Sentimen agama mula menjadi ‘ejekan’ dan ‘kemarahan’ apabila timbulnya kluster tabligh pada awal kemunculan pandemik COVID-19 pada bulan Mac dan April 2020. Ketika itu ada pihak yang menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan kerana di akhir pentadbirannya telah meluluskan satu perhimpunan besar-besaran pengamal tabligh yang mengadakan perhimpunan tahunan mereka di Masjid Petaling, Selangor.
Ekoran daripada peristiwa tersebut, kerajaan Indonesia turut membatalkan satu perhimpunan yang dijangka berlaku di salah sebuah wilayah di negaranya kerana bimbang pandemik COVID-19 akan cepat menyerang penduduk Indonesia yang keadaan pengawalannya adalah lebih sukar berbanding di Malaysia. Ini kerana kerberagaman pendirian dan sikap segelintir masyarakat Indonesia dilihat begitu tidak mempedulikan soal larangan dan batasan-batasan yang diambil oleh kerajaan. Bagi mereka, apa pun yang berlalu, mereka sukar untuk mengubah perspektif norma kehidupan harian, termasuk sukar memakai pelitup muka dan juga tindakan melakukan pengebumian jenazah mangsa COVID-19 berdasarkan kelaziman sebelum pandemik.
Ada cerita jenazah diambil daripada pihak penguasa kerana ingin menguruskan pengkebumian berdasarkan kelaziman sebelum COVID-19. Peraturan-peraturan yang dikenakan tidak dipedulikan, kerana bagi mereka adalah suatu kewajiban untuk menguruskan pengkebumian jenazah berdasarkan apa yang pernah mereka lalukan, juga untuk menghormati perjalanan terakhir seseorang tanpa mempedulikan bahawa coronavirus yang tidak mengenal sesiapa dan sentiasa berlegar dalam komuniti.
Gelombang pertama COVID-19 sudah berakhir dengan mencatatkan beberapa buah negara Eropah bukan sahaja berduka di atas kematian mendadak rakyatnya, bahkan kegagalan pengurusan kesihatan yang memadai walaupun ada di antaranya pernah digelar sebagai negara yang yang mempunyai tahap penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia. Selepas Eropah, Amerika Syarikat mula mengambil alih kedudukan sebagau juara kumulatif mangsa COVID-19 dan menebarkan kematian yang besar.
Akibat pengurusan kesihatan dan penangani penularan COVID-19, pentadbiran Donald Trump dikritik hebat dan akhirnya menjadi salah satu faktor kegagalannya untuk mempertahankan kerusi kepresidenan untuk penggal kedua pada bulan November 2020. Selepas vaksin COVID-19 diumumkan sudah sedia digunakan, Amerika Syarikat menjadi negara yang cukup rakus untuk membolotinya apatah vaksin pertama yang dimajukan oleh BioNTech dari Jerman itu merupakan gandingan kerjasama dengan sebuah syarikat pengedaran farmasi gergasi Amerika Syarikat, Pfizer telah sedia ditempah dengan banyaknya sehingga melebihi keperluan awal.
Donald Trump pernah menawarkan pembelian syarikat yang berjaya membangunkan vaksin dengan meletakkan keutamaan untuk Amerika Syarikat. Sikap tamak untuk memboloti perniagaan tersebut turut dikecam oleh banyak negara, kerana pandemik COVID-19 bukan hanya berlaku di Amerika Syarikat, ia sudah melata hingga ke hampir seluruh negara di dunia, kecuali di beberapa buah kawasan sejuk tanpa penghuni seperti di hemispera selatan dan utara.
Atas permintaan yang begitu tinggi, BioNTech dan Pfizer yang masih merupakan pengeluar terbesar vaksin COVID-19 setakat ini masih belum mampu memenuhi permintaan daripada beberapa buah negara walaupun harga pembelian dirunding secara rahsia dengan negara pembeli. Isu harga vaksin turut melanda beberapa buah negara, termasuk dakwaan bahawa ada pemimpin di Malaysia bakal meraih komisyen lebih RM 500 juta kerana harganya berbeza (lebih mahal) daripada harga yang dipersetujui oleh sebuah negara Eropah yang terdedah dalam halaman sosial seorang menteri Belgium.
Kit Siang turut mempersoalkan tindakan kerajaan membayar RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin bagi 6.4 juta rakyat Malaysia adalah tidak munasabah kerana harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Belgium. (baca: https://www.sinarharian.com.my/article/116406/KOLUMNIS/Vaksin-Jangan-sesatkan-rakyat).
Kenyataan Lim Kit Siang itu bagaimanapun dinafikan kerana peruntukan RM 3 bilion (Bajet 2021) adalah untuk 70 peratus penduduk Malaysia iaitu sekitar 22.4 juta orang. Kontroversi itu kemudian reda seketika dan ia terus dilihat sebagai usaha untuk memesongkan persepsi rakyat ekoran kegagalan kelompok pembangkang untuk menyingkirkan Muhyiddin dari terus berkuasa walaupun didakwa ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘tidak mempunyai jumlah majoriti’ dalam Dewan Rakyat.
Vaksin COVID-19 mula diterima oleh Malaysia pada bulan Februari 2021, namun gerakan mempengaruhi rakyat agar ‘menolak’ vaksinisasi turut dimainkan oleh pelbagai pihak dengan pelbagai alasan. Antaranya, pembuatan dan perniagaan vaksin merupakan agenda pihak tertentu yang dikaitkan dengan ketamakan kapitalis, kerana ada pihak yang sanggup melabur berbilion ringgit untuk tujuan tersebut; suntikan vaksin tidak menjami terhapusnya COVID-19 kerana vaksin tersebut tidak mampu memperkuatkan imuniti seseorang walhal proses semula jadinya tetap berlaku (alasannya, jumlah mereka yang sembuh tanpa vaksin adalah lebih berkali ganda besar dengan kematian ketika vaksin belum ditemui); dan kini, tersebar pula bahawa bakal berlaku sekatan dan halangan kepada mereka yang tidak mengambil vaksin COVID-19.
Mereka yang memenuhi dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan ‘sijil digital’. Dengan sijil tersebut seseorang dibenarkan bergerak ke sana ke mari, termasuk memasuki premis beli-belah (kawalan kapitalis), boleh mengembara di seluruh dunia dan khabarnya, mereka yang tidak mengambil vaksin akan terus ‘terkurung di rumah’, selepas semua proses vaksinisasi selesai. Ia bukan sahaja ‘menakut’kan ramai rakyat, bahkan dianggap telah melanggar hak dan kebebasan seseorang sebagaimana dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia.
Setiap manusia mempunyai kebebasan, termasuk kebebasan untuk menerima atau menolak disuntik vaksin kerana vaksin hanya sebagai ikhtiar menyekat penularan penyakit bukan menghapuskan sama sekali COVID-19. Katanya, apa pun tindakan yang dilakukan, ia hanya sekadar langkah kawalan kerana coronavirus terus muncul dalam komuniti.
Ada mengatakan bahawa gelombang COVID-19 yang berlaku sekarang sedang berada di kemuncak gelombang ketiga ataupun permulaan gelombang keempat. Ini berdasarkan mutasi virus yang dikesan semakin kompleks dan cepat berkembang berbanding virus-virus awal yang dikesan atau dipanggil sementara sebagai Wuhan Disease. Di Malaysia, sudah dikesan virus India ekoran berlakunya kluster ‘nasi kandar’ dari Jitra atau Kluster Napoh (atau Sivagangga, yang diambil dari nama sebuah tempat di India di mana pemilik restoran yang disyaki positif baru kembali ke Malaysia (13 Julai 2020) dari kampong asalnya di India.
Beliau (Nezar Mohamed Sabur Batcha, pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh) Kedah yang turut merebak ke beberapa buah daerah sehingga Kedah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Julai 2020, yang kemudian diikuti Perlis. Kluster itu cepat merebak dan pemilik restoran telah dijatuhkan hukuman kerana tidak mematuhi SOP (lima bulan penjara dan denda RM 12,000) pada 13 Ogos 2020 oleh Mahkamah Majisteret.(“Pencetus kluster PUI Sivagangga dipenjara lima bulan, denda RM12,000”, Berita Harian, 13 Ogos 2020).
Paras ketakutan psikologi pertama mengenai COVID-19 menjadi semakin memilukan pada ketika jumlah kes positif harian meningkat 869 kes (17 Oktober 2020), dengan Sabah menjadi penyumbang utama (451 kes), diikuti Pulau Pinang (189 kes), Selangor (159 kes), Kedah (38 kes – Kluster Tembok (37 kes) dan Bah Lunas). Ia berlaku kenaikan mendadak ekoran mereka yang ada sejarah perjalanan ke Sabah (Sejak 20 September 2020).
Selepas PRN Sabah (26 September 2020), jumlah kes COVID-19 dan membentuk paras psikologi kedua apabila mencecah 1228 kes (24 Oktober 2020). Ia kembali cemas apabila jumlah positif meningkat kepada 2234 kes (10 Disember 2021), dan seterusnya mencecah 3,027 kes pada 7 Januari 2021.
Ketika proklamasi darurat diisytiharkan mulai 12 Januari 2021, jumlah jangkitan baharu ialah 3,309 kes, kemudian meningkat kepada 3,337 kes (14 Januari 2021), dan seterusnya 4,029 kes dua hari kemudian. PKP turut diisytiharkan dengan sekatan rentas negeri (kecuali dengan kebenaran), namun situasi COVID-19 masih belum dapat dikurangkan jangkitan baharu kurang daripada 100 kes sehari.
Paras psikologi rakyat terus berada dalam kebimbangan walaupun peraturan baharu diperkenalkan, termasuk mengenakan kompaun sehingga RM 10,000 (sebelumnya RM 1,000) ke atas individu yang melanggar SOP dan RM 50,000 ke atas premis perniagaan (termasuk penjual burger dan penjual colek) dan RM 60,000 (dua kes pelanggaran SOP) oleh Neelofa dan pasangannya.
Kontroversi turut muncul apabila sepasang penjual burger (walaupun ada dakwaan telah beberapa kali melanggar SOP, tidak peka dengan aduan jiran dan bukan bergantung (saraan kehidupan kerana kaya) kepada hasil jualan burger); simpati atas kompaun yang dikenakan (berniaga sehingga di luar masa dibenarkan) sebagai satu perihal ‘keadilan dua darjat’.
Bagaimanapun isu itu menjadi sedikit reda apabila pihak berkuasa sedia mempertimbangkan jumlah kompaun manakala netizen kembali menyerang pasangan penjual burger yang bukan dalam kalangan mereka yang mencari sesuap nasi dengan berniaga burger.
Pasangan itu pernah bermewah-mewahan menikmati masakan barat termasuk steak daging lembu termahal (wagyu), memiliki sebuah kereta berjenama dan kedegilannya menjaga keharmonian hidup berjiran apabila halaman rumahnya yang menjadi medan jualan burger turut menjadi ‘port lepak’ hingga menjelang waktu bersyahur. Ia turut dihiburkan dengan alunan muzik karaoke yang mengganggu masa tidur jiran sehingga menyebabkan ada jiran-jiran (khususnya penyewa) mengambil keputusan berpindah.
Di tengah-tengah kontroversi kompaun yang dibolehkan ketika Malaysia masih dalam keadaan ‘darurat’, timbul pula perihal bagaimana India yang dahulunya pernah dijadikan contoh oleh keturunan India di Malaysia untuk membuktikan resam kehidupan tidak banyak menjadikan COVID-19 sebagai suatu malapetaka besar.
Ketika muncul beberapa kluster yang dikaitkan dengan agama, sama ada berlaku di Malaysia atau beberapa buah negara Islam (seperti Iran, Arab Saudi dan negara Afrika Utara), ada kedengaran bahawa COVID-19 menyerang umat Islam kerana ‘sikap umat Islam’ itu sendiri yang dianggap ‘biadab’ kepada penganut-penganut agama lain. Ia sedikit sebanyak cuba mewarnakan semula Islamofobia selepas kisah pemberontakan, serangan dan keganasan ISIS atau kumpulan tertentu kurang diperkatakan.
Sebaliknya, kisah penganiayaan Israel ke atas penduduk Palestin tidak dijadikan asas kutukan ektremisme dan pelanggaran nilai-nilai kemanusiaan, kerana ramai memahami bahawa negara-negara barat tidak memusuhi India.
Negara-negara Barat sentias menghulurkan bantuan kepada India dalam mendorong negara kedua teramai penduduk di dunia itu untuk menjadi pusat pertumbuhan baharu bagi menyekat penguasaan China dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi. India merupakan sebuah negara yang mempunyai potensi untuk membina ‘kekayaan ekonomi’ yang baharu dan boleh menandingi China pada masa hadapan ekoran sumber tenaganya yang ramai dan kepakaran dalam bidang teknologi maklumat.
Ini jelas memperlihatkan tekad Amerika Syarikat sendiri apabila pentadbir Rumah Putih mula memberikan peluang yang lebih luas kepada keturunan India-Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang, terutama menjadi Kamala Haris sebagai gandingan ketika merebut jawatan presiden oleh Parti Demokrat.
Kamala Haris menjadi keturunan India-Amerika Syarikat pertama dilantik sebagai Naib Presiden Rumah Putih manakala beberapa orang pakar, termasuk pakar kesihatan keturunan India-Amerika Syarikat turut dilantik dalam menguruskan penanganan COVID-19 oleh Joe Biden.
Sejak menngangkat sumpah sebagai Presiden Ke-46 pada 20 Januari 2021, berita mengenai kegagalan pengurusan kes COVID-19 di Amerika Syarikat tidak lagi menjadi berita hangat walaupun Amerika Syarikat masih berada di atas dengan kumulatif 33,227,239 kes (sehingga 2 Mei 2021 – kes harian baharu 37,447 kes, kumulatif kematian 591,494 dan kematian harian terbaharu 442 kes).
Ketika ini masyarakat antarabangsa menjadi cemas dengan apa yang sedang berlaku di India sehingga ada laporan negara tidak lagi mampu mengawal peningkatan mendadak ekoran hospital hampir penuh, sokongan peralatan yang tidak mencukupi (ambulan, kemudahan rawatan dan bekalan oksijen perubatan), ‘burn-out’ pasukan perubatan dan paling mengecewakan ialah tekanan keluarga pesakit terhadap perkhidmatan perubatan.
Berdasarkan perangkaan, perkembangan yang menakutkan itu dikatakan bermula selepas ratusan ribu pengamal Hindu merayakan upacara agama mereka (festival Kumbh Mela atau festival kendi) di Sungai Gangga pada 12 April lalu.
Dua hari lalu (2 Mei 2021), India menduduki carta jumlah jangkitan baharu tertinggi iaitu dengan 355,828 kes manakala kematian pula membabitkan 3,438 kes. Kedudukan itu meletakkan India sebagai negara kedua terbesar dilanda COVID-19 dengan kumulatif kes 20,275,543 dan kematian 222,383 kes. Apa yang menakutkan masyarakat dunia ialah kekurangan kemudahan perubatan bakal menjadikan India boleh mengatasi kes-kes yang berlaku di Amerika Syarikat dalam tempoh singkat, akibat jenis virus yang ditemukan itu begitu mudah dan cepat berjangkit. Ini kerana pada 3 Mei 2021, India dilaporkan mempunyai kes jangkitan harian tertinggi iaitu melepasi 400,000 kes manakala jumlah kematian dalam tempoh 24 jam telah mencecah 3,689 kes.
Keadaan itu turut membimbangkan Perdana Menteri India, Narendra Modi. Beliau dikatakan mengadakan pertemuan menteri kesihatan bagi membincangkan situasi koronavirus yang semakin memburuk apatah lagi dalam keadaan India terus melaksanakan pilihan raya kebangsaannya (dimulakan sejak akhir Mac dan berakhir April). Bahkan, Narendra Modi tidak melihat COVID-19 sebagai sesuatu yang boleh menggeruskan apabila beliau berkata “Sejajar dengan protokol COVID-19, saya menggesa orang ramai untuk mengundi dan memperkayakan pesta demokrasi,”.
Bagaimanapun, Narendra Modi dilihat boleh menarik sedikit nafas lega apabila beberapa buah negara mula menghantar bantuan walaupun masalah kekurangan bekalan oksijen dan kemudahan katil pesakit masih dilihat begitu runcing. Gambaran pembakaran mayat berlaku di mana-mana kawasan lapang turut menjadikan situasi pengurusan COVID-19 semacam tidak lagi dapat diuruskan dengan baik dan berkesan. Ia dijangka akan terus meningkatkan jumlah mereka yang positif apabila penyempurnaan mayat menurut tradisi diuruskan oleh sanak saudara tanpa kawalan dan penyelarasan pihak berkuasa perubatan
Dilaporkan suasana pembakaran mayat yang semakin banyak terpaksa dilakukan, kualiti udara setempat turut dikatakan mula menunjukkan masalah apabila partikel yang terkandung dalam asap itu tersebar dengan banyak dan bebas di udara. Ada penduduk mula mengadu mengalami ‘sakit tekak’ dan sukar bernafas.
Turut tersebar ialah beberapa imej ‘menyayat hati’ di mana terdapat ahli keluarga merayu petugas perubaran agar memberikan rawatan segera kepada ahli keluarga mereka yang dijangkiti COVID-19. Ada di antaranya tidak dapat mengawal perasaan sedih kerana dibiarkan pesakit tanpa bantuan oksijen dan berada di lantai. Akibat kelemahan dan kekurangan peralatan, turut dilaporkan ada penduduk tempat mula mengambil inisiatif sendiri untuk menyediakan oksijen sendiri dengan melakukan beberapa semakan di internet bagaimana boleh membekalkan oksijen untuk kegunaaan perubatan. Gambar-gambar berkenaan menjadi tular dan cukup memperoleh simpati masyarakat antarabangsa.
Beberapa hari lalu, dilaporkan 12 pesakit meninggal dunia di Hospital Batra, New Delhi kerana kekrurangan oksijen dan ia merupakan insiden kedua dalam tempoh seminggu. Juga dilaporkan 16 kematian di Andra Pradesh (dua hospital) dan enam di Gurgaon akibat masalah yang sama (kekurangan tabung oksijen) untuk menampung mereka yang sangat memerlukan bantuan alat pernafasan sebagai dilaporkan oleh Times of India.
Seorang isteri di Firozabad, Uttar Pradesh terpaksa menggunakan beca elektrik untuk membawa pulang mayat suaminya yang meninggal akibat jangkitan COVID-19 setelah gagal mendapat kemudahan van mayat atau kenderaan yang disediakan oleh pihak perubatan. (https://www.liputan6.com/global/read/4548672/tak-dapat-ambulans-seorang-istri-di-india-bawa-jenazah-suami-pakai-becak). Sebelum itu turut dilaporkan seorang anak terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa pulang mayat ayahnya untuk dibakar selepas gagal mendapat bantuan kenderaan khas daripada hospital.
Ekoran insiden tersebut, Mahkamah Tinggi New Delhi membuat keputusan untuk menghukum mana-mana pegawai kerajaan sekiranya bekalan keperluan tidak sampai ke hospital sehingga menyebabkan kematian pesakit. Bagaimanapun, agar sukar untuk melakukannya kerana India sebenarnya sedang berhadapan dengan krisis kesihatan, kekurangan peralatan dan kemudahan.
Rakyat India masih dibenarkan bergerak tanpa sekatan kerana India bimbang, jika melaksanakan perintah berkurung, akan menjejaskan ekonomi negara. Perintah berkurung adalah pilihan terakhir.
Kesan ledakan COVID-19 di India, sekali lagi timbul kontroversi di dalam negara apabila mulai dua hari lalu tersebar berita ada empat penerbangan dari India mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 April 2021 sedangkan sudah diisyhtiharkan semua pintu masuk ditutup. Dikatakan terdapat tujuh pesawat telah mendarat dan hal itu telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.
Kesemua pesawat itu adalah membabitkan pengangkutan kargo (bukan penumpang) manakala semua krew tidak dibenarkan turun daripada pesawat di India. Satu laporan polis mengenai fitnah tersebut telah dibuat dan hanya perkhidmatan kargo MAS tiba dari India sejak 28 April 2021, bukan pesawat penumpang. (“Hanya penerbangan kargo tiba dari India”, Berita Harian, 3 Mei 2021).
Apakah dengan meledaknya COVID-19 di India yang diibaratkan sebagai tsunami kesihatan akan memaksa pengamal-pengamal Hindu sedar bahawa pandemik itu tidak mengenai batasan agama, bahkan mereka yang selesai melaksanakan ritual suci agama tidak akan kebal dengannya. Namun, ada juga kencenderungan timbul dalam masyarakat bahawa ‘kesan daun mambu neems yang dianggap ibu segala ubat dan penyakit tidak lagi dapat dipertahankan walaupun pada peringkat awal, ada rakyat Malaysia turut memperkatakan ‘kemujaraban’ petua tersebut.
Satu lagi mitos berguguran mengenai COVId-19, mitos bahawa ‘keturunan India’ sukar dijangkiti hanya berdasarkan andaian gelombang pertama, tetapi gelombang ketiga sekarang benar-benar menjadikan India dilanda ‘tsunami’ dan bakal meruntuhkan ‘petaka ego’ serta harapannya untuk mengukuhkan kedudukan menyaingi China dalam usaha membantu Barat melebarkan hegemoni ekonomi dan politiknya dalam separuh kedua Abad ke-21.
Mahanor Saleha
Recent Comments