Cukup terserlah kiblat sokongan Atriza Umar (Jangan Sampai Raja Murka, Malaysiakini, 17 Jun 2021) dalam ulasan keputusan Raja-Raja Melayu berkenaan kemelut politik dan kesihatan yang melanda negara, kerana terikut-ikut ‘arus politik’ untuk segera menamatkan tempoh darurat.
Kenyataan dari Istana Negara tidak menetapkan bilakah tarikh Sidang Dewan Rakyat patut diadakan, dan juga penamatan awal darurat. Ertinya, Perdana Menteri masih ada kuasa dan budi bicara: bilakah Sidang Dewan Rakyat boleh diadakan dan memohon menamatkan darurat lebih awal. Justeru itu, tak payahlah lakukan pengherotan budaya politik, semua keputusan kerajaan PN adalah untuk membuktikan bukan ‘ kerajaan gagal’ atau ‘pemandulan demokrasi’. Berilah sedikit masa untuk menentukannya.
Apa itu IKRAM ? NGO pro parti politik ke? Ia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada kaitan dengan bekas Menteri Pendidikan, yang sinonim dengan “Menteri stoking dan kasut hitam.” IKRAM ialah “pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.” Apakah gesaan itu cukup kuat untuk dikaitkan dengan ‘ajaran dan cara hidup Islam‘? Wallahuaklam.
Suatu ketika, Mazlee pernah melantik pengurusan tertinggi IPTA dalam kalangan aktivis IKRAM, kemudiannya dikaitkan dengan nepotisme dan kronisme. Sama seperti menerima jawatan di UIAM yang berada dalam kuasanya sebagai menteri, kerana ada keinginan untuk kembali ke UIAM selepas sepuluh tahun berpolitik.
Maknanya, secara tidak langsung dilihat menggunakan kuasa untuk menyediakan ruang (merancang) masa depan bagi kepentingan peribadi, iaitu kembali ke UIAM. Dan, sekarang dah “tak mungkin lagi”, galahnya ‘sangat pendek’. Tiada ‘kurikulum renang’, dan viral gambar menjolok jari di lubang permukaan meja, billboard gergasi “Baca“. Kalau dah nasib, apa nak dikata, lantun P Ramlee, keluh menyesal, mengenang ‘nasibku yang malang’.
Diceritakan perihal ‘penghayatan Rukunegara’, menghafal setiap pagi Isnin di perhimpunan pagi di sekolah, tetapi ia hanyalah menghafal, bukan bagaimana prinsip-psrinsip itu diterjemahkan sehingga cukup membudayakan. Tidak pula dikisahkan kejayaan Dr Mahathir ‘membungkus’ ke dalam Wawasan 2020. Cheah Boon Kheng menulis: “talk and rhetoric about Bangsa Malaysia” dan “it no difference from that Tunku Abdul Rahman’s vision of the first Malaya and then Malaysia nor of Tun Razak and Tun Hussein Onn.”
Dr Mahathir menjilat balik apa yang diktitik dan dikecam terhadap dasar perpaduan Tunku Abdul Rahman (selepas kalah dalam PRU 1969). Ai! macam ‘old wine in the new bottle”, tukar botol bukan isinya. (Cheah Boon Kheng, Malaysia: Making of a New Nation, Singapura: ISEAS, 2002, hal. 72, dan 187-188). Oleh itu, ada yang berkata, “Mahathir was involved in not so much nation-building as Mahathir building” dan ‘most issues personally” ditafsirkan. (hal. 200).
Itulah Mahathir, sampai sekarang tidak berubah: ‘salah orang lain’ atas keputusan yang ‘personally’ dan ‘ I’m not power hungry’ , tetapi ‘power crazy’, Selagi hidup, tetap mahu jadi “Tuan Tanah Kedawung” .Rakyat Malaysia pun dah ramai berkata, “tidak perlu layan” dan ‘dia akan reput sendiri’. Justeru, cadangannya membentuk Majlis Pemulihan Negara tidak ada istimewanya, macam Majlis Penasihat Kerajaan, hanya helah dan kaedah menutupi sikap jumud: ‘saya tidak salah’. Yang salah, bla bla bla, macam Six Thinking Hats (1985), teori pemikiran Edward de Bono, yang dikaguminya.
Cuba Atriza Umar teliti apa ada dalam sejarah ? Sejauhmanakah rakyat Malaysia menjunjung “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”, walaupun setiap minggu berikrar atas lima prinsip Rukunegara? Apa dah jadi dengan keturunan selepas ‘jus soli‘ terhadap asas kehidupan di negara ini? Kenapa ‘malu untuk mengakui dari Malaysia’ ? Beberapa hari lalu, ada yang tersihir bila seorang puteri remaja di raja Belanda membuat keputusan tidak akan mengambil elaun. Kenapa, ada sindiran, kata-kata sinis ditujukan kepada keturunan di raja di Malaysia?.
Kita harus ingat, kejayaan besar empayar Islam memerintah kekal lama ialah kerana ‘menghormati dan mempertahankan institusi pemerintahan’ walaupun muncul pelbagai pemberontakan sehingga terbunuhnya Khalifah. Dua hal yang berbeza, bukan marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakar. Umat Islam tidak memansuhkan institusi khalifah atau sultan, hanya digantikan dengan peribadi yang baharu. Khalifah atau kesultanan kekal sebagai payung dan alat pemersatu.
Di Malaysia ia sangat berbeza. Melayu-Islam ada juga yang cukup marah dan sedia bersubahat untuk meruntuhkan institusi-institusi Melayu-Islam. Mereka adalah anak semua bangsa yang tidak sedar, akar umbi negara ini Melayu dan Raja berpisah tiada. Tiba-tiba cakap, ‘axed over disloyalty to the royal‘. Bukankah sebelumnya diminta semua politikus bekerjasama dan hentikan politiking. COVID-19 adalah ancaman yang sangat menakutkan. Masih juga ada politikus tidak prihatin, mundar-mandir bercakap dan tidak turun ke bawah, tapi sangat mudah berkata ‘kepala otak dia‘. Itu bukan membantu, sebaliknya menampakkan perangai seperti hantu, mengusik dan menakutkan rakyat.
Semaklah sejarah. Apa ‘kemusnahan’ yang telah Dr Mahathir lakukan terhadap institusi Raja Berpelembagaan semasa 22 tahun berkuasa? Bagaimana imej institusi itu diherotkan (distortion)? Bukan sekali. Pertengahan 1980-an dan 1990-an. Kenapa tersebarnya cerita Prebet Adam mengamuk di Chow Kit tahun 1987? Bagaimana media digunakan untuk tujuan salah sehingga ramai orang percaya, punca mengamuk adalah ‘marahkan raja’?. Apa Mahathir buat untuk menyekat persepsi buruk itu? Sedangkan beliau pernah memberikan amaran, akhbar-akhbar di Malaysia perlu laksanakan kebebasan secara bertanggungjawab, bukan kebebasan tanpa had.
Anthony Milner, sarjana dari Australia memberikan analisis sejarah yang cukup menarik. Katanya: perkataan ‘kerajaan’ itu merangkumkan seluruh pengalaman politik Melayu. Kehidupan politik Melayu dapat ditarik masuk ke dalam satu terma: orang Melayu menganggap diri mereka hidup bukan di bawah ‘state’ atau ‘government’, tetapi di bawah ‘kerajaan; iaitu, di dalam ‘kondisi mempunyai Raja.’ (Anthony Milner, Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerinatahan Kolonial, 2016., hal. 221). Fahamilah dengan jelas, Raja adalah institusi yang memayungi negara ini, bukan parti politik.
Jelas Prof. Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti: Raja-raja Melayu adalah “ketua-ketua agama dan payung perpaduan rakyat jelata “ (Ucap Utama di Persidangan Islam Antarabangsa Dunia Melayu ke-10, di Brunei Darusslam pada 2-3 Jun 2021, dengan tema Melestarikan Islam di Alam Melayu Kontemporari). Ertinya, dalam perkamusan negara Malaysia, Raja-Raja Melayu teras dan tiang yang tidak boleh diperlekeh atau dicabut walaupun parti politik ada ketikanya merasakan ‘lebih berkuasa‘. Jangan tersihir dengan mantera ahli politik, I’m a King, semacam I’m A Boss . Itu melampau dan tidak boleh diterima.
Bagaimana ‘tertiarap’nya UMNO di Kelantan pada tahun 1990, kerana ada ‘konflik dengan istana’. Ada cerita bagaimana ‘murka Raja’ dan rakyat sedar masalah itu, sehingga sanggup tidak sebulu dengan Dr Mahathir. Imej Mahathir cukup terkucil ketika itu. Mujurlah, krisis dalaman UMNO pada ketika itu membolehkanTun Ghafar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau menjadi perantara – kerajaan dan istana.
Tapi, bila Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8, bekas PM ke-7 tidak puas hati. Sepatutnya Dr Mahathir boleh disalahkan kerana ‘membantah’ atau ‘ingkar perintah’. Keputusan yang dibuat ada legitimasinya. Sebagai PM interim, Dr Mahathir masih mengharapkan dirinya dipilih. Nasib tidak menyebelahinya.
Kali ini, bekas PM ke-7 buat cadangan. Tetapi, cadangannya bukanlah solusi mutlak. YDPA dengan Raja-Raja Melayu semalam (16.6.2021) mengeluarkan ketetapan: Dewan Rakyat boleh bersidang, maka melalaklah politikus hilang kuasa. kalau boleh, esok Dewan Rakyat dibuka. Dah lama tidak bertekak, mengacah dan mengecam, rindu seperti dendam, perlu dibayar tuntas. Atriza juga turut melalak, bertempik dan berteriak, seolah-olah beliau adalah politikus yang cukup gian bercakap.
Semasa ada kuasa, Dewan Rakyat kosong. Loceng panggilan terpaksa dibunyikan untuk mengundi. Semasa PM ke-7 bercakap, ramai tidak peduli. Ada alasan, ‘tidak tahan sejuk‘. Bila terlucut kuasa, kecoh nakkan Sidang Dewan Rakyat segera, mengekalkan proses ‘semak dan imbang‘. Ironi bukan?. 10 Janji 100 Hari dah lama kelaut, budaya politik (bercakaran dan mengecam) belum hilang. Terlupa pada kenyataan: ‘malaikat’ pun berbohong, manifesto bukan ‘kitab suci’, dan paling dahsyat “Nabi pun berbohong”. Nauzu billahi min zalik.
Jelas Jalaludin Rumi: Seseorang yang tidak mampu melihat unta di atas atap rumah mengatakan: Aku boleh melihat mata jarum dan menusukkan benang di lubangnya…Ada dua hal yang membuatkan diriku ketawa: lelaki berkulit hitam mengecat kukunya dengan warna hitam dan lelaki buta yang menjulurkan kepalanya keluar jendela.” (Jalaludin Rumi, Fihi Ma Fihi, hal. 178)
Kenapa? Sejarah menteri-menteri PH, sangat tidak cekap dan tidak harmoni. Kini ikut terjangkit kepada menteri kabinet PN. Kabinet PH, ada kisah i-CERD dan petisyen letak jawatan; PN ada kisah ‘buka pintu belakang’ dan didesak letak jawatan. Semasa PH, Dr Mahathir didesak letak jawatan kerana tidak serahkan kuasa selepas berjanji jadi PM untuk enam bulan; Muhyiddin didesak letak jawatan kerana agihan kuasa yang tidak seimbang atau sepadan antara yang berkongsi berbanding sumbangan jumlah kerusi Yang kalah bertanding pun boleh dilantik menteri kanan.
Bila tokoh akademik berikan pandangan, maka pandangan itu dari ‘Profesor Kangkung’, maka ramai juga bertempik. Teringat Nurul Izzah ‘masak kangkung‘ bila Najib cakap harganya adalah murah. PH sangat suka yang manis-manis, tapi akhirnya terpaksa ‘potong kaki’.
Kuasa adalah sumber dan punca ‘kekayaan’, bertentangan dengan makna amanah dan tanggungjawab, walaupun ada sebuah parti bernama Amanah di dalamnya. Patutnya belajar sejarah pemerintahan Islam, adil dan melata keadilannya: Umar al-Khattab, Uthman Affan, Umar Abdul Aziz dan Salehudin al-Ayubi. Ini tidak, hari-hari meratib: rakyat terus ter-dikambinghitamkan. Ada percubaan memufarakahkan aset-aset, kepada kroni dan pendokong.
Ada tujuh perkara dijelaskan: jangkitan kes harian COVID-19 masih tinggi; ekonomi merosot dan tidak banyak wang untuk dibelanjakan lagi; situasi politik tidak stabil; perpaduan rakyat semakin retak; kesukaran hidup akibat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan; suasana kehidupan, pembelajaran dan pekerjaan yang bermasalah; dan, tidak dapat melaksanakan aktiviti agama (rumah-rumah ibadat dan masjid).
Tetapi, Atriza sepatutnya tidak berlakon seperti Mosye Dayan, tutup mata kanan dan hanya melihat dengan mata kiri. Sebelum pandemik pun agak susah untuk memakmurkan masjid. Berjemaah pun, kecuali sembahyang Jumaat, tidak memenuhi ruang masjid. Lazimnya, yang hadir aktiviti agama kebanyakannya yang dah bersara.
Dalam kaedaan gawat kesihatan, Jumaat harus ditiadakan atas kepentingan keselamatan. Tetapi, tidak bermakna sembahyang berjemaah lain tidak boleh dilaksanakan. Boleh dilaksanakan di rumah, bersama ahli keluarga. Ia lebih menghidupkan kemesraan dan meredakan kebuntuan akibat ’emosi terperuk’. Pihak berkuasa agama tmenjelaskan: patuhilah SOP kerana dalam Islam ijtihad itu sangat digalakkan. Bukan bertengkar dan mahu menang sendiri.
Darurat adalah satu ikhtiar untuk membolehkan kerajaan menguruskan kegawatan kesihatan itu secara cepat dan tiada banyak politiking. Kerajaan boleh menaikkan kadar kompaun, jika kompaun sedia ada tidak mampu mengekang sikap dan tindakan melanggar SOP. Itu rasionalnya, bukan kerana nak sekat politikus kemukakan undi percaya atau gunakan Dewan Rakyat jatuhkan PM yang dipilih secara absah (undang-udang).
Dalam situasi gawat, semua keputusan mesti dilaksanakan secara cepat. Tetapi, bukan semua pembelian boleh diterima secara cepat. Ada batasan dan prasyarat oleh pembekal. Katakankah mengenai vaksin, ia adalah item ‘hot sale‘. Berlaku kelewatan dan penangguhan, tertakluk kepada keupayaan pengeluaran. Itulah, yang tidak cuba difahami, tapi kuat ‘mendesak’. Khairy Jamaludin dah beritahu: bulan Julai nanti akan diterima lebih banyak vaksin, dan lebih ramai lagi yang akan divaksinisasi. Sekarang, para medik bertungkus lumus, dah melonjak kepada lebih 200,000 dos sehari. Itupun nak cakap ‘kepala otak dia‘ lagi ke?
Apakah SOP itu dibuat untuk menyusahkan rakyat? Jika melihat kepada kupasan dan komen politikus ‘terlucut kuasa’, memang itu dakwaan begitu. Jika laksanakan ‘total lockdown‘ macam PKP 1.0, ekonomi sangat rugi, maka diberikan kebenaran kepada “esential service“. Ada salah guna kebenaran, ada penipuan. Kilang arang pun dapat, walhal bukan ‘esential service‘.
Ada surat kebenaran MITI, diguna untuk merompak. Nampakkah siapa yang salah? Jangan buat dakwaan semberono: berlaku kemalangan ngeri kerana ‘Salah Najib’; perut kembung pun ‘salah BN’, dan harga barangan meningkat pun kerana ada GST. Dah tukar ke SST pun lebih mahal berbanding semasa ada GST. Sebabnya, peniaga dan pengedar degi, nak sabotaj, kata seorang menteri. Lebih baik bagi makan lembu dengan ‘rumput gajah’ dan pinta nelayan tanam buah-buahan di belakang rumah.
Yalah, menteri tidak ada hal, kenaikan ‘tidak membebankan’; tapi rakyat mengeluh (seperti orang bercinta). Kerang dah jadi menu kayangan. Daging lembu dah jadi menu ‘have have‘. Nasib baik tidak ada ulangan babak sedih “belacan lebih mahal daripada kelapa sawit.’ Sebab harga meningkat: minyak dalam botol tidak ada subsidi. Dalam plastik ada subsidi, tetapi, sentiasa habis: ada kegiatan ubah ke botol; dan restoran besar borong habis. Rakyat hanya mampu beli sepeket dua: mengeluh, kata cukup tapi tidak ada.
Harga ayam naik sebab harga makanan ayam naik. Eloklah, menteri tidak buat kerja, letak jawatan. Jangan asyik anjur pertandingan Tik Tok atau sambil melantak cakap ‘nak ke Kota Bharu bawa anak dan isteri’, parking free masa PKP. Duduklah berendam dalam sungai, panas makan musang king atau duri hitam.
Kalau semua masyarakat Malaysia menghormati undang-undang, tentu tidak berlaku perihal memperlekehkan Islam dan institusi Islam; kedudukan raja-raja Melayu; kedudukan bahasa Melayu dan orang Melayu. Sekarang apa yang sedang berlaku, jawapan saya cukup mudah kerana orang Melayu sendiri mengecam dan menunjukkan sikap yang cukup selfish.
Pernah ada perancangan, mari kita tanya ‘ulama’ Wan Ji: Tahun 2030 dan Malaysia jadi republik!!! Benarkan dia pernah cakap seperti ini: “Ana punya cita-cita. Sekarang ni 2013 kan? 2020, ‘MAP’ ana, Sultan tak ada. Sutan dah habis. Malaysia ni dah jadi negara Republik. Sistem berPresiden dah.” Siapa ‘ulama kepala lutut”?
Orang Melayu sudah hilang jatidiri. Berbeza dengan bukan Melayu, mereka pertahankan apa yang mereka miliki dan dalam masa yang sama, cuba dapatkan apa yang menjadi milik orang Melayu. Kata Tunku Abdul Rahman: apa yang ada pada saya milik saya dan apa yang anda ada adalah milik saya juga. (Tunku Abdul Rahman, Coretan Kenangan:Tahun-tahun Penting Bagi Malaya dan Malaysia, 2007, hal. 193). Itulah yang berlaku dan terus berlaku kerana perpecahan Melayu. Bukan Melayu ada slogan: from zero becomes a hero.
Eddin Khoo turut kesal: kita sedar bahawa orang Malaysia yang kononnya orang Malaysia sama sekali bukan orang Malaysia…seluruh etos Rukunegara telah dipinggirkan dan dilupakan dalam setiap lafaz. Akhirnya, prinsip-prinsip kebangsaan kita seperti hadir dalam sebuah kekosongan.” (Eddin Khoo, Rukunegara: Selayang Pandang, 2020, hal. 32 dan 44).
Kalau orang bukan Melayu mengecam, ia bukan rasis. Mereka suarakan (dari hati nurani) apa yang mereka rasakan tidak betul dan apa yang sepatutnya dapat sebagai warganegara. Alasan yang cukup lojik dan klise, penyelesaiannya juga cukup menjengkelkan, cukupkah sekadar memohon maaf?.
Berapa kali Lim Guan Eng mohon maaf kerana salah cakap? Bila PAS dan UMNO bermuafakat, maka berbunyilah ‘gendang perang terhadap bukan Melayu‘. Apa kesudahannya, dan bilakah beliau bakal dihadapkan ke muka pengadilan kerana ‘menghasut’? Atau memang “Melayu Mudah Lupa”?
M Kulasegaran (PRK Rantau); M Manogaran (PRK Cameroon Highlands) dan Salehudin Ayub biol jugak. Masa bersama PAS, cukup puji ideologi Islam. Bila keluar PAS, cukup ‘bencikan’ UMNO dan PAS bekerjasama, sebabnya, kalau berjaya jadi kerajaan, “negara ini huru-hara, ada pembunuhan”. Apa kena jang? Macam pulun musang king dengan biji dan kulitnya sekali?
Bila sekumpulan masyarakat Muslim lancarkan kempen Buy Muslim (product) First atau BMF, kempen itu rasis. Bila orang Melayu cadang perlu ada logo halal berbeza, produk keluaran Muslim (hijau dan bertulisan Jawi) dan bukan Muslim (berwarna merah dan bertulisan bahasa ibunda tuan punya kilang), para menteri rasa lucu, kronik dan tidak lojik. Tak apalah, sebab dia menteri. Rakyat sedang perhati, silap-silap, ‘boleh pergi’.
Banyak produk cukup mengelirukan: logo halal yang tidak sah, berjenama Melayu-Islam tetapi tidak diproses secara halal (kotor, bercampur dengan barangan tidak halal dan sebagainya). Bukankah itu mencabar ‘Kedaulatan undang-undang‘, satu lagi prinsip Rukunegara yang dihafal oleh Atriza. Adakah itu juga tidak bertentangan dengan “Kesopanan dan Kesusilaan“?
Kenapa berlaku dan terus berkembang budaya mempertahankan nilai yang salah?. Cetek moral atau nyah moral? Mereka yang ‘merompak’ dianggap ‘hero’ , kalau tak mampu, diberikan bantuan guaman. Dunia belum terbalik, tapi keputusan atau pendirian sudah terbalik.
Jalaludin Rumi cukup faham, lalu berkata: Rembulan menaburkan cahaya, dan anjing pun menyalak. Apa kesalahan rembulan jika memang tabiat anjing seperti itu? Dari rembulan, cahaya memancar menerangi sudut-sudut langit. Lantas, siapakah anjing itu — yang menjadi asap kotoran bumi?
Tunggulah, saya akan mandi bila ‘bilik air tidak ada orang di dalam’. Agaknya begitulah, dan PM pun dah beritahu, ambil maklum pemakluman keputusan YDPA dan Raja-Raja Melayu.
Sekarang belum sesuai, untuk ‘mandi berjemaah’: sama ada mandi sungai atau tali air. Sungai dan tali air sudah tercemar: toksid dan aneka bahan kimia. Ada sisa racun ‘charlie’ dan ‘tikus’. Ada sisa buangan: jimat kos, untung banyak. Pedulikan ‘enap cemar’ ganggu alam sekitar. Ingatkah kisah ‘sesak nafas’ penduduk Pasir Gudang? Asap dan bahan kimia?
Dalam politik pun banyak ‘enap cemar’ dan partikel terampai di udara, yang boleh dikategorikan sebagai ‘sisa buangan’. Janganlah kerana ‘rindu’ atau ‘dendam’ ikut sama jadi ‘enap cemar’ dan ‘sisa buangan’. Jangan mudah terseret politik ‘matlamat menghalalkan cara’.
Siapa murka siapa? Itu bukan soalnya. Tetapi, siapa yang memulakan kisah menghina dan memperlekehkan institusi Raja? Adakah sudah temui jawapannya?
Monosin Sobri
Recent Comments