TARIKH 1 Julai 2021 menunjukkan sudah separuh pertama tahun pertama tahun 2021 berlalu tanpa banyak membantu setiap daripada kita meloloskan diri daripada ‘belenggu COVID-19’. Ertinya juga, sudah setahun setengah aroma dan keterujaan kita kepada Wawasan 2020 sejak tiga dekad lalu sangat jelas cukup mengecewakan, sebahagiannya dikecewakan oleh orang yang merangkanya sebagai cabaran strategik untuk Malaysia berada dalam kelompok negara maju.
Selepas dua belas hari melangkah memasuki ke tahun 2021, sekali lagi kita terpaksa ‘menjeruk rasa’ dan ‘menyimpan rindu’ kepada kawan-kawan, tempat-tempat peranginan, kampong halaman dan juga ‘kunjungan semula’ ke tempat di mana ‘ada nostalgia’ terpaksa ditanguhkan kerana seluruh negara menyambut permulaan darurat kesihatan. Ia menjadi lebih parah lagi apabila ‘total lockdown’ menyusul pada permulaan bulan Jun, dan mulai 3 Julai 2021, 41 mukim di Selangor dan 14 mukim di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ‘berkawat duri’.
Lebih sedih ialah apabila ‘kawat duri’ dipasang di tangga paling bawah PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang dikenakan PKPD. Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan memberi arahan bahawa ‘kawat duri’ yang dipasang di Blok C, PPR Kg Baru Air Panas, Setapak dibuka semalam (2 Julai 2021). Tulis menteri di laman twitternya,: Tidak dibenarkan pasang kawat duri di tangga rumah pangsa kawasan PKPD…Arahan buka serta-merta telah dikeluarkan…harap maklum.” (dipetik dari Sinar Harian, 3 Julai 2021).
Bila ‘total lockdown’ disambung selepas Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa satu diumumkan (15 Jun 2021), ramai rakyat menyuarakan ‘kemarahan’ setelah wang simpanan tidak lagi berbaki, pendapatan tidak ada dan kehidupan tetap berlangsung, bekalan makanan bermasalah, maka individu yang prihatin dan disambut oleh kumpulan-kumpulan berkaitan agar mereka yang terputus bekalan makanan mengibarkan ‘bendera putih’ rasa cukup marah. Mereka marah kerana ‘niat menolong’ itu ditafsirkan sebagai lemahnya ikhtiar dan pemuka agama pula berkomentar, ia menunjukkan sikap tidak mahu berikhtiar, juga satu isyarat lemah ‘iman’.
Bahkan ada juga ‘ugutan’ dari politikus, mereka tidak akan menolong sesiapa yang mengibarkan ‘bendera putih’. Kenapa? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu persepsi mereka, tetapi bagi rakyat, ia adalah petunjuk kegagalan ada dalam diri politikus yang berkuasa itu sendiri. Mereka takut kedudukannya terjejas, ‘bendera putih’ adalah sebahagian daripada sikap tidak prihatinnya terhadap penderitaan rakyat, atau pengundi mereka sendiri. Bendera putih bukanlah ‘bom yang boleh mematikan’.
Dikibarkan sebagai isyarat dan mudah sukarelewan mengesan secara tepat siapakah yang bermasalah. Itu sahaja. Ia bukan bermakna penyerahan seperti askar kalah perang, Memang rakyat sekarang sedang ‘berperang’ tetapi perang kali ini ialah perang dengan ‘kelaparan’ dan ‘kesimpitan hidup’, bukan perang ego pemimpin. Kalaupun nak dikatakan ‘perang melawan ego’, ia hanyalah seumpama ‘ego melawan ego’ hasilnya, nanti ada yang ‘mati kebuluran’ atau mengambil keputusan nekad seperti bunuh diri ataupun mencuri kerana terpaksa. Kecenderungan sebigi tetap ada, bahkan data mutakhir cukup meresahkan. Purata bunuh diri meningkat dalam kesempitan ekoran pandemik. Kesempitan hidup boleh menyebabkan fikiran buntuk dan tercetusnya masalah kesihatan mental.
Sikap dan pendirian itu (persepsi buruk israyat kesempitan dengan mengibarkan bendera putih), mengingatkan kita kepada tiga kenyataan yang cukup ‘ego’ dan ‘sombong’. Kenyataan pertama ialah dari seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Kedah (era Mukhriz Mahathir) ketika Ebiet Liew hadir membantu seorang yang terpaksa tinggal di bangsal daif di kawasan longgokan sampah. Kenyataan kedua ialah dari Timbalan Menteri Besar Kelantan yang cukup ‘hebat bercakap’, juga kerana Ebiet Liew berusaha membantu seseorang di DUN Pancor dengan ungkapan: “Kebaikan yang tidak berakal akan mencetuskan fitnah yang berangkai”.
Beberapa hari lalu, Menteri Besar Kedah yang tamat ‘berperang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang’ (bayaran air yang disedut dari Sungai Muda) membuat kenyataan cukup pedih dan menghina rakyat negeri Kedah sendiri, tidak akan dibantu jika mengibarkan bendera putih akibar terhimpit dengan ‘total lockdown’. Ia menyedihkan kerana Kedah dan Kelantan adalah dua buah negeri yang diterajui oleh PAS, sebuah parti yang cukup mengeluskan perilaku berjiwa Islam. Ia adalah kenyataan ketiga yang cukup kuat kesan boomerang.
Menariknya, kedua-duanya adalah pemimpin PAS, bukan pemimpin daripada parti yang mengamalkan ‘taghut’ atau ‘parti kafir’. Dalam pada itu, permainan politik PAS dalam musim pandemik juga sangat mengecewakan, jauh daripada amalan sunnah dan pendekatan adil untuk membantu rakyat, walhal sering kali kita mendengar ucapan, ceramah dan pandangan yang cukup menarik, bahawa Islam adalah agama yang cukup melimpahkan ‘rahmatal lil alamin’, adil dan sejahtera. Maka, benarlah: Cakap tak serupa bikin. Cakap macam orang zuhud dan cukup istiqomah. Bila berhadapan masalah, mengalami krisis, cakap lebih teruk daripada ‘mulut longkang’. Cukup cekap melabel dan menyanggah atas kesilapan atau tidak caknya kepada rakyat. Dikritik sedikit meloncat setinggi Menara Eifel, pengkritiknya pula digelar ‘bengong’ dan sebagainya.
Dalam kes ini, mengingatkan kita apa yang pernah berlaku di zaman pemerintahan Umar al-Khattab, seorang khalifah yang terkenal adil, mengorbankan kekayaan untuk tujuan dakwah dan melaksanakan tanggungjawab cukup beramanah. Saya tidak pernah membawa riwayar Umar al-Khattab yang mencela ‘orang yang mengkritik’nya dan tidak ketahuan pula Umar mempunyai unta yang cukup mahal semasa menjadi khalifah.
Daripada apa yang saya baca mengenai kisah Umar al-Khattab dalam menegakkan keadilan dan membantu menyegarkan kehidupan rakyat (yang terhimpit kesusahan dan kelaparan), sekurang-kurangnya ada empat naratif besar yang ditanganinya dengan baik, langsung dan penuh rendah diri. Bahkan, semasa menghulurkan pertolongan, orang ditolongnya tidak ketahuan dirinya adalah Amirul Mukminin, tiada ‘kebesaran langsung’ dan memekik tentang keperluan memilik sebuah kenderaan berjenama mahal serta boleh memecut laju.
Cerita pertama ialah nilai kemanusiaan Umar al-Khattab ketika bertemu dengan seorang tua yang meminta sedekah, iaitu seorang Yahudi yang merupakan penduduk Madinah. Bila Umar bertanya: Siapakah engkau wahai orang tua?. Pengemis itu menjawab: Saya hanyalah seorang tua yang meminta jizyah dan nafkah.” Umar menyambung: Kami tidak adil kepadamu, wahai orang tua. Kami ambil jizyah darimu ketika engkau masih muda dan kami sia-siakan engkau ketika sudah tuan.”
Umar kemudian membawa orang tua itu ke rumahnya dan diberikan makanan. Umar turut mengutuskan surat kepada Baitul Mal dengan menulis: Tetapkan untuk orang ini dan orang-orang lain seperti dia barangan (bekalan makanan) secukupnya, dan untuk keluarganya’.
Cerita kedua, ketika Umar berjalan-jalan di dalam kota Madinah, dilihatnya seorang kanak-kanak yang berjalan terhuyung-hayang dan sudah beberapa kali jatuh. Melihat keadaan itu, Umar bekata: Betapa sengsaranya anak kecil itu? Siapakah yang mengenalinya?” Abdullah, salah seorang anak lelaki Umar berkata:” Tidakkah engkau mengenalinya, wahai amirul mukminin?”. Jawab Umar: “Tidak”. Terang Abdullah:”Dia adalah putrimu”. Dengan situasi hairan, Umar bertanya: “Putriku yang mana satu?”
Abdullah menjelaskan: “ Dia adalah si fulan, putri Abdullah, putra Umar”. Umar berkata lagi: Kesian engkau…apa yang menyebabkan ia berlaku?. Jawab Abdullah: Engkau tidak memberikan apa yang engkau miliki. Tambah Umar: “Demi Allah, aku tidak mempunyai apa-apa untuknya, kecuali sahammu terhadap kaum muslim, baik melapangkanmu atau menyempitkanmu. Ini keputusan Allah, antara aku dan kamu semua.”
Cerita ketiga, berdasarkan cerita Aslam, pembantu Umar al-Khattab. Ia berlaku pada suatu malam Umar dan Aslam keluar berjalan-jalan di pinggir kota Madinah untuk meninjau dan mengetahui kehidupan rakyat di kawasan yang agak terpencil. Semasa membuat tinjauan itu, Umar melihat unggun api dan segera mendekatinya. Dalam fikirannya, bila ada unggun api bermakna penunggang-penunggang kuda berada di sekelilingnya untuk menghindari suasana sejuk.
Setelah mendekati unggun api itu, Umar terkejut melihat apa yang sedang berlaku. Seorang wanita bersama anak-anaknya dan sebuah periuk berada di atas nyalaan api. Anak-anak kecil sedang menangis kelaparan, sedang di dalam periuk itu hanya ada air. Wanita berkenaan menjerang periuk tersebut sekadar untuk ‘mententeramkan’ anak-anaknya yang kelaparan, kerana apabila melihat periuk berada dijerang, anak-anaknya akan tertidur.
Selepas mengucap salam, Umar bertanya: “apa yang terjadi’?. Wanita itu menjawab: “Semalaman kami kedinginan”. Tanya Umar lagi: “Kenapa anak-anakmu menangis?”. Jawab wanita berkenaan: “Anak-anak saya lapar” dan periuk itu sengaja dijerang “untuk mendiamkan mereka sehingga tertidur.”
Cerita Aslam lagi: “Hanya Allah yang mengetahui antara kami dan Umar al-Khattab, amirul mukminin.” Wanita itu turut menyumpah Umar al-Khattab tetapi disambut dengan berkata: Duhai, semoga Allah merahmatimu. Bagaimana Umar boleh mengetahui keadaan seperti ini? “
Jawab wanita tersebut: Ia memimpin kami, kemudian melalaikan kami.” Setelah bercakap dan berbincang, kata Aslam: “Umar mengajak pergi”. Maksudnya, bergegas ke Baitul Mal di mana salah satu gudang menyimpan bekalan gandum dan makanan. Umar kemudian meletakkan gandum di atas bahunya dan terus berjalan menuju ke tempat di mana wanita dan anak-anak itu ditemui.
Umar menurunkan barangan yang dipikulnya dan meletakkan di sisi wanita tersebut. Dikeluarkan sedikit tepung gandum dan berkata kepada wanita itu: Biar aku memasaknya untukmu, dan anak-anakmu.” Setelah semuanya selesai, Umar berkata: “Berilah mereka (anak-anak itu) makan, aku akan menyejukkan masakan itu untuk mereka.” Umar memerhatikan sepenuh tumpuan, dan sangat mengharapkan wanita serta anak-anaknya benar-benar kenyang sebelum mengambil keputusan untuk beredar.
Sebelum berangkat, Umar berpesan: Berkatalah yang baik. Apabila engkau datang kepada amirul mukminin, engkau akan mendapatiku di sana. Insya Allah.”.
Cerita keempat, pada suatu malam Umar al-Khatab pergi ke sebuah kampong di luar kota Madinah. Semasa tiba di kampong berkenaan, Umar ternampak sebuah khemah dan mendengar suara wanita dalam kesakitan. Setelah mendekati khemah tersebut, Umar mendapati ada seorang lelaki sedang duduk di pintu khemah, lalu diucapkan salam. Bila ditanya, lelaki itu menjawab, mereka berasal dari satu kawasan dusun dan datang ke situ semata-mata untuk bertemu Amirul Mukminin.
Umar bertanya: “Suara siapakah kedengaran dari dalam khemah?. Lelaki yang tidak mengenali Amirul Mukminin itupun menjawab: Isteriku yang sedang sakit untuk melahirkan dan tidak ada seorang pun yang membantu.” Sebaik sahaja mendengar jawapan itu, Umar segera pulang ke rumah dan bertanyakan kepada isterinya: Apakah engkau menginginkan pahala yang diberikan Allah kepadamu?.
Isteri Umar hairan, lantas bertanya: Apa maksudmu ya amirul mukminin?” Umar menceritakan apa yang dialaminya dan meminta agar isterinya bersiap sedia untuk pergi bersama bagi menolong wanita yang sedang mengerang kesakitan itu. Umar membawa periuk berisi gandum dan makanan, manakala isterinya membawa barangan keperluan bayi, iaitu baju dan lain-lain.
Sesampainya di situ, Umar meminta isterinya terus masuk ke khemah manakala Amirul Mukminin menyalakan api untuk memasak. Lelaki itu terus berteleku, masih belum tahu siapakah gerangan lelaki yang berada di depannya. Selepas beberapa lama, wanita itu selamat melahirkan seorang bayi dan dari dalam khemah, isteri Umar berkata: Wahai Amirul Mukminin, sampaikan berita gembira itu kepada temanmu, anaknya seorang laki-laki.”
Bila lelaki dusun itu mengetahui bahawa lelaki yang ada di hadapannya adalah Amirul Mukminin yang sangat ingin ditemuinya, dia terasa malu dan cuba berengsot berjarak. Umar membawa periuk yang sudah ada makanan siap dimasak kepada isterinya, dan meminta agar diberikan kepada ibu yang baharu sahaja selamat bersalin. Selepas itu, periuk berisi makanan itu ditolak ke arah lelaki dusun sambil Umar berkata: Makanlah! Kesian engkau, semalam suntuk tidak tidur.”
Sebaik sahaja selesai, isteri Umar keluar dari dalam khemah dan Umar berkata: Besok pagi datanglah kepada kami, akan kami suruh orang menyediakan segala keperluan yang layak kepadamu.”
Empat cerita tersebut mempunyai pelbagai pendidikan karakter yang seharusnya menjadi panduan dan amalan seseorang pemimpin, terutama dalam kalangan yang mendakwa dirinya adalah seorang pemimpin beragama Islam, juga daripada parti yang berjiwa Islam dan menetapkan Islam sebagai perjuangan atau asas ideologi politik.
Pengajaran pertama, sebagai seorang pemimpin sentiasa mengegakkan keadilan dan membantu rakyat yang dalam kesusahan atau kesempitan hidup.
Pengajaran kedua, sebagai seorang pemimpin tanggungjawab yang wajib dilaksanakan ialah turun ke bawah untuk melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat, terutama ketika dilanda musibah tanpa perlu ‘diketuk baharu terngadah’.
Pengajaran ketiga, setiap penderitaan, kesulitan dan kesusahan rakyat ditangani sendiri secara langsung dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain atau pembantu. Jika ia membabitkan lebih ramai, setiap pembantu itu hendaklah dipantau dan dipertanggungjawab untuk membantu secara saksama, agar tidak berlaku ketirisan, salah laku dan sebagainya.
Pengajaran keempat, bukan hanya pemimpin itu yang wajib menunjukkan teladan terbaik, bahkan wajib disokong oleh ahli keluarga terdekatnya, terutama isteri pemimpin. Kedua-dua mereka wajib membantu secara langsung, turun ke bawah dan bukannya secara ‘remote control’ atau ‘penswastaan’, yakni mengarah atau membayar khidmat layanan itu kepada pihak lain.
Pengajaran kelima, walaupun ianya seorang pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan atau agensi, pertolongan atau bantuan yang dihulurkan itu hendaklah dengan cara yang cukup ikhlas, tidak perlukan publisiti dan disebarkan secara besar-besaran, kerana ia akan melahirkan rasa ujub dan sombong.
Pengajaran keenam, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan mendakwa melaksanakan amanah, wajib berkorban masa, tenaga, wang dan keringat bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan tanpa dihalang oleh hubungan kekeluargaan (keturunan), bangsa dan agama.
Pengajaran ketujuh, sebagai seorang pemimpin tidak layak menggunakan kuasa hanya untuk memenuhi tuntutan ‘kesenangan sendiri dan keluarga’, dan setiap rakyat yang menghadapi kesukaran hidup dilayan secara saksama dan adil.
Contohnya, Umar tidak menggunakan kedudukannya untuk mengutamakan cucunya sendiri yang berhadapan dengan kekurangan makanan bahkan berkata: Demi Allah, aku tidak mempunyai apa-apa untuknya, kecuali sahammu terhadap kaum muslim, baik melapangkanmu atau menyempitkanmu. Ini keputusan Allah, antara aku dan kamu semua” walaupun yang kanak-kanak perempuan yang dilihat di hadapan mata itu adalah cucunya, yakni putri kepada Abdullah yang ada bersamanya.
Pengajaran kelapan, Umar tidak menyergah atau menghina lelaki dusun mahupun lelaki keturunan Yahudi yang tidak mengenalinya sebagai Amirul Mukminin. Sebaliknya, Umar merendah diri membantu, seperti memikul sendiri ‘bakul makanan’ dan memasak untuk diberi makan kepada yang memerlukan.
Pengajaran kesembilan, Umar merasa kesal kerana kutipan cukai yang diambil semasa seseorang itu sihat (muda dan mampu bekerja) tidak dapat dikembalikan dalam bentuk bantuan semasa seseorang itu susah. Ini berbeza dengan sorong tarik pemimpin ketika rakyat tertekan oleh pandemik COVID-19, tidak sanggup mengarahkan bank-bank agar tidak dikenakan apa-apa syarat untuk moratorium kali kedua, termasuk membuat permohonan. Seharusnya, dalam keadaan susah dan sukar itu, seorang pemimpin yang berkuasa boleh menggunakan kuasa ‘budi bicara’ dan melenturkan peraturan bagi membantu, bukannya ‘meluku’ (istilah orang utara) atau seperti ‘membuli’.
Pengajaran kesepuluh, antara pemimpin dan rakyat tidak ada jarak yang memisahkan. Tanpa sokongan rakyat, pemimpin tidak apa-apa kelebihan dan nilainya. Atas sifat itu, seseorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat janganlah membentuk budaya kesehariannya seumpama ‘kluster kayangan’ tidak boleh ditegur dan dinasihati.
Terimalah setiap petunjuk sebagai makna yang perlu diberikan perhatian, bukan melihat kehadiran orang lain membantu sebagai satu ‘tamparan’ atau ‘masalah’; juga bukan ‘kebaikan yang tidak berakal’ dan ‘akan mencetuskan fitnah berangkai’. Ia adalah petunjuk masyarakat sivil: berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Sama ada mereka ikhlas atau tidak, serahkanlah kepada Allah SWT untuk menilainya, kerana sebagai manusia tidak siapa pun dapat memahami secara tepat niat mereka yang menunjukkan ‘prihatin untuk membantu’.
Kibaran ‘bendera putih’ hanyalah petunjuk di atas kesukaran yang dihadapi, bukan bermakna ‘malas berikhtiar’ dan ‘kesengajaan yang berdosa’.
Kamarun KH
Recent Comments