Dalam tempoh beberapa hari ini, kepimpinan Israel dijangka akan bertukar tampuk kuasa. Benjamin Neetanyahu terpaksa berundur dan mengakui kegagalannya, di mana proses pembentukan kerajaan campuran selepas empat kali melakukan pilihan raya dalam tempoh dua tahun, parti pimpinannya, Parti Likud tidak mencapai kedudukan majoriti mudah, iaitu 61 kerusi daripada 120 kerusi Knesset.

Daripada empat pilihan raya diadakan, Parti Likud hanya boleh meraih 36 kerusi menjadikan pemerintahannya dalam tempoh ‘pembentukan kerajaan campuran’ tidak ketentuan, dan akhirnya terbukti gabungan parti-parti lawan sudah berjaya mengatasinya dengan kedudukan 62 kerusi dan bakal menamatkan era pemerintahan Benjamin Neetanyahu selama 12 tahun.

Neetanyahu merupakan Perdana Menteri Israel yang paling lama, namun beliau juga merupakan Perdana Menteri pertama yang berhadapan dengan pembicaraan skandal salah guna kuasa, rasuah dan beberapa kesalahan lain ketika masih berkuasa.

Sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkuasa, Neetanyahu juga dikatakan sangat tertekan dengan kekalahan Parti Likud pimpinannya dan dianggap gagal menggunakan semangat zionis sebagai senjata terakhir untuk mendapatkan sokongan dengan melancarkan serangan ganas ke atas Gaza pada 10 Mei lalu sehingga membunuh hampir 300 penduduk Palestin, sebahagian besarnya kanak-kanak dan wanita.

Tragedi serangan selama 11 hari itu telah meningkatkan simpati masyarakat antarabangsa, termasuk beberapa tunjuk perasaan di Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara Islam di atas tindak tanduk brutal tentera Israel ekoran bantahan penduduk Palestin ke atas keputusan untuk mengusir penduduk asal Syeikh Jarrah untuk dijadikan petempatan baharu kaum Yahudi.

Menurut laporan al-Jazeera, Yair Lapid yang memimpin Parti Yes Atid, salah sebuah parti pembangkang yang bersetuju membentuk gabungan baharu, Naftali Bennet akan dipilih sebagai Perdana Menteri secara bergilir-gilir.

Naftali Bennet merupakan pemimpin parti sayap kanan, Yamina akan menjadi Perdana Menteri untuk dua tahun pertama dan Yair Lapid akan menggantikannya untuk tempoh dua tahun kedua dalam sistem demokrasi empat tahun.

Yair Lapid yang ditugaskan oleh Presiden Israel, Reuven Rivlin untuk mencari alternatif selepas Neetanyahu gagal mendapat sokongan daripada parti-parti pembangkang untuk bekerjasama membentuk kerajaan campuran setelah Parti Likud hanya menang 30 kerusi, walaupun secara tunggalnya, parti itu memenangi kerusi terbanyak.

Ia berbeza dengan situasi yang berlaku di Malaysia pada tahun 2018. Gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan menang kerusi terbanyak, dan berjaya menyikirkan penguasaan BN yang berkuasa selama 61 tahun walaupun secara zahirnya, UMNO yang menjadi tulang belakang dalam BN memenangi kerusi terbanyak.

UMNO tidak mampu berkuasa, kerana gabungan dalam BN memperoleh keputusan yang mengecewakan dan sebahagian daripada komponen BN telah membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan tersebut manakala sebahagian daripada wakil rakyat UMNO mengambil sikap ‘keluar parti’ atas pelbagai alasan. Tetapi yang paling besar ialah mencari dahan untuk berpaut setelah UMNO kehilangan kuasa, dan dahan yang dilihat mampu memberikan peluang ‘membolot kekayaan dan kuasa’ ada di dalam Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dikenali dengan panggilan Bersatu.

Penghijrahan yang dikenali sebagai ‘festival katak’ itu telah menyebabkan kedudukan kerusi milik UMNO menguncup sehinggalah PH pula berhadapan dengan gelombang katak seterusnya yang ditandai dengan satu majlis perhimpunan yang diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 22 Februari 2020. Perhimpuan tersebut kemudiannya dikenali sebagai Langkah Sheraton, dan ‘fun fair para katak’ cukup kuat sehingga Dr Mahathir Muhammad, yang memimpin PH membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 selepas 22 bulan mengangkat sumpah pada 24 Februari 2020.

Dalam keadaaan situasi yang tegang, Istana Negara berjaya menyelesaikan kemelut tersebut dengan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 berdasarkan keputusan dan sokongan yang diperoleh apabila kesemua wakil rakyat dipanggil untuk menyatakan pendiriannya. Muhyiddin membentuk kerajaan campuran dengan bekerjasama parti-parti yang masih kekal dalam BM (UMNO, MIC dan MCA), yang sebelum itu membentuk kerjasama yang dipanggil Muafakat Nasional dengan PAS, untuk merancang ‘strategi perang’ melawan PH.

Bersatu berpecah, PKR juga berpecah. Akhirnya, Dr Mahathir dan lima orang lagi dipecat, bermakna bukan lagi ada kaitan dengan Bersatu (Dr Mahathir, Mukhriz, Mazlee Malik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Shaharudin dan Amirudin) dan Azmin bersama-sama sekutunya melompat menyertai Bersatu. Ini telah menguatkan kedudukan Muhyiddin walaupun belum dapat menandingi kerusi yang masih berbaki dimiliki oleh UMNO.

Lebih mengejutkan dengan apa yang berlaku ke atas Neetanyahu ialah kesanggupan parti-parti yang mewakili Palestin, Daftar Persatuan Arab (juga dikenali Parti Nasionlis Arab atau Parti Raam) di mana pemimpinnya, Mansour Abas menandatangani persetujuan dua jam sebelum berakhirnya masa yang ditetapkan pada hari Rabu, 2 Jun 2021.

Ini bermakna sebanyak tujuh parti telah berjaya membentuk gabungan parti Anti-Neetanyahu. Bagaimanapun, keputusan akhir bergantung kepada kelulusan Knesset, dan jika ianya diluluskan, Neetanyahu akan tersingkir dan bakal mengalami nasib ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Mansour Abbas, berkata: “Kami berjanji, kami akan menjadi orang terakhir yang menyetujui dan menandatangani dokumen tersebut. Inilah yang kami lakukan. Kami memahami bahawa semua pihak lain telah bergabung dalam proses tersebut. Kami telah melihat bahawa semua pihak lain telah menandatangani dokumen tersebut, ”

Sebagaimana dilaporkan oleh Hoda Abdel-Hamid dari Al Jazeera, persetujuan itu dicapai dengan Parti Biru-Putih, parti berhaluan tengah yang dipimpin oleh Benny Gantz, yang dijangka kekal dilantik sebagai Menteri Pertahanan, juga dengan Parti Meretz berhaluan kiri, dan Parti Buruh yang berhaluan kiri tengah serta sebuah parti nasionalis, Yisreal Beitinu dibawah pimpinan Avigdor Lieberman, bekas Menteri Pertahanan Israel, yang menjadi pencabar utama kempen pilihan raya Israel sejek Mac 2019.

Kesepakatan dicapai dengan partai Biru dan Putih (gabungan Parti Resillience Israel, Yesh Atid dan Parti Telem) yang berhaluan tengah, dipimpin oleh Benny Gantz, yang akan tetap menjadi menteri pertahanan di kabinet baru; Meretz sayap kiri dan partai Buruh kiri tengah, serta dengan partai nasionalis Yisrael Beiteinu pimpinan mantan Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan,  Avigdor Lieberman.

Liebermann, semasa diwawancara oleh Channel 12, pertengahan Mei lalu (15 Mei 2021) menyifatkan tindakan Neetanyahu menyerang Hamas sebagai “tindakan meningkatkan kedudukan dalam kalangan (meraih sokongan baharu)  masyarakat awam Israel, bagi memanjang kepada pilihan raya kali kelima..Neetanyahu menggunakan mandat  yang diberikan oleh kerajaan kepada Parti Likud cuba keluar daripada kemelut politik yang dihadapinya, ” dan atas kepentingan itu, Neetanyahu memanipulasikan kabinet.

Menurut Liebermann lagi, berdasarkan perspektif keselamatan Israel, konflik dengan Hamas akan berakhir sebagai sebahagian persetujuan bantuan ekonomi ke Gaza, dan pelepasan dua mayat askar Israel yang ditawan oleh Hamas, “jika tidak, kesemua pertempuran tersebut adalah sia-sia.”

“Hamas memulakan konflik, Hamas untuk kali pertamanya membentuk barisan dari dalam barisan melawan Israel dari dalam,  Hamas berjaya mengawal jalan di Palestin, dan itu adalah sebagai langkah menyingkirkan Fatah, ” tambah Liebermann.

Liebermann mendakwa Neetanyahu adalam “ “Hamas collaborator,” dengan berkata Perdana Menteri dan “the Gaza-ruling terror group are the only two factors that have an interest in the hostilities continuing.

Bagaimanapun, Topaz Luk, penasihat digital media membalas kenyataan Lieberman itu dengan melakukan ciapan di Twitter dengan menggelar bekas Menteri Luar Negeri dan mantan Menteri Pertahanan selama dua penggal (2009-2012 dan 2013-2015) itu “disgusting and repulsive man.”

Lieberman merupakan anggota Knesset sejak tahun 1999, dan tahun 2001 dilantik sebagai Menteri Infrastruktur Israel, meletakkan jawatan pada bulan Mac 2002, namun dilantik semula dalam kabinet sebagai Menteri Pengangkutan pada bulan Februari 2003. April 2019, Lieberman enggan menyertai kerajaan campuran yang sedang dibentuk oleh Neetanyahu, atas isu kemasukan lebih sejuta imigran dari Rusia (Russian-speaking immigranys) sejak tahun 1990-an.

Lieberman juga merupakan pendatang dari Rusia dan dilahirkan pada 5 Jun 1958 di Kishinev, Soviet Union (kini Chișinău, Moldova) dari keluarga Yahudi Russian-speaking. Keluarga Lieberman berhijrah ke Israel pada 18 Jun 1978.

Nama sebenar beliau ialah Evet Lvovich Lieberman. Semasa belajar di University Hebrew, Liebermann menukarkan namanya kepada Avigdor Liebermann, dan semasa di kampus aktif dalam gerakan pelajar, Kastel,  yang mendokong Parti Likud.

Tahun 1999, Libermann menubuhkan parti Yisrael Beiteinu. Sejak itu, Parti Israel Beiteinu bertindak sebagai “king maker’ dalam kerajaan campuran Israel. Selepas pemilihan pada tahun 2009, Yisrael Beiteinu merupakan parti yang ketiga paling berpengaruh di Israel dan pada 16 Mac 2009, menyertai gabungan parti membentuk kerajaan di bawah pimpinan Benjamin Neetanyahu, di mana beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negara.

Beliau kemudiannya meletakkan jawatan dan menjadi penentang utama Parti Likud pimpinan Benjamin Neetanyahu, yakni dengan menamatkan kerjasama dalam kerajaan campuran (April 2019).  Parti pimpinannya, menang 7 kerusi Knesset.

Naftali Bennet yang memimpin Parti Yamina menang 6 kerusi Knesset, manakala Parti Biru dan Putih pimpinan Benny Gantz mencapai kedudukan kedua kerusi terbanyak iaitu 33 selepas Parti Likud dengan 36 kerusi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas berjaya membentuk gabungan Anti-Neetanyahu, ketua pembangkang dari parti Yesh Atid,  Yair Lapid menjelaskan: “Kerajaan baharu ini akan berkhidmat untuk semua rakyat termasuk mereka yang tidak bersamanya, akan menghormati mereka yang menentangnya dan akan melakukan segalanya bagi menyatupadukan masyarakat Israel.”

Naftali Bennet merupakan jutawan teknologi yang berusia 49 tahun dan bekas penyampai berita diterima sebagai calon Perdana Menteri untuk giliran pertama selama dua tahun setelah mencapai persetujuan dengan parti Yesh Atid pimpinan Yair Lapid pada hari Ahad lalu (30 Mei 2021). Sejak dua tahun lalu, Neetanyahu berhadapan dengan kegagalan Knesset terhadap rencana bajet yang dikemukakan.

Pilihan raya pusingan keempat yang diadakan pada bulan Mac lalu (2021), menyaksikan kegagalan Neetanyahu meraih sokongan majoriti mudah. Kali pertama ialah pada bulan April 2019, dikuti pusingan kedua September 2019, dan kali ketiga ialah Mac 2020.

Pertengahan Mac 2020, Neetanyahu didakwa atas kesalahan  penipuan, salah guna kuasa dan rasuah. Kes yang membabitak Neetanyahu, menurut Avichai Mandelblit, Peguam Negara Israel menerima hadiah bernilai ratusan dolar, menawarkan bantuan kepada penerbit akhbar dan menyalahgunakan kuasa membantu pemilik syarikat telekomunikasi Bezeq yang dipunyai oleh Shaul Elovitch.

Dengan menambahkan penilaian positif terhadap syarikat tersebut, Neetanyahu dikatakan membantu Bezeq memperoleh keuntungan sebanyak USD$ 250 juta. Hasilnya, Neetanyahu dikatakan mendapat faedah daripada keuntungan yang diraih oleh Bezeq.

Neetanyahu juga berhadapan dengan dakwaan menerima suapan daripada Arnon Milchan, asal Israel dan James Packer dalam bentuk ‘bekalan champagne dan cerut’ bernilai USD$200,000.

Hadiah diberikan itu kerana Neetanyahu dikatakan telah membantu pihak yang berpengaruh di Hollywood memanjangkan visa Amerika Syarikat kepada Milchan, manakala daripada Packer, tidak didedahkan secara jelas.

Dakwaan ketiga ialah menekan penerbit akhbar Yediot Ahroot , Arnon Mozes agar menyiarkan rencana dan berita positif, sebagai imbalannya, diluluskan beberapa peraturan kawalan. Namun, akhbar tersebut mengalami penurunan keuntungan.

Ketika mengulas kesemua dakwaan tersebut, Neetanyahu menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘kudeta Terhadap Perdana Menteri.” (https://news.detik.com/internasional/d-4794152/dijerat-3-dakwaan-korupsi-pm-israel-benjamin-netanyahu-melawan/2)

Pada 1 Januari 2020, Neetanyahu mengemukakan permohonan mendapatkan kekebalan kepada Speaker Knesset, Yuli Edelstein. Permohonan tersebut mendapat bantahan daripada kalangan anggota Knesset, yang kemudiaanya Neetanyahu menarik balik permohonannya pada 28 Januari 2020 selepas pembentukan Jawatankuasa Dewan Kekebalan gagal mendapat kelulusan, dengan hanya 16 sokongan dan lima menolak. Jawatankuasa itu dianggotai oleh 30 ahli, di mana kebanyakan ahlinya adalah ahli Knesset yang menentang Neetanyahu.

Perbicaraan awal kes tersebut kemudiannya ditunda kepada bulan Februari 2021, dan dalam masa yang sama Neetanyahu merancang pilihan raya pusingan ketiga.

Pada 6 Februari 2021, ratusan rakyat Israel berhimpun di perkarangan kediaman Neetanyahu mendesak beliau meletakkan jawatan, dan tunjuk perasaan itu dikatakan sudah berlangsung di setiap malam minggu sejak tujuh bulan lalu. Neetanyahu juga didakwa gagal menguruskan krisis akibat COVID-19.

Pada 7 Februari 2021, Israel akan melonggarkan perintah ‘lockdown’ ketiga bagi membolehkn kempen pilihan raya dilaksanakan. Kematian akibat COVID-19 pada masa itu ialah 5,071 manakala kes positif baharu pada sehari sebelumnya ialah 6,273 dan telah menjangkiti 82, 546 orang.  Bagaimanapun ketika itu vaksinisasi sudah berjalan di Israel, di mana 3,423,245 menerima suntikan, termasuk 2,011,617 selesai dengan dos kedua.

Sehingga 4 Jun 2021, seramai 839,532 orang telah dijangkiti dan 6,416 kes kematian di Israel. Angka ini menunjukkan bahawa Israel turut mengalami ‘krisis kesihatan’, dan pengurusan kesihatannya tidaklah lebih baik daripada Malaysia apabila dilaporkan mempunyai kadar jangkitan harian persejuta yang tertinggi setakat ini.

Jika diambil kira daripada jumlah kumulatif, kes positi dan kematian, apa yang dialami oleh Israel hingga kini adalah ‘lebih teruk’ daripada Malaysia. (Jumlah kumulatif di Malaysia sehingga semalam ialah 595,347 dengan 3,096 kematian. Jangkitan harian (kes baharu) ialah 8, 209). Bagaimanapun, kes jangkitan baharu di Israel dapat diturunkan menerusi vaksinisasi dan pada 2 Jun 2021 dilaporkan hanya terdapat enam  kes baharu dan dua kematian (https://www.worldometers.info/coronavirus/country/israel/)

Neetanyahu dalam pusingan ketiga cuba menjadikan pelan damai Deal of Century yang dirangka oleh Donald Trump (Januari 2020) sebagai peluang untuk meraih sokongan lebih besar, tetapi, jelas membuktikan pengaruhnya semakin merosot apabila Parti Likud hanya menang hanya 36 kerusi, iaitu bertambah sebanyak 3 kerusi dari apa yang dicapai pada pilihan raya pusingan pertama yang diadakan pada bulan April 2019. (https://www.timesofisrael.com/final-results-confirm-likud-with-36-seats-right-short-of-majority-with-58/)

Dengan persetujuan baharu itu, rancangan Neetanyahu untuk mengheret Israel dalam pusingan kelima pilihan raya tidak kesampaian, tetapi apa yang lebih parah ialah Neetanyahu akan terus dikecam sebagai seorang pemimpin yang tidak jujur dan silap ketika melangkah tangga dengan mengadakan pilihan raya lebih daripada tarikh sebenar pada tahun 2019 ketika dirinya sudah dibelenggu dakwaan menipu, salah guna kuasa dan rasuah.

Biarpun pada awalnya parti pimpinannya Parti Likud tidak kalah sepenuhnya, andaian bahawa sebilangan besar pengundi tidak mempedulikan persoalan integriti pemimpin, ketika mengarahkan tentera memulakan pembedilan ke atas Gaza City pada 10 Mei lalu menjadikannya dihempap tangga yang silap dilangkahinya, biarpun Washington mengisytiharkan sebagai ‘tindakan mempertahankan diri’ dan ‘diplomasi senyap’, masyarakat dunia mengecam sebagai jenayah kemanusiaan dengan mendesak, Israel didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Bagaimanapun, ia tidak semudah desakan, selagi Amerika Syarikat diberikan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, kecuali Joe Biden mengubah pendiriannya sebagaimana didesak oleh Benny Sanders (senator dari Vermont), Pengerusi Jawatankuasa Bajet Senate agar mengkaji semula bantuan tahunan berjumlah USD$3.8 bilion (pakej bantuan sejumlah USD$38 bilion yang diluluskan oleh Barrack H Obama selama 10 tahun) kepada Israel dengan meletakkan syarat, Amerika Syarikat perlu mengawal tindak-tanduk Israel, bukan Israel mengawal pentadbiran Rumah Putih.

MONOSIN SOBRI

 

 

Translate »