Dengan meneliti perkembangan sejarah, ternyata dakwaan tersebut cukup meleset kerana umat Islam selepas abad pertengahan yang menggunakan metod ilmu dan falsafah pendidikan yang bermodelkan pemikiran al-Ghazali telah muncul nama-nama besar yang mewajahkan Islam sebagai konsep pemerintahan yang menepati dengan istilah good governance dambaan falsafah politik moden. Misalnya, dengan asas akidah as-Sya’iriyyah yang dikembangkan oleh al-Ghazali, muncul nama-nama besar pemimpin Islam yang cukup berpengaruh.
‘sejarah peradaban manusia’
Di bawah naungan Empayar Abasiyyah muncul Mahmud Zanki yang cukup terkenal dengan keadilan pemerintahan Daulah Zankiyah. Sebelumnya, muncul Umar Abdul Aziz (682-720), khalifah keenam Empayar Umayyah yang banyak mereformasikan kaedah pentadbiran dan pelaksanaan hukum Islam dalam pemerintahan Dinasti Umaiyyah, biarpun masa pemerintahannya (717-720) al-Ghazali belum lagi lahir. Begitu juga dalam diri Salehudin al-Ayubi, seorang wira yang berani dan sangat zuhud yang berjaya mengembalik kegemilangan Islam selepas berjaya menakluki Constantinapole (Istanbul) serta disanjung sebagai panglima Islam dalam pemahaman pasifisme ketika bertarung dengan Richard the Lion Heart dalam siri Perang Salib. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin yang berjaya meletakkan Daulah Mamluk sebagai salah satu empayar Islam yang cukup berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia.
Selepas kematian al-Ghazali (1111), Ibnu Rusyd (1126-1198 M) tampil mengkritik pendirian al-Ghazali terhadap falsafah dalam bukunya, Tahafut at-Tahafut. Ibnu Rusyd merupakan pemikir Islam yang muncul di Cordova (Andalusia) di mana Empayar Islam di Sepanyol itu banyak dipengaruhi oleh pemikiran Syi’ah, dilihat sebagai ahli falsafah yang cuba mengintegrasikan falsafah barat dengan Islam. Antara karyanya yang cukup kuat dipengaruhi oleh proses integrasi dua bentuk pemikiran tersebut ialah al-Dharuri fi Siyasah: Mukhtasar Kitab al-Siyasah li Aflatuhun, yang cukup menggambarkan dualisme pemikiran, yang mengambil asas pemikiran politik Plato yang sangat dipengaruhi oleh ‘kemahuan dan kehendak’ dan bukannya fenomena ‘tunduk kepada kepastian alam’. (Catatan Editor (Zainudin) dalam Republic Plato Ala Ibn Rusyd:Komentar Atas Diktum-Diktum Inti Politik Plato, (terjemahan dari Al-Dharudi fi Siyasah), 2016, hal. 4).
Akibat keghairahan masyarakat barat di akhir Zaman Gelap mempelajari ilmu-ilmu daripada cendekiawan Islam, lahir satu gerakan untuk melawan penguasaan gereja dalam abad yang dikenali sebagai Renaissance. Ketika ini, ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh pemikir-pemikir Islam telah menyerap masuk ke dalam pemikiran masyarakat barat, termasuklah asas-asas teologi, pemikiran lojik (ilmu kalam), metod ilmu dan pemikiran falsafah yang dibahaskan oleh al-Ghazali. Kitab-kitab karangan al-Ghazali diterjemah dan dijadikan bahan rujukan. Dari segi pendekatan psikologi, karangan al-Ghazali dikaji secara meluas sehingga berjaya membentuk pelbagai aliran pemikiran psikoterapi, yakni kaedah membantu manusia kembali kepada fitrah dan memahami apa tujuan sebenarnya mereka hidup, dan mengisi proses kehidupan.
‘kajian dan ketakjuban’
Begitu juga pemikiran falsafah al-Ghazali menjadi daya pencetus idea kepada beberapa konsep falsafah sehingga kini. Ini dapat dibuktikan menerusi pemikiran falsafah yang menjadi kajian dan ketakjuban sebahagian umat Islam yang cenderung menyanjungi kaedah rasional. Antaranya David Hume (1711-1776), Thomas Moore (1799-1852), Rene Descartes (1595-1650), Emanuel Kant (1724-1804) dan St Thomas Aquinas. (Margaret Smith, Al-Ghazali: The Mystic, 1944, 1989).
Selain menggunakan metod eksperimen, al-Ghazali juga banyak menggunakan metod hipotesis dalam karya-karyanya, terutama yang berkaitan dengan falsafah. Metod hipotesis ini sebenarnya digunakan oleh al-Ghazali dalam usahanya menilai pemikiran golongan pencari kebenaran terhadap ilmu kalam (mutakkalimun), batiniyyah, falsafah dan juga ahli sufi sebelum beliau membuka jalan kepada ‘penyucian jiwa’ sebagai solusi tunggal dalam usaha menyempurnakan fungsi manusia dalam kehidupan beragama.
Al-Ghazali pada awalnya merupakan seorang yang cukup terkenal dalam bidang fiqih, pernah berguru dengan Abu Hamid Ahmad bin Muhammad al-Razakani al-Thusi, Abu Nashr al-Ismai’li dan Imam Haramain al-Juwayni, adalah seorang pengajar ilmu fiqih di madrasah Nizhamiyyah. Beliau diiktiraf sebagai pakar fiqih mazhab Syafi’iyah dan penganut teologi as-Asy’ariyyah dan berjaya memperlengkapkan teori usul fiqih apabila mengambil maslahah al-mursalah sebagai dalil yang sebelumnya tidak diterima oleh para ulama fiqih, termasuk oleh Imam Syafi’ie sendiri. (Tafiqur Rohman, “Kontroversi Pemikiran Antara Imam Malik Dengan Imam Syafi’ie Tentang Maslahah al-Murasalah Sebagai Sumber Hukum”, International Journal Ihya’ Ulum al-Din, Vol.19, No.1 (2017), hal. 79).
Dalam period abad pertengahan, selain berlakunya pertembungan pemikiran (falsafah), turut berlaku ialah pertembungan dalam meletakkan sesuatu hukum berdasarkan tafsiran para ulama fiqih sehingga menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam. Hal ini menyebabkan berkembangnya fenomena taklik, atau keberpihakan kepada sesuatu penyelesaian hukum (pendapat) dan ini dapat dijelaskan dalam kritikan al-Ghazali seperti berikut:
“Jika ulama taklik dengan penuh keyakinan pada perkataan dan perbuatan beliau, hendaklah ia berusaha kerasa memahami rahsia-rahsianya. Kerana, orang yang taklik melakukan perbuatan sebab Rasullullah melakukannya. Sedangkan perbuatan Rasullullah pasti mengandun rahsia. Kerana itu hendaklah ia, dengan penuh kesungguhan, mengungkap berbagai rahsia perbuatan dan perkataan beliau. Sebab, jika seseorang itu hanya menghafal perkataan RAsullullah, ia hanya menjadi wadah ilmu, bukan seorang alim. Seseorang tidak boleh dikatakan alim jika hanya menghafal tanpa mengkaji pelbagai hikmah dan rahsia ilmu. Oleh sebab itu, Ibnu Abas berkata: Tiada seorang pun yang ilmunya diambil lalu diwariskan selain Rasullullah”. (dipetik Shalih Ahmad Syami. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali: Kisah Hidup dan Pemikiran Sang Pembaru Islam, (terjemahan), 2019, hal.245-246).
‘dibelenggu takliq’
Bagi al-Ghazali, seseorang bertaklik pada satu mazhab, “ia bersikap jumud dan fanatik terhadap mazhabnya”, disebabkan mereka hanya mengikuti “apa yang didengar dan tanpa memahami dengan mata hati dan musyahadah”. Mereka sebenarnya ‘telah dibelenggu oleh apa yang dipercayai sebagai taklik sehinga ia tidak dapat melampauinya. Fikirannya tidak mungkin memikirkan hal-hal di luar yang dipercayainya, sehingga pandangannya terpaku kepada apa yang ia dengar’ dan mereka (hanya mengenali seseorang berdasarkan sosok peribadi) adalah orang yang ‘terumbang-ambing dalam kesesatan’. Sebab itulah al-Ghazali menyifatkan seseorang yang bertaklik itu adalah ‘orang buta’: Jika ia melihat kekafiran itu apa yang bertentangan dengan mazhab Asy’ari, Muktazilah, Hanbali atau lainnya,ia terpedaya dan dungu (dibelenggu taklid) dan lebih buta dairpada orang buta itu sendiri. (Shalih Ahmad Syami, 2019, hal.246-247).
Hipotesis itu menjadi al-Ghazali cukup terkenal dengan pendekatan ‘berkompromi’ dalam sesuatu perkara yang diperselisihkan dengan mengemukakan hujah-hujah yang cukup bernah dan fakta yang dapat dipertahankan asasnya. Inilah yang berlaku apabila al-Ghazali menolak pandangan jumud aktivis Syi’ah Ismaili’yyah yang sedang merempuh pemikiran umat Islam ketika itu sehingga umat Islam berpecah-belah, dan menjadikan kaedah nasihat menasihati sebagai pendekatan untuk ‘penguasa’ memperbetulkan kaedah pentadbiran mereka dengan tidak menggalakkan tindakan ‘keganasan’ sebagaimana disaksikan apabila terbunuhnya Alp Arselan (465H/24 November 1072), pengasas Dinasti Saljuk (akibat kecederaan parah ditikam oleh Yusuf al-Khawarizmi dalam Peperangan Samarkand. Malik Syah pernah dibai’atkan sebagai pengganti ayahandanya sebanyak tiga kali dan perdana menteri Nizam al-Muluk sebagai pengawal wasiat.
Dalam tempoh pentadbiran Malik Syah, perebutan kuasa turut berlaku dalam kalangan ahli keluarganya, termasuk daripada bapa saudaranya. Di akhir pemerintahannya selama hampir 20 tahun (1072-1092), berlaku dua pembunuhan yang cukup menggambarkan perpecahan dalam kalangan umat Islam: (1) Malik Syah mati diracun (ada dua pendapat, pertama diracun oleh khalifah Abbasiyyah iaitu al-Muqtadi dan satu lagi pendapat ialah dalam kalangan pengikut Nizam al-Muluk sendiri. (2) Nizam al-Muluk (Abu Ali Hasan bin Ali bin Ishaq al-Tusi) berjaya dibunuh pada 14 Oktober 1092.
Terdapat pelbagai teori mengenai pembunuhan Nizam al-Muluk, antaranya: (1) dibunuh oleh kelompok Hasyayin (pengikut Hasan bin Saba’yang beraliran Syi’ah) yang menyamar sebagai ahli sufi ketika Nizam al-Muluk dalam perjalanan dari Isfahan ke Baghdad; (2) Mungkin dibunuh oleh seorang kanak-kanak (upahan) ketika menyampaikan surat kepada Nizam al-Muluk yang ketika itu bersama-sama ahli keluarganya berada di Nahawand; (3) Ada juga pendapat mengatakan Malik Syah sengaja menghantar orang untuk membunuh Nizam al-Muluk yang terlalu lama menguasai jawatan Perdana Menteri dan tidak berpuas hati atas dakwaan ahli keluarganya menguasai banyak tanah; (4) ada pakatan daripada isteri Malik Syah, iaitu Turkan Khanun bersama perdana menteri yang baru dilantik Tajul Muluk kerana ada dakwaan bahawa Nizam al-Muluk ingin menjadikan cucunya, Barkiaruk yang masih berumur 12/13 tahun sebagai sultan.
Semasa hayatnya, Malik Syah pernah mengutus surat kepada Hasan Asy-Saba sebagai amaran terhadap kegiatannya menimbulkan kekacauan, yang sifatkan oleh Ibnu Katsir sebagai ‘dakwah kepada orang yang bodoh…yang tidak tahu mana yang kanan dan mana yang kiri’ dengan ‘memberikan minuman madu yagng dicampur dengan pala dan jintan hitam agar kejiwaan dan otaknya rusak’. Antara isi kandungan surat Malik Syah berbunyi: Kamu Hasan asy-Shabab telah menampakkan agama aliran baru. Kamu menipu manusia dan berontak terhadap penguasa masamu. Kamu mengumpulkan sebahagian penduduk Jibal, lalu kamu menyesatkan mereka untuk melakukan pembunuhan. Kamu mencela khalifah Abasiyyah yang mana mereka adalah khalifah-khalifah kaum muslimin. Dengan merekalah tiang kerajaan, aturan agama dan negara berdiri. Maka kamu harus meninggalkan kesesatanmu ini dan menjadi orang muslim. Hati-hatilah atas nyawamu dan nyawa para pengikutmu. Janganlah kamu meletakkannya dalam kebinasaan dan janganlah kamu tertipu dengan kukuhnya benteng-bentengmu, Hendaklah kamu meyakini bahawa benteng Almot andaikata salah satu menara langit, maka aku akan menjadikannya rata dengan tanah, dengan pertolongan Allah.”
Selepas kematian Malik Syah, sekali lagi berlaku perebutan kuasa di antara anak-anak, saudara dan cucu Malik Syah sehingga menyebabkan kawalan Dinasti Saljuk di beberapa wilayah menjadi semakin lemah. Misalnya, perebutan antara Barkiaruk (anak Malik Syah yang sulong) dengan adiknya, Mahmud bin Malik Syah. Barkiaruk disokong oleh Nizam al-Muluk dan selepas kematian Nizam al-Muluk, disokong oleh anak-anaknya. Mahmud pula disokong oleh ibunya, Turkan Khatun dan perdana menteri Tajul Muluk. Berita kematian Malik Syah disembunyikan oleh Turkan Khatun dan Tajul al-Muluk, manakala ketika itu Mahmud berada di Baghdad manakala Barkiaruk yang masih berumur 13 tahun berada di Isfahan. Buat sementara waktu, ibunya Turkan Khatun mengambil alih pentadbiran sebelum Mahmud berjaya dibai’ahkan sebagai pengganti.
‘kemangkatan Malik Syah’
Bagi memperoleh sokongan daripada para perajurit, Turkan Khatun didakwa membahagi-bahagikan aset milik negara yang dikuasainya, dan mengirim surat kepada khalifah Abasiyyah, al-Muqtada Biarmillah meminta agar Mahmud diiktiraf sebagai sultan. Walau bagaimanapun, Khalifah al-Muqtada tidak menyokong pelantikan tersebut dan mengutus surat mengataka penolakannya kerana usia Mahmud masih kanak-kanak. Mahmud akhirnya diterima setelah Khalifah al-Muqtada mengetahui kemangkatan Malik Syah. (Dr Ali Muhamad ash-Shallabi, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Saljuk, (terjemahan), 2018, hal. 173-185)
Kesemua peristiwa-peristiwa tersebut, termasuk perselisihan yang berlaku semasa pemerintahan Alps Arselan menjadi asas sejarah untuk al-Ghazali menulis surat kepada Muhammad Malik Syah sebelum menulis al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk (Peringatan Bagi Penguasa), ketika berumur 46 tahun (1104) dan di awal pengasingannya selama hampir sebelas tahun (488-499H/1095-1106). Menurut Ahmadie Taha dan Ilyas Ismail, buku tersebut ditulis atas permintaan Muhamad bin Malik Syah yang baharu sahaja ditabalkan sebagai Sultan Saljuk selepas dalam satu pertikaian politik dengan ‘keponakan’nya sekitar tahun 489H (1104), yang mana ketika itu, al-Ghazali sudah meninggalkan Universiti Nizamiyyah akibat ‘pergolakan jiwa’ dan kecelaruan politik pemerintahan Malik Syah akibat berleluasanya ‘rasuah dan kezaliman’. Akibat masalah itulah al-Ghazali berusaha berjanji ‘tidak akan menginjakkan kakinya ke istana’ dan atas alasan semata-mata untuk ‘beruzlah’, di mana pengasingannya ke Mekah dan Jerusalem ‘didorong oleh sikap oposannya terhadap kekuasaan yang korup dan zalim’. (Pengantar Penterjemah, Al-Ghazali, Peringatan Bagi Penguasa, 2000, hal.xii).
Seterusnya, Ahmadie Taha mengambil contoh salah satu surat al-Ghazali sebagai bukti terhadap keluhan tersebut: Jeritan kesedihan dan penderitaan tak bisa lagi didengar para penyelenggara negara….Pernahkah ada perdamaian di atas bumi, selagi orang miskin bekerja untuk memberi makan orang kuat dan mempunyai perut yang tiran. Tidakkah anda sedari betapa kekacauan telah terjadi di negeri ini. Para pemungut pajak yang korup menindas massa yang bodoh untuk kepentingan mereka sendiri. …Befikirlah tentang warga negeri Anda yang bebadan remuk, digerogoti kemiskinan dan kelaparan.”
Biarpun surat itu ditujukan secara langsung kepada Mujiruddin, salah seorang wazir, ia menjelaskan bahawa sebagai seorang yang berkuasa, hal-hal sedemikian perlu diberikan perhatian yang serius dan diambil langkah untuk menghapuskannya. Ini bermakna, konsep good governance yang dikenali dalam istilah politik moden sudah pun muncul dalam sejarah Islam, bahkan dipraktiskan dengan baiknya dalam sistem pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin (misalnya pada zaman Khalifah Umar al-Khattab), pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dan diteruskan oleh penguasa-penguasa Islam selepasnya (Mahmud Zankiyah di period Daulah Zankiyah (dalam masa pemerintahan Khalifah Abasiyyah, Salehudin al-Ayubbi dalam period Daulah Ayubbiyah) dan pemimpin-pemimpin Islam lainnya termasuk period Daulah Mamluk.
‘mengalami kehancuran’
Biarpun dalam penulisan al-Ghazali untuk Nasihat Untuk Penguasa dan seterusnya Ihya Ulumudin dilihat banyak menggunakan metod hipotesis, dan juga hyper-reflection dalam al-Munqizh, ia sangat bermuara kepada pembentukan karakter, atau dalam istilah politik moden dikenali sebagai civic intelligence. Sebagaimana kita ketahui, peradaban barat sedang mengalami kehancuran kerana tidak bersungguh-sungguh menerapkan civic intelligence, walaupun kedengaran ada konsep civil society, yang hanya mengukur perilaku berdasarkan pematuhan undang-undang dalam sesuatu wilayah, dan bila berada dalam komuniti yang lain, prinsip tersebut dimungkari begitu jelas.
Apa yang kita lihat misalnya, pematuhan rakyat Singapura terhadap undang-undang di negara mereka tidak diamalkan bila berada di negara lain. Ketika keluar dan mengharungi lebuh raya di Malaysia, pemandu daripada rakyat Singapura bukan sahaja tidak mematuhi had maksimum kelajuan bahkan ada tindakan membuang sampah, dan meletakkan kenderaan di kawasan yang dilarang. Hal sebeginilah yang cuba dielakkan oleh al-Ghazali dalam falsafah pendidikan yang mengajukan kepada pembinaan peribadi dan ditunjangi oleh akidah Islam.
Bagi al-Ghazali, di mana sekalipun umat Islam berada, mereka tetap mempraktiskan peraturan (juga etika) Islam, kerana Islam itu sangat identik dengan amalan dan amalan pula dipandu oleh ilmu yang mendekatkan diri dengan Allah SWT. Di mana posisi sekalipun umat Islam (sebagai pemimpin, rakyat ataupun pekerja), mereka wajib mempraktikkan budaya kerja cemerlang, yakni budaya kerja yang membenci rasuah, salah guna kuasa, adu domba dan jika menjadi pengikut, bukan termasuk dalam kalangan mereka yang jumud dan taksub kepada sesuatu pemikiran, kecuali perintah Allah SWT. (BERSAMBUNG)
Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments