DALAM al-Qur’an digambarkan bahawa sebarang krisis yang berlaku dalam sesebuah negara mempunyai kaitan rapat dengan yang telah dan sedang berlaku di dalam sesebuah masyarakat atau negara. Ini kerana ada pertalian yang cukup kuat antara pemimpin dan orang yang dipimpin. Dalam konteks bernegara, rakyat akan merusuh atau bangun memberontak sekiranya pemimpin tidak mempedulikan nasib mereka bila berlaku sesuatu musibah atau konflik.
Dalam perspektif teologi Islam, perkara ini disebut sebagai sunnatullah iaitu ketentuan Allah yang berkait rapat dengan hukum sebab dan akibat (cause and effect ). Manusia melakukan perkara negatif, maka manusia juga yang akan menerima padah atau kesannya. Ini kerana sesuatu hukum itu dilaksanakan kepada semua manusia tanpa terkecuali pemimpin yang masih atau sudah melepaskan kuasa.
Hari ini kita berhadapan dengan beberapa siri peristiwa yang cukup merimaskan seperti kelembapan ekonomi, kesempitan hidup dan pertelingkahan politik. Rentetan peristiwa itu, jika tidak diurus dengan berkesan dan ditangani dengan bijaksana akan membawa implikasi yang buruk kepada negara, dan pada akhirnya rakyat yang terbeban.
Apa yang berlaku pada hari ini, pada hakikatnya adalah pilihan manusia sendiri dalam menentukan perjalanan kehidupan mereka. Ia adalah risiko daripada apa yang kita kerjakan pada masa lalu. Ini bermakna, situasi krisis – jika benar ia adalah krisis – terjadi adalah proses panjang yang ada hubungannya dengan perlakuan pemimpin dan rakyat beberapa ketika sebelumnya.
Krisis yang berlaku ini digambarkan oleh al-Qur’an sebagai turunnya azab kepada manusia yang kufur terhadap nikmat Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apabila kamu bersyukur nescaya akan Aku tambah nikmat yang telah Aku berikan kepadamu, namun apabila kamu kufur, nikmat itu akan berubah menjadi azab yang amat pedih” (Surah Ibrahim ayat 7).
Bersyukur bermakna memanfaatkan segala pemberian Allah SWT atas kapasiti sebagai khalifah Allah di bumi dan menjayakan misi secara beramanah dan bertanggungjawab.
Sebagai khalifah, manusia memikul amanah mengurus bumi dan segala isinya dengan sebaik-baiknya sehingga dapat mendatangkan rahmat kepada seluruh kehidupan di jagatraya ini. Disebabkan matlamatnya adalah memperoleh kerahmatan, maka bersyukur bererti menggunakan setiap anugerah Allah SWT bagi mewujudkan sausana baik, aman dan sejahtera kepada semua kehidupan yang ada .
Menurut kosa kata bahasa Arab, orang yang bersyukur disebut sebagai syakir. Lawannya adalah kufur, yang bermakna tidak menerima atau menentang. Secara umum istilah kufur diertikan sebagai lawan perkataan iman. Bersyukur juga bermakna menjaga dan mengawal diri daripada sikap dan perilaku jahat atau negatif. Apabila ada manusia yang berbuat jahat dan melanggar perintah agama ia dikira kufur. Begitu juga apabila ada pemimpin yang tidak amanah, integritinya musnah, melakukan rasuah dan tidak berbuat kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat, maka ia adalah pemimpin yang kufur.
Nikmat yang Allah SWT berikan digunakan bukan untuk menjalankan fungsinya sebagai khalifah Allah, sebaliknya digunakan untuk memenuhi hawa nafsu serakah. Amanah yang dipikul sepatutnya diterjemah kepada perilaku untuk mewujudkan rahmatan lil alamin, tetapi, oleh kerana pemimpin itu kufur, apa yang dilaksanakan adalah mengaut kepentingan peribadi dan kelompoknya.
Perkara ini disentuh oleh Imam al-Ghazali dengan menyatakan bahawa apabila pemimpin diberikan kenikmatan (memimpin sesebuah negara), realitinya ia mempraktikkan kezaliman akibat tunduk kepada hawa nafsu, maka pemimpin itu dianggap bermusuh dengan Allah SWT.
Al-Ghazali memberi amaran bahawa kepimpinan atau pemimpin yang mengawal atau menguasai sesuatu kawasan (al-wilayah) akan menuai bahaya apabila tidak amanah dan tidak berupaya membina ruang positif (kemaslahatan) kepada orang ramai.
Bila seseorang pemimpin sudah menjadi musuh Allah SWT, ia akan mencetuskan bahaya yang sangat besar kepada rakyat dan negara, sebagaimana diingatkan oleh Rasulullah SAW. Seseorang pemimpin wajib memberikan perhatian kepada tiga perkara: Apabila rakyat memerlukan belas kasihan, maka para pemimpin wajib memberikan perhatian yang sewajarnya; apabila menjatuhkan sesuatu hukuman, hukumlah mereka secara adil dan saksama; dan, apabila berjaji laksanakanlah apa yang telah dijanjikan itu (tidak mungkir janji) dengan sempurna.
Hakikatnya, perlu disedari bahawa pemimpin itu adalah cermin masyarakat yang menghasilkan pertumbuhan tamadun sesebuah komuniti, masyarakat atau negara. Dari sifat masyarakat yang bertamadun, berbudi bahasa dan demokratik itulah akan muncul seorang pemimpin yang baik dan demokratik. Sebaliknya, apabila sesebuah masyarakat itu ‘sakit’ atau mundur, maka akan muncul pemimpin yang autokratik dan zalim.
Di sisi lain, patut diakui bahawa pemimpin adalah pencetus dan pembentuk corak budaya masyarakat yang dipimpinnya. Apabila pemimpinnya adil, amanah, berintegriti dan bijaksana maka rakyat akan menjadi masyarakat yang adil, patuh kepada undang-undang dan tata susila.
Pemimpin adalah teladan dan contoh bagi rakyatnya. Apabila seseorang pemimpin itu bersikap munafik, tidak jujur, berbohong dan korup, maka rakyat akan meniru perilaku yang sama. Jadi antara pemimpin dan rakyat adalah dua entiti yang saling mempengaruhi. Pemimpin yang kufur dan tidak amanah akan menghasilkan rakyat yang kasar, barbarian dan berperilaku brutal.
Kejujuran menjadi teras penting peribadi seorang pemimpin. Tanpa kejujuran, kepimpinan ibarat bangunan tanpa dasar (tapak). Dilihat dari luar, ia nampak megah dan kukuh, namun ia amat rapuh dan tidak boleh bertahan lama. Pemimpin yang tidak jujur dan membohongi rakyat, Allah SWT haramkannya menjejakkan kaki di syurga. Amaran ini dirakamkan dalam hadis Nabi yang bermaksud:
Abu Ja’la (Ma’qil) bin Jasar r.a berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: tiada seorang yang diamanahkan oleh Allah memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Namun demikian, patut dinyatakan bahawa kejujuran itu harus dimiliki oleh semua manusia, bukan hanya oleh pemimpin bahkan juga rakyat. Dalam sesebuah negara atau organisasi, semua komponen perlu dibingkaikan oleh budaya jujur dan ikhlas, dari kakitangan atasan hinggalah kepada kakitangan paling bawahan. Misalnya, kakitangan yang paling bawah ialah tukang sapu yang ditugas membersihkan tandas, kerani, pegawai kanan sehingga peringkat yang paling tinggi mestilah mempunyai nilai-nilai kejujuran.
Tidak sedikit, dalam sebuah organisasi ada pihak yang jujur, namun ada juga pihak yang tidak jujur. Apabila pemimpin yang tertinggi jujur namun pegawai bawahannya tidak jujur, maka organisasi itu akan menjadi rapuh. Begitu juga di sebaliknya. Organisasi atau negara yang dipimpinnya akan terdedah kepada kemusnahan.
Hadis di atas turut memberi penekanan kepada pentingnya seseorang pemimpin menjadi contoh teladan (role model) yang baik kepada orang-orang yang dipimpinnya. Teladan dan contoh yang baik itu perlu diterjemahkan dalam keputusan dasar dan juga aktiviti yang pada prinsipnya tidak melukai atau menipu rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu dan melukai hati rakyat, Allah SWT pasti mengharamkannya syurga sebagai balasan.
Meskipun hukuman ini nampak ‘kurang kejam’, kerana hanya berlaku di akhirat dan ‘tidak di dunia’, namun ungkapan ‘haram masuk syurga’ mencerminkan betapa murkanya Allah SWT kepada pemimpin yang tidak jujur dan suka menipu rakyat. Nauzubillahi min dzalik.
Memperhatikan suasana politik negara yang semakin tidak menentu ketika ini, di mana perasaan ego dan prestij mengatasi segala-galanya, ada baiknya kita mengambil ikhtibar yang dicontohkan Sayyidina Ali RA semasa masih berjawatan khalifah. Suatu hari, Ali kehilangan baju perangnya dan setelah puas mencari ke merata tempat, baju itu dijumpai sedang dipakai oleh seorang penduduk yang beragama Nasrani.
Ali segera memfailkan kes ini ke muka pengadilan dan menuntut orang Nasrani itu dihukum atas kesalahan mencuri baju. Dalam perbicaraan kes, Ali di hadapan hakim mengatakan: “baju itu tidak pernah aku jual atau beri kepada sesiapa”. Hakim kemudian bertanya kepada orang Nasrani: “ Khalifah mendakwamu telah mencuri baju perang itu.” Orang Nasrani itu menjawab: “baju ini kepunyaanku. Ini tidak bermakna aku mengingkari kekhalifahannya, tetapi tidak mustahil ia (Ali) melakukan kesalahan”.
Hakim berkata kepada Ali: “ orang yang anda tuduh membantah dakwaan anda. Sesuai dengan ketentuan hukum, anda perlu mendatangkan saksi bagi membuktikan dakwaan anda”. Ali dengan tenang berkata: “malangnya, saya tidak mempunyai saksi”. Atas pengakuan jujur Ali itu, Hakim menolak dakwaan Ali dan memutuskan orang Nasrani itu dibebaskan. Baju perang itupun dinyatakan milik orang Nasrani berkenaan.
Dalam perjalanan balik selepas perbicaraan, orang Nasrani itu termenung dan nuraninya berbisik: baju perang itu bukan milikku. Fitrah kemanusiaannya terusik sehingga dia memutuskan untuk menemui semula hakim dan mengakui bahawa baju perang itu bukan miliknya. Di hadapan hakim ia berkata: “sikap khalifah Ali dalam menghadapi sesi perbicaraan dan cara hakim mengendalikan kes mahkamah ini bukanlah cara pemerintahan manusia biasa. Ini pasti cara pemerintahan yang mendapat bimbingan Allah dan Nabi”.
Tidak lama kemudian, tersebar berita orang Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadat dengan keyakinan penuh setelah sangat terkesan kejujuran dan ketaatan Ali kepada undang-undang. Meskipun Ali merupakan seorang ketua negara, beliau tidak menyalahgunakan kuasa yang ada di dalam genggamannya. Sebaliknya, tunduk dan patuh kepada kedaulatan undang-undang sehingga hati dan nurani orang Nasrani itu mengakui kebenaran ajaran Islam yang dianuti oleh Saiyidina Ali RA. Setelah memeluk Islam, Nasrani itu menjadi seorang rakyat yang taat bukan kerana takutkan kuasa seorang khalifah, tetapi disebabkan kebenaran yang dibawa oleh Saiyidina Ali RA.
Ikhtibar dari peristiwa itu yang dapat kita ambil ialah kejujuran dan integriti seseorang pemimpin yang dicontohkan Ali amat menentukan sikap dan pandangan masyarakat terhadap kewibawaan seseorang pemimpin kerajaan. Kesediaan pemimpin untuk mengakui kelemahan diri sendiri bermakna ia adalah satu tindakan yang sangat jujur (tidak ego). Kejujuran dan mengakui kelemahan oleh seorang pemimpin dalam konteks ini akan memberi tindak balas yang positif daripada rakyat. Nurani rakyat akan mengatakan ciri-ciri pemimpin seperti inilah yang sepatutnya disokong, bukan seorang pemimpin yang berbohong kerana takut kehilangan pengaruh atau sokongan.
Marilah kita bersikap jujur kepada diri sendiri dan bertanya kembali masihkah kita sanggup mengurus negara ini dengan cara yang baik?. Kalau memang sudah lemah marilah kita akuinya dan bersatu mengatasinya tanpa harus menuding jari. Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara kejujuran, kerana di situlah bermulanya kebaikan.
Dalam hal ini, hujjatul Islam Imam al-Ghazali menegaskan bahawa kekuasaan dan kekuatan yang ada dalam diri seseorang pemimpin mestilah berteraskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seorang pemimpin mestilah mengetepikan kepentingan peribadi atau keluarganya, dan mendahulukan keperluan rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu rakyatnya demi kuasa atau jawatan, maka sesungguhnya ia mempertaruhkan institusi negara sehingga boleh menuju kepada kemusnahan dan kerosakan yang mungkin terjadi.
Al Ghazali memberi amaran tersebut dengan mengakui bahawa kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan kerosakan pemimpinnya. Sehebat dan semaju manapun sesebuah negara, bila dipimpin oleh seorang individu yang rosak akhlaknya, maka negara itu akan berakhir dengan kerosakan dan kehancuran. Begitu juga dengan rakyatnya, meskipun mempunyai kepakaran dan kecemerlangan prestasi, akan mengalami kerosakan jiwa jika dipimpin oleh seorang penguasa yang buruk akhlaknya. Punca pemimpin yang rosak ialah kerana dikuasai oleh duniawi (harta, kedudukan dan wang), yang menutupkan mata hatinya sehingga tidak mampu melayan dan mendekati rakyat kecil.
Sesuatu dikatakam mewah bila ia menampilkan kesan kemegahan dan kemahalan. Ia juga dikatakan mewah bila hanya orang-orang tertentu sahaja yang mampu memilikinya kerana harganya. Ramai manusia yang sukakan kemewahan, namun ramai juga yang tahu kemewahan boleh membawa kehancuran kepada diri sendiri.
Dalam sejarah peradaban dunia, apabila para pemimpin sesuatu bangsa diliputi kemewahan hidup, maka tunggulah saat kebinasaannya. Dalam surah Al-Takatsur Allah SWT mengingatkan bahawa orang yang terjerumus kepada kebiasaan (bermewah-mewahan) menjadi lupa diri sampai akhirnya mereka benar-benar menemukan kehancuran yang fatal.
Salah satu faktor utama mengenai kejatuhan kuasa atau tamadun dunia ialah disebabkan perebutan atau tamakkan harta (wang). Ibnu Khaldun, bapa sosiologi dan sejarahwan tersohor berpendapat, kekuasaan sangat rapat dengan godaan, kemegahan, harta dan wanita. Makin tinggi pencapaian atau posisi seseorang, baik sebagai pemimpin di sektor pemerintahan mahupun pemimpin masyarakat, semakin bertambah godaannya. Justeru, sejarah banyak merakamkan jatuh bangun pelbagai bangsa seiring dengan kemampuan dan ketidakmampuan pemimpin dalam menghadapi godaan kuasa.
Perkara ini turut disentuh oleh pakar sejarah Islam terkemuka, Dr Raghib al-Sirjani dalam karyanya, Qishatu al-Andalus min al Fath ila al Suquth (Bangkit dan Runtuhnya Andalusia), iaitu keruntuhan tamadun Andalusia disebabkan pemimpinya disilau oleh harta. Mereka tenggelam dalam kemewahan, tunduk kepada kehendak nafsu duniawi dan bergelumang dengan maksiat. Akhirnya, mereka (pemimpin) leka dan lupa kepada tanggungjawab atau amanah, meninggalkan ruh jihad fi sabilillah , ruh yang telah membangunkan kekuatan jiwa dan nurani pasukan tentera Islam ketika menakluki Andalusia.
Hakikatnya, menurut Dr Raghib kemenangan pasukan muslim menubuhkan tamadun Islam di bumi Eropah selama emat ratus tahun itu bukan terletak kepada kekuatan ketenteraan semata-mata (jumlah tentera dan hebatnya senjata), tetapi kemenangan itu dibangun atas prinsip takwa. Jika kaum muslim, khususnya para penguasa berani melanggar perintah agama, menjauhi daripada Tuhannya dan meninggalkan manhaj Rasulullah SAW, maka mereka akan ditimpa kebinasaan, kehinaan dan duka nestapa.
Apa yang diluahkan oleh Ibnu Khaldun ternyata berlaku dalam masyarakat hari ini. Ibnu Khaldun menyarankan penguasa atau pemimpin agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Beliau juga pernah dilantik menduduki posisi elit pemerintahan, memerhatikan fenomena ini berlaku sejak zaman-zaman sebelumnya, iaitu kekuasaan secara automatik cenderung mudah digoda.
Menurut Ibn Khaldun ada tiga jenis godaan; pertama, kekuasaan itu secara langsung boleh menimbulkan godaan kemegahan diri apabila sering disanjung dan dipuji. Ia sesuatu yang sukar untuk ditinggalkan. Justeru pemimpin seperti ini sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kuasa yang dimilikinya.
Kedua, godaan yang berkaitan dengan harta dan wang. Jika seseorang itu memiliki kuasa, harta dan wang itu bagaikan datang ke rumahnya secara benar atau tidak benar. Soal agama bukan lagi menjadi sandaran, sebaliknya harta dan wang itu digunakan untuk mempertahankan kuasa .
Ketiga, kekuasaan itu menggoda seseorang pemimpin dalam bentuk lain. Wanita turut serta menggoda dalam rangka kekuasaan itu sama ada disediakan oleh orang lain atau dicari sendiri. Namun ada sahaja wanita yang turut serta melakukan godaan sama ada secara sedar atau tidak, pandai pula mencari peluang dan ruang.
Ramai juga pemimpin jatuh angkara pembodek yang mempunyai hubungan dengan penguasa tanpa sekatan dan kawalan. Para pembodek ini, tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap keselamatan negara, memberi masukan dan makllmat yang salah (gula-gula) kepada pemimpin. Malangnya, ramai pemimpin menerima segala maklumat yang diberikan oleh pembodek tanpa dilakukan proses pengesahan dan kaji selidik terlebih dahulu, sehingga dasar dan keputusan yang dibuat ikut silap dan bermasalah (jauh daripada kebenaran atau realiti).
Imam al-Ghazali menegaskan, kekuasaan dan kekuataan yang ada dalam diri seseorang pemimpin mestilah berteraskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Seseorang pemimpin mestilah menumpukan seluruh kemampuannya untuk menguruskan kepentingan rakyat. Apabila seseorang pemimpin sanggup menipu rakyat demi kuasa atau jawatan yang digenggamnya atau melonjaklah usaha untuk menjatuhkan orang lain, dia sebenarnya berusaha meletakkan institusi negara di ambang kemusnahan dan kerosakan. Itulah sebabnya Al-Ghazali memberikan amaran, kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan rosaknya pemimpin.
Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments