Menurut Kamus Dewan (2007: 304), dajal (bukan dieja dajjal) adalah istilah yang diserap daripada bahasa Arab. Ia membawa maksud: (1) makhluk yang akan muncul untuk menyesatkan manusia sebelum terjadinya kiamat, tetapi akhirnya dapat dibunuh oleh Nabi Isa AS; (2) kiasan (orang yang) berperangai jahat (penipu, dan lain-lain), buruk (berkenaan sifat, kelakuan).
Pengertian pertama, oleh kerana kita tidak tahu bilakah kiamat akan benar-benar berlaku, maka dalam tempoh ‘menunggu’ itulah dajal hadir menggoda manusia untuk melakukan kejahatan. Tidak ada dajal yang boleh dikategorikan ‘mengajak manusia berbuat baik’ dan kerana itu, setiap perbuatan atau perangai buruk ia akan dikaitkan dengan sosok mutlak dajal, yakni pengertian kedua. Pengertian ketiga, kehebatan dajal tidak akan kekal selama-lamanya, kerana dajal akan dibunuh oleh Nabi Isa AS.
Timbul pula soalan seterusnya, kenapa Nabi Isa AS? Secara zahirnya kita diberitahu bahawa Nabi Isa AS yang dianggap sebagai ‘juruselamat’ oleh penganut agama Kristian sudah meninggal dalam upacara penyalipan untuk ‘menebus dosa warisan’. Secara lojiknya, kita memahami bahawa orang yang mati secara jasadnya tidak akan hidup kembali, kecuali rohnya sahaja. Itu lojik akal, bukan apa yang dijanjikan oleh Tuhan.
Di sisi Tuhan, manusia sebenarnya tidak mati cuma berpindah dari alam yang fana (dunia) kepada alam yang lebih kekal (abadi). Gambarannya sangat jelas, biarpun secara fizikalnya manusia itu mati (jasad), bahagian yang tidak kelihatan dengan pandangan mata (roh) itu tidak mati. Bukan sahaja orang Islam percaya dan yakin, bahkan semua penganut agama samawi berpendapat sama. Mereka berpendapat sama kerana mereka menerima pencerahan daripada sumber yang sama pada asasnya.
Perbezaan adalah berdasarkan ketulenan sesuatu ajaran yang kekal dan terus hidup dalam diri setiap penganutnya. Sayangnya, dua agama samawi – Kristian dan Nasrani —mengalami hakisan makna keimanan dan praktis kepercayaan selepas digoda oleh keinginan untuk mengubah apa yang diturunkan kepada nabi-nabi untuk memimpin umatnya. Ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa AS telah diubah oleh pendeta Nasrani atas rasa cemburu terhadap pengaruh dan ramainya penganut. Akhirnya, ajaran Nabi Isa AS dipanggil Kristian, walaupun semasa menyampaikan ajaran tersebut tidak muncul istilah tersebut. Ia berbeza dengan Islam, ia disahkan dengan jelas ajaran yang dibawa dan didakwahkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah Islam sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19)
Ketika turunnya wahyu terakhir, yakni setelah lengkapnya dakwah Nabi Muhammad SAW, secara rasminya Allah SWT menjelaskan:
“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)
Secara jelasnya, seseorang yang menolak dan tidak mempercayai bahawa Islam itu adalah agama yang diredhai, lengkap dan paling sempurna, orang itu adalah:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 85)
Tiga kutipan wahyu (al-Qur’an) tersebut menggambarkan bahawa walaupun Islam adalah agama wahyu terakhir, Islam adalah agama yang paling suci dan benar. Hal ini berlaku kerana ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa AS sudah diselewengkan, begitu juga pedoman-pdeoman yang terkandung di dalam kitab suci (Injil).
Hal yang sama turut berlaku ke atas ajaran agama sebelumnya, iaitu Nasrani, agama yang dikaitkan dengan beberapa orang Nabi dan Rasul yang diutuskan dalam kalangan bani Israel. Kedua-dua agama tersebut –Kristian dan Nasrani- ketika ini dilihat sama dan tidak bertentangan, hanya oleh sebab kejayaan Paulus menggunakan naratif Gospel dengan mencedok apa yang diajar oleh Nabi Isa AS.
Naratif Gospel atau juga dikenali The Saying Gospel bukanlah kitab suci yang bersumberkan wahyu, ia adalah rekayasa manusia. Ini kerana apa yang terkandung dalam kitab-kitab suci sebelumnya – Injil, Taurat dan Zabur –membawa konsep keimanan berdasarkan Tauhid. Naratif Gospel mempopularkan akidah triniti, iaitu Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Rahul Kudus, sedangkan tidak ada konsep trinity dalam mana-mana ajaran yang bersumberkan wahyu. Injil kemudiannya disesuaikan lagi dengan dua versi yang ditulis semula, akhirnya dinamakan Old Testament (Perjanjian Lama) dan New Testament (Perjanjian Baharu).
Sebab itulah Islam kemudiannya muncul untuk memperbetulkan penyelewengan akidah tauhid. Akibatnya, kerana ada beberapa prinsip yang dilihat sama, maka timbul pula dakwaan bahawa Islam adalah agama yang meniru Kristian dan Nasrani. Dua agama itu sebenarnya permulaan kepada agama Islam, sebab itulah di sisi Allah SWT, agama tersebut tidak diberikan nama sebagaimana Allah SWT melakukannya ke atas Islam.
Jadi, dakwaan meniru daripada ajaran Kristian dan Nasrani adalah tidak tepat, bahkan bercanggah dengan akidah yang disampaikan menerusi Nabi-Nabi dan Rasul yang diutuskan sejak Nabi Adam AS lagi, juga manusia pertama dan menjadi induk kepada seluruh manusia. Sebab itulah apabila Charles Darwin memperkatakan bahawa manusia berasal daripada beruk, setelah jutaan tahun berevolusi, kenyataan tersebut disifatkan sebagai kenyataan dajal. Darwin melakukan pembohongan dan pemesongan hakikat kejadian manusia dengan tujuan menyesatkan akidah. (Harun Yahya, The Evolution Deceit: The Scientific Collapse of Darwinism and its Ideological Background, 1997).
Jika dilihat daripada perlakuan dua pemuka agama tersebut, mengubah kandungan kitab suci dan memperlakukan mana-mana penganut secara tidak jujur, misalnya menipu bahawa Nabi Isa AS adalah ‘anak Tuhan’, ia sudah menampakkan adanya kiasan yang dapat dikaitkan dengan sifat dajal, dengan definisi mudah “makhluk berperangai jahat”.
Apakah dajal adalah makhluk yang benar-benar ada atau hanya sekadar kiasan (majaaziy) atau simbol (kejahatan)? Kaum muktazillah dan kelompok yang sangat mengagumkan takwil berpandangan bahawa dajal itu hanya sekadar simbol, bukan makhluk yang benar-benar ada atau wujud. Selain daripada kelompok tersebut, sebahagian besar umat Islam sangat percaya bahawa dajal itu adalah makhluk dan benar-benar ada, walaupun tidak disebut dalam al-Qur’an secara langsung kata tersebut.
Secara umumnya, terdapat beberapa ayat yang menyebutkan istilah ba’dhu aayaati Rabbika ( al-An’aam, ayat 158) sebagai tanda “akhir zaman”; berimannya ahlul kitab akan kemunculan Nabiyullaah ‘Isa AS sebelum wafatnya (An-Nisaa, ayat 159 dan QS. Az-Zukhruf, ayat 61) yang menyebutkan bahwa ‘Isa adalah pengetahuan hari kiamat”.
Begitu juga dengan ayat ke-57 surah Ghafir yang menjelaskan bahawa kebanyakan manusia tidak mengetahui atau memahami terhadap penciptaan-Nya yang lebih besar (termasuk perkara ghaib). Itu sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan dajal memang ada dan telah diisyaratkan dalam Al-Qur’an.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada fitnah yang lebih besar di muka bumi ini sejak dari penciptaan Nabi Adam AS yang melebihi dari fitnah Dajal. Dan tiada Allah mengutus para nabi melainkan mereka telah memperingatkan umatnya tentang Dajal. Dan, aku (Nabi Muhammad SAW) adalah pengakhir bagi para nabi dan kamu adalah pengakhir segala umat. Ingatlah Dajal itu pasti datang kepada kamu tanpa diragukan lagi…” (Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud, al-Hakim).
Dalam satu hadis yang lain, riwayat oleh Amir Ibnu Sharahil Sabi Shab Hamdan dari Fatimah binti Qais yang mendengar langsung dari Rasullullah SAW. Ketika itu, Fatimah baharu sahaja selesi iddah, dan sebaik sahaja selesai sembahyang berjemaah, Rasullullah SAW memerintahkan para Jemaah berkumpul. Setelah itu Rasullah SAW berkata: Hendaklah kamu masing-masing duduk di tempat sembahyangmu”.
Tanya Rasullullah SAW: Tahukah kamu mengapa aku kumpulkan kamu semua?”
Jawab sahabat: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui!”
Ungkap Nabi Muhammad SAW: Sesungguhnya demi Allah aku tidak menghimpunkan kamu semua kerana mengharapkan sesuatu ataupun takutkan sesuatu tetapi aku menghimpunkan kamu kerana Tamim ad-Dari yang dahulunya seorang Nasrani lalu ia datang menemuiku dan menyatakan keislamannya dan berbai’ah kepadaku. Dia telah menceritakan kepadaku suatu cerita yang sesuai dengan apa yang pernah aku ceritakan kepada kamu berkenaan dengan ‘al-Masih ad-Dajal”.
Tamin ad-Dari pernah menceritakan kepada Rasullullah SAW tentang pengalaman mengharungi lautan bersama-sama dengan 30 orang lelaki dari kabilah Lakhm dan Juzdam. Semasa mengharungi samudera, Tamim dan kumpulannya diterjah ombak selama satu bulan lamanya. Setelah itu, mereka terdampar di sebuah pulau di tengah-tengah lautan, yang menjadi tempat tenggelamnya matahari.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke pulau tersebut, alangkah terkejutnya apabila disambut oleh seekor binatang berbulu sangat tebal sehingga sukar untuk mengecam mana bahagian depan dan mana bahagian belakang. Salah seorang bertanya: “Apakah kamu ini?”
Jawab binatang tersebut: “Akulah pengintip rahsia (Jassasah)”
Tanya mereka lagi: “Pengintip apa?”. Dan binatang itu pun menjawab, “Tak perlu kamu tanyakan apa-apa lagi, pergilah kamu menemui seorang lelaki yang berada di dalam biara (tempat pertapaan) kerana ia sangat mengharapkan berita daripada kamu.” Mendengarkan jawapan itu, kumpulan yang dipimpin oleh Tamim kemudian pergi dan dalam fikiran membayangkan bahawa binatang tersebut merupakan syaitan betina.
Setelah tiba dibiara, Tamim dan rombongannya terkejut kerana apa yang disaksikan mereka adalah seorang manusia yang cukup besar dan sedang dirantai sekuat-kuatnya: Dua belah tangan dirantai hingga ke leher; kedua belah kaki dan lututnya dibengkokkan diikatkan dengan besi hingga ke kededua buku lali.
Melihat kepada itu, mereka pun bertanya: Makhluk apakah kamu ini?”
Dijawabnya, “ Sebenarnya kamu sudah melihat keadaanku. Siapakah sebenarnya kamu?”
Mereka menjawab: “Kami adalah dari bangsa Arab. Kami belayar di lautan, kapal kami dipukul oleh ombak selama sebulan dan akhirnya, kami terdampar di pulau ini. Kami menaiki perahu untuk ke pulau ini. Kami sangat terkejut apabila didatangi oleh seekor binatang besar berbulu lebat dan sukar untuk kami mengecam mana bahagian depan, mana pula bahagian belakang. Apabila kami bertanya, dijawabnya ”Akulah Pengintip”. Bila ditanya lagi “Pengintip apa?’, binatang itu meminta kami pergi menemui seorang lelaki yang berada di dalam biara, iaitu kamu. Mendengar jawapan itu, kami mula takut kerana kami sangkakan binatang itu adalah syaitan betina, lalu segera menemui kamu”
Lelaki besar yang dirantai itu bertanya: “cuba ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan?”
Kami menjawab: Apakah yang kamu mahu ketahui?
Suguh lelaki yang dirantai itu: “Apakah ia masih berbuah?” dan salah seorang rombingan Tamim menjawab: “Ya! Masih bebuah.”
Celah lelaki terbelenggu itu: Sesungguhnya hampir ia tidak berbuah lagi” dan menyambung dengan pertanyaan: Bagaimana pula dengan Tasik Thabariayyah?”, terutama mengenai airnya.
Salah seorang menjawab: Airnya masih banyak.”
Dengan yakin lelaki tersebut memberitahu, airnya akan kering pada masa akan datang dan bertanya lagi: Bagaimana dengan air mata Zughar? Adakah penduduk di sekitarnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka?
‘Ya! Airnya masih ada dan penduduknya masih menggunakannya, termasuk mengairi lahan pertanian mereka.”
“Bagaimana dengan nabi orang ummiyyin (buta huruf)? Apakah yang dilakukannya?,” umpama sangat mahu mengetahui pelbagai soalan dikemukakan, yang juga menandakan bahawa dirinya sudah terlalu lama dibelenggu oleh ikatan rantai.
“Dia lahir di Mekah dan telah berhijrah ke Madinah (Yathrib)”. Bahkan seluruh perjalanan NabiMuhammad SAW ingin ketahuinya, termasuk penentangan oleh orang Arab, dan juga layanan terhadap para tawanan perang.
Sampai ke satu peringkat, lelaki yang dirantai pun menjelaskan: Aku adalah al-Masih ad-Dajal” sambil menerangkan peluang untuknya keluar semakin hampir. Dikatakan, pada saat itu “aku akan berjalan ke serata permukaan bumi shingga tiada sebuah kampong pun yang terkecuali, dan akan berada selama empat puluh hari, kecuali Mekah dan Tahibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan ke atasku, aku dihalang oleh malaikat dengan pedang yang terhunus. Mereka mengawal kedua-dua kota itu daripadaku dan sesungguhnya pada setiap Malaikat yang menjaganya.” (Bersambung)
Mahanor Saleha
Recent Comments