Diaspora Yahudi dan Dasar Apartheid Negara Haram Yahudi

Sejak serangan ganas ke atas para Jemaah sembahyang Jumaat di Masjidil Aqsa oleh tentera negara haram Israel pada Jumaat terakhir Ramadhan 1442H/2021, atau tepatnya 7 Mei 2021, kedengaran ada cadangan untuk meletakkan negara haram Israel sebagai negara apartheid. Gelaran itu mengingatkan kita dengan apa yang pernah berlaku di Afrika Selatan, atau dengan kata lain salah satu bentuk white supremacy ke atas penduduk kulit berwarna, yang merupakan penduduk asal di bahagian paling selatan itu.

Kesan dasar diskriminasi berdasarkan kulit berwarna itu cukup dahsyat dan sangat brutal. Penentangan terhadap pemimpin yang hanya datang untuk menguasai penduduk tempatan bukan sedikit berlaku, bahkan ada penentangnya terbunuh dan kisah Nelson Mandela cukup mengingatkan masyarakat dunia tentang kekejaman dasar tersebut.

Selepas dasar apartheid itu berakhir, white supremacy tidak ikut berakhir. Bahkan kembali diperkatakan menerusi ‘politik jati diri’ atau ‘politik identiti’ dan menjadi sedikit menakutkan.  Seorang rakyat Australia melakukan termbakan rambang (pembunuhan kejam) ke atas Jemaah Jumaat di Chitschurch, New Zealand pada 15 Mac 2019. Brenton Harrison Tarrant, ketika itu berusia 28 tahun menggunakan facebook live mempamerkan aksi brutalnya,  menembak para Jemaah di Masjid an-Nur dan kemudian melakukan tindakan yang sama di Pusat Islam Linwood.

Tembakan ganas itu menyebabkan 51 orang terbunuh dan 49 cedera. Paling menakutkan Brenton turut membuktikan bahawa apa yang dilakukan itu adalah sebagai reaksi terhadap Islam dan kebanjiran kaum imigran di Chittschurch, yakni akan melemahkan white supremacy pada masa hadapan.

Hampir dua minggu lalu, kita menyaksikan Jews Supremacy benar-benar menggila sehingga telah membunuh hampir 240 orang penduduk Gaza, yakni dalam kalangan penduduk asal bumi Palestin. Lebih mengecewakan ialah hampir seperempat yang terkorban ialah kanak-kanak. Perang selama 11 hari itu (10 hingga 21 Mei 2021) mengingatkan kita kepada ribuan serangan brutal tentera Zionis untuk menafikan hak dan kedudukan penduduk Palestin.

Namun sejak perang bermula pada tahun 1948, kebencian dunia Islam terhadap pemimpin politik negara haram Israel tidak pernah luntur, walaupun ada di antaranya mula beralih sedikit liberal. Contohnya, pejuang-pejuang dalam Barisan Pembebasan Palestin (PLO) dan Fatah, seolah-olah tidak terasa bahangnya, kerana tembakan roket Israel menghala ke Semenanjung Gaza, kawasan yang sangat padat dengan penduduk.

Ia seolah-olah perlawanan berlaku antara Hamas dan Israel, kerana tidak ada pejuang-pejuang Fatah ikut mengangkat senjata. Bagaimanapun, atas inisiatif Mesir, pada 21 Mei 2021, Israel dan Hamas bersedia meletakkan senjata. Israel hanya melakukan itu tidak seikhlas hati.

Selepas beberapa jam gencatan senjata, kedengaran ada keinginan untuk menyambung perang. Ia bukan perkara baharu, setelah beberapa kali gencatan senjata berlaku, Israel tidak pernah setia dengan perjanjian, melakukan pelbagai provokasi untuk memancing kemarahan penduduk Palestin, bahkan melancarkan perang tanpa mengendahkan nilai-nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Beberapa hari lalu, Naib Presiden UMNO, Khaleed Nordin menggesa agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas, mengisytiharkan Israel sebagai ‘sebuah negara apartheid secara rasmi”.

Katanya, “langkah itu penting bagi mengubah kedudukan Israel dalam forum antarabangsa, sekaligus memberikan kesan lebih serius termasuk putus hubungan diplomatik serta larangan menyertai acara dunia seperti Sukan Olimpik.” Namun, apa pun gelaran yang diberikan kepada negara haram Israel, ia tidak menjejaskan sokongan Amerika Syarikat. Dalam banyak perkara, Amerika Syarikat akan tetap mempertahankan tindakan Israel, dan menurut rekod, Amerika Syarikat pernah mengugut apabila Palestin diterima sebagai ‘ahli dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Donald Trump menunjukkan aksi berangnya kepada UNSC dan badan induknya PBB, juga UNESCO bila tidak menunjukkan sikap dan tindakan yang diperlukan oleh Rumah Putih, termasuk pengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara haram Israel. Amerika Syarikat ‘menarik diri’ dan enggan memberikan dana kepada pertubuhan tersebut.

Sebenarnya, yang memulakan keganasan ialah pihak polis rejim haram Israel, menembak dengan menggunakan gas dan peluru getah ke atas Jemaah Jumaat kira-kira jam 1.40 tengah hari di Masjidil Aqsa, pada Jumaat terakhir Ramadhan lalu. Ini kerana ada sebahagian para Jemaah menunjukkan bantahan setelah memaksa lebih 50 keluarga di Sheikh Jarrah menyerahkan tanah yang diduduki mereka berpuluh tahun lalu untuk dibina kediaman haram Yahudi.

Kesan daripada tindakan tersebut, penduduk Palestin bertindak mengecam, dan seterusnya menyerang anggota polis berkenaan semampu dan sedaya mungkin tanpa senjata.

Berbeza dengan laporan yang dibuat oleh media yang dikawal oleh rejim negara haram Israel, mereka mengatakan serangan yang berlaku itu sebagai ‘mempertahankan diri’ setelah Hamas menyerang Tel Aviv. Ia merupakan dua bentuk propaganda yang dilihat dilakukan oleh regim negara haram Israel, supporting dan undermining. Ia termasuk usaha menggelapkan punca sebenar kenapa rakyat Gaza bangkit melawan.

Insiden tersebut telah menyebabkan situasi politik antarabangsa semakin memanas, bukan sahaja membangkitkan kemarahan masyarakat Islam dunia, bahkan masyarakat Amerika Syarikat mengadakan pelbagai tunjuk perasaan mengecam sikap dan pendirian Joe Biden yang tetap dengan ‘diplomasi senyap’, tetapi secara cepatnya berusaha membantu Israel daripada kehilangan simpati masyarakat antarabangsa. Kemarahan juga berlaku di London, Jepun dan beberapa belahan dunia yang melihat Israel semakin melampau.

Israel sebenarnya sangat memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa, dan dengan sokongan tersebut, Israel akan menjadi lebih besar kepala. Hingga kini, rejim negara haram Israel itu sudah ratusan kali memperlihatkan sikap kepala, kerana Amerika Syarikat dan sekutunya berada bersama untuk menjayakan aspirasi zionis.

Mengingatkan sikap dan pendirian sebenar Israel, sentiasa berbohong dan memutarbelitkan fakta, mengingatkan saya kepada apa yang pernah dicatatkan oleh Leopold Weiss (1920-1992), seorang keturunan Yahudi dari Austria perihal sikap dan pendirian sebenar masyarakat Yahudi terhadap orang Arab dan Palestin.

Leopold Weiss, pada tahun 1926 memeluk Islam dan memakai nama Muhammad Assad melakukan pengembaraan selama 23 hari merentas padang pasir sebelum tiba di Mekah sebelum memeluk Islam (1922). Pertemuan, pandangan, pengalaman dan rujukan apa yang disaksikan atau dialami, ditulis dengan baik dan cukup jelas dalam  sebuah biografi, Road to Mecca (1954), iaitu dua puluh tahun selepas menulis, Islam at the Crossroad (1934).

Saya membaca versi bahasa Inggeris sekitar tahun 1980, ketika mempelajari falsafah politik. Namun versi bahasa Melayu (terjemahan Mukhriz Mat Rus dan Ahmad Farouk Musa) diterbitkan pada tahun 2019. Jika ingatan saya masih kuat, secara subjektifnya saya telah membaca edisi terjemahan pertengahan tahun 2020, kerana ada tercatat tarikh pembeliannya, iaitu minggu-minggu terawal PKP 1.0.

Kebiasaannya, buku-buku bersifat biografi tidak disimpan terlalu lama untuk memulakan pembacaan.  Ia berbeza dengan buku-bukut bersifat akademik, ia adalah bersifat rujukan. Ia dibaca ketika ‘saya mencari’ dan memerlukan sudut pandangan lain sebaik sahaja isu se ‘belanga’ dengannya muncul atau hangat dibincangkan.

Saya menggemari buku-buku yang bersifat biografi, autobiografi, memoir dan kisah hidup seseorang termasuk seorang pemimpin atau rakyat biasa. Bagaimanapun kecepatan saya menghabiskan pembacaan bergantung kepada gaya penulisan pengarang.

Jika amat terpengaruh dengan jalan bahasa tertentu, bukan bahasa Melayu pembacaan saya sedikit terhalang, begitu juga dengan buku terjemahan yang sangat setia dengan gaya bahasa asal, seperti kitab-kitab agama (dari bahasa Arab). Saya sedar, penterjemah sebenarnya ingin mengekalkan corak penulisan dan gaya pengarang asal. Tetapi, penterjemah juga wajib faham bukan semua yang membaca itu biasa dengan gaya bahasa Arab, yang kadangkala terasa sangat bertele-tele.

Terjemahan versi bahasa Melayu diberikan tajuk Jalan ke Mekah, dan di Bab III: Angin,  saya menemukan rakaman menarik sikap dan pendirian Muhammad Asad, simpatinya kepada orang Arab ketimbang Yahudi, leluhurnya sendiri. Sedangkan kita itu, Muhamad Asad masih lagi Leopold Weiss, belum memeluk Islam.

Dalam memintas hasrat tersebut (Zionis), Weiss mengisahkan perbincangannya dengan  Dr Chaim Weismann, orang yang dihantar oleh British untuk merangka rancangan pemindahan dan pembentukan negara haram Israel. Usaha Weiss tidak berkesan untuk Weismann bermuhasabah diri, mencantas fakta sejarah, pemimpin Zionis tetap tegar untuk merealisasikan agenda Pakatan Zionis Antarabangsa.

Selepas mendengar syarahan, Weiss mengajukan satu hal yang sangat krusial dan ass kepada Weismann selepas, namun  semangat Zionisme pakar biokimia yang berhijrah ke London (dari Jerman) itu tetap menjadikan cebisan sejarah yang sengaja dicantas untuk melupakan kedudukan orang Arab (Kristian dan Muslim) adalah majoriti dan penduduk asal bumi Palestin. Palestin adalah ‘tanah suci orang Yahudi’. Telah memasuki persoalan agama, sedangkan gerakan mendirikan sebuah negara haram Israel bukanlah atas asas agama, ia adalah bersifat politik.

Antara pemesongan sejarah dan justifikasi sejarah yang tidak diakui oleh Weismann itu ialah Yahudi sebenarnya sudah lama meninggalkan bumi Palestin, bahkan mereka diusir bukan oleh orang Islam. Yahudi sudah terusir daripada bumi Palestin selama 3,000 tahun silam yakni ketika zaman pemerintahan Babylonia lagi.

Tahun 587 SM. Tentera Babylon dibawah pimpinan Raja Bukhtanasaa (Nebuchadnezzar II) berjaya menawan Baitulmaqdis. Serangan tersebut menyebabkan ramai keturunan Yahudi terbunuh dan mereka yang ditawan dijadikan hamba, ada juga dibawa balik ke  Babylon. Sejak itu berlakulah penghijrahan keturunan Yahudi ke seluruh dunia dan ia membentuk apa yang dinamakan diaspora Yahudi.

Diaspora kedua berlaku sekitar 600 tahun kemudian (70 M), Panglima Titus mengetuai tentera Rom menyerang Baitulmaqdis dan serangan itu berjaya menggagalkan pemberontakan keturunan Yahudi. Setelah berjaya mengepong Baitulmaqdis, tentera Rom membakar kuil Yahudi, manakala Yahudi yang masih hidup diusir keluar, dan ada di antaranya dijadikan hamba abdi.

Pada tahun 1210, King John yang memerintah England mengarahkan semua Yahudi ditangkap dan dipaksa membayar 66,000 marks, jika enggan,  akan dipenjarakan. Hal yang sama berlaku di beberapa wilayah jajahan Sepanyol.  Antara tahun 1483 dan 1492, semua Yahudi yang menetap di wilayah takluk Sepanyol (Castile, Catalona, Minorca, Sardenia, Majorca, Sicily, Valencia dan Andalusia) diusir oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella.

Ketika  Islam berkuasa di Andalusia, Yahudi mendapat layanan baik dan diberikan kedudukan yang tinggi semasa pemerintahan Umaiyyah. Ia berbeza selepas itu, iaitu bila Raja Ferdinand menandatangani Dikri al-Hamdra (1492): keturunan Yahudi dipaksa memeluk agama Kristian dan jika enggan mereka dihalau keluar.  Jika enggan menukar agama dan keluar, mereka berhadapan dengan hukuman bunuh.  Fasa ini terus menyebabkan kelompok Yahudi Sepanyol kembali membentuk diaspora setelah melarikan diri ke Afrika Utara dan Eropah Timur.

Joachim Gans merupakan keturunan Yahudi  pertama tiba di Amerika Syarikat (1585). Beliau dihantar oleh British ke Virginia untuk menjejaki sumber bumi seperti tembaga, emas dan perak. Lain-lain nama Yahudi yang terawal berhijrah ke Amerika Syarikat ialah Solomon Pietersan, Jacob Bresimson dan Asser Levy. Tahun 1654, sekumpulan 23 orang Yahudi Brazil (khususnya dari Recife) berhijrah ke New Amsterdam (nama awal New York), yang ketika itu dibawah pengaruh Belanda.

Setelah Belanda dikalahkan oleh Portugis, Kristian Katholik sangat membenci Yahudi, maka ramailah Yahudi meninggalkan jajahan Portugal yang baharu dikuasai daripada Belanda.  Selepas British berjaya menguasai New Amsterdam, nama yang bercirikan Belanda itu ditukar kepada New York. (Mohd Nadzri Kamsin, Travelog Misteri Israel Kuasai Dunia, 2011, Bab 2 “Dispora Proses Unik  Bangsa Yahudi”).

Tahun 1658 rombongan seramai 15 keluarga Yahudi tiba di New Port, Rhode Island dari Sepanyol dan Portugal. Selepas itu berlakulah lebih banyak kelompok Yahudi berhijrah ke Amerika Syarikat. Keturunan Yahudi semakin ramai di Amerika Syarikat, selepas merasa takut dengan peningkatan semangat nasionalisme Jerman yang dibangkitkan oleh Hitler,  di mana bangsa Aryan (penduduk asal Jerman) diprovokkan sebagai ‘bangsa pilihan’ manakala bangsa-bangsa yang lain adalah bangsa perlu dinyahkan atau didiskriminasi.

Sebagai reaksi balas, Yahudi mencipta istilah genosid dan holocaust, menggambarkan  tindakan kejam Adolf Hitler, bukan sahaja mengusir bahkan membunuh (menahan di kem-kem rahsia) sebagai musuh ideologi Nazi. Tawanan itu dipaksa bekerja sebagai buruh kasar, dilayan dengan kasar dan dibunuh dalam kurungan dengan lepasan gas.

Gas tersebut kemudian menyebabkan tahanan mati dan mereka yang mati dibakar oleh tentera Nazi. Seseorang digambarkan terpaksa memakai kemeja yang sama selama enam bulan sehingga tidak jelas lagi warna asal. Menggosok gigi sudah menjadi sesuatu yang ‘mewah’ketika berada di dalam kem tahanan. (Victor E Frankel, Man’s Search for Meaning, 1946).

Catatan Muhamad Asad pula cukup menggambarkan fikiran dan tindakan Zionis, bagaimana mereka menulis skrip propaganda untuk menyalahkan Palestin terhadap apa yang berlaku, dan sangat mengharapkan simpati ‘dunia luar’ untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka sangat memerlukan pengiktirafan dan perakuan, sokongan dan simpati kerana ia dapat menghapuskan kekejaman yang dilakukan.

Jason Stanley, seorang Profesor Falsafah di University Yale Amerika Syarikat meneliti semula perihal propaganda, ia bukan sahaja hadir dalam bentuk pembohongan, hadir juga dalam bentuk “manipulation of the rational will to close off debate”. Ia dilakukan menerusi penipuan (deception), membangkitkan perasaan (emotion), membentuk salah kiprah atau salah tujuan (misdirection), melakukan ugutan (intimidation) atau idea atau gambaran yang salah atau palsu (stereotype) bagi menyingkirkan fakta-fakta tertentu atau sudut padangan (points of view).  (Jason Stanley, How Propaganda Works, 2015). (Bersambung)

Kamarun KH

 

Translate »