Al-Ghazali menghuraikan tiga masalah dalam rumah tangga: (1) sukarnya mencari rezeki yang halal; (2) tidak mampu memenuhi hak-hak isteri dan bersabar atas akhlak mereka; dan, (3) kesibukan melayani anak-anak dan isteri melalaikan Allah SWT sehingga tumpukan kepada duniawi. Daripada tiga masalah tersebut, masalah ketiga lebih mudah diatasi, sebagaimana kata al-Ghazali, walaupun tindakan itu ‘sial’ seperti ungkap Ibrahim bin Adham: Barang siapa terbiasa mengikut wanita, ia tidak akan dapat apa pun darinya”. Akibat tuntutan itu boleh menyebabkan seorang suami terjerumus kepada cara yang diharamkan oleh agama, dan “ia merupakan malapetaka” daripada perkahwinan.
Sebab itulah al-Ghazali berpendapat, seseorang yang berkeinginan untuk berkahwin seharusnya mampu mengintegrasikan kededuanya, di mana dengan berkahwin tidak akan menghalang seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT, berusaha mencari rezeki yang halal dan memperbaiki ‘akhlak’ isteri. Berkahwin disifatkan sebagai ‘akad untuk memberikan nafkah’, dan ‘memfokuskan hati untuk beribadah kepada Allah SWT’, bukannya ‘memenuhi kehendak hati yang tiada nokhtah’.
Berkenaan nafkah, secara umumnya menurut Ensiklopedi Hukum Islam (1996:1281) nafkah bermaksud ‘pengeluaran yang biasanya digunakan oleh seseorang untuk sesuatu yang baik’ atau ‘belanjakan untuk orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya’. Berdasarkan kata nafaqa, terdapat 56 ayat (dalam 73 bentuk) menerusi 25 surah. Jika diasaskan kepada penyebutannya, ia boleh dibahagikan kepada enam: (1) Surah dengan 14 ayat nafkah (Al-Baqarah/1 surah); (2) Surah dengan 8 ayat nafkah (At-Taubah/1 surat); (3) Surah dengan 4 ayat nafkah (Al-Imran/1 surah); (4) Surah dengan 3 ayat nafkah (surah An-Nisaa dan Al-Anfal/2 surah); (5) 5. Surah dengan 2 ayat nafkah (Al-Hadid, Al-Mumtahanah, Al-Munafiqun dan At-Talaq/4 surah); dan, (6) Surah dengan 1 ayat nafkah (Al-Maidah, Al- Ra‟du, Ibrahim dan lain-lain/16 surah).
Terdapat dua jenis nafkah, iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir ada lima: (1) nafkah atau perbelanjaan rumah; (2) makan dan minum; (3) Perhiasan; (4) Pakaian dan Perubatan, (5) Pembantu rumah. Berkenaan (1), menurut Prof Harlina Siraj, suami yang membeli rumah teres untuk isteri dan keluarga adalah lebih baik daripada sebuah banglo yang dibeli isteri. Ini bermakna, Islam sangat meletakkan kemampuan seorang lelaki untuk menyara kehidupan isteri dan keluarga, bukannya mengharapkan kekayaan yang dimiliki oleh seorang isteri (sama ada warisan mahupun kedudukan pekerjaan isteri bergaji besar). (Rujuk: https://www.xtra.com.my/familuv/5-jenis-nafkah-wajib-diberikan-suami-kepada-isteri-no-excuses-kalau-mampu-ya-cik-abang/)
Walaupun Islam tidak melarang isteri bekerja dan menyumbangkan sebahagian pendapatannya untuk keperluan rumah tangga, suami diwajibkan menyediakan ‘makan dan minum’ untuk isteri dan anak-anak berdasarkan kemampuannya. Sebab itu dalam cara hidup Islam, seorang isteri membiarkan suami yang membuat pembelian barangan, dan bila ianya berjaya dilakukan, akan dilihat bagaimana gembiranya seorang suami kerana berjaya melengkapkan keperluan barang dapur di rumah. Seorang isteri tidak perlu banyak ‘mengomel’ jika berlaku kesilapan, hendaklah ditegur secara halus dan santum bagi mengelakkan suami membuat kesimpulan: pergi beli sendirilah lain kali.
BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP, https://omiw.com.my/Web/2021/07/18/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp/
Walaupun diketahui bahawa seorang wanita tidak boleh dipisahkan dengan barang kemas atau perhiasan, seorang isteri tidak wajar menjadi ‘pendesak’ untuk memperoleh perhiasan, jika suami tidak mampu. Seorang isteri sepatutnya menerima apa sahaja pemberian suami dengan ikhlas, dan bukan mengungkit-ngungkit seperti salah satu dialog dalam sebuah filem P Ramlee (Do Re Mi, 1966) yang cukup popular; Eh!Nasib baik kahwin dengan aku, dapt makan hati. Kau tahu bini orang lain, Jangan kata hati nak makan daging seminggu sekali pun tak dapat. Tu orang sebelah tu, hari-hari makan tulang buat sup. Kau nak makan tulang”
Berkenaan pakaian, ia bukan sekadar fesyen tetapi pakaian adalah untuk melindungi aurat, maka suami perlu menyediakannya kerana suami akan ikut menanggung dosa sekiranya aurat isteri terdedah. Begitu juga bila isteri berhadapan dengan masalah kesihatan, suami wajib menyediakan pembiayaan perubatan dan sekiranya tidak mampu, mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan kerajaan yang bayarannya sangat minimum dan mungkin percuma jika dikategorikan dalam kumpulan B40. Jika suami mampu, boleh mengambil pelan kesihatan daripada mana-mana agensi berkaitan.
Pembantu merupakan pilihan sekiranya kerja-kerja rumah sangat meletihkan dan jika suami mempunyai kemampuan. Jika tidak perlu pembantu rumah sepenuh masa, suami boleh mendapatkan pembantu rumah separuh masa bagi tujuan mengemas rumah dan membersihkan halaman rumah, begitu juga bila isteri berada dalam pantang.
Untuk memahami persoalan nafkah, saya kutip penjelasan yang terdapat dalam Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang disiarkan pada 8 Mac 2017 berkenaan satu pertanyaan mengenai ‘tidak memberikan nafkah batin selama empat bulan’ kerana suami sangat warak, sholat berjemaah setiap waktu dan sholat malam tanpa ponteng. Jawapannya adalah seperti berikut:
“Secara umumnya, nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir terdiri daripada keperluan asasi manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah ini wajib dipenuhi oleh pihak suami mengikut kadar kemampuan suami tersebut berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan. Ini adalah berdasarkan dari dalil dari al-Qur’an dalam surah al-Talak ayat 7:
Maksudnya: Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya (Surah al-Talak ayat 7)
Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi RA telah bertanya kepada Nabi SAW :
Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajiban suaminya?” Beliau menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Riwayat Abu Daud no 2142 dan Ibn Majah no 1850)
Kembali kepada persoalan di atas, nafkah batin merujuk kepada cara muamalah yang baik antara suami isteri dan begitu juga kebersamaan hubungan kelamin yang baik antara suami isteri tersebut. Suami wajib menunaikan nafkah batin terhadap isterinya selagi mampu. Ini berdasarkan kepada dalil dalam al-Qur’an dalam surah al-Baqarah ayat 187:
Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. (Surah al-Baqarah ayat 187)
Dalam kitab Tafsir Ibn Katsir, Ibn Abbas menyatakan maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam tafsir at-Thabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”. (3/490)
Daripada Abdullah Ibn Masud RA dari Nabi SAW telah berkata:
Maksudnya: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, karena ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.” (Riwayat al-Bukhari 5065)
Dalam kitab Ihkam Ahkam Syarah Umdah Ahkam karangan Ibn Daqiq i’d menafsirkan perkataan ( الْبَاءَةَ) albaah itu membawa maksud nikah yang membawa maksud kemampuan untuk memberi mahar dan nafkah. (Rujuk kitab Ihkam Ahkam Syarah Umdah Ahkam 2/552)
Seterusnya berdasarkan kepada hadis Abdullah Ibn Amru, Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya. (Riwayat al-Bukhari no 6139 )
Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa pihak suami wajib menunaikan nafkah zahir mahupun batin ke atas tanggungannya semampu mungkin. Berdosa besar kepada sesiapa yang tidak menunaikan hak-hak yang telah diamanahkan kepada mereka seperti si suami yang tidak menunaikan nafkah batin terhadap isterinya.
Dalam perkara ini, suami isteri seharusnya mengambil pendekatan yang terbaik untuk berbincang bagi menyelesaikan perkara seperti ini. Pihak keluarga perlu memainkan peranan mereka bagi mendamaikan keadaan antara suami isteri ini. Seterusnya pihak isteri boleh merujuk juga kepada pihak yang berautoriti seperti pihak mahkamah bagi menyelesaikan perkara tersebut. Dengan sebab ini termasuk aib nikah yang harus difasakhkan ialah “عنين” iaitu mati pucuk dan lemah untuk bersetubuh. (Rujuk: (https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/959-al-kafi-565-hukum-menunaikan-nafkah-batin)
Lelaki itu kembali melihat langit yang cerah, namun hatinya tetap menanggung resah bukan kerana berfikir ‘tidak cukup nafkah’ tetapi kerana mempunyai seorang isteri semakin materialistik setelah terpengaruh tanpa sedar daripada apa yang diterokainya dalam media sosial. Media sosial yang menjadi ‘teman hidup siang dan malam’ seperti ‘tembok yang cukup tebal’ membina perasaan dan perbandingan tidak sepatutnya dilakukan, kerana ada rakan-rakannya ‘bernasib baik’ memperoleh gemerlapan dunia, termasuk perhiasan yang mahal-mahal.
BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP (II), https://omiw.com.my/Web/2021/07/19/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp-ii/
Lelaki itu belum membuat apa-apa keputusan, kerana bagi dirinya, kehebatan seseorang ditentukan oleh bagaimana sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, bukan terus berteleku dengan kesedihan.
Biarpun COVID-19 belum menunjukkan tanda-tanda bila akan berakhir, lelaki itu tetap optimis, suatu hari, sekiranya umur panjang dan diberikan kesihatan yang baik, wabak yang cukup menyebabkan hampir semua orang menderita itu ‘give-up’ dan tidak lagi menyerang manusia kerana sudah ada ‘imuniti dalam diri’, vaksinasi.
Begitu juga harapan agar isterinya mampu memahami: ukur baju di badan sendiri, hadapi kesulitan dan kesukaran dengan sabar, kerana Allah SWT sebenarnya sedang menguji sejauh manakah manusia bersikap positif dan mampu berhadapan dengan ujian.
Kemilau dunia tidak akan ke mana-mana sebaliknya membangkit sikap riya’, ego dan bangga diri berlebihan, tetapi jalan di hadapan ialah menuju akhirat kerana di sanalah tempat ‘kita yang abadi dan sebenar-benarnya’.
Bersedialah untuk ke sana dan berdoalah agar kematian secara husnul khotimah. “Ya Allah sudahilah bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.”
Sebagai seorang isteri, dia berhak menyuarakan apa yang terbuku, tetapi dia juga mesti faham, semua kewajipan dan kehendak yang tidak terbatas itu adalah fitrah manusia, maka ukurkanlah kesemua kehendak itu bersandarkan realiti semasa, yakni kemampuan yang dimiliki.
Semuanya bergantung kepada kemampuan, ibarat keinginan untuk menikmati keenakan musang king, jika mempunyai wang yang lebih, boleh sahaja. Jika tidak mampu, kerana harganya sekilogram boleh mencecah RM 90, bermakna harga sebiji yang sederhana hampir RM350, maka fikirkanlah dengan mempertimbangkan kewajaran.
Tidak mati kerana tidak menikmati ‘musang king’ boleh sahaja dicari alternatifnya, sekurang-kurangnya dengan jumlah itu boleh dapat sepuluh biji ‘durian kampung’. Janji masih boleh merasai keenakan raja buah itu.
Sebelum waktu tengah hari muncul, lelaki itu cuba mengingati apa yang pernah dibacanya tentang sebuah kisah yang cukup inspiratif. Diceritakan, Abul Hassan ketika sedang mengerjakan haji di Baitul Haram, ternampak kelibat seorang wanita dengan wajah yang berseri-seri.
Abul Hassan cukup terkesima dan di dalam hatinya berkata: Demi Allah! Belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain ia pasti kerana wanita itu tidak pernah risau dan bersedih hati.”
Wanita itu mendengar apa yang diucapkan oleh Abul Hassan, lantas menghampiri dan bertanya: Apa katamu wahai saudaraku? Demi Allah, aku masih terperangkap oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tiada seorang pun yang mengetahuinya”
Abul Hassan bertanya: Apakah perkara yang sangat merisaukan puan?
Wanita itu menjawab: Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan denganku ada dua orang anak yang sudah pun pandai bermain-main, manakala seorang lagi sedang menyusu, dan ketika aku bangun untuk menyediakan makanan, tiba-tiba anakku yang tua berkata kepada adiknya: Hai adikku, sukakah jika aku tunjukkan kepadamu bagaimana ayah menyembelih kambing? Adiknya menjawab: Baiklah, kalau begitu.”
Di suruhnya si adik berbaring, dan kemudian disembelihnya leher. Anaknya itu kemudiannya merasa sangat takut setelah melihat darah memancut-mancut keluar dari leher sang adik, lantas berlari menuju ke arah bukit. Suamiku pergi mencari, tetapi meninggal akibat kehausan. Wanita itu kemudian meletakkan bayi yang sedang menyusu untuk keluar mencari suaminya, tiba-tiba bayi itu merangkak dan menggapai periuk yang berisi air panas. Melihat keadaan itu, wanita tersebut berusaha menyelamatkan bayi dengan menarik periuk yang mengandungi air panas.
Semasa menarik periuk itu, airnya tumpah dan terkena badan anak kecil tersebut. Bayi itu melecur. Berita itu kemudian diketahui oleh anaknya yang dewasa, dan sudah pun berkahwin, tetapi tinggal di daerah lain. Anaknya itu pengsan dan akhirnya menemui ajal.
Wanita itu ‘tinggal sebatang kara’ dan seterusnya menyebabkan Abul Hassan semakin tidak sabar lalu bertanya:” Bagaimana kesabaranmu berhadapan dengan musibah yang cukup berat ini”
Jawab wanita tersebut: Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dan mengeluh melainkan ia akan bertemu di antara keduanya, ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang zahir, maka hal itu baik dan terpuji kesannya. Dan, adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti, yakni sia-sia belaka.”
Secara moralnya, dalam apapun situasi kesabaran amat diperlukan dan diajar oleh agama. Setiap umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT, hendaklah sentiasa bersabar dalam menghadapi musibah dan ujian yang menimpa.
Rasullullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya”.
Perbuatan mengeluh, Rasullullah SAW bersabda: Tiga jenis tanda kekafiran terhadap Allah SWT: merobek baji, mengeluh dan menghina nasab orang” dan dalam hadis Baginda yang lain: Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah SWT akan memotong baginya pakaian dari wap api neraka” (Riwayat Ibnu Majah).
BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP (III), https://omiw.com.my/Web/2021/07/21/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp-iii/
Semoga lelaki itu berjaya menyelesaikan masalah, tidak “sakit” ketika PKP; dan isterinya sedia memohon maaf serta mampu berubah sikap, menghormati seorang lelaki bernama suami, dan sedar diri bahawa kemilau dunia tidak akan membawa ke Syurga yang abadi.
Biarpun sembahyang lima waktu tidak berhalangan, menderhakai suami adalah dengan jelasnya ‘jalan menuju ke neraka’ kerana ia adalah ‘nusyuz’ termasuk memisahkan ‘tempat tidur’ dan bercakap kasar bila berkomunikasi. Semoga Allah SWT mengabulkan ‘harapan lelaki itu’ dan kehidupan mereka sekeluarga kembali dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Lelaki itu mengharapkan agar suatu hari, isterinya kembali memahami realiti bahawa hidup bahagia bukanlah ‘sebatas calitan lipstick di bibir’: merahnya menyerlah ketika di luar rumah, bila di rumah hilanglah semuanya. Insya Allah.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments