Rahman Shaari, seorang penulis esei dan penyair pernah menyifatkan Anwar Ibrahim seumpama Sisyphus, kerana  yang hampir berada di puncak jatuh tergolek ke bawah, tertindih oleh batu besar yang dogoleknya pada tahun 1998, juga kisah Anwar  gagal pada 16 September 2008. ((Rahman Shaari, Tingkah Politik, Shah Alam: Buku Prima, 2009).

Sepuluh tahun kemudian, Anwar kembali untuk ‘mendaki ke puncak bukit’ dengan  sedikit dorongan (kerusi pembangkang 81 dan satu lagi dimiliki oleh Bebas, Ibrahim Ali). Sayangnya, bukan mudah untuk mendapatkan cukup nombor kerana 31 wakil rakyat BN tidak bersedia beralih ke kem Anwar.  Dikatakan sekumpulan besarnya berada di Taiwan, menyertai Lawatan Sambil Belajar. Tien Chua dan Saifudin Nasution Ismail diarahkan untuk ‘memburu’, akhirnya pulang dengan hampa.

Memang benar, Anwar gagal (1997), hanya ada selangkah sahaja lagi. Jika beliau bersabar, mungkin ada peluang menggantikan Dr Mahathir.  Ia kemudiannya mengheret Anwar untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahamid Badawi, tetapi Anwar silap membaca gerak-geri politik.  Akhirnya beliau terpaksa menerima hakikat, hanya boleh angkat sumpah sebagai perdana menteri dihadapan potret Yang di Pertuan Agong, dan layak untuk mengangkat sumpah di Istana Negara.

PRK Permatang Pauh, Anwar sangat terpukul oleh dakwaan Saiful Bakhari Azlan, yang kemudiannya membuat perakuan dengan bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi membaiki imej dan mengawal kerosakan, Anwar mengarahkan laporan pemeriksaan secara umum diterjemah dan diedarkan dengan meluas di samping membawa pembantu imam yang menyaksikan sumpah laknat tersebut. Beberapa pandangan para ulama antarabangsa turut disebarkan, yang sebahagiannya disyaki sengat dibuat dengan mengambil pandangan secara umum, bukan ditujukan khusus mengenai dakwaan yang dikaitkan itu. Ia juga mengulangi kaedah lama, kaedah ketika Anwar berhadapan dengan tuduhan Liwat 1.

Bakhari Azlan dan untuk menepisnya,  Anwar dan konco-konconya menjaja surat laporan pemeriksaan umum yang dibuat oleh seorang doktor di Pusat Perubatan PUSRAWI, dengan satu tafsiran bahawa ‘tiasa tusukan’ berlaku. Ayat yang lain tidak diterjemahkan, yakni itu adalah pemeriksaan umum, dan wajar dilakukan pemeriksaan lengkap di hospital kerajaan.

Anwar turut menghadirkan pembantu imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Roslan Porangi di beberapa tempat untuk menjelaskan kisah pengangkatan sumpah itu. Akhirnya, terdedah bahawa tindakan tersebut adalah  ‘keterpaksaan’ akan mendapat aib yang besar jika kalah di tangan salah seorang bekas penyokongnya, Arif Shah Omar Shah, adik kepada Tan Sri Amin Shah Omar Shah, yang memiliki sebuah syarikat ‘capital ventures’ dan berjaya membeli  Penang Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. (PSC) atas arahan Anwar Ibrahim menerusi Business Focus Sdn. Bhd (BFSB). BFSB adalah syarikat milik  Tan Sri Amin Shah Omar Shah, yang kemudiannya diberikan kontrak membina PSCI di Northam Road, Pulau Pinang.

BFSB diisytiharkan gagal membayar pembelian tersebut dan proses undang-undang terhadapnya dimulakan antara tahun 1997-1998 dan Anwar sekali lagi memberikan ‘arahan lisan’ agar diberikan peluang membayar secara berperingkat-peringkat. Akhirnya, antara 2003-2004 tindakan undang-undang dihadapkan ke atas BFSB, dan PDC berjaya mengutip RM 20 juta daripada penjualan PSC dan baki RM 9 tidak dapat dikutip. Tan Sri Amin diisytiharkan muflis, tetapi masih berstatus jutawan.

Kerusi itu dikosongkan oleh Dr Wan Azizah bagi membolehkan Anwar kembali  ke Parlimen dan meneruskan hasrat   ‘menukarkan kerajaan’.  PRK Permatang Pauh dikategorikan sebagai pilihan raya kecil yang termahal     (‘penajaan’) dengan kempen yang cukup meriah dan dibanjiri oleh pelbagai  billboard yang sentiasa bertukar,dan berbeza mesej (ikut selera sasaran pengundi) di samping penerbitan akhbar segera dan bahan kempen yang cukup bersepah. Jentera kempennya cukup hebat dan cekap menangkis serta mencipta isu.

Sebelumnya, pada bulan April ada perhimpunan sempena ‘edah larangan berpolitik’ berakhir, maka beritahu Anwar, kerajaan akan berubah dalam masa terdekat dan ‘kita sudah ada calon’: Jika saya tidak layak, kita ada calon sementara sehinggalah saya dibenarkan untuk mengambil alih atau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Itu cerita di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada malam 15 April 2008. Ia digambarkan sebagai perhimpunan raksasa dan Johan Saravamuthu Abdullah, bekas pensyarah sains politik USM yang bermastautin di Singapura menulis dengan cukup yakin kebangkitan rakyat pada malam itu mampu menggelorakan ‘ombak politik Malaysia’, tetapi tidak berani meramalkan Anwar benar-benar boleh berjaya ‘menukarkan kerajaan’. (Ooi Kee Beng, Johan Saravamutu dan Lee Hock Guan, Mac 8: Eclipsing May 13, Singapore: ISEAS,  2008)

Bermula dari Permatang Pauh, maka terciptalah slogan Road to Putraya, dan selepasnya beberapa PRK yang disengajakan untuk menimbulkan suasana politik tidak stabil. Sebelumnya ada beberapa gerakan senyap-senyap untuk ‘membeli wakil rakyat BN’ kerana Anwar memerlukan sokongan tambahan sekurang-kurangnya 31 untuk mendapat majoriti mudah.

Selangor menjadi medan yang cukup sibuk dalam melancarkan kempen tersebut, dan akhirnya pada 16 September 2008, Anwar dikatakan mengangkat sumpah di hadapan potret Yang di Pertuan Agong. Tidak ada wakil rakyat BN yang menyeberang, walaupun Saifudin Nasution Ismail dan Tony Pua dihantar ke Taiwan ‘memburu’ calon-calon yang bakal menyeberang. Mereka pulang dengan emosi kecewa, kerana pemergian ke Taiwan sangat sia-sia, yang diburu sudah bertebaran melancong da nada yang sudah pulang ke tanah air.

Apabila gagal, Anwar terus memberikan ‘keyakinan palsu’, ada sedikit masalah teknikal, kita memerlukan sedikit masa lagi, ia pasti tiba. Masa berjalan, Anwar disahkan  terjerembablah jatuh ditimpa batu. Tetapi masih belum mati, maka bermulalah episod Langkah Kajang pula. Juga tidak kesampaian, Wan Azizah tidak diterima sebagai calon Menteri Selangor, ia melonjakkan kedudukan Azmin Ali. Di situlah akhirnya menjadikan permulaan krisis Azmin-Anwar yang terus berpanjangan hingga tercetusnya Langkah Sheraton.

Anwar sekali lagi dikaitkan dengan mitos Sisyphus , yang terpaksa menjalani hukuman menggolek batu lagi untuk ke puncak. Kali ini, beliau diterjah oleh Azmin dan kumpulannya, dan terhembab batu yang lebih besar bila Dr Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan (24 Februari 2020).  Anwar mula menderumkan kemarahan, dan sampai kini belum boleh menerima semula Dr Mahathir setelah ditipu sekali lagi.

Sebelumnya, ketika terbentuknya Pakatan Harapan, Dr Mahathir berjanji akan memegang jawatan Perdana Menteri untuk sementara jika PH menang. Anwar pula akan dicadangkan untuk mendapat pengampunan YDPA dalam tempoh enam bulan berkuasa. Cukup cepat Mahathir memohon perkenan pengampunan, pada 11 Mei 2018 Dr Mahathir mengumumkan YDPA telah berkenan memberikan pengampunan, iaitu hari kedua sebagai Perdana Menteri ke-7. Proses pengampunan tersebut kini masih dalam perbicaraan setelah seorang peguam, Mohd Khairl Azam mendakwa pengampunan penuh bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan. Ia dikatakan berpunca daripada kesilapan nasihat yang salah diberikan oleh Lembaga Pengampunan. Pada 21 September 2020, Anwar gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman pemula berhubung dengan kes tersebut.

Akhir 2019, desakan peralihan kuasa menjadi isu yang tersangat hangat dan mula menimbulkan rasa tidak senang masyarakat, termasuk juga kelompok Azmin Ali. Bagai disorong bantal, kelompok Azmin Ali merancang satu strategi politik secara diam-diam, dan PAS sudah lama bertahan dengan sokongannya, Dr Mahathir perlu diberikan peluang sehingga PRU ke-15. Konco-konco Anwar tidak berganjak dan akhirnya menetapkan tarikh untuk Dr Mahathir menyerahkan kuasa, yakni pada 10 Mei 2020, setelah genap dua tahun.

Dalam kehangatan itu, tiba-tiba Dr Mahathir kepanasan dan mengutuskan surat peletakan jawatan. Maka, jadilah perebutan sengit, siapakah yang akan menjadi calon pilihan PH. Ulat sudah naik ke mata, PH semakin menjauhi perebutan kuasa bila Muhyiddin mengangkat sumpat jawatan pada 1 Mac 2020. Muhyiddin mendapat kerjasama dengan UMNO, PAS dan sekumpulan wakil rakyat PKR yang meluatkan Anwar. Sekali lagi peluang Anwar seperti tertutup dan gelap ditimpa batu.

Mahathir mungkin ‘mengacak’ kerana peletakan jawatan itu dijangka dapat memperoleh sokongan yang besar selaku PM Interim. Dalam PH mula timbul ribut yang besar, berbulan-bulan lamanya –kisah galak pendek dan sikit panjang–mewarnai lanskap politik. Ia menadi semakin hampa bila Shafie Afdal hilang kuasa di Sabah.

Sejak itu bermulalah serangan ke atas Mahiaddin. Perikatan Nasional kemudian mula terhenjot-henjot bila beberapa orang pemimpin UMNO mula melahirkan rasa tidak puas hati dan terdedah pula ada pakatan baharu sedang diusahakan. Pakatan baharu itu bertujuan menjatuhkan Mahiaddin, maka Zahid Hamidi menarik brek emergency dengan mengisytiharkan genjatan senjata. Ia hanya reda untuk beberapa hari, UMNO bergolak dari dalam dan zahir pula dikatakan terus berbincang dengan Anwar untuk bekerjasama. Namun demikian,  kerjasama itu tidak mendapat sokongan sebahagian besar akar umbi dan juga pemimpin UMNO sendiri. Apakah ketika ini Zahid sedang terkapai-kapai?

Macam-macam kaedah dan cara dicuba, Perikatan Nasional masih kekal memerintah. Mutakhir,  mendesak Mahiaddin segera memulakan Sidang Dewan Rakyat, dengan tujuan membolehkan wakil rakyat berbincang, berbahas dan mengemukakan pandangan mengenani penanganan COVID-19. Didakwa bahawa Mahiaddin menggunakan darurat untuk memanjang ‘hayat politik’ , dan setelah darurat gagal menurunkan kes harian, dikatakan Mahiaddin sedang berusaha untuk menyambung tempoh darurat yang masih berbaki lebih sebulan lagi (1 Ogos 2021).

Alasan lain ialah nasihat Mahiaddin kepada YPDA adalah tidak sah, kerana ketika itu PM ke-8 tidak mempunyai sokongan majoriti. Ia dikuatkan lagi dengan pengisytiharan tidak menyokong PN oleh Jazlan Yaakob (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas). Sebelumnya, dua wakil rakyat PKR yang menyebelahi Azmin Ali membuat tindakan yang sama.

Lima hari lalu, YDPA mengeluarkan satu kenyataan (16/6.2021). Salah satu cadangan ialah menyarankan Sidang Dewan Rakyat dilaksanakan secepat mungkin. Maka ramailah mentafsirkan ungkapan itu dan menggantikan dengan perkataan segera. Ia kemudian membawa tafsiran seolah-olah YDPA meminta Mahiaddin seboleh-bolehnya Sidang Dewan Rakyat diadakan ‘keesokan’nya. Gempitalah seluruh Malaya, bukan sahaja pening diputar oleh tafsiran politikus, bahkan pengamal undang-undang pun tidak bersependapat.

Kesian kepada menteri yang menjaga Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen didakwa tidak patuh keputusan YDPA, tetapi, yang menuduh itu tidak pula berkata dirinya juga tidak patuh bila tidak berusaha mengurangkan kes COVID-19 dan hanaya melontar kata-kata “kepala otak dia” bila tidak meluluskan cadangan seseorang untuk menderma dua juta vaksin kepada Pulau Pinang.

Bukan dihalang, yang ditekankan ialah kesahihan penderma dan bukti transaksi pembelian itu sahaja. Vaksin bukan macam derma ‘kondom’ atau sardin. Ia memerlukan pengesahan keaslian dan kelulusan pihak berkuasa kawalan ubat-ubatan.

Menurut Takiyuddin, YDPA tidak memberikan tarikh yang pasti. Ia masih tertakluk kepada Perdana Menteri kerana  keputusannnya berdasarkan penurunan kes baharu dan ‘exit polcy’ yang diumumkan, di fasa manakah kedudukannya, serta peratusan vaksinisasi.

Nampak jelas, bahawa politIkus yang terdesak itu sangat kuat bermain emosi dan mengusung perihal cemas rakyat untuk mencapai hasrat politiknya, sekurang-kurangnya untuk melihat PN tersemban. Dicubanya melengkapkan dakwaan ‘kerajaan gagal’ walhal kegagalan itu turut disumbangkan oleh politikus terdesak.

Apa peranan dan tindakan mereka membantu rakyat mematuhi SOP, menggalakkan pengambilan vaksin? Apa yang kita dengar mereka membuat perbandingan dengan negara-negara tertentu kerana membuka sidang Parlimen, mengadakan pilihan raya dengan SOP yang ketat dan membuka kemasukan penonton dalam perlawanan bolasepak di Itali. Benar hal itu berlaku, tetapi selepas kuasa berpindah tangan mereka tidak menjadi ‘penghasut’ untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka ikut bekerjasama untuk faedah rakyat.

Negara-negara yang dibandingkan itu sebenarnya menduduki tangga teratas dalam pemberian vaksin. Mereka lebih awal membolot pembelian vaksin dan tidak banyak dipersoalkan walaupun membelinya dalam kuantiti melebihi jumlah penduduk. Di Malaysia,  kalau beli dalam kuantiti melebihi jumlah penduduk akan dipersoalkan sebagai pembaziran.

Begitu juga nantinya ada vaksi terlebih, luput tarikh kerana ada rakyat negara ini menolaknya atas alasan pengambilan vaksin bukan wajib, ia adalah pilihan. Ia turut dianggap membazir dan merugikan wang pembayar cukai. Itulah kisah politik Malaysia, buat salah tak buat pun salah. Rakyat negara berkenaan memahami jika dijangkitit sebarang penyakit, mereka terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Ia berbeza dengan sebahagian besar rakyat Malaysia, boleh mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma dan tidak diwajibkan membeli polisi insuran kesihatan.

Cukup mudah untuk bercakap, mengkritik ataupun mengherdik. Sepatutnya mereka lebih memahami bahawa  ‘bahu yang memikul adalah lebih berat daripada mata memandang’ kerana mereka pernah berada dalam kerajaan walaupun sekadar 22 bulan. Mereka sepatutnya sudah boleh bercakap berdasarkan lojik yang betul, lojik yang bersandarkan peraturan dan mekanisme pembelian sesuatu perkara dalam sektor awam. Juga perihal pengeluaran vaksin itu sendiri, ia dikeluarkan berdasarkan tempahan buat masa sekarang. Ertinya, jumlah vaksin yang dterima bukan sekaligus diterima mengikut tempahan. Bekalannya bergantung kepada kemampuan dan keupayaan memprosesnya.

Setakat ini kita hanya tahu Dr Mahathir cukup lantang orang yang mempertikaikan kebaikan vaksinisasi. Bahkan beliau tanpa rasa takut mencabar Mak Teh yang mengatakan ada kematian yang ramai para medik akibat selepas mendapat suntikan vaksin. Dr Mahathir juga mencabar air kelapa sebagai penawar COVID-19 dengan berkata, lumurlah air kelapa itu kemudian pergilah cium orang terkena COVID-19. Tengoklah apa yang terjadi? Yang mencium itu dijangkiti atau tidak?

Sampai hari terakhir (meletakkan jawatan), Dr Mahathir juga membawa watak Sisyphus, mungkir janji dan sengaja melengkapkan tindakannya untuk mengecewakan Anwar. Anwar juga menipu, menipu beberapa kali ‘mempunyai nombor yang cukup’, sampai kini, tidak dapat dibuktikan baik jumlahnya dan siapakah yang mencukupkan bilangan itu.

Kini, Anwar berusaha menutupi pembohongannya dengan memulakan rundingan bukan dengan kelompok yang menyokong Dr Mahathir. Anwar sanggup bekerjasama dengan UMNO, sebabnya semua orang tahun hubungannya dengan Zahid cukup rapat.

Bahkan ketika Anwar ditangkap, Zahid menyerang Dr Mahathir dengan isu kroni, nepotis dan korupsi. Akhirnya, Dr Mahathir mendedahkan dirinya cukup hairan dengan kekayaan yang dimiliki oleh Zahid, dan mendedahkan kepemunyaan Zahid dalam beberapa entiti perniagaan.

Kini, UMNO juga dilihat juga semacam ada segelintir pemimpinnya yang menghampiri Sisyphus, bukan seorang tetapi muncul dalam keadaan berjemaah dalam kumpulan kecil sebagai warlords. Dan, dalam masa yang sama dikatakan menjadikan UMNO seumpama syarikat sendirian berhad.

Tan Sri Anuar Musa boleh memberikan penjelasan lanjut mengenainya. UMNO juga semakin berpecah, oleh kerana keinginan Zahid bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, ada sekelompok kecil sedang memperhitungkan kaedah untuk “melanggar” atau mencabar kepimpinan  Zahid Hamidi.

Walaupun Tengku Razaleigh dilihat bersendirian, beliau lebih tetap tidak menyokong Perikatan Nasional kerana ia bukan kerajaan yang dipilih rakyat. Beliau mahukan Mahiaddin memberi ruang secepat mungkin kepada rakyat membuat pilihan sebenar,  Dalam beberapa tindakan,  Mohamad Hassan turut dilihat berbeza pandangan dan pendirian daripada Zahid Hamidi. Dan, tentunya lebih ramai ahli UMNO bersedia menyokong Mohamad Hassan jika beliau bersedia bertembung dengan Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu cukup cool dan sesekali cukup dalam untaian ucapan berkiasnya.  Mohamad Hassan mungkin tidak bersetuju kerjasam Zahid Hamidi Anwar, kerana kerjasama itu bukan atas perjuangan politik yang mendasari kehendak parti.

Rakyat melihat kerjasama itu sekadar berusaha melepaskan diri daripada terus mengheret bagasi berat. Bahkan dalam satu kenyataan, Mohamad Hassan pernah berkata: kami tidak mahu bersengkongkol dengan musuh. Jika menyertai semula UMNO, ahli UMNO tidak akan membiarkan Anwar bebas berbuat sebebas-bebasnya.  Anwar perlu bersedia bermula dari bawah semula, dan tidak melihat dirinya seumpama penerjun handal.

Sisyphus sedang menggolekkan batu ke puncak,  biarkanlah dia terus bergolek. Secara hukum sains, menggolek batu ke puncak bukanlah kerja yang mudah. Ia perlukan stamina berkali ganda daripada orang biasa dan kecekapan mengendalikannya. Batu akan mudah dan sangat terpengaruh dengan  tarikan graviti. Ia jadi mudah kalau ada  ilmu sehebat David Copperfield.

Dalam perjalanan ke puncak itu, ada banyak kemungkinan mestil difikirkan: batu tergelincir,  tersangkut ataupun penolaknya tersandung hingga tersemban dan tertolak  jatuh semula ke lembah. Jika itu berlaku, penat dah jadi sia-sia. Itulah dikatakan takdir;  sehebat mana pun seseorang itu merancang, jika nasib tidak menyebelahi, orang itu akan kecewa, tergolek bersama-sama dan mungkin dihempap batu yang sama-sama tergolek.

Begitulah politik, dan juga suratan manusia dalam meneruskan hidup kesehariannya. Ingat, jangan bertindak seperti Sisyphus, dan jangan membiarkan diri menjadi perumah parasit. Kededuanya adalah perbuatan terkutuk.

Mahanor Saleha

Translate »