Siapakah generasi millennium? Milenium merupakan tempoh masa seribu tahun. Milenium pertama bermula pada tahun 1 hingga 999; millennium kedua ialah 1000 hingga 1999 dan millennium ketiga adalah antara tahun 2000 hingga 2999. Selepasnya, akan dipanggil millennium keempat (selepas beberapa millennium Sebelum Masehi, berdasarkan kalendar Gregor.
Kalau adan pernah menonton filem 2012, anda akan dapat menyebut atau cuba mencari pengetahuan mengenai kalendar kaum Maya, kerana tahun 2012 dilihat atau ada yang mentafsirkannya sebagai ‘tahun kiamat’. Ada yang kecoh, ada yang kembali merujuk kepada tulisan-tulisan mengenai dunia akhir zaman dan Ensiklopedia Kiamat. Saya tidak terdesak untuk melakukannya, walaupun menonton berkali-kali filem blockbuster garapan Ronald Emmerick itu. Saya tahu, konsep ‘end of time’ itu merujuk kepada berakhirnya satu baktun (tiga ribu tahun) pertama dalam kalender Maya.
Kalendar Maya mula dikira pada tahun 3113 SM yang mengandungi 3,000 tahun bagi satu pusingan, yang dipanggil ‘end of times.’ Setiap perngakhirnya, iaitu pada 21 Disember, maka pengakhiran itulah yang diekspolitasi oleh Ronald Emmerick dalam filem 2012. Bukan gambaran kiamat, tetapi suatu propaganda untuk menyedarkan masyarakat dunia bahawa China adalah suatu pusat pertumbuhan dan kemakmuran baharu yang tidak lagi boleh diperkecilkan.
Sekurang-kurangnya itulah praduga kesan yang saya perolehi, sebab kapal yang menyelamatkan manusia kaya (membeli tiket) dibina di China, begitu juga secara tidak langsung mempromosikan agama Buddha, manakala agama-agama lain (penganut) digambarkan tidak selamat daripada mala petaka termasuk Islam dan Kristian. Apa sikap anda tentang gambaran tersebut? Sebuah pandangan yang bakal mengukir ‘stereotaip’ baharu atau ada hal yang menarik minat Ronald Emmerick untuk memahami Buddha? Kalau begitu, ia adalah kecenderungan untuk bermain dengan propaganda, membentuk persepsi menerusi tafsiran visual dan kreativiti.
Generasi millennium pula dikaitkan mereka yang sekitar pertengahan dekad terakhir Abad ke-20, yakni kalau menurut Don Tapscott, yang memanggilnya sebagai Generasi Net atau Generasi Z ialah mereka yang lahir antara tahun 1998 hingga 2009. Generasi yang lahir selepas atau tahun 2010 hingga kini dikenali sebagai Generasi Alpha atau Generasi A. Generasi-generasi sebelumnya ialah Pre Baby Boom (lahir sebelum tahun 1945, berakhirnya Perang Dunia II), Generasi Baby Boom (1946-1964), The Baby Burst, atau Generasi X (1965 hingga 1976), dan The Echo of Baby Boom atau Generasi Y (1977-1997). (Dan Tapscott. Grown Up Digital, 2008).
Generasi Net atau Generasi Z atau Generasi Milenial adalah generasi yang membesar dengan gajet komunikasi maklumat atau dikenali sebagai generasi digital. Bagi Marc Presinsky, dipanggil digital natives, manakala generasi-generasi sebelumnya digelar sebagai digital immigrants. Persinsky melihat perubahan itu sebagai satu percubaan untuk memikirkan bagaimana keperluan pendidikan masa hadapan, terutama pendidikan bagi Generasi Y dan generasi-generasi selepasnya.
Generasi Z, sekarang ini sudah berumur antara 12 hingga 23 tahun. Kalau dalam perspektif pendidikan di Malaysia, mereka berada di akhir peringkat pendidikan dasar (sekolah rendah) sehingga di tahun akhir ijazah pertama. Generasi Alpha pula masih berada di peringkat prasekolah hinggalah tahun lima pendidikan dasar. Ini bermakna, Generasi Z dan Generasi A adalah mereka yang sangat bergantung kepada gajet, bahkan tidak boleh dipisahkan lagi. Mereka inilah yang sedang berada dalam pelbagai krisis, termasuk krisis jati diri dan moral.
Ada kajian mendapati bahawa Generasi Y akan memerika gajet mereka setiap jam dalam 44 peratus responden. Ini bermakna mereka tidak boleh hidup tanpa gajet, internet dan wifi. Mereka menggunakan media sosial sebagai ruang “untuk mencari penghasilan seperti membuka online shop atau menjadi influencer internet.” Bahkan ada yang sanggup mempamerkan gambar ghairah, dan terkinja dalam memancing ‘pembeli’ termasuk penjualan ubat atau penawar pemulihan libido lelaki (ubat kuat).
Krisis pertama ialah menentukan benar atau salah apa yang mereka baca, ambil bahagian dan seterusnya berfikir berdasarkan apa yang ada di alam maya. Ini kerana boleh dikatakan lebih sepertiga masa seharian adalah berada dalam ‘pelayaran’ yang sangat tidak berpijak kepada realiti fizikal.
Enjin pencarian menjadi mesin penemuan yang sangat berpengaruh, membangunkan situasi ilusi dan utopia. Inilah yang ditandai dengan hadirnya era globalisasi, era yang menyisihkan perilaku dan kebiasaan baik, yang bukan sahaja dianggap kuno bahkan tidak ada semangat zaman. Bagi Ton Nichols, akibat bergantung kepada mesin pencarian, menjadikan lebih ramai manusia ‘sesat di mesin pencarian’ dan juga “internet memungkinkan kita berpura-pura memiliki prestasi intelektual dan mengalami ilusi memiliki kepakaran, lantara ada dumber fakta tanpa batas di tangan kita.”(Matinya Kepakaran, 2018, hal.129).
Bagaimana perihal ini berlaku? Biarpun tidak mudah untuk dijawab, sukar untuk dinilai, secara sadarnya kita dapat melihat kepada apa yang berlaku terhadap laman sesawang Sugar Book. Laman ini telah berjaya mengumpulkan lebih 42,500 sugar daddy di Malaysia dan menjadikan ia kedudukan ketiga tertinggi di Asia dengan 14,433 berdaftar untuk menjadi ‘sugar baby’ termasuk dalam kalangan penuntut pengajian tinggi (10 buah, dua daripadanya ialah IPTA).
Siapakah penuntut pengajian tinggi itu? Mereka adalah Generasi M atau Generasi Z, yang lahir pada tahun 1998 sehingga tahun 2001. Mereka inilah yang terbesar sekali kumpulan umur yang sedang mencari identiti, yang sangat terpengaruh dengan kemewahan hidup secara tidak bersusila.
Dalam beberapa laporan, pertemuan antara ‘sugar daddy’ yang kaya dan ‘sugar baby’ yang haus kemewahan berlaku ketika masing-masing ‘saling memerlukan’ dan berlangsung dalam suasana rahsia. Sugar daddy tidak mahu perhubungannya diketahui manakala sugar baby sedemikian kerana bila rahsia itu diketahui banyak sisi negatif atau tekanan bakal dihadapinya, termasuk kecaman daripada ahli keluarga sendiri.
Ada yang memberikan gelaran sebagai ‘pelacur berkala’, kerana sanggup melakukan hubungan jenis atas persetujuan untuk saling memenuhi keperluan. Mungkin setiap hujung minggu atau permulaan minggu. Bukan sekadar menemani berhibur di kelab malam, bahkan melayani nafsu seks.
Sugar baby memerlukan wang untuk hidup mewah, manakala sugar daddy perlukan belaian dan kepuasan seks setelah terasa ada kekurangannya dengan pasangan yang halal ekoran perubahan psikologi dan peralihan cita rasa, rasa bosan dan krisis romantisma (ilusi).
Sugar Book yang disifatkan oleh Daren Chan sebagai ‘honest and transparent relationship’ diasaskan pada tahun 2016. Katanya: Mereka tidak memperdagangkan badan mereka dengan nilai wang … Mereka adalah orang sebenar dari semua lapisan masyarakat, misalnya, (mereka) bergelar ibu tunggal, suri rumah, janda dan bercerai.” Beliau sangat berbangga dapat membantu ‘ibu tunggal’ dan turut menyumbang ‘elaun bulanan’ kepada Hospital Sungai Buloh bagi membantu petugas hadapan berhadapan dengan COVID-19 (Malay Mail, 13 April 2020).
Selepas enam hari mengeluarkan kenyataan terdapat lebih 300,000 sugar baby, sebahagian besarnya ialah pelajar perempuan berumur dalam lingkungan 20 tahun berdaftar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat laman tersebut (16 Februari 2021). Keesokannya beliau ditangkap dan kemudian dibebaskan setelah mahkamah mendapati beliau memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan kes tersebut. Beliau ditahan beberapa jam kemudian (atas dakwaan bersubahat) mengenai satu kes rogol dan pelacuran yang membabitkan seorang pelajar universiti pada 19 Februari 2019.
Tahun 2019, iklan sugar book menimbulkan kontroversi. Februari lalu pengasasnya, Darren Chan ditahan dan kemudiannya bakal didakwa atas kesalahan melanggar Seksyen 372(1) dan 372B Kanun Keseksaan kerana mempromosikan pelacuran. Ketika kontroversi iklan sugar book, Daren Chan memberikan komen sebagai tindakan yang tidak adil, kerana apa yang dilakukannya bukan tujuan pelacuran, ia adalah platform mengaturkan pertemuan atau dipanggil laman berteman. Darren ditangkap bersama-sama isterinya, Charmine Chew, bekas ratu cantik (Miss International Malaysia 2019) di Mont Kiara pada petang 17 Februari 2021. Darren berasal dari Gelugor, Pulau Pinang manaka Charmine, Alor Setar, Kedah.
Darren masih muda, berumur 34 tahun (lahir 1987), yakni dari Generasi Y atau The Echo of Baby Boom. Generasi Y sangat mementingkan material dan tidak sukakan kehidupan mereka dikelilingi anak yang ramai sebagaimana Generasi Baby Boom dan The Baby Burst atau Generasi X. Charmine berumur 25 tahun (lahir 1996) adalah dari Generasi X, kohort yang sama dengan suaminya. Ketika menyertai Ratu Cantik beliau masih seorang pelajar dalam bidang Perhubungan Awam.
Krisis moral dan tatasusila dikatakan mendominasi perihal kebejatan sosial Generasi Milineal selain krisis memahami peraturan hidup yang lebih baik. Bagi generasi milineal, soal jodoh dan kehidupan berkeluarga harus berlangsung dalam suasana penuh gemerlapan, bahkan kalau boleh majlis persandingan dilaksanakan sangat meriah, biarpun terpaksa memikul beban hutang. Mereka berfikir, kerana perkahwinan itu hanya sekali dalam seumur hidup, ia perlu diraikan secara meriah dan gah, penuh dengan keunikan dan berbeza dengan tradisi.
Banyak halangan yang terpaksa ditunda, namun ada di antara mereka melahirkan rasa kesal kerana pandemik COVID-19. Beberapa bulan lalu, apabila sekatan dilepaskan, perkahwinan berlangsung dalam majlis yang kadangkala terlupa adanya SOP yang perlu dipatuhi. Misalnya, apa yang didedahkan mengenai majlis perkahwinan Neelofar dan PU Riz.
Atas kesalahan ‘melanggar SOP’ pasangan itu didenda RM 30,000. Neelofar bukan dari kalangan Generasi Z, beliau dilahirkan pada tahun 1989 termasuk dalam kategori Generasi Y. Suaminya, PU Riz (Muhamad Hariz Mohd Ismail) adalah Generasi Y (lahir 1995). Bagaimanapun, kerana Neelofar dilihat sebagai ikon media sosial, mempunyai pengikut yang ramai, secara psikologinya beliau berfikir seperti Generasi Y kalaupun bukan Generasi Z. Selain dikenali sebagai pendakwah, Riz turut berlakon sejak tahun 2016. Antaranya, Selafaz Cinta, Air Mata Di Bumi Matador, Lelaki Kiriman Tuhan, Dosanya Perempuan, Kelip Kelip Kota London, Geng Tadarus, dan Anugerah Cinta Aisyah manakala filem ialah Apa Ada Dengan Dosa (2019). (Bersambung)
Kamarun KH
Recent Comments