Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga, dia tidak pernah merungut secara terbuka, walaupun dalam mindanya cukup membebankan bila memikirkan belanja harian. Ia bukan hanya berlaku ketika PKP 3.0 dipraktiskan, ia sudah difikirkan sebelum PKP 1.0 lagi. Tetapi, ketika itu, setiap bulan ada pendapatan sampingan daripada kerja-kerja menulis dan membuat penyunting walaupun ‘tidak tetap jumlah’nya, ia dapat membantu lagipun harga barangan tidak ‘menggila’ seperti PKP 3.0.

Apakah tekanan-tekanan sedemikian boleh menyebabkan seseorang suami ‘cuba bunuh diri’ atau ‘menamatkan hidupnya’ selain berhadapan dengan masalah ‘penyakit kronik’ atau ‘tekanan kewangan’ akibat rugi berniaga’ (terpaksa tutup kerana PKP) atau ‘tekanan hutang’?

Setakat ini walaupun dikatakan bunuh diri sudah berlaku dalam kalangan Melayu-Islam, kohort umur yang cukup tinggi melakukan tindakan tersebut adalah dalam lingkungan mereka yang berusia (40 tahun ke atas). Bahkan andaian bahawa sejak PKP dilaksanakan, 60 peratus daripada mereka yang membunuh diri adalah orang Melayu-Islam. Nauzibillah min zalik.

Sepatutnya, jika sebelum ini mereka yang berumur 40 tahun ke atas dilihat stabil emosi dan kewangan (kecuali berhadapan dengan gangguan mental), tidak banyak masalah, kini keadaannya sudah begitu besar perubahannya. Setiap hari ada mereka yang mengomel, marah-marah dan menyalahkan ‘sesuatu’ kerana menyebabkan hidup tertekan, emosi terperuk dan sebagainya.

Mereka yang berumur 40 tahun ke atas, mempunyai komitmen yang tinggi, kerana masih berbaki hutang membeli rumah, kenderaan dan lain-lain pinjaman peribadi. Setelah semuanya ‘terhenti’ dalam jangka masa panjang, wang simpanan tidak lagi berbaki, tekanan dalam keluarga oleh keletah isteri yang ‘membebel’ menjadikan seorang lelaki lebih suka menyendiri dan ada ketikanya, menjarakkan dengan ahli keluarga untuk tempoh tertentu.

Lelaki itu, di setiap hari (pagi), apa yang dilakukan ialah sebaik sahaja selesai fardhu Subuh, lebih banyak ‘merenung’ selain  menulis, membaca dan berfikir. Jika moodnya baik, akan diteruskan hobinya itu sehingga lewat petang dan disambung lagi waktu malam. Dia akan tidur sekitar jam 11 malam keseorangan, kerana isterinya tidur bertemankan telefon genggam di hadapan televisyen, walaupun masih berkongsi bilik yang sama.

Tekadnya, selagi tidak ada perubahan perilaku, selagi itulah dia akan bersikap sebegitu walaupun pada zahirnya, mereka belum ‘berpisah’ kecuali ‘tempat tidur’. Ia bukan berlaku ketika PKP, bahkan telah berlaku lebih dua tahun lalu, setelah si isteri mula merasakan adanya suami di rumah setiap masa, akan menyebabkan beban kerjanya bertambah dan terpaksa memasak setiap hari. Itulah puncanya, walaupun ada dakwaan bahawa sejak bersara, suami tidak lagi memberikan wang setiap bulan.

Isteri lupa, ketika memberikan wang setiap bulan sebelum itu adalah untuk perbelanjaan dapur, yang ada terpaksa digunakan setiap hari. Ketika ini, setelah bersara, secara langsung tidak diberikan wang tetapi semua keperluan dapur dibelikan bahkan kadangkala melebihi dari pemberian perbelanjaan bulanan sebelumnya. Mungkin itu adalah kesilapan di pihak suami, sebab itulah isteri tidak nampak bahawa ketika ini perbelanjaan dapur sebulan adalah hampir sekali ganda daripada sebelumnya.

Isteri mungkin tidak sedar, setelah bersara, wang pencen walaupun dikatakan 60 peratus daripada gaji akhir, adalah sebenarnya lebih rendah daripada pendapatan bulanan sebelumnya. Sebelum berpencen, ada pelbagai elaun tetap, termasuk elaun bantuan sewa rumah, elaun kesusahan (atau cola) dan elaun keraian. Bila pencen, semua elaun-laun itu tidak dimasukkan dalam perkiraan pencen bulanan,  dikira berdasarkan gaji pokok terakhir.

Ertinya, lebih kurang 50 peratus sahaja, biarpun diberikan kenaikan tahunan dengan kadar dua peratus. Jarang berlaku mereka yang bersara dilantik dalam agensi kerajaan, kecuali penjawat awam yang berkedudukan tinggi (ketua jabatan, ketua pengarah atau KSU dan KSN). Selepas bersara.

BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP, https://omiw.com.my/Web/2021/07/18/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp/

Mereka yang mempunyai hubungan baik dengan ahli politik akan dilantik menduduki posisi lembaga pengarah dalam agensi yang ada kaitan dengan kerajaan. Itulah untungnya, kerana itulah lahirnya ungkapan, who wins get all, the loser get nothing; yang di atas ada tempat, yang di bawah pulang kampung.  Ia adalah hirarki sosial yang wajib difahami oleh setiap orang, termasuk seseorang yang bergelar isteri sepenuh masa. Hirarki sosial yang tercipta daripada budaya kapitalistik dan consumerisme.

Memang benar, wang bukanlah penentu segala-galanya. Keberkatan itu hadir; berkerkatan diukur daripada pemenuhan keperluan, bukan daripada banyaknya. Untuk memperoleh keberkatan hidup, dalam keluarga ialah saling memahami dan membantu, bukan saling mengkritik dan mengecam.

Dalam pedoman keluarga bahagia, kita temukan pelbagai formula, yang kadangkala dilihat spekulatif dan subjektif. Ia spekulatif kerana kita sangat meletakkan lojik akal manakala subjektif kerana kita seringkali membuat ukuran secara berbanding, kita bandingkan dengan orang lain yang lebih ‘kaya’ daripada kita. Kita jarang membuat perbandingan orang lebih susah daripada kehidupan kita.

Jika ada pun hanya ketika masa-masa tertentu, yakni apabila media mendedahkan dalam keadaan negara yang kaya raya, masih ada yang terpaksa hidup di tepi kolong, pondok kecil di kawasan longgokan sampah, menumpang ‘kandang kambing’ atau ‘berumah di bawah jambatan’, dan di sebelahnya cukup banyak ‘rumah-rumah sombong’.

Tetapi, kita tidak bandingkan bagaimana orang-orang yang bahagia menguruskan sumber dan menterjemahkan keazaman masing-masing, menukarkan azam itu sebagai praktis habit, budaya dan cara berfikir. Faktor-faktor ini sukar untuk diukur, kerana ia banyak melibatkan nilai diri dan kefahaman psikologi bahagia.

Dalam sistem tata suria, planet Mars merupakan planet keempat yang diukur daripada jaraknya dengan matahari. Planet ini berdebu, sejuk, seperti padang pasir dengan lapisan atmosfera yang tipis, namun planet ini dinamik dalam peralihan musim, ketulan ais, jurang gunung, gunung berapi dan mempunyai dua rovers (peninjau). Dalam bahasa Melayu, planet Mars dipanggil Marikh. Jarak Marikh ke bumi ialah 375.96 juta kilometer.

Planet Venus, merupakan planet keenam dari matahari. Dalam bahasa Melayu, ia dipanggil Zuhrah atau Zuhal. Saiznya adalah kedua terbesar selepas Musytari. Jauhnya dari bumi dianggarkan 149. 6 juta kilometer. Planet ini mempunyai satu sistem gelang, dengan serpihan batuan dan debu.

Saya tidak tahu apa rasionalnya John Gray mengibaratkan lelaki dari Mars, wanita dari Venus, kemudiannya hidup di Bumi, sebuah planet yang cukup lengkap keperluan untuk hidup setakat ini. Lelaki daripada Marikh “mengembara sejauh 375.96 juta kilometer” dan perempuan daripada “Zuhrah sejauh 149. 6 juta kilometer” boleh bersatu membina kehidupan di bumi. Atau mungkin kita cukup tersohor dengan ungkapan:  ikan di laut, asam di darat, dalam periuk mereka bertemu. Sesuatu yang cukup jelas, wanita dan lelaki berada dalam ‘planet berbeza’, yakni apa yang disebut oleh  John Gray itu adalah bermaksud planet psikologi dan alami . Atau bagi John Medina, dari satu proses biologi yang sama tetapi sangat berbeza pembawaan diri (bentuk fizikal) dan psikologi kendiri.

Ia cukup jelas digambarkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan pasangannya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak… (surah an-Nisa’:1)

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah”.( surah al-Dzariyat: 49)

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)…” (surah an-Nisa’: 34).

Allah SWT jadikan semua yang ada dan hidup di bumi secara berpasang-pasangannya. Dari perspektif apa pun kita melihatnya, ia adalah sebahagian daripada sistam dualisme, yang saling tunduk kepada aturan yang ditetapkan oleh Sang Pencipta. Oleh itu, daripada jenis apa pun makhluknya, termasuk makhluk bernama manusia, Allah SWT telah tentukan bahawa kedudukan lelaki adalah lebih tinggi berbanding perempuan.

BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP (II), https://omiw.com.my/Web/2021/07/19/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp-ii/

Atas pandangan yang berusaha mengubah aturan, hanya kerana cenderung kepada penalaran fikiran, maka aturan tersebut cuba pula dipesongkan dengan interpretasi bias gender. Akhirnya, banyak kecelaruan dalam sistem kekeluargaan dan kemasyarakatan sehingga mendorong kepada pepercahan atau kehancuran institusi kekeluargaan. Ia turut membabitkan ramai wanita-wanita Islam sendiri, terutama dalam kalangan mereka yang terdedah dan melihat peradaban barat lebih baik daripada Islam. Misalnya, Aminah Wadud, sarjana wanita Islam yang liberal dan feminis, yang pada suatu ketika cukup mengejutkan apabila bertindak sebagai imam sembahyang Jumaat walaupun sebahagian makmunnya adalah lelaki (Virginia Commonwealth University, New York pada 18 Mac 2005) dan sekali lagi menjadi imam di Universiti Oxford, England pada tahun 2008.

Aminah Wadud lahirnya dengan nama Mary Teasly dari pasangan penganut Kristian. Bapanya adalah seorang paderi Methodist manakala ibunya adalah wanita hamba dalam masyarakat Arab, Berber dan Afrika di kurun ke-8. Amina bersyahadah pada tahun 1972, iaitu sebelum mengetahui latar belakang sebelah ibunya. Antara tahun 1988 hingga 1992, Amina Wadud bertugas sebagai pembantu professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan merupakan salah seorang pengasas bersama Sister in Islam (SIS), manakala bukunya, Qur’an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman’s Perspective (1992) yang disesuaikan daripada disertasinya menjadi rujukan hingga sekarang oleh SIS.

Bukunya yang lain ialah Inside the Gender Jihad: Women’s Reform in Islam (Islam in the Twenty-First Century, (2006), cukup mendambakan satu tindakan menyeluruh oleh wanita Islam di seluruh dunia untuk menghapuskan sistem patriarki (dominasi lelaki) termasuk dalam institusi kekeluargaan. Cukup keras doktrin-doktrin agama diintepretasikan bagi meletakkan darjat perempuan ‘sama dengan lelaki’ kalaupun tidak ‘di atas lelaki.” Ia dilakukan dengan pemahaman secara tekstual terpilih, dan bukannya melihat secara lengkap makna perhubungan secara berpasang-pasangan sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an, yakni seumpama siang dan malam, walaupun berbeza fizikal dan psikologi, lelaki dan perempuan tetap saling memerlukan.

Sesuatu yang cukup hebat dan menakjubkan, sedangkan dalam perkahwinan antara etnik seringkali berhadapan dengan tentangan dan penolakan, kecuali bila berlandaskan ‘kelebihan material’. Saya kiran Priscila Chan tidak akan berkahwin dengan Mark Zukerberg sekiranya pemuda berpakaian t-shirt tanpa kolar itu bukan pemilik facebook.

Mungkin juga Melinda French Gate tidak akan berkahwin (1994)  dengan Bill Gates (Willian Henry Gates III) kalau bekas suaminya itu bukan majikannya di Microsoft. Selepas meninggalkan Expedia (anak syarikat Microsoft),  Melinda dilantik sebagai Pengurus Besar Produk Maklumat, Microsoft sehingga tahun 1996 sebelum meletakkan jawatan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa (1996). Mereka mula berpasangan sejak tahun 1987 dan mula bertemu di New York dalam satu pameran perdagangan selepas tidak lama Melinda bekerja di Microsoft setelah tamat MBA dari Fuqua School of Business.

Begitu juga dengan Wendy Deng. Tidak mungkin berkahwin dengan seorang lelaki tua sekiranya Rupert Murdock bukanlah seorang hartawan media. Ketika berkahwin (1999), Wendy baharu berusia 31 tahun sedangkan Murdock berusia 68 tahun, yakni lebih sekali ganda usia. Bahkan, Murdock sudah dua kali bercerai Patricia Booker (1967, selepas 11 tahun berkahwin) dan Anna Murdoch Mann (1999, selepas berkahwin 32 tahun). Tiga tahun selepas bercerai (2013) dengan Endy, Rupert Murdock berkahwin pula dengan Jerry Hall, seorang model dan pelakon (2016).

Hari ini, muncul etos perkahwinan wanita muda, cantik, gebu dan seksi dengan lelaki kaya raya sebagai ‘jalan pintas’ mendapatkan kekayaan, prestij dan kedudukan dalam masyarakat. Bila berlaku penceraian, undang-undang akan menetapkan sejumlah pembahagian aset sehingga menyebabkan lebih separuh kekayaan lelaki kaya terpaksa diberikan kepada bekas isterinya, Sebab itulah penceraian dalam pasangan kaya cukup mendapat liputan media dan sedikit sebanyak mempengaruhi segelintir wanita Islam memburu ‘tokoh perniagaan’, ‘ahli politik’, dan sebagainya kerana percaya bahawa kebahagiaan itu boleh diraih menerusi pemilikan kekayaan atau wang yang banyak.

Hakikatnya lelaki dan perempuan mempunyai ‘cara berfikir  dan penyampaian’ yang sangat berbeza, iaitu yang mempengaruhi kaedah berkomunikasi. Bagaimanapun, menurut pandangan John Gray, jika pasangan saling menyayangi mereka akan saling bertindak dengan kasih sayang, saling menerima dan menghormati perbezaan. Isteri sering bercakap masalah yang dihadapiny, berbeza dengan suami, hanya bercakap bila didesak atau sudah dalam keadaan terdesak. Sebab itu kadangkala isteri tidak tahu bahawa suaminy alami penyakit yang serius dan seboleh-bolehnya cuba disembunyikan. Isteri hanya mengetahui ‘penyakit yang diderita suami’ setelah keadaan menjadi serius, tidak boleh berjalan dan setelah dimasukkan ke hospital.

Kenapa suami menyembunyikan kesakitan itu? Ia sangat mudah ditelusuri sekiranya isteri bersifat ‘menyayangi’ dan bukan daripada kumpulan ‘suka perlekeh’. Ini kerana, seringkali isteri menuduh, ‘sakitnya sikit, manjanya lebih’ kerana kerap berleter, ‘walaupun sakit, tetap kena buat kerja rumah, memasak dan sebagainya.’ Ada cerita menarik berkaitan sikap suami yang ‘sembunyikan kesakitan’ yang dialaminya bertahun-tahun lamanya.

Sebenarnya, suami tersebut cukup tekun bekerja, sehingga kadangkala lewat mengambil makan tengah hari. Kadangkala suami tersebut lebih bersedia berada lebih lama di pejabat, yang sebahagian masa digunakan untuk berehat. Ada ketikanya, cukup dengan berehat di pejabat daripada membuat pemeriksaan doktor, kecuali bila keadaan sudah tidak ‘tahan’ lagi.

Suami tersebut pernah membuat pemeriksaan doktor dan disahkan mengalami simpton ‘darah tinggi’ tetapi kerana itu adalah penyakit lazim, tidak ceritakan kepada isteri. Bila sesekali terasa pening, cukup dengan berehat beberapa minit dan mengambil pil yang berkempen dengan tema “adakah anda mempunyai masa untuk sakit kepala”, suatu slogan kempen yang cukup bahaya.

Akibat percayakan kempen tersebut, maka tidak diteruskan rawatan berkala dan membuat pemeriksaan secara konsisten. Dua tahun kemudian, suaminya diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital dalam keadaan yang cukup kritikal.

Tiga hari kemudian, doktor mengesahkan telah meninggal akibat berlaku pendarahan dalam otak. Dua minggu selepas dikebumikan, saya menerima panggilan daripada isterinya memberitahu kematian suami, yakni salah seorang rakan baik saya.

Saya sebenarnya sudah dua tahun beliau mempunyai tekanan darah yang tidak stabil, bahkan pernah menemaninya membuat pemeriksaan bila suatu hari, sesama kami sama-sama makan tengah hari, saya melihat hidungnya berdarah.

Pada mulanya, beliau hanya berkata itu mungkin ‘panas dalam’ tetapi setelah saya desaknya untuk ke klinik buat pemeriksaan, baharulah disahkan itu adalah petunjung mula diserang darah tinggi walaupun ‘tidak alami gejala pening’.

Saya tidak ceritakan masalah itu kepada isterinya, kerana pada andaian saya,  isterinya sudah tahu. Rupa-rupanya, disembunyikan kerana ‘tidak mahu menyusahkan’. Akhirnya, isterinya benar-benar terasa susah akibat kehilangan ‘ketua keluarga’.

Saya sengaja ambilkan kisah itu kerana sepatutnya tidak ada apa yang patut disembunyikan antara pasangan, termasuk mengenai penyakit. Akibat sikap isteri sering memperlekehkan ‘sakit sikit manja lebih’ itu menjadikan ramai suami lebih gemar mendiamkan diri, kerana merasakan ‘masalah’nya tidak mendapat perhatian.

Ia berbeza dengan sikap lelaki apabila mendapat tahu isteri ‘kesakitan’, akan berusaha memberikan rawatan dan sedia membayar kos perubatan selagi termampu. Ini adalah tanggungjawab yang kadangkala tidak dilihat oleh seorang perempuan, sebagai satu pengorbanan yang cukup besar.

Memang daripada sokongan emosi, lelaki tidak mempunyai kemahiran tersebut kerana sejak kecil lagi diajar agar menyembunyikan ‘masalah’ agar kelihatan lebih ‘kuat’ dan bersemangat kental. Sebab itulah kadangkala seorang wanita tidak merasakan apa yang diluahkan itu ‘cukup membekas’ kerana jika diluahkan berkali-kali pun ia dilihat sebagai ‘mengada-ngada’ dan ‘tidak perlu diendahkan’.

Emosi memang sangat berkait rapat dengan perempuan, sedangkan lelaki lebih banyak dikaitkan dengan berfikir, atau sesuatu yang bersifat rasional dan kesan yang jelas. Kesimpulannya, lelaki perlu memahami ‘bahasa isteri’ manakala isteri perlu memahami ‘bahasa suami’ rumus John Gray, bukan dilandasi oleh ‘bahasa mendesak’ dan memahami ‘kaedah memujuk’.

Sebab itulah sebahagian masalah rumahtangga dapat diselesaikan ketika berdua berbual-bual sebelum tidur bersama. Sama ada perkahwinan itu sudah terlalu lama atau hanya baru beberapa tahun, ‘tidur bersama’ itu sangat kuat kesan kepada perhubungan intim, yang memungkinkan hidup penuh bahagia dan saling melengkapi dalam rumah tangga.

Dan, tentunya kita mungkin teringat paparan bagaimana Jaya Bhaduri dan Amitabh Bachan menterjemahakan  ‘kasih sayang’ dalam filem Kabhie Khushi Kabhie Gham. Walaupun ada yang merngkritiknya sebagai sangat patriarki (menyebelahi lelaki sehingga dianggap dikawal oleh lelaki oleh feminisme), tetapi itulah hakikatnya kerana lelaki sampai bila-bila pun merupakan ketua keluarga, dan seorang perempuan, biar pun berpangkat tinggi, bukan ‘queen control’ dalam rumah tangga. (BERSAMBUNG)

 

MAHANOR SALEHA

Translate »