Maksudnya, makna sebenar kata-kata amat bergantung kepada ‘kesesuaian’ penerimanya, bukan kesesuaian penuturnya. Itulah yang berlaku apabila video panjang  (lama)  ‘Bonda’, Datuk Profesor Muhaya Mohamad disunting dan kemudian disohorkan sebagai ‘bodoh-bodoh sikit’ kerana mencari penyesuaian untuk ‘bertemu jodoh’. Dalam istilah komunikasi, makna sesuatu perkataan berada dalam pemikiran khalayaknya, dan ia bergantung kepada predisposisi seperti rangka rujukan (pengetahuan) dan pengalaman budaya seseorang.

Misalnya, perkataan ‘titi’ bagai sebahagian besar orang Melayu memahaminya sebagai ‘alat untuk menyeberangan sungai atau parit’ yang tentunya lebih besar daripada ukuran langkah seseorang. Bagi penduduk di daerah Jelebu, Negeri Sembilan, ‘titi’ adalah sebuah kawasan atau mukim, yang banyak menghasilkan nenas bukit dan buah-buahan.

Lain pula makna dalam bahasa Tagalog, alat kelamin lelaki.  Orang utara pula bila kita menyeberang (berkereta) masuk ke Pulau Pinang, mereka tahu bahawa kita gunakan ‘titi’, iaitu  Jambatan Pulau Pinang, kerana perkhidmatan feri mengangkut kenderaan sudah berakhir. Kini ada dua buah ‘titi’, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (cukup cepat kalau nak ke Balik Pulau ‘makan durian’ atau ‘kari ikan semilang’ di Jalan Baru).

Kontroversinya cukup besar, ramai dalam kalangan perempuan mempersoalkan, baik yang belum kahwin atau pun janda dan yang baharu kahwin kerana merasakan ‘bodoh-bodoh sikit’ itu satu bentuk penghinaan intelektual. Kelantangan mereka mengkritik akhirnya terjerembab dengan cemohan, ego menguasai ego dan mengikut ‘resmi padi’.

Masing-masing mahu mengikut ‘resmi lalang’. Lalang selalunya dikiaskan sebagai menunjukkan lagak, kerana sentiasa berada dalam posisi tegak. Berbeza dengan ‘resmi padi’, semakin memberat dengan tangkai-tangkai yang penuh isi, semakin menunduk.

Bonda tidak begitu. Bonda seorang pakar optamologi dan telah merawat beribu-ribu orang yang mengalami masalah penglihatan. Juga telah melahirkan beribu orang graduan dalam bidang tersebut dan ada yang sudah berjaya menjadi optomolologis.

Resmi padi, maka itulah senario yang berlaku, Bonda memohon maaf apabila maksud ‘bodoh-bodoh sikit’ disalah fahami. Bonda memohon maaf walaupun tidak sepatutnya berbuat demikian kerana videonya yang asli telah disunting sehingga maksud asal mengalami pengherotan makna (distortion).

Sikap merendah diri ‘Bonda’ itu dipuji walaupun seorang anak Malaysia yang masih menuntut di London mengomel tidak sepatutnya berbuat ‘bodoh-bodoh sikit’ kerana ingin kahwin atau cepat dapat jodoh. Saya tidak tahu, bagaimana Dr Soo Wincci boleh mengatakan ibunya tidak pernah gajar ‘bodoh-bodoh sikit’ Sayai doakan dalam keintelektualannya yang tinggi (dua ijazah PhD) itu, dia akan bahagia dan cepat bertemu jodoh.

Itu pendirian dan pilihan yang dibuat, semoga tidak silap. Ada orang cap “cerdik tidak boleh menumpang”, tak apalah. Saya tetap ‘bodoh’ kerana saya belum hilang adab dan cuba memahami apa perilaku dan falsafah kearifan tempatan. Saya sedang belajar kenapa orang Melayu bila bercakap berkias ibarat; marahkan menantu sindir anak sendiri. Apa agamawan nak komen? Apa agamawan nak bagi pedoman? Apa agamawan cuba leraikan? Apakah menggunakan perempuan atau bahasa kiasan itu salah dan berdosa?

Tapi, apa yang saya faham, dengar, baca dan ber’talaqi’, Allah SWT banyak menggunakan perumpamaan dalam al-Qur’an? Apa sebabnya? Saya kira para agamawan cukup hebat untuk menghuraikannya agar lebih ramai faham dan tak kusut berfikir.

Secara psikologi, tindakan itu tidak salah, dan dalam resam (budaya) masyarakat Melayu, ‘bodoh-bodoh sikit’ itu adalah sebahagian daripada kelaziman ‘budi bahasa’. Misalnya, semasa mula-mula bercinta, ada di antara perempuan merendah diri bahwa dirinya ‘tidak cantik’. Ia mungkin tanda rendah diri atau sekadar menguji sejauh manakah seseorang jejaka melihat keistimewaan yang ada sehingga ‘sudi menjadi kekasih’.

Begitu juga dalam bidang perundingan, ada istilah yang cukup menarik, iaitu ‘bersetuju-tidak bersetuju’, yang membawa makna pemuafakatan dan penyelesaian sesuatu konflik, yang sebelumnya bermula dengan penegakan pendirian masing-masing yang cukup berbeza.  Misalnya, bila kita dengar kenyataan sebegini: Kemasukan pelajar ke UiTM bukan hak mutlak Bumiputera. Apa reaksi anda?

Sebagai ‘nasionalis Melayu’ ramai yang tidak setuju kerana penubuhannya adalah untuk meningkatkan tahap akademik Bumiputera. Bagi mereka yang beraliran bebas atau sedikit liberal, ia bukan masalah. Patut diketepikan eksklusiviti tersebut. Akhirnya, satu persetujuan dicapai, ada kemasukan bukan Bumipuera dengan penetapan kouta tertentu.  Juga bila muncul cadangan, agihan pungutan zakat wajar diagihkan juga kepada bukan Islam? Maka, konsep asnaf mula berkembang dan membentuk definisi baharu? Apa pendirian agamawan?

BACA JUGA: AGAMAWAN DAN ‘BAKUL SAMPAH AGAMA’, https://omiw.com.my/Web/2021/06/16/agamawan-dan-bakul-sampah-agama/

BACA JUGA: AGAMAWAN DAN ‘BAKUL SAMPAH AGAMA (II), https://omiw.com.my/Web/2021/06/19/agamawan-dan-bakul-sampah-agama-ii/

Ertinya, cadangan yang dianggap ‘bodoh-bodoh sikit’ itu pada awalnya telah menimbulkan ‘kontroversi’, tapi akhirnya telah menembusi ‘monopoli Bumiputera’ di UiTM, sebuah institusi yang asalnya ditubuhkan untuk meningkatkan tahap pendidikan Bumiputera. Ini kerana dalam persaingan terbuka, ramai calon Bumiputera tewas. Jawabnya, orang yang menimbulkan isu itu sengaja bersikap ‘bodoh-bodoh sikit’ untuk ‘menjolok sarang tebuan’. Sarang tebuan pecah sedikit, dan tentunya, lama-lama akan membesar rekahannya.

Orang menjolok itu tidak kesakitan disengat, tetapi, yang kena jolok ‘kehilangan’ sebahagian daripada statusquonya. Ia mungkin sepadan dengan apa yang pernah disebut oleh Tunku Abdul Rahman: Apa yang ada padanya adalah miliknya, tetapi apa yang ada pada orang lain, juga adalah miliknya. Maka, ‘apa yang ada pada orang lain’ itulah hendak dituntut dan dalam masa yang sama, ‘apa yang dimilikinya’ tidak sanggup ‘dilepas’ atau ‘berkongsi’ dan orang lain. Bukankah ia bermula dengan ‘bodoh-bodoh sikit’?

Sayangnya, kadangkala kita mudah percaya apabila ‘seekor ikan kembong hendak dikongsi makan oleh tiga orang’, yakni tiga kaum yang menunjangi negara ini. Ya! Makna kebersamaan dan adil. Keadilan dilihat dari persepktig ‘separuh gelas kosong’, bukannya secara positif, ‘separuh gelas penuh’. Itulah punca masalah dalam hidup, dan ramai yang tidak bahagia: sikap tamak, dengki dan adu domba mengambil tempat yang cukup ‘membunuh’. Fahamkan apa maksudnya?

Hal itu juga berlaku dalam kehidupan beragama. Oleh kerana ada ustaz-ustaz yang cukup ‘mendapat tempat’ walaupun isi ceramahnya tidak membangunkan intelektual, menghapuskan ketaksuban, ia tetap dilihat sebagai selebriti yang cukup menawan. Kalau tidak percaya, lihatlah kehadiran khalayak setiap kali ceramahnya berlangsung, bahkan ada laporan jalan raya boleh sesak sampai beberapa kilometer. Yang seronoknya para peniaga di sepanjang jalan majlis itu berlangsung.

Ustaz selebriti itu disambut meriah, dan kerana menjadi faktor kerumunan, maka bayaran sagu hatinya juga sangat lumayan. Itu ertinya, kerana tertarik cara bagaimana olahan ceramah, walhal ia hanya sekadar mengajar bagaimana ‘memperbetulkan sholat dan berikhtikad’ sedangkan hal yang lebih mendesak tidak mampu dikupasnya dengan baik. Misalnya bagaimana membangkitkan kesedaran ummah untuk membina kehidupan dan peradaban yang cemerlang bagi memulihkan imej  Islam yang sangat identik dengan ‘kemunduran dan kemiskinan’?.

Bagaimana menepis perspektif pendidikan hanya sekadar ‘boleh baca, terjemahkan al-Qur’an dan hadis’ kepada perspektif yang lebih besar dan sesuai dengan kehidupan moden?  Bagaimana mencari solusi daripada al-Qur’an untuk membangunkan minda ummah dan belajar daripada sejarah bangun dan runtuhnya empayar-empayar Islam?.

Ia bukan sekadar ikhtibar dalam konteks pemikiran (teori), ia perlu diterjemahkan ke dalam kerangka (perancangan) dan sistem yang menepati (mekanisme) apa yang dipanggil ulul albab. Inilah sebenarnya cabaran terbesar para ulama muslim ketika ini,  sekiranya tidak mahu kekal menjadi pengguna dan terus mengeluh ‘di mana pakar Islam yang boleh mencipta vaksin’.

Kenapa setelah runtuhnya empayar-empayar Islam tidak muncul pengamal perubatan yang hebat seperti Ibnu Sina? Kenapa belum ada pakar matematik yang cukup cemerlang seperti al-Jabar? Kenapa tidak ada ahli teologi yang cukup besar peranannya dalam pemikiran jernih sebagai manusia terbaik seperti al-Ghazali, Ibnu Taimiyyah ataupun tokoh sufi setanding dengan Jalaludin Rumi atau Fariddun Attar?

Semuanya kerana ‘kebekuan pemikiran’ dan kelalaian umat Islam sendiri menjiwai hakikat ilmu, mengejar dunia sehingga hilang keupayaan berfikir. Islam bukan hanya sekadar beribadah, Islam juga pernah cemerlang dalam hal ehwal muamalah.

Mengapa dunia intelektual Islam seolah-olah terbantut? Kenapa dunia intelektual Islam hanya berkisar persoalan ‘syurga dan neraka’ yang sangat sempit diberikan pengertian oleh para ulama, sedangkan secara tegasnya al-Ghazali menjelaskan: kita menanam benih di dunia (semasa hidup) dan akan menuai hasilnya di akhirat. Dunia adalah ladang akhirat. Apa maknanya?

Prinsipnya, balasan syurga tidak akan diraih oleh orang Islam sekiranya melupakan tanggungjawabnya: kepada Allah SWT dan  kepada manusia. Jika meninggalkan salah satu, ia sudah melanggar peraturan yang ditetapkan. Seorang yang beribadat sepanjang masa tanpa mempedulikan jiran di sebelah rumah, menyapa orang lain, balasannya tetap neraka.

Ada satu anekdot. Anekdot yang cukup menarik perihal balasan yang bakal diterima oleh para ulamak. Syurga mempunyai ‘tujuh lapis’ dan lapisan yang paling atas adalah yang paling baik, dan mewah (bahasa bisnis atau premium). Lapisan paling bawah adalah mungkin sekadar ‘standard’ atau boleh kita andaikan seumpama ‘hotel bajet’.

Setelah diadili, orang biasa yang cukup beriman (setelah diuji dengan rasa sakit, dihadapinya dengan sabar dan tenang) dan menebarkan kasih sayang dalam setiap perilaku kesehariannya, diberikan tempat di lapisan syurga yang paling atas. Kemudian, tiba ulama pula giliran diadili, dan setelah selesai ‘viva’ itu, ulama dimasukkan ke syurga yang paling bawah.

Ulama itu pun bertanya kepada malaikat, kenapa ‘orang biasa’ berada di lapisan syurga paling atas? Dijawab oleh malaikat kerana ‘orang biasa’ itu tidak melupakan tanggungjawabnya kepada orang lain dan dalam masa yang sama beribadat kepada Allah SWT dengan tulus ikhlas sebagaimana diajar oleh para ulama. Meskipun hidup dalam kesakitan dan sukar bergerak, orang itu sentiasa sabar dan bersyukur.

Mendengarkan penjelasan tersebut, ulama itu pun merayu kepada malaikat agar dia dihidupkan semula (dunia). Ulama itu berjanji akan melaksanakan kededua tanggungjawab itu tanpa soal. Namun, malaikat menjawab: masanya sudah habis, tidak ada lagi percubaan kali kedua. Akhirnya, ulama tersebut menerima ketetapan itu, hiduplah dia di syurga lapisan paling bawah.

Anekdot itu hanya berkisah setakat itu, tidak dijelaskan apakah kemewahan syurga di lapisan paling atas. Apa yang kita diberitahu, di syurga kehidupan tanpa masalah, semuanya indah dan ditemani oleh bidadari. Kenapa ditemani oleh bidadari? Kenapa keindahan hidup itu sangat dikaitkan dengan kehadiran bidadari?

Achmad Chodjim, seorang penulis sufi Indonesia yang cukup memahami falsafah Syeikh Siti Jenar dan Sunan Kalijaga menjelaskan tidak kurang 145 kata jannah dan jannat disebut dalam al-Qur’an. Perkataan itu membawa maksud, kebun atau taman. Sebagai kebun, ia mempunyai banyaknya pokok, termasuk pokok buah-buahan. Sebagai taman, ia menggambarkan tempat bersantai, rekreasi dan berehat. Di dalamnya, tidak ada terik cahaya matahari, maka penghuninya tidak akan gelisah kepanasan.

Udaranya cukup nyaman, selesa dan tidak memerlukan penghawa dingin (air conditioning) dan juga pemanas (heater). Penghuninya tidak merasa haus dan juga lapar. Air yang mengalir tidak tercemar dan sesiapa yang meminumnya, bebas daripada dahaga dan menikmati kesegarannya [sic: jauh lebih segar dari air mineral jenama Avian atau Anugerah?] (Achmad Chodjim, Membangun Syurga: Bagaimana Hidup Damai di Bumi Agar Damai Pula di Akhirat, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2004, hal. 19-20).

Kata Achmad Chodjim, dipandang dari sudut tata bahasa, kata jannah berasal dari: kata kerja jan-na yang bermaksud menutupi, menyembunyikan, atau menudungi. “Maka, dalam makna kiasan, jannah merupakan sesuatu yang masih tersembunyi. Wajar saja bila di al-Qur’an itu hanyalah ‘perumpamaan’ dan bukan alam nyata.  Jadi, al-Qur’an tidak menceritakan kenyataan jannah. Yang diungkapkan itu bahagian syurgawi.”

Tetapi awas, pinta Achmad Chodjim: Jangan salah tangkap! Al-Qur’an tidak pernah menyatakan bahawa di alam sana, setelah dunia ini hancur, ada namanya jannah-jannah yang isinya ‘itu’ dan ‘ini’. Pohon ini dan pohon itu. Buah ini dan itu. Al-Qur’an hanyalah memberikan perumpamaan tentang kebahagiaan yang akan dicapai oleh mereka yang beriman dan beramal saleh. Ungkapan kebahagiaan psikologis. Kebahagiaan batiniah yang akan dialami oleh mereka yang beriman dan beramal saleh.

Semua kenyamanan syurga yang ada di al-Qur’an merupakan metaphor, “pemisalan” atau matsal. Pemisalan tentang jannah yang biasa diterjemahkan syurga, boleh disemak pada ayat berikut:

Pemisalan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa, ialah suatu lingkungan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai. Segalanya serba berkekalan. Begitu pula naungannya. Itulah tujuan orang-orang yang bertakwa. Ada pun akhir bagi mereka yang kafir, adalah api. (Surah al-Ra’ad, ayat 35).

Perumpamaan syurga yang dijanjikan bagi orang-orang yang bertakwa: Di sana terdapat sungai-sungai yang airnya tidak berubah, sungai-sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari anggur yang lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang dibersihkan, dan di dalamnya pula mereka mendapat segala macam buah, dan perlindungan dari Tuhan. Samakah hal itu dengan orang yang menetap di dalam neraka, dan diberi minum dengan air mendidih tinggi sehingga terpotong-potong ususnya.” (Surah Muhammad, ayat 15).

Berasaskan kepada pemahaman tersebut, Achmad Chodjim memberikan rumusan bahawa: (1) al-Qur’an menjelaskan tentang keadaan bahagia dan derita dengan metod iming-iming dan ancaman; (2) Syurga dan neraka yang disampaikan oleh al-Qur’an, hanyalah perumpamaan, dan tidak berkisah tentang kenyataan; dan, (3) syurga dan neraka disuguhkan sebagai cara untuk menyedarkan manusia agar terdorong untuk beriman dan beramal saleh. Sebagai ‘sajian perumpamaan’, perumpamaan yang sesuai dengan persekitaran budaya masyarakat waktu itu, tetapi, ia tidak bermakna al-Qur’an itu berbohong.

Ungkap Achmad Chodjim (lahir 1953), yang mendapat pendidikan agama di pondok (Darul Ulum, Tabuiring dan Pondok Moden Gontor) adalah lulusan Sarjana Pertanian dari Institut Pertanian Bogor (1987), dan Magister Pengurusan (1996) adalah juga pembimbing spiritual: Al-Qur’an tidak berbohong. Al-Qur’an mengungkap kebenaran. Sekali lagi kebenaran. Tapi yang dikisahkan bukan kenyataan syurga  dan neraka. Melainkan, kebahagiaan batiniah. Juga kepedihan batiniah. Sasaran al-Qur’an adalah jiwa   dan spirit manusia. Bukan kehidupan manusia. Kerana batin itu bukan alam benda, makanya diperlukan metaphor. Perumpamaan. Permisalan. (Achmad Chodjim, hal.20).

Sehingga kini, Achmad Chodjim telah menulis lebih sepuluh buah buku dan kesemuanya mendapat sambutan yang menggalakkan. Antaranya, ialah An-Nas: Segarkan Jiwa Dengan Surah Manusia (2004); Al-Ikhlas: Bersihkan Iman Dengan Surah Kemurnian (2005); A-Falaq: Sembuh dari Penyakit Batin Dengan Surah Subuh (2002); Al-Fatihah: Membuka Mata Batin Dengan Surah Pembuka (2002); Syeikh Siti Jenar: Makna Kematian (2002); Sunan Kalijaga:Mistik dan Makrifat (2013); Rahasia Sepuluh Malam: Rayakan Hidup Dengan Penuh Cinta (2006); Misteri Surah Yasin (2013); Hidup Penuh Makna: Memerdayakan Diri Untuk Menghadapi Tantangan Zaman (2013); Islam Esoteris: Kemuliaan dan Keindahannya (2000); dan buku yang saya rujuk dalam penulisan ini, Membangun Syurga (204). (Bersambung)

KAMARUN KH

Translate »