Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan 3 bulan gaji menteri dan timbalan menteri dipotong dan akan disalurkan ke Akaun Amanah Bencana. [Hari ini, Ketua Setiausaha Negara mengumumkan penjawat awam juga akan berbuat demikian, memotong Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) dan Elaun Khidmat Awam (EKA) yang akan mengumpulkan RM 30 juta daripada 800,000 penjawat awam]. Memang tepat dengan waktunya keputusan ini diambil dan sebagai tanda sokongan pihak kerajaan (juga penjawat awam) kepada usaha untuk memerangi COVID-19 di negara ini. Namun di sebalik cerita ini ada lagi cerita yang lebih menarik dari cerita di atas iaitu mengenai tindakan Rasulullah SAW ketika menghadapi situasi yang sama (masa-masa sukar). Hayati kisah cerita seterusnya.
Suatu malam, Rasulullah SAW mengimamkan solat Isyak. Setiap kali ketika baginda menggerakkan badannya, terdengarlah bunyi-bunyian seolah-olah tulang-temulang bergeseran. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya, “Apakah Rasulullah sedang sakit?” Dengan suara perlahan baginda pun menjawab, “Oh tidak! Saya sihat walafiat.”
Sahabat itu berasa pelik dan bertanya lagi, “Tetapi mengapa tulang-tulangmu bergeseran (berbunyi) setiap kali Tuan bergerak sepanjang solat tadi?” Melihat para sahabat agak cemas, Rasulullah SAW kemudian membuka jubahnya. Maka nampaklah ikatan selempang kain yang dipenuhi dengan kerikil untuk menahan lapar. Sebenarnya, kerikil-kerikil itulah yang menimbulkan bunyi ketika baginda mengimamkan solat Isyak bersama para sahabat baginda.
Umar bin Khattab tiba-tiba menjerit, “Ya, Rasulullah! Alangkah rendahnya diri kami dalam pandanganmu jika engkau mengatakan lapar dan kami tidak bersedia memberikan makanan lazat-lazat buatmu sedangkan kami semua hidup mencukupi, ya Rasul. Apakah kamu menyangka bahawa kami termasuk orang-orang bakhil?” Nabi Muhammad SAW dengan terharu menjawab, “Tidak wahai Umar! Bukan begitu maksudku. Aku percaya kamu para sahabatku yang sangat mencintai aku. Apalagi bukanlah sesuatu yang menyusahkan dengan hanya sekadar memberikan makanan untukku. Jangankan makanan, harta dan nyawa pun kalau perlu kamu sanggup serahkan.
“Tetapi di mana akan kuletakkan mukaku di hadapan Allah kalau aku sebagai pemimpin, justeru memberati orang-orang yang kupimpin? Biarlah aku lapar di dunia asalkan tidak membiarkan umatku dilanda kelaparan. Sebab, kemiskinan akan menyeret manusia ke lembah kekufuran.”
Cerita mengenai kesederhanaan dan kesanggupan Nabi Muhammad SAW menahan lapar memang sering kita dengar. Cerita keikhlasan dan kemurahan hati baginda ketika menghadapi suasana getir pun sudah kita tahu. Yang jarang kita dengar adalah hujah di sebalik sikap baginda yang cenderung dilihat sebagai sesuatu yang boleh menjadi kontroversi.
Teladan pertama yang kita peroleh daripada kisah tersebut itu ialah, baginda sentiasa mengambil berat tentang kehidupan orang lain dan tidak ingin menyusahkan mereka, meskipun orang itu adalah para sahabat setia baginda yang sanggup menghulurkan apa sahaja bantuan apabila diperlukan.
Keduanya, baginda sanggup membiarkan dirinya lapar asalkan umatnya berada dalam kesenangan. Baginda tidak sedikitpun mengambil sikap mencari kesenangan hidup atas kesusahan orang lain; baginda tidak mengumpul kesenangan atas penderitaan rakyat yang dipimpinnya.
Contoh begiini amat amat jarang kita dapati pada zaman orang mengejar kemewahan. Kebanyakan pemimpin masa kini bukan lagi berusaha untuk memakmurkan rakyat, sebaliknya mereka lebih sibuk membina kedudukan tertinggi untuk diri sendiri walaupun rakyat kebanyakan masih lagi dibelenggu kemiskinan.
Paling mengejutkan apabila ada segelintir pemimpin yang dikatakan luhur dan jujur menerima sejumlah sumbangan yang boleh digunakan untuk keluarganya. Ada pihak yang sanggup menajanya kerana yang menaja mungkin memperoleh sesuatu secara tidak langsung daripada hubungan dengan pemimpin itu.
Sikap ini jauh daripada sifat kepimpinan sebenar. Nabi Muhammad SAW tidak pernah menganggap apa yang ada pada baginda sebagai “sesuatu yang membawa berkat” kerana yang lebih berkat bagi baginda ialah apa yang dilakukan untuk membahagiakan umat yang dipimpinnya.
Baginda sanggup berkorban demi menyebarkan syiar Islam tetapi pemimpin masa kini yang kebanyakannya menyanjungi Rasullullah SAW, cenderung menggunakan agama bagi memperkukuhkan kedudukan partinya.
Al-Ghazali pernah mengingatkan bahawa seseorang pemimpin perlu mendahulukan rakyatnya daripada kesenangan peribadi. (Dengan sedikit penyuntingan)
Sumber: TOK SELEHOR, https://www.facebook.com/TokSelehorIV
Recent Comments